Showing posts with label Al-Quran. Show all posts
Showing posts with label Al-Quran. Show all posts

Sunday, April 1, 2012

Kehebatan al-Quran

 

PADA satu hari, ada seorang lelaki menemui Ibnu Mas'ud, sahabat Rasulullah SAW untuk meminta nasihat. Katanya: "Wahai Ibnu Mas'ud! Berilah kepadaku nasihat yang dapat aku jadikan penawar jiwaku yang sedang resah gelisah ini. Dalam beberapa hari ini, aku tidak merasai ketenangan, jiwaku tidak tenteram dan fikiranku gundah gulana. Makanku pun tak lalu dan tidur pun tak lena."


Lantas Ibnu Mas’ud pun menasihatinya: “Kalau itu penyakit yang sedang menimpamu, maka bawalah dirimu mengunjungi tiga tempat ini. Pertama, datanglah ke tempat orang yang sedang membaca al-Quran. Di sana kamu akan ikut sama membaca al-Quran atau cukuplah sekadar kamu mendengar bacaan al-Quran dengan khusyuk.


“Kedua, pergilah kamu ke tempat majlis ilmu yang akan mengingatkan hatimu kepada Allah Yang Maha Agung. Ketiga, carilah tempat yang sunyi di malam yang sepi. Di sana kamu hendaklah menyendiri bersama Allah SWT pada waktu malam yang gelap gelita untuk kamu mendirikan solat tahajud, lalu kamu mohonlah kepada Allah ketenangan jiwa, ketenteraman fikiran dan kesucian hati.”


Setelah orang itu kembali ke rumahnya, nasihat sahabat Rasulullah SAW itu terus diamalkannya. Dia mengambil wuduk dengan sempurna, lalu mengambil al-Quran. Dia terus membacanya dengan penuh tertib dan khusyuk. 


Selesai membaca al-Quran, berubahlah jiwanya menjadi lebih tenang, fikirannya pun lebih tenteram dan kegelisahan jiwanya pun hilang berkat bacaan al-Quran. Begitulah al-Quran sebagai ubat penawar seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dalam al-Quran ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua. (Surah al-Isra’, ayat 82)


Buatlah pilihan yang benar


Ada sebab para utusan dihantar membawa risalah yang benar
Ada sebab panduan-panduanNya diturunkan
Ada sebab mengapa kita diperintahkan supaya dekat denganNya
Semua itu bertujuan membimbing hati
Membimbing ke arah kebaikan
Membuat pilihan ke arah syurga bukan ke arah neraka
Ingat! Bukan aqal yang menentukan pilihan
Bukan jua nafsu
Tapi pilihan adalah berdasarkan daripada HATI yang DEKAT denganNya
Juga berdasarkan DIA yang dekat dengan hati

Siapa kata takdir tidak boleh diubah?
Kita bukan Qadariyyah yang 100% pilihan sendiri
Kita juga bukan Jabariyyah yang segala-galanya serba terpaksa
Kita umat pertengahan
Setiap tindakan kita diberikan kuasa membuat pilihan
Kita diberikan kuasa bertindak namun hasil tindakan/keputusan adalah daripada DIA
Segala usaha adalah daripada kita dengan bantuanNya dan hasilnya daripadaNya
Tetapkanlah hatimu atas jalanNya
Agar di akhir garisan kamu bertemu husnul khatimah..

Tuesday, March 20, 2012

75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim


Bismillahirrahmanirrahim.

Pagi ini saya terbaca satu artikel daripada SINI .. dalam bahasa Arab dan saya menterjemahkannya dengan bantuan google translate.. rasanya amat menarik untuk kita cuba memahaminya.  Selain mendapatkan bantuan google saya juga membuat sedikit edit mengikut kefahaman saya.. Oleh itu jika ada sesiapa yang boleh bantu menterjemahkannya dengan lebih baik amatlah dialu-alukan..

Berikut adalah pemahaman saya daripada apa yang diutarakan di sana iatu beliau bertanya adakah pembaca tahu bahawa Al-Quran  mewakili 75% rawatan untuk sembuh!! 

Apa yang menarik perhatian beliau semasa membaca al-Quran digital; ada satu perkataan yang signifikan yang ditemui iaitu perkataan (penawar). Perkataan ini telah diulang empat kali di dalam Al-Quran dalam ayat-ayat berikut:

1)  Dalam surah (Yunus 10:57)

A057
Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu Al-Quran yang menjadi nasihat pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu, dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan, serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman. (Yunus 10:57)
2)  Dalam surah (Al-Nahl 16: 68-69)

A068

A069
Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia. (Al-Nahl 16:68) Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang engkau sukai), serta turutlah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir.(Al-Nahl 16:69)
3) Dalam Surah (Al-Israa' 17:82)

A082
Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari Al-Quran Aya-ayat Suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) Al-Quran tidak menambahkan orang-orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua.(Al-Israa' 17:82)
4) Dalam surah   (Fussilat 41:44)

A044
Dan kalaulah Al-Quran itu Kami jadikan (bacaan) dalam bahasa asing, tentulah mereka akan berkata: "Mengapa tidak dijelaskan ayat-ayatnya (dalam bahasa yang kami fahami)? Patutkah Kitab itu berbahasa asing sedang Rasul yang membawanya berbangsa Arab?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Al-Quran itu, menjadi (cahaya) petunjuk serta penawar bagi orang-orang yang beriman; dan sebaliknya orang-orang yang tidak beriman, (AL-Quran itu) menjadi sebagai satu penyakit yang menyumbat telinga mereka (bukan penawar); dan ia juga merupakan gelap-gelita yang menimpa (pandangan) mereka (bukan cahaya yang menerangi). Mereka itu - (dengan perbuatan melarikan diri dari ajaran Al-Quran, tidak ubahnya seperti) orang-orang yang diseru dari tempat yang jauh (masakan mereka dapat mendengar dengan betul atau melihat dengan nyata)". (Fussilat 41:44)
Jika diperhatikan pada maksud ayat-ayat di atas, kita mendapati bahawa tiga ayat menyebut tentang penyembuhan Al-Quran, dan ada satu ayat tentang penyembuhan menggunakan madu.

