Showing posts with label Hati. Show all posts
Showing posts with label Hati. Show all posts

Tuesday, May 21, 2013

Mari kita cek hati





Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum.

Mari kita cek hati.

SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan, minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?"

Murid-muridnya menjawab: "Ya."

Guru yang bijak ini melanjutkan: "Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga hari, ia akan mati."

Hati manusia
Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti amalan seseorang.

Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah, sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad. Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran. Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat agar terjaga kejernihan hati.

Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan dan minuman.

Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya hingga melukai diri sendiri.

Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata: "Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah. Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah tertutup."

Ubat hati
Hati orang kebanyakan seperti kita tidak berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada juga yang sudah parah.

Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang "berhati sihat."

Berkata Ibrahim Al-Khawas, "Ubat hati lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut, solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang saleh."

Jika kita tidak segera mengubati hati yang sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad boleh segera dikuburkan.

Namun orang yang mati hati akan menjadi sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh dibuang ataupun ditanam.

Sumber : Awas mati hati
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR


Sunday, April 1, 2012

Buatlah pilihan yang benar


Ada sebab para utusan dihantar membawa risalah yang benar
Ada sebab panduan-panduanNya diturunkan
Ada sebab mengapa kita diperintahkan supaya dekat denganNya
Semua itu bertujuan membimbing hati
Membimbing ke arah kebaikan
Membuat pilihan ke arah syurga bukan ke arah neraka
Ingat! Bukan aqal yang menentukan pilihan
Bukan jua nafsu
Tapi pilihan adalah berdasarkan daripada HATI yang DEKAT denganNya
Juga berdasarkan DIA yang dekat dengan hati

Siapa kata takdir tidak boleh diubah?
Kita bukan Qadariyyah yang 100% pilihan sendiri
Kita juga bukan Jabariyyah yang segala-galanya serba terpaksa
Kita umat pertengahan
Setiap tindakan kita diberikan kuasa membuat pilihan
Kita diberikan kuasa bertindak namun hasil tindakan/keputusan adalah daripada DIA
Segala usaha adalah daripada kita dengan bantuanNya dan hasilnya daripadaNya
Tetapkanlah hatimu atas jalanNya
Agar di akhir garisan kamu bertemu husnul khatimah..

Friday, June 24, 2011

Nota Untuk Diri

Bismillahirrahmanirrahim

Kini dunia ini semakin tua dan semakin hampir menuju saat kehancuran manakala kebanyakan hati manusia di dalamnya semakin jauh daripada Allah SWT dan syari'at agama yang diajarkan oleh RasulNya. Kemungkaran berleluasa di mana-mana sahaja hinggakan sebahagian daripada kita sentiasa resah dan gelisah. Walaubagaimanapun kehidupan perlu diteruskan biar bagaimana susah sekalipun. Bolehlah diibaratkan seperti kita berjalan di atas jalan yang penuh dengan onak dan duri, harus berhati-hati supaya tidak terkena duri lalu mencederakan kaki.

Allah perintahkan melalui Kitab dan RasulNya supaya kita semua menjalankan kehidupan ini dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT dan hendaklah dijauhi segala perkara yang dilarang olehNya. Kelak apa yang kita kerjakan di dunia ini akan dipertanggugjawabkan kelak. 

Allah SWT berfirman, 

"Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya). Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) (Az-Zalzalah [99] : 7 - 8)

"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)"; (Al-Mulk [67 : 2

"Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga....  (Al-Israa' 17:7)..

Allah SWT mencipta kita dan membiarkan kita hidup di dunia ini supaya kita mengabdi hanya kepadaNya. 

"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". (Adz-Dzaariyaat 51:56).

Hendaklah kita mendidik diri supaya dapat menjalani kehidupan ini dengan penuh kebaikan yang berlandaskan syari'at yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Apabila kita menyedari bahawa kita telah melakukan dosa, hendaknya kita tidak berputus asa untuk kembali padaNya. Sedarlah betapa Kasih sayangNya mengatasi KemurkaanNya, sebagaimana ungkapan dalam satu Hadis Qudsi. Apabila berbuat dosa, janganlah menjadikan itu alasan untuk kita berputus asa dalam menggapai istiqamah mengabdi kepada Allah SWT, kerana boleh jadi itu adalah dosa terakhir yang ditakdirkan bagi kita.