Pendapat beliau jika kita tahu bahawa al-Quran adalah merupakan kitab yang seimbang dalam semua perkara (salah satu mukjizat al-Quran ialah keseimbangan), kita boleh membuat kesimpulan daripada ayat-ayat ini iaitu perkataan itu (penyembuhan) ada empat kali,  kita boleh menganggap bahawa 4 perkataan dalam ke empat-empat ayat bermakna sembuh 100%  itu ialah dengan Al-Quran tiga perempat (3/4) pemulihan atau 75% manakala satu ayat yang menyebut tentang madu (1/4) atau 25%.

Oleh itu, kita bolehlah mengatakan bahawa kita tidak seharusnya mengabaikan bacaan Al-Quran dalam kaedah perawatan bagi mendapatkan manfaat untuk penyakit-penyakit tertentu. Kita boleh kata penyembuhan bergantung kepada ubat-ubatan hanya sebanyak 25% dan 75%  disembuhkan oleh al-Quran.

Dengan demikian wahai para pembaca; jika kita terdedah kepada penyakit dalam apa jua bentuk, jangan lupa untuk merawat diri sendiri dengan Al-Quran terlebih dahulu, kemudian merawat diri anda dengan madu atau ubat-ubatan yang dicadangkan oleh para doktor. Kita hendaklah meletakkan keutamaan kepada merawat diri dengan al-Quran kerana jika kita percaya dengan kalimah Allah seperti yang dibincangkan di sini kita boleh yakin sepenuhnya bahawa hanya 25% penyembuhan daripada perubatan menggunakan ubat-ubatan manakala 75% daripada al-Quran.

Insya-Allah, dengan keyakinan seperti ini dan dengan usaha yang bersungguh-sungguh penyakit akan disembuhkan oleh Allah kecuali ada sebab-sebab tertentu. Allah Maha Berkuasa dalan tiap-tiap sesuatu dan Allah Maha BIijaksana.

Ada dua ayat lagi di dalam al-Quran yang menyebut tentang penyembuhan dan pemulihan. Ia menarik perhatian saya, wahai si pembaca, bahawa tindakan penyembuhan diulangi dua kali, dan kedua-dua kali, kita mendapati bahawa yang menyembuhkan adalah Allah, Yang Maha Kuasa berkata:

A014

....... dan Dia akan memuaskan hati orang-orang yang beriman. (At-Taubah 9:14)

A080
"Dan apabila aku sakit, maka Dia lah yang menyembuhkan penyakitku;(Asy-Syu'araa' 26:80

Dengan itu ayat yang mengandungi kalimah penyembuhan dan terbitannya telah diulang enam kali di dalam al-Quran seperti yang telah dinyatakan di atas. Saya rasa kebanyakan orang dah tahu akan hal ini cuma maklumat tentang 75% penyembuhan daripada ayat-ayat al-Quran ramai yang belum tahu termasuklah diri saya.



Sekali lagi saya mohon jika ada sebarang kesilapan dalam memahami diharap adalah insan yang mahir berbahasa Arab cuba menterjemahkannya...SILA RUJUK artikel asal ya...

Saturday, February 19, 2011

Kanak-kanak Syurga Membaca al-Quran dengan penuh kesedihan


Bismillahirrahmanirrahim.

N3 kali ini asalnya daripada blog peribadirasulullah

Barisan Ulama' menangis kerana pemergian kanak-kanak pilihan Allah SWT dalam menghadapi ujian Allah yang amat berat tetapi dalam usia yang amat muda.

Kisahnya :

Kanak-kanak perempuan ini belajar tadika dan menghafaz Al-Quran dengan didikan agama. Ibunya seorang doktor, bapanya juga seorang doktor yang bertugas di Saudi , Setiap hari ibunya memperdengarkan bacaan Al-Quran kepada anak kesayangannya. 

Namun pada suatu hari, ibunya merasakan suatu perubahan pada anak kesayangannya. Setelah dibuat pemeriksaan, anak kesayangannya disahkan menghadapi penyakit barah yang amat bahaya. Kini anak kesayangannya sudah berusia 8 tahun dan mampu membaca Al-Quran dengan penuh khusyuk dan merdu, namun apakan daya anak kesayangan mereka berdua akan menghadapi kematian.

Diringkaskan cerita, kedua ibunya meninggal dunia kerana terlibat dalam satu kemalangan, ibu dan bapa meninggal dunia hanya berbeza jarak masa seminggu sahaja. 