Berpegang teguhlah kepada Allah SWT dan RasulNya dan jangan sekali-kali kita berputus asa dan lari daripadaNya. Sandarkan kepada Allah yang Maha Mengatur dan Menentukan. Keyakinan hanya hadir apabila kita mengakui kelemahan diri dan kehambaan kita di hadapanNya. Tiada suatu tarikan dan lepas nafas daripada kita kecuali di situ di bawah pengetahuan dan kekuasaanNya dan keinzinanNya.

Punca segala maksiat, kelalaian, dan syahwat adalah bujukan nafsu. Punca segala ketaatan, kewaspadaan dan kebajikan adalah kekangan nafsu. Bersahabat dengan orang bodoh yang tidak memperturutkan hawa nafsunya lebih baik bagi kita daripada bersahabat dengan orang pintar yang memperturutkan hawa nafsunya. 

Hendaklah kita ingatlah bahawa, amal yang berasal daripada hati yang penuh dengan keikhlasan tidak dapat dianggap sedikit, dan amal yang berasal daripada hati yang penuh dengan ketamakan tidak dapat dianggap banyak. Ingatlah bahawa syaitan tidak akan pernah lupa kepada kita, oleh itu hendaklah kita tidak lupa kepada Allah yang menguasai segala-galanya. Semoga Allah meredhai kita semua dalam perjalanan yang amat singkat ini.

Semoga kita dapat menemuiNya dalam keadaan membawa hati yang sejahtera.

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun, Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang  selamat sejahtera ;(Asy-Syu'araa' [26] : 88 - 89)

Thursday, February 3, 2011

Tenang

Bismillahirrahmanirrahim.

Telah dimaklumi bahawa perjalanan kehidupan kita akan selalu menempuh ujian-ujian. Ujian-ujian itu tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengumpul semua keberanian dan kecerdasan kita untuk membentuk kekuatan peribadi. Kekuatan peribadi itulah yang akan memberi kemenangan terhadap segala perancangan kita. Bila kita tidak menang sekarang, kita akan menang nanti.

Itulah sebabnya, kejernihan dalam menyikapi kegagalan adalah pemangkin yang penting untuk memaksimakan pencapaian, untuk mencapai kecemerlangan yang kita cita-citakan. 

Pengenalan yang baik kepada sifat-sifat kegagalan adalah penentu kepada ketepatan sikap dan tindakan-tindakan kita pada setiap usaha kita. 

Kegagalan adalah tanda tidak tepatnya arah, maka penyesuaiannya adalah kembali tetapkan arah perjalanannya.

Kegagalan adalah tanda tidak cukup baiknya kaedah atau strategi pelaksanaannya, maka perbaikilah dengan peningkatan pembaikan dalam strateginya.

Kegagalan sebenarnya tertunda sebuah keberhasilan, maka kesabaran adalah penantiannya.

Kegagalan adalah tanda tidak cukup kekuatan, maka kesungguhan harus diutamakan.

Kegagalan adalah tanda akan adanya jaminan keberhasilan. Oleh itu dengan penuh keyakinan marilah kita sedari bahawa kita perlu mengetahui cara menyikapi kegagalan.

Apabila kita sudah bersedia untuk melaksanakan impian maka pencapaiannya adalah sebuah kepastian.

Apabila kita gagal dalam sebuah impian (ujian), maka ramailah meminta kita bertenang. Walaupun semua telah menasihati kita untuk tetap tenang dalam menjalani hidup dan kehidupan, namun seringkali kita lupa, atau mungkin sengaja kita lupakan kerana kita menutup diri daripada nasihat. 

Acapkali ketika kita ada masalah, fikiran kita menjadi resah, hatipun gelisah. Bahkan, kadang kala kita mencari kesalahan yang lain dan menyalahkan kehidupan. Walhal kita sudah diingatkan bahawa dalam kehidupan, siapa yang tabah dan berani, dia akan menjuari kehidupan.

Untuk menenangkan jiwa apabila diri kita resah dan gundah gulana, apakah yang harus kita lakukan? 