Sahabat handai kedua ibubapanya merahsiakan pemergian kedua ibubapanya. Namun dengan kuasa Allah SWT, semasa sahabat handai kedua ibubapanya mengelilinginya di atas katil, setelah kedua ibubapa telah menemui Allah SWT… Tiba-tiba dia mengeluarkan kata:  "Saya telah melihat kedua ibu bapa saya yang telah pergi menemui Allah". 

Semua sahabat handai kedua ibubapanya merasa sedih kerana kecerdikan dan ketabahannya menghadapi cubaan dan ujian Allah SWT.

Akhirnya sahabat handai kedua ibubapanya dari Mesir dan Saudi mengumpul derma dan menghantarnya ke Britain untuk mendapat rawatan terbaik di sana…

Namun apa yang anda dengar dari suara bacaan ayat suci Al-Quran (Dalam Youtube di atas) adalah bacaannya secara langsung dari hospital di Britain dan dia telah tahu bahawa nyawanya akan diambil oleh Allah SWT serta dia redha dengan takdir Allah SWT…

Dengarlah suara bacaan Ayat Suci Al-Quran dan doanya kepada Allah SWT, sebelum nyawanya diangkat oleh Malikil Maut…. untuk bertemu Allah SWT serta menemui kedua ibubapa…

Sunday, January 23, 2011

An-Nasr (Pertolongan)


Bismillah

A001
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - (An-Nasr 110:1) 
A002
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, - (An-Nasr 110:2

A003
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (An-Nasr 110:3
Dalam satu usrah kami diberi sedikit penerangan tentang ayat-ayat daripada surah an-Nasr - surah 103 dalam al-Quran yang mulia.

Ayat 1 Surah an-Nasr fokus kepada 2 kemenangan besar umat Islam hasil daripada pertolongan Allah,
iaitu pembukaan kota Makkah dan kemenangan hasil daripada perjanjian Hudaibiyah
Ibn Abbas ra, bila ditanya, apakah maksud surah ni
beliau menjawab, ini tandanya Nabi SAW akan wafat
sebab, setiap Nabi diutuskan untuk menyampaikan
bila dah selesai tugas tu, tibalah pula masanya nabi  pergi menghadap Ilahi.

Ayat 2, ramai orang masuk Islam, (berduyun-duyun)
Ini bermakna tanda Islam dah menang.
Dulu2, sorang2 masuk, nak dakwah pun senyap2
Tetapi, pada hari pembukaan kota Makkah, ramai serentak masuk Islam

Ayat 3, Allah suruh bertasbih, puji Allah
Jadi, kena bersyukur kerana dapat pertolongn Allah, kita hamba, tanpa pertolonganNya kita tak berdaya, 
jadi kita kena bertasbih banyak-banyak mensucikan Allah.
Dalam ayat 3 tu juga yang akhir disebut, dan mohonlah keampunan yakni beristighfar daripadaNya kemudian bertaubat.

Pada zaman nabi, pada satu-satu ketika para sahabat dan orang yang hidup pada zaman itu,
ada yang rasa ragu2, bimbang dan kecil hati, sebab mereka hidup dalam keadaan susah
sejak awal kedatangan Islam lagi. Hingga tiba masa nak buka Kota Makkah makan masa 21 tahun lebih kurang.

Jadi, kadang-kadang, mereka ada terasa seperti... kenapa Allah tidak tolong.
Lalu, Allah ada bayangkan fasal ini dalam Surah al-Baqarah ayat 214
Dalam ayat itu, bila mereka tanya bila nak datang pertolongan Allah, Allah jawab, ketahuilah pertolongan Allah itu dekat.
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)". (Al-Baqarah 2:214)
Selain itu fasal ayat no 3
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (An-Nasr 110:3)
Bila kita dah selesai jalankan tugas kita, apa-apa sajalah kita kena minta ampun.. takut2 apa yang kita buat tu tak sempurna.. sebab tu lah bila kita selesai solat kita wirid.

Selain tu tambah doa Nabi Ibrahim as dengan doa nabi Ismail as sebaik sahaja selesai bina kaabah
doa : Rabbana taqabbal minna, innaka antal sami'ul 'alim ("Wahai Rabb kami terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui").

Nabi Zakaria juga diminta bertasbih apabila baginda ingin mendapatkan zuriat.. boleh baca di sini

Monday, January 10, 2011

Persoalan Rahsia Ayat-ayat al-Quran

Persoalan Agama: Perkembangan ilmu bongkar banyak rahsia dalam ayat al-Quran


2010/12/12

Soalan: 

ADA mendakwa makhluk asing dari angkasa lepas wujud. Benarkah dakwaan itu.

AID, Johor.

Jawapan: 

Allah SWT berfirman dalam surah asy-Syura ayat 29 bermaksud: “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang ia biakkan pada keduanya daripada Daabbah (makhluk yang melata). Dia berkuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).” 

Ayat ini adalah umum mengenai makhluk Allah SWT yang bertebaran di langit dan bumi. Dari segi bahasa, kalimah Daabbah (makhluk yang melata) diambil daripada kata akar yang bererti berjalan dengan sangat halus. Secara pastinya, perkataan Daabbah tidak digunakan dalam erti malaikat. 
Menurut pakar bahasa al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani, perkataan itu digunakan bagi haiwan yang berjalan, tetapi banyak digunakan untuk serangga. 

Ada juga ulama tafsir yang memahami kata langit pada ayat terbabit dengan awan dan Daabbah ialah burung seperti dikemukakan Muhammad Thahir dalam kitab tafsirnya, at-Tahrir. 

Pada pandangan saya, pendapat itu tidak didukung ayat ini dan ayat al-Quran lain. Ayat ini menggunakan bentuk jamak bagi langit, ia bukan semata-mata langit yang kita lihat. Di samping itu, pada ayat 38 surah al-An’am, Allah SWT membezakan antara Daabbah dengan burung seperti dalam firman-Nya: “Tiada satu Daabbah di bumi dan tidak pula burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya melainkan umat juga seperti kamu..” 

Apa yang dimaksudkan dengan Daabah? al-Quran menyatakan kalimah Daabah bermakna umum, tidak diertikan dengan sesuatu. Justeru, sukar kita menentukannya. Ada baiknya kita renung sikap ditunjukkan Khalifah Umar ketika membaca surah ‘Abasa ayat 25 hingga 32 iaitu: “Sesungguhnya Kami (Allah) benar-benar mencurahkan air dari langit, kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun yang lebat dan buah-buahan serta Abba sebagai kesenangan untuk kamu dan binatang ternakmu.” 

Menurut riwayat ini ada tongkat di hadapannya lalu beliau patahkan tongkat itu kerana kesal tidak faham makna perkataan abba. Tetapi, beliau sedar dan berkata kepada dirinya: 

“Demi Allah, ini (mencari sesuatu di luar jangkauan akal) adalah bersikap berlebih-lebihan. Padahal tidak rugi andai tidak mengetahui makna abba.” 

Menurut Muhammad Abduh, Saidina Umar tidak melarang kajian makna kalimah al-Quran atau membincangkan permasalahan berkaitan dengannya. 

Beliau ingin mengajar mengimani kandungan al-Quran sekalipun tidak mampu memahami secara terperinci. Banyak ayat al-Quran tidak jelas bagi generasi terdahulu, tetapi kini jelas maknanya kerana perkembangan ilmu. 

Mungkin ia tidak jelas, tetapi akan jelas pada masa akan datang dengan penemuan baru. Siapa tahu penjelajahan manusia ke angkasa dapat memberikan maklumat yang lebih tepat dan memuaskan. Wallahua’lam. 

Dan boleh jadi, jawapan yang tepat buat kita sekarang adalah firman Allah SWT yang menjadi pengajaran bagi manusia iaitu: “Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang ada di semua langit” - al-Israk ayat 55. 

Wednesday, December 29, 2010

Menguasai DUA ayat Allah


 

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah berfirman:

A053

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (Fussilat 41:53
Dalam ayat ini ءَايَـٰتِنَا bermaksud ayat-ayat Allah, satu yang ada pada al-Quran dan satu lagi yang ada pada alam semesta termasuk diri kita.

Ayat-ayat Allah ialah al-Quran dan juga ilmu semasa seperti sains, teknologi, geografi dan sebagainya.

Kita bukan sahaja setakat diminta membaca ayat-ayat yang tertera dalam KitabulLah malah kita diminta mengkaji ayat-ayat Allah yang terdapat pada alam dan juga yang ada pada diri kita. Dengan ini kita akan menjadi ulul albab iaitu orang-orang yang berakal. Orang-orang yang berakal ialah orang-orang yang memahami syari'at dan sunnatullah.

A190

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (A-li'Imraan 3:190)

Kita pernah mendengar kehebatan bumi Andalusia/Sepanyol suatu ketika dahulu, kerana terdapat ramai para saintis Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Batutah, al-Ghazi dan lain-lain sehingga karya mereka membawa Barat keluar daripada kegelapan kepada era kebangkitan.
Apa yang merangsang mereka? Itulah ayat-ayat Allah - wahyu yang berbentuk ayat-ayat al-Quran yang mempunyai pelbagai ilmu.. al-bayaan.

Umat Islam di bumi Andalusia membaca dan mengakji ayat-ayat Allah dan mereka mendapat ilmu. Akhirnya Barat berubah jadi empayar yang maju dan moden seterusnya merangsang sains dan ilmu-ilmu lain.

Jadi pada hari ini kita kena hayati ilmu agama dan ilmu tentang ciptaan Allah. Rangsanglah anak-anak kita supaya bukan sahaja maju dalam ilmu semasa bahkan mesti maju dalam bidang agama.. agar mereka jadi ulul albab dan juga ulama' kerana ulama' ialah orang-orang yang berilmu dan takut kepada Allah.

Jika hari ini kita baca al-Quran tapi tak tahu atau faham tentang ayat-ayat Allah yang berada pada ciptaanNya, maka berubahlah. Para saintis bukan Islam telah ramai mengkaji dan akhirnya mereka memeluk Islam contohnya doktor pakar kulit Thailand yang mengkaji tentang deria sakit pada kulit. Setelah diberitahu bahawa ada ayat dalam al-Quran yang menyebut bahawa kulit yang terbakar hangus akan diganti baru  beliau mengucap syahadah.

Begitu juga dengan seorang pakar kaji laut iaitu Cousteau. Beliau memeluk Islam setelah berasa hairan terhadap fakta yang menarik perhatiannya.

Banyak lagi ayat-ayat Allah yang bila dikaji kita akan dapat menyingkap rahsianya seperti teori big bang dalam surah al-Anbiya' ayat 30 dan sebagainya.

Kesimpulan: Marilah kita umat Islam kembali kepada kecemerlangan dengan memerhati dan menguasai DUA ayat-ayat Allah ini.