Bagi menjawab pertanyaan ini, marilah kita renungkan pertanyaan-pertanyaan berikut:

Siapakah yang paling mengerti sebuah lagu selain penggubahnya? 
Siapa yang lebih memahami lukisan selain pelukisnya? 
Siapakah yang mengenal dengan baik sebuah kenderaan jika bukan pembuatnya? 
Siapa yang lebih mengetahui indahnya sebuah bangunan jika bukan arkiteknya? 
Lalu, siapa yang lebih mengerti tentang diri kita jika bukan Allah Yang Menciptakan kita? 
Allah SWT jauh lebih mengerti tentang diri kita, bahkan dibandingkan kita sendiri.

"...ketahuilah bahawa sesungguhnya Allah berkuasa mengubah atau menyekat (Allah menjadi pendinding) di antara seseorang itu dengan (pekerjaan) hatinya .." (al-Anfal [8] : 24)

Dalam ayat 24 surah al-Anfal di atas, Allah memperingatkan kita bahawa Allah yang membatasi kita dengan hati kita yang menyebabkan kita tidak tahu atau tidak sedar apa yang dilakukan. Jelasnya Allah berkuasa mematikan hati seseorang sehingga terlepas peluang yang baik. Allah juga berkuasa menjadikan hati kita hidup.

Oleh itu untuk menenangkan jiwa dan menenteramkan hati, Allah SWT telah memberikan ubat yang sangat mujarab kepada kita sebagai hamba dalam firman-Nya :

"Ingatlah, hanya dengan zikir kepada Allah-lah hati menjadi tenteram". (ar-Ra‘d [13] : 28)

‘Aidh al-Qarni menerangkan bahawa “menjadi tenteram” bererti hati jadi sejahtera. Seolah-olah hati yang diumpamakan sebagai tanah yang telah keras akibat ketiadaan hujan. Apabila Allah Yang Maha Pemurah menurunkan hujan wahyu ke dalam hati agar mendapatkan santapannya dengan izinNya berupa zikir maka hati jadi lembut dan tenang.

Hati yang tenteram adalah hati yang bebas daripada perasaan takut, serta tenang mengharap janji Tuhannya dengan penuh keyakinan.

Hati yang tenteram adalah hati yang terhibur daripada perasaan dukacita, sehingga merasa bebas daripada rasa gusar dan bersedih hati.

Hati yang tenteram adalah hati yang hidup bahagia, diredhai Allah, dan diapun redha pada Tuhannya.

Hati yang tenteram adalah hati yang bebas daripada perasaan bimbang atau ragu, hati yang teguh dan kukuh.

Hati yang tenteram adalah hati yang tidak berbelah-bahagi. Hatinya hanya untuk Allah tidak selainNya.

Hati yang tenteram adalah hati yang terpelihara daripada godaan syaitan,  hawa nafsu, serangan, tipu daya dan kejahatan musuh.

Tidak ada satu pekerjaan yang lebih melegakan hati dan lebih besar pahalanya, selain berzikir kepada Allah.
Berzikir adalah syurga Allah di bumiNya. Maka, siapa yang tak pernah memasukinya, maka ia tidak akan dapat memasuki syurgaNya di akhirat kelak.

Berzikir kepada Allah merupakan penyelamat jiwa dari pelbagai kerisauan, kegundahan, kekesalan dan guncangan.

Berzikir kepada Allah merupakan ubat, penyembuhan, kesenangan dan kehidupan.

Zikir merupakan jalan paling mudah untuk meraih kemenangan dan kebahagiaan hakiki.

Dengan berzikir kepada Allah, awan ketakutan, kecemasan dan kesedihan akan hilang.

Dengan berzikir kepada Allah, segunung tumpukan beban dan permasalahan hidup akan runtuh dengan sendirinya.

Wahai orang yang mengeluh kerana sulit tidur, yang menangis kerana sakit, yang bersedih kerana sebuah tragedi, dan yang berduka kerana suatu musibah, sebutlah nama-Nya yang suci.

Artikel asal di sini disalin dan ditambah sedikit serta diedit ke dalam bahasa melayu supaya senang memahaminya.. juga supaya nanti akan dapat lagi ke sana membacanya, insyaAllah..

Monday, December 27, 2010

Amalan kebaikan walaupun remeh tetap dinilai

HIDUP ini harus dipenuhi dengan amal salih dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala. 

Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: 


“Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (al-Baqarah [2] : 148) 


"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"; (Ali-'Imraan [3] : 133)


Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah.   
Contohnya:

1) Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain dan mengeratkan ukhuwah sesama Muslim. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” – Hadis riwayat Muslim) 

Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat. 

Lihatlah, berapa banyak restoran yang laris jualannya dan memikat ramai pengunjung kerana keramahan dan senyuman pemilik serta pelayannya berbanding restoran yang memberi layanan tidak mesra. 

2)  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” – (Hadis riwayat Muslim) 

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu. 

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan. 

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredhaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan. 

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.


NOTA:

Allah berfirman: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya". (Al-Israa' 17:7) - Petikan daripada Buat Baik Balasannya Baik.

Monday, November 8, 2010

Tanda-tanda Hati Keras


Abai solat, cintai dunia antara tanda hati keras

HATI adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya.

Sebaliknya, hati boleh menjadi sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti dilakukan manusia sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Allah berfirman dalam surah as-Syams [91] ayat 7 hingga 10 maksudnya:

"Demi diri manusia dan Yang menyempurnakan kejadiannya (dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya); (7) Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa; (8) Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan), (9) Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat)". (10)

Abu Hurairah berkata: “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pulalah tenteranya. Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya”.

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda boleh dikenali antaranya:

1) Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan terutama melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan kewajipan ditetapkan itu seperti tidak serius menunaikan solat atau berasa berat melaksanakan ibadah sunnah.

Allah menyifatkan golongan ini kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan”. (Surah at-Taubah [9] ayat 54).

2) Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran. Ketika disampaikan ayat berkenaan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk dan lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya.

Bahkan ada hati enggan dan berpaling daripadanya sedangkan Allah memberi ingatan yang ertinya:

“Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman-Ku”. (Surah Al-Qaf [50] ayat 45)

3) Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat. Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata.

Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia. Penghujungnya jadilah dia seorang yang memiliki sifat dengki, ego, bakhil serta tamak terhadap dunia semata-mata.

4) Kurang mengagungkan Allah sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah dilecehkan orang. Tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.


5) Tidak belajar dengan ayat kauniah iaitu tidak terpengaruh dengan peristiwa yang dapat memberi pengajaran seperti kematian, sakit atau bencana. Dia memandang kematian atau orang yang sedang diusung ke kubur sebagai perkara biasa, padahal cukuplah kematian itu sebagai biasa.


Haikatnya, kematian itu adalah nasihat. Firman Allah yang bermaksud:

“Dan tidaklah mereka (orang munafik) memperhatikan bahawa mereka diuji sekali atau dua kali setiap tahun, kemudian mereka tidak (juga) bertaubat dan tidak (pula) mengambil pelajaran?” (Surah At-Taubah [9] ayat 126).


Berita Harian 2010/11/08

Tuesday, April 13, 2010

Sucikanlah!

28 Rabi'ul Akhir 1431

Salam Semua.



أَلَمْ يَرَوْاْ إِلَى الطَّيْرِ مُسَخَّرَاتٍ فِي جَوِّ السَّمَاء مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلاَّ اللّهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يُؤْمِنُونَ

Tidakkah mereka memperhatikan burung-burung yang dimudahkan terbang melayang-layang di angkasa? Tiada yang menahan mereka (dari jatuh) melainkan Allah; sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan Allah) bagi kaum yang beriman. (An-Nahl 16] : 79)

أَلَمْ تَرَ أَنَّ اللَّهَ يُسَبِّحُ لَهُ مَن فِي السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَالطَّيْرُ صَافَّاتٍ كُلٌّ قَدْ عَلِمَ صَلَاتَهُ وَتَسْبِيحَهُ وَاللَّهُ عَلِيمٌ بِمَا يَفْعَلُونَ

Tidakkah engkau mengetahui bahawasanya Allah (Yang Maha Esa dan Maha Kuasa) sentiasa bertasbih kepadaNya sekalian makhluk yang ada di langit dan di bumi serta burung-burung yang terbang berbaris di angkasa? Masing-masing sedia mengetahui (menurut keadaan semulajadinya) akan cara mengerjakan ibadatnya kepada Allah dan memujiNya dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.(An-Nur [24] : 41)


أَوَلَمْ يَرَوْا إِلَى الطَّيْرِ فَوْقَهُمْ صَافَّاتٍ وَيَقْبِضْنَ مَا يُمْسِكُهُنَّ إِلَّا الرَّحْمَنُ إِنَّهُ بِكُلِّ شَيْءٍ بَصِيرٌ

Patutkah mereka menutup mata dan tidak memerhatikan (kekuasaan Allah pada) burung-burung yang terbang di atas mereka, (siapakah yang menjaganya ketika) burung-burung itu mengembang dan menutupkan sayapnya? Tidak ada yang menahannya (daripada jatuh) melainkan (kekuasaan) Allah Yang Maha Pemurah. Sesungguhnya Dia Maha Melihat serta mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Mulk [67] : 19)





Saturday, April 10, 2010

Kelahiranmu kanggaroo.. MasyaAllah

Bismillahirrahmanirrahim.