Saturday, September 25, 2010

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Tersebut di dalam Sahih Muslim bahawa baginda membaca surah al-A'la dan al-Ghasiyah dalam solat dua hari raya dan hari Jumaat.

Baginda juga membaca kedua-dua surah itu untuk sembahyang hari raya dan sembahyang Jumaat yang jatuh pada hari Jumaat.

Memang wajar bagi Rasulullah menyintai surah ini, kerana surah ini menukarkan seluruh alam menjadi sebuah tempat ibadat di mana bergema ucapan tasbih dan tahmid di seluruh sudutnya, dan menjadi sebuah tempat pameran yang penuh dengan kejadian-kejadian yang mengilhamkan tasbih dan tahmid.


Firman Allah SWT: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan).

Al-Maraghi berkata: Sucikanlah nama Tuhanmu dari sesuatu yang tidak layak dengan keagungan-Nya, sama ada tentang zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya dan hukum-hukumnya.

Oleh sebab itu, janganlah kamu menyebutnya kalau tidak untuk mengagungkan-Nya, dan jangan kamu menggunakan nama-Nya kepada selain-Nya, dan jangan menganggap sifat-sifat-Nya sama dengan sifat-sifat yang selain-Nya.

Firman Allah SWT: Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan makhluk dan menyamakannya dengan sebaik-baik kejadian dari segi bentuknya.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaan-Nya).

Mujahid berkata: Allah memberi petunjuk kepada manusia sama ada untuk kecelakaan atau kebahagiaan yang dipilih oleh manusia begitu juga menunjuk haiwan ternakan untuk padang ragutnya.

Ayat ini sama seperti firman Allah SWT yang mengkhabarkan berkenaan perihal manusia yang berkata kepada Firaun.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak.

Al-Maraghi berkata: Dialah yang menumbuhkan segala macam tumbuh-tumbuhan untuk menjadi makanan haiwan.

Tidak ada tumbuh-tumbuhan yang tidak layak untuk dimakan oleh haiwan dan makhluk hidup yang lainnya.

Firman Allah SWT: Kemudian ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering (berubah warnanya) kehitam-hitaman.

Syed Qutub berkata: Tumbuh-tumbuhan itu mulanya tumbuh menghijau. Kemudian beransur-ansur layu kering hitam kekuning-kuningan. Semasa hijau ia boleh dimakan dan semasa kering hitam kekuningan juga boleh dimakan.

Dalam semua keadaan, tumbuh-tumbuhan itu berguna belaka kepada kehidupan mengikut perencanaan Allah yang telah menjadikan makhluk-Nya dengan ciptaan yang sempurna dengan menentukan tugas dan matlamat masing-masing serta memberi bimbingan kepadanya.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Kita diperintahkan agar mengenal Allah SWT Yang Maha Agung, bahawa Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana yang mana dengan sifat-sifat-Nya itu kita dapat menyaksikan bukti-bukti ciptaan-Nya.

Juga kita diperintahkan untuk memberikan nama-nama yang tidak layak, sebagaimana dilakukan oleh golongan yang ingkar, yang bertuhankan selain Allah SWT sebagai sekutunya atau menyifatkan Allah SWT dengan sifat-sifat yang serupa dengan makhluk-Nya.

Kita juga diperintahkan untuk menyucikan sifat Allah SWT bukan zat-Nya, adalah untuk membimbing kita bahawa tingkat kemampuan kita yang paling tinggi hanyalah mengenal sifat-sifat-Nya, yang dapat menunjukkan adanya Zat-Nya, Zat-Nya sendiri jauh lebih tinggi daripada yang dapat dijangkau oleh akal kita.

Justeru, cukuplah kita memerhatikan sifat-sifatnya yang dapat menunjukkan kewujudan Zat-Nya.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mempelajari ilmu Allah sehingga akhirnya menatijahkan ma'rifah kepada-Nya. Amin.

Sumber : Utusan Malaysia

==========================

Dalam surah Al-a'la ini Allah memerintahkan Nabi Muhammad saw memberi peringatan akan adanya hari kiamat/akhirat.. bagi orang2 beriman terus menerima peringatan ini kerana mereka takutkan siksaan Allah sedangkan orang2 kafir /tidak beriman merupakan orang2 yang mendapat kecelakaan kerana menjauhkan diri daripada peringatan.. tidak mahu mempercayai al-Quran dan mereka sombong.


Paling hebat dalam surah ini..ialah ayat ثُمَّ لَا يَمُوتُ فِيہَا وَلَا يَحۡيَىٰ yang bermaksud : "( Selain dari itu, dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup") . (Al-a'la [87] : 13) ... tentang suasana kiamat ini ialah bahawa orang yang masuk neraka itu tidak hidup dan tidak pula mati. sepintas lalu susah nak difahami.. sebab biasanya kalau orang hidup dia pastinya tidak mati dan kalau mati pastinya dia tidak hidup.. bagaimana pula dikatakan tidak akan mati dan tidak pula hidup.. cuba bayangkan..


Erti yang sebenarnya ialah jika dia dikatakan mati pasti dia tak terasa siksaan.. sedangkan dia merasa siksaan.. dan dikatakan tidak hidup pula kerana dia terus menerus mendapat siksaan.. tidak henti2.. dengan kenyataan ini seharusnya manusia akan dapat merasakan betapa hebatnya siksa Neraka itu..


Kenyataan ini lebih ngeri daripada dikatakan siksa sampai mati.. kerana jika seseorang itu disiksa terus menerus tentu dia akan memilih mati daripada hidup.. sebab dengan mati akan berakhirlah penderitaan akibat penyiksaan itu.. cuba bayangkan bagaimana rasanya disiksa terus menerus..


Para sahabat Nabi Muhammad saw setiap kali mendengar atau membaca surah ini mereka menggigil ketakutan sedangkan kita yang tidak memahami bahasa al-Quran akan membaca dan mendengar dengan tersenyum (Na'uuzubillah).. Sebab itu Rasulullah saw diperintahkan terus menerus memberi peringatan jangan sampai jemu untuk menghindarkan manusia daripada terjerumus ke dalam api neraka pada hari akhirat nanti..

Sumber : NOTA UNTUK DIRI

Saturday, August 21, 2010

Keajaiban Al-Quran



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pagi ini sempat menonton U-tube di atas. Dalamnya dibincangkan tentang ciri-ciri metamatik:

Ditunjukkan contoh-contoh bilangan penggunaan perkataan, yang diulang di dalam al-Quran. Sungguh menakjubkan.

Bilangan perkataan HARI diulang sebanyak 365 kali
Bilangan perkataan HARI-HARI diulang sebanyak 30 kali
Bilangan perkataan BULAN diulang sebanyak 12 kali
Bilangan perkataan HUKUMAN diulang sebanyak 117 kali
Manakala bilangan perkataan KEAMPUNAN diuang 2 kali ganda daripada HUKUMAN
Bilangan perkataan DUNIA dan AKHIRAT diulang dengan jumlah bilangan yang sama yakni sebanyak 115 kali
Pernyataan " 7 LANGIT" disebut 7 kali
Pernyataan PENCIPTAAN 7 LANGIT juga disebut 7 kali
Perkataan IMAN dan juga KEKUFURAN disebut dengan bilangan yang sama yakni sebanyak 25 kali
Perkataan ZAKAT disebut 32 kali manakala BARAKAH juga diulang sebanyak 32 kali
Pernyataan "Orang-orang yang baik-baik" sebanyak 6 kali sementara "Orang-orang yang menuruti hawa nafsu" diulang kurang 2 kali ganda yakni 3 kali
Perkataan MANUSIA diulang sebanyak 65 kali, hasil tambah bilangan-bilangan perkataan yang berkaitan dengan penciptaan manusia juga diulang sebanyak 65 kali (tanah = 17 kali, sperma = 12 kali, janin = 6 kali, segumpal daging = 3 kali, tulang = 15 kali dan daging = 12 kali)

Kesimpulan:

Ini menunjukkan bukti yang jelas bahawa al-Quran mengandungi berita yang terbukti benar. Ayat-ayatnya mengandungi fakta-fakta yang mungkin tidak diketahui pada ketika ia diturunkan.

Ini menjadi bukti bahawa al-Quran bukanlah perkataan manusia. Al-Quran adalah ayat-ayat Allah, yang daripadaNya datang segala-galanya. Allah Maha Berkuasa yang memiliki segala ilmuNya.

Dalam satu ayat, Allah berfirman: "Jika al-Quran bukan datang daripada Allah, mereka pasti akan mendapati banyak percanggahan di dalamnya".

Bukan sahaja tiada percanggahan di dalam al-Quran, setiap maklumat di dalamnya mendedahkan keajaiban setiap hari.

Manusia harus berpegang teguh kepada kitab wahyu Ilahi dan menerimanya sebagai satu-satunya petunjuk.

Dalam satu ayat yang lain Allah berfirman: "Dan inilah kami turunkan sebuah kitab yang penuh barakah, ikutlah dan takutlah kepada Allah supaya kamu mungkin beroleh keampunan".

Wednesday, August 18, 2010

Bertadarus di bulan Ramadan


BULAN Ramadan mengingatkan kita dengan turunnya wahyu yang pertama (al-'Alaq: 1-5) yang bermaksud: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dengan sebab itu digalakkan membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan. Ini kerana al-Quran digandingkan dengan puasa dan juga bulan Ramadan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat." (riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam bukunya Mausu'ah Qadaya Islamiah Mu'asirah 1/328 berkata: "Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan hidangan Allah yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk dinikmati dan dikecapi."

Sebuah hadis riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya menyebut: Daripada Abdullah bin Mas'ud, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran merupakan hidangan Allah, maka terimalah hidangan-Nya semampu kamu. Sesungguhnya al-Quran ini tali Allah, cahaya yang nyata, penyembuh yang bermanfaat, penyelamat bagi siapa yang berpegang dengannya, kesejahteraan bagi siapa yang mengikutinya. Tidaklah ia menyeleweng, pasti diperbetulkan dan sesat pasti ditunjukkan keajaibannya tidak putus-putus. Ia tidak binasa dengan sebab banyaknya dibaca. Bacalah al-Quran kerana Allah menggandakan kepada kamu pahala pada setiap bacaannya. Setiap huruf dengan sepuluh kebajikan. Adapun sesungguhnya aku tidak berkata ali lam mim satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf."

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya: Diturunkan sakinah dan tama'ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.

Sebuah hadis riwayat al-Turmuzi daripada Abi Sa'id bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah SWT berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya."