Mari kita lihat kelahiran kanggaro dan kasih ibu kepada anaknya.
Bukti kekuasaan Allah SWT.. Allahu Akbar.





Selebihnya di SINI

Ujub dan sombong


Bismillahirrahmanirrahim.

Apabila seseorang merasa puas dengan dirinya sendiri, menyangka diri sudah cukup sempurna, dalam hatinya timbul perasaan bahawa segala pekerjaan dilakukan oleh orang lain tidak akan berhasil jika tidak disertainya. Perangai begini sebenarnya menyebabkan seseorang itu lupa akan kekurangan diri dan hanya mengingati kekurangan orang lain. Inilah yang dinamakan ujub. Seandainya dia menyuarakan pada orang akan hal ini dia dikatakan sombong atau takbur. Ujub wujud dalam hati manakala sombong dizahirkan melalui perkataan atau perbuatan. Kedua-dua sifat ini mesti dibuang jauh-jauh, janganlah hendaknya ada terlintas sedikitpun untuk rasa kita lebih daripada orang lain.

Janganlah dibiarkan sifat ujub dan sombong ini bersarang di dalam diri kita, menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna tanpa kita. Apa yang pasti perkara itu tidak akan menjadi sempurna tanpa bantuan orang lain. Hidup kita memang telah diatur oleh Allah saling memerlukan.

Allah tidak memberi keutamaan kepada seorang saja sebaliknya diberikan kepada semua orang sehingga ia terkumpul menjadi sebuah masyarakat. Laksana cili yang membanggakan kepedasannya, seperti garam yang membanggakan masinnya, ibarat cuka membanggakan asamnya, ikan pula membanggakan enaknya. Segala rasa pedas, masin, masam, dan enak itu hanya akan menjadi makanan lazat selepas dikumpulkan dalam satu belanga dan dimasak bersama.

Dalam kehidupan seharian kita; jika kita berfikir; bermula dari masa kita bangun tidur; cuba fikirkan siapakah yang memberi idea untuk mencipta tempat membuang kotoran kita. Sebenarnya orang itupun tanpa sedar dia telah memberikan sumbangan kepada orang lain. Kemudian apabila kita bergerak meninggalkan rumah kita bayangkan betapa ramai yang menyumbangkan kepakaran masing-masing, bermula dengan kereta atau kenderaan kita, jalan atau lebuhraya; siapakah yang menjadikannya sebagai alat kegunaan kita; memudahkan kita bergerak ke mana-mana.

Jika ada sifat mazmumah ini pada diri kita, masyarakat menjadi tidak aman, ini di dunia bagaimana pula di akhirat nanti.

Jadi hati-hatilah dengan sifat yang akan membawa azab ini.

Tuesday, March 30, 2010

Baik sangka Sifat Terpuji


Salam semua.

Allah adalah zat yang maha sempurna, baik daripada segi Nama, Sifat mahupun perbuatanNya. Tidak ada satupun aib atau cela yang terdapat pada Allah.

Allah telah menciptakan langit dan bumi serta isinya, semuanya mempunyai hikmah dan Allah tidak pernah mencipta sesuatu dengan sia-sia.

Allah swt berfirman
:

Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab Neraka. (Sad [38] : 27)

"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Al-Mu'minun [23]: Ayat 115-116)

Kita hendaklah selalu berbaik sangka terhadap segala sesuatu yang telah Allah swt tetapkan agar kita termasuk orang-orang yang beruntung.

Ketika seseorang mendapat kebaikan ataupun musibah tentu mempunyai hikmah bersamanya. Tidakkah kita belajar daripada Hikmah di Sebalik Musibah yakni daripada kisah Nabi Musa as berguru dengan Nabi Khidir as.

Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah?

Maksudnya ialah rasa takut dan harap kepada Allah saling berganding ATAUPUN rasa takut mengatasi rasa harap.

Allah tidak akan menimpakan suatu musibah kepada para hambaNya yang mukmin kecuali dengan tujuan:

  1. Mengangkat darjat orang yang tertimpa musibah, kerena sabar menghadapi musibah yang telah Allah tetapkan.
  2. Menguji dirinya, seumpama emas diuji ketulinannya.
  3. Sebagai penghapus dosa.
Abu Hurairah ra meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda meksudnya: "Allah swt berfirman; AKU sesuai dengan prasangka hambaKu kepada diriku" (HR Bukhari)

Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Janganlah kamu mati MELAINKAN dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah".

Seorang hamba yang berbaik sangka dengan Allah:
  • Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah akan menerima ibadahnya dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran.
  • Apabila dia berdoa dia tahu bahawa Allah akan memakbulkan doanya.
  • Apabila dia berdosa, dia segera memohon ampun dan bertaubat dan dia yakin bahawa Allah akan mengampuninya dan menerima taubatnya.
  • Apablia dia ditimpa musibah, dia yakin bahawa di sebalik musibah itu ada hikmahnya.
Apabila seorang hamba bersangka baik sesama manusia lain;
  • Dia memandang daripada sudut positif dan mengabaikan sudut negatif.
  • Tidak menyebarkan keburukan atau aib saudara muslim yang lain.
  • Saling menasihati jika ada keburukan yang terserlah pada sahabatnya sesama muslim.
  • Saling mendoakan kesejahteraan.
  • Mudah memaafkan kesalahan orang.
Setiap sesuatu pekerjaan perlu dilaksanakan bersungguh-sungguh, barulah hasilnya akan memuaskan. Begitulah juga dengan keinginan untuk mewujudkan prasangka baik ini, kita perlu merealisasikan dengan ikhtiar yang bersungguh-sungguh dan istiqamah. Mudah2an Allah menolong kita dalam usaha menempatkan baik sangka ke dalam hati kita. InsyaAllah.

Wednesday, March 24, 2010

Aku Ceritakan Kamu Tentang Cinta Ku

Oleh Saudara Tajul Rijal Annuar

Salam kepada insan yang meletakkan cintanya hanya kepada pemilik cinta tersebut. Yang meletakkan cintanya pada yang paling hak untuk dicintai.

Ahh. Cinta. Cinta dan Cinta. Takkan pernah putus. Terutama daripada bualan sang teruna dan si dara. Takkan lepas daripada kalimat yang terbalut kemas dihadiahkan oleh seorang pencinta. Terbukti dengan perlakuan sang pencinta itu sendiri.

Ahh. Cinta. Cinta. Cinta. Maka kenapa kita perbahaskan tentang cinta. Makna yang tersangkut sangat dalam. Dengan cinta, cuka boleh menjadi madu yang manis. Dengan cinta langit menjadi laut dan busut menjadi gunung. Dengan cinta, kejelikan dan keburukan menjadi menawan. Dengan cinta segalanya indah. Segalanya mudah. Segalanya mampu. Segalanya pada setiap yang segala.

Maka kita membicarakan tentang cinta. Maka apakah cinta itu? Apa erti nya cinta itu. Seorang pernah berkata padaku, kalau ingin diberi makna maka setiap inci kamus kau akan jumpa maknanya. Setiap jarak pada jasadmu kau akan jumpa pengertiannya. Kita bicara tentang cinta. Seakan kitalah yang paling arif bagai kitalah yang menciptakan cinta itu.

Ahh. Apakah cinta yang menyesakkan nafas ini? Seorang sahabat ku melihat sekeping gambar yang ku cetak, petanda kepada tajuk diskusi hangat malam jumaat. Dan dikeluarkan kata kepadanya bahawa dia menjangka ku menulis pada kepingan itu madah cinta manusiawi yang pernah diungkap oleh seorang ulama hebat!!

Apakah cinta itu pada hubungan sang teruna dan dara. Lemas dalam dakapan dan ciuman serta kata mesra. Apakah cinta itu hanya pada manusiawi, kisah hangat dibicara dengan penuh kasih, indahnya konon disaluti bunyi-bunyi agama?