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

Utusan Malaysia Online

Wednesday, April 28, 2010

Surah Al-Haaqqah (Hari Kiamat) - Bacaan Sambil Menangis



Salam Semua.

Al-Haaqqah
Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani

Saat yang tetap berlaku itu. (1) Apakah dia sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (2) Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui tentang sifat dan keadaan saat yang tetap berlaku itu? (Saat itu ialah hari kiamat). (3) Kaum Thamud dan Aad telah mendustakan hari (kiamat) yang menggempar dan mengharukan itu. (4) Maka (masing-masing menerima azab dunianya), adapun Thamud (kaum Nabi Soleh), maka mereka telah dibinasakan dengan (petir) yang melampau dahsyatnya. (5) Adapun Aad (kaum Nabi Hud), maka mereka telah dibinasakan dengan angin ribut yang kencang, yang melampau kencangnya. (6) Yang diarahkannya menyerang mereka tujuh malam lapan hari terus-menerus; (kalaulah engkau menyaksikannya) maka engkau akan melihat kaum itu bergelimpangan mati, seolah-olah mereka batang-batang pohon kurma yang (tumbang dan) lompang. (7) Dengan yang demikian, dapatkah engkau melihat lagi sisa-sisa mereka (yang masih hidup)? (8) Dan (selain dari mereka) datanglah Firaun dan orang-orang yang terdahulu daripadanya, serta penduduk negeri-negeri yang telah ditunggang balikkan, dengan melakukan perkara-perkara yang salah. (9) Iaitu masing-masing menderhaka kepada Rasul (yang diutuskan oleh) Tuhan mereka, lalu Allah menyeksa mereka dengan azab yang sentiasa bertambah. (10) Sesungguhnya Kami, ketika air (banjir) melampaui hadnya (serta menenggelamkan gunung-ganang), telah mengangkut (serta menyelamatkan nenek moyang) kamu ke dalam bahtera Nabi Nuh (yang bergerak laju pelayarannya). (11) (Kami lakukan yang demikian) untuk Kami jadikan peristiwa itu satu pelajaran bagi kamu dan untuk didengar serta diambil ingat oleh telinga (orang-orang) yang mahu menerima pengajaran. (12) Kemudian (ketahuilah bahawa) apabila ditiup Sangkakala dengan sekali tiup. (13) Dan bumi serta gunung-ganang diangkat (dari tempatnya) lalu dihancurkan keduanya dengan sekali hancur. (14) Maka pada saat itu berlakulah hari kiamat. (15) Dan terbelahlah langit, lalu menjadilah ia pada saat itu reput (dan runtuh). (16) Sedang malaikat-malaikat (ditempatkan) mengawal segala penjurunya dan Arasy Tuhanmu pada saat itu dipikul oleh lapan malaikat di atas malaikat-malaikat yang mengawal itu. (17) Pada hari itu, kamu semua dihadapkan (untuk hitungan amal); tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi (kepada Allah) dari perkara-perkara kamu yang tersembunyi. (18) Maka sesiapa yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kanannya, maka dia akan berkata (dengan sukacitanya kepada sesiapa yang ada di sisinya): Nah! Bacalah kamu Kitab amalku ini! (19) Sesungguhnya aku telah mengetahui dengan yakin, bahawa aku akan menghadapi hitungan amalku (pada hari yang ditentukan)! (20) Maka (dengan itu) tinggallah dia dalam kehidupan yang senang lenang lagi memuaskan. (21) Di dalam Syurga yang tinggi (darjatnya). (22) Buah-buahannya dekat untuk dipetik. (23) (Masing-masing dipersilakan menikmatinya dengan dikatakan): Makan dan minumlah kamu makanan dan minuman sebagai nikmat yang lazat dan baik kesudahannya, dengan sebab (amal-amal soleh) yang telah kamu kerjakan pada masa yang lalu (di dunia)! (24) Adapun orang yang diberikan menerima Kitab amalnya dengan tangan kirinya, maka dia akan berkata (dengan sesalnya): Alangkah baiknya kalau aku tidak diberikan Kitab amalku. (25) Dan aku tidak dapat mengetahui hitungan amalku. (26) Alangkah baiknya kalau kematianku di dunia dahulu, menjadi kematian pemutus (yang menamatkan kesudahanku, tidak dibangkitkan lagi). (27) Harta kekayaanku tidak dapat menolongku sedikitpun. (28) Kuat kuasaku (dan hujah-hujahku membela diri), telah binasa dan hilang lenyap dariku. (29) (Lalu diperintahkan malaikat penjaga Neraka): Tangkaplah orang yang berdosa itu serta belenggulah dia. (30) Kemudian bakarlah dia di dalam Neraka Jahiim. (31) Selain dari itu, masukkanlah dia dalam (lingkaran) rantai besi yang ukuran panjangnya tujuh puluh hasta, (dengan membelitkannya ke badannya)! (32) Sesungguhnya dia dahulu tidak beriman kepada Allah Yang Maha Besar. (33) Dan dia juga tidak menggalakkan (dirinya dan orang lain) memberi makanan (yang berhak diterima oleh) orang miskin. (34) Maka pada hari ini, tidak ada baginya di sini (seorangpun dari) kaum kerabat serta sahabat handai (yang dapat menolongnya). (35) Dan tidak ada makanan (baginya) melainkan dari air danur. (36) Yang tidak memakannya melainkan orang-orang yang melakukan perkara yang salah. (37) Maka Aku bersumpah: Demi segala (yang nyata) yang kamu melihatnya. (38) Dan segala (yang ghaib) yang kamu tidak melihatnya. (39) Bahawa sesungguhnya Al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. (40) Dan bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu beriman. (41) Dan juga bukanlah Al-Quran itu perkataan seorang pawang (sebagaimana yang kamu katakan. Tetapi sayang!) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (42) (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah Tuhan sekalian alam. (43) Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan Al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta (sebarang kata-kata rekaan). (44) Sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan Kami. (45) Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya dia mati dengan serta-merta). (46) Maka tidak ada seorangpun di antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya. (47) Dan sesungguhnya (Al-Quran) itu tetap menjadi peringatan bagi orang-orang yang bertakwa. (48) Dan sesungguhnya Kami sedia mengetahui bahawa ada di antara kamu yang mendustakan (Al-Quran, maka Kami akan membalasnya). (49) Dan sesungguhnya Al-Quran itu sudah tentu akan menyebabkan penyesalan bagi orang-orang yang kafir (semasa mereka menerima balasan). (50) Dan sesungguhnya Al-Quran itu adalah kebenaran yang diyakini (dengan seyakin-yakinnya). (51) Oleh itu bertasbihlah dengan memuji nama Tuhanmu Yang Maha Besar. / (52)

Saturday, April 24, 2010

Pengelompokan Manusia


Bismillahirrahmanirrahim.
Dalam Surah al-Baqarah (ayat 1 - 11) Allah SWT membahagikan manusia kepada tiga kelompok, iaitu :

Pertama: Orang Bertaqwa (Muttaqin)

Kedua : Orang Kafir (Kafirun)

Ketiga: Orang Munafiq (Munafiqun).

Tanda bagi setiap kelompok itu dijelaskan oleh Allah SWT dalam ayat-ayat tersebut.

Ayat 1-5 : Tanda-Tanda Orang Bertaqwa

Ayat 6-7 : Tanda-Tanda Orang Kafir

Ayat 8-11 : Tanda Tanda Orang Munafiq

Wednesday, February 3, 2010

Cara Mendidik Anak- Petunjuk dari Al-Quran

Bismillahirrahmanirrahim.

Surah Luqman yakni surah ke 31 dalam al-Quranul Karim memaparkan satu kisah tentang Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah SWT, mencegah syirik, serta mendorong supaya manusia berakhlak mulia.

"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman [31] : 12)

Dalam surah ini ada beberapa ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, yang merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Daripada ayat-ayat tersebut dapat dikelaskan kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.

PERTAMA: Asas Aqidah:

Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.

Penyelewengan berlaku sama ada daripada segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada tidak memahami asas aqidah Islam secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.

Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah PERTAMA ialah mentauhidkan Allah SWT:

Firman Allah yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." ( ayat 13)

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman mulakan dengan memberi nasihat kepada anaknya tidak menyekutukan Allah atau syirik. Antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Ini harus dipelihara supaya aqidah sentiasa berada dalam keadaan tetap dan tidak goyah. Syirik adalah dosa yang paling besar terhadap Allah SWT. Luqman juga memulakan nasihanya dengan menggunakan perkataan yang lemah lembut yakni "wahai anak kesayanganku!"

KEDUA: Asas Ibadah:

Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal melakukan ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibdah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Ibadah juga berterusan sepanjang masa yakni selama 24 jam masa yang Allah berikan digunakan sebagai beribadah.

Solat merupakan wasilah hubungan manusia dengan Allah SWT. Manusia berhubung dengan Allah tanpa perantaraan, manusia berinteraksi secara langsung dengan Allah. Solat merupakan tiang agama yang menghidupkan dan menyuburkan iman, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat.

Allah berfirman yang maksudnya: " ...sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-'Ankabut ayat 45)

KETIGA: Asas Akhlak:

Makna Islam ialah sejahtera, aman, damai, tenang yakni sentiasa dalam keadaan sentosa kerana Islam mementingkan ihsan atau akhlak. Akhlak bermaksud berbudi pekerti mulia, berbuat sesuatu seolah-olah Allah melihatnya dalam setiap amal ibadahnya baik daripada segi meningkatkan taraf hidup di dunia mahupun mencari ridha Allah.

Perkara-perakara ditekankan oleh Allah dalam surah Luqman ini ialah:

Berbakti kepada kedua ibu bapa:

"Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "( ayat 14)

Sabar:

"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (ayat 17)

Tidak takbur dan sombong:

"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (ayat 18)

Takbur dan sombong ini bermaksud merasakan dirinya lebih baik, lebih mulia dan lebih berkemampuan daripada orang lain sebagiamana Iblis merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam as kerana dia dicipta daripada api manakala Nabi adam as dicipta daripada tanah, namun Allah menyangkalnya. Oleh sebab kesombongan Iblis ini, dia dikeluarkan daripada syurga dan dilaknat oleh Allah SWT.

Bersederhana:

PERTAMA : Sederhana sewaktu berjalan. Allah berfirman yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." ( ayat 19).

KEDUA : Sederhana waktu bercakap. Allah berfirman yang bermaksud : "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." ( ayat 19).

(Maksud) Ayat-ayat yang dinukilkan di atas sewajarnya dijadikan rujukan bagi semua ummat Islam dalam mendidik anak-anaknya.

Pendidikan anak-anak melalui surah Luqman boleh juga dibaca di sini

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)