Kenapa jika kita terlihat kalimat cinta yang pertama pada fikir dan tersentuh pada akal adalah hubungan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Baik pada pandangan kita ianya adalah hubungan terlarang penuh maksiat zahir dan batin.

Kalau mungkin lebih hebat lagi, cinta itu disalurkan pada hubungan yang kononnya Islami. Kononnya terjaga dari sebarang zina mahupun zina hati.

Maka apa itu cinta. Kerna ku tidak tahu maknanya.

Aku tidak mampu menjelaskan apa itu cinta tetapi akan ku jelaskan sifatnya. Kerna cinta itu sebagaimana iman. Tersembunyi dalam hati tetapi buktinya pada setiap gerak laku dan kata.Pada setiap langkah yang ditapak dan nafas yang dihembus.

Maka pada sifatnya cinta itu akan wujudnya pengorbanan. Pengorbanan yang tiada tara. Pengorbanan yang sanggup menghadiahkan nyawa dan segalanya yang tersedia. Semata-mata untuk siapa dan apa yang dicinta. Kerna cinta itu sifatnya pengorbanan, maka Juliet dan Romeo terkorban, Majnun mejadi gila kerana Laila. Dan kerana cinta seorang ibu bekerja tanpa henti untuk membesarkan anaknya. Seorang ayah sanggup bertungkus lemus memberi kehidupan selesa pada keluarganya..

Dan kerana cinta, Hassan Al Banna terkorban kerana ditembak. Mustafa Masyhur dipenjara. Syed Qutb syahid di tiang gantung.

Dan kerana cinta Rasul diutuskan dan diwahyukan serta diwafatkan.

Ada beza cinta Majnun dan Laila serta cinta Hassan Al Banna..

Pada cinta itu juga wujudnya nikmat. Kenikmatan yang agung.

Pada cinta itu seorang gadis menyerahkan segalanya. Seorang teruna mampu meredah segala halangan dan rintangan hanya untuk si gadis. Kerana nikmat, segalanya sanggup disedia. Kerana cinta itu nikmat sifatnya.

Dan kerana nikmat juga Yusuf A.S memilih kehidupan penjara kerana dilihatnya nikmat sebenar. Kerana nikmat juga Syed Qutb dan umurnya adalah penjara. Kerana nikmat jugalah Muhammad S.A.W tak pernah berhenti berjuang,

Maka ada beza cinta sang jejaka dan Syed Qutb.

Aku jujurnya ingin menulis lebih lagi, tetapi sifat cinta bagai namanya sendiri. Satu kata yang mampu memberi sejuta makna dan sejuta sifat.

Maka akan kujelaskan bezanya cinta yang kau pegang dan cinta yang ku pegang. Kerna ku bingung, bagaimana terpandang sahaja kalimat cinta maka kau membayangkan manusia?

Pada cinta Majnun dan Laila. Cinta Romeo dan Juliet, cinta teruna dan dara wujudnya sebuah kasih. Tetapi pada dasar apa kononnya cinta yang dikatakan agung itu? Aku juga pelik saudara seperjuangan ku sendiri, berbincang dan menulis hangat tentang cinta manusiawi. Mungkin lebih kepada yang sah dalam mimpi membina sebuah peradaban keluarga. Atau mungkin cuma kepada cinta manusiawi biasa yang masih terbatas. Cuma pada lintasan hati.

Dan aku tidak pernah terdengar dikatakan tentang cinta teragung yang pernah dunia dan isinya menyaksikan. Cinta yang dahsyat dipamerkan sebagai bukit kecintaan hakiki.

Apa beza cinta itu?

Maka bagiku cinta itu bezanya adalah pada dasarnya. Pada apa yang kita pegangi. Cinta Romeo dan Juliet dipegang pada dasar manusiawi. Maka matinya Romeo, matilah Juliet. Cinta Majnun dan Laila diletakkan pada dasarnya manusiawi. Ditolaknya Laila cinta si Majnun, gilalah Majnun.

Dan mari lihat pula pada beza yang lain. Kerna dasarnya adalah Tuhan.P ada Dia pemilik dan pencipta Cinta. Pada Dia yang menganugerahkan setiap rasa dan nafsu pada tubuh. Maka Hassan Al Banna bersedia menerima segala cabaran. Maka Syed Qutb berdiri berani di depan tali gantung sebagai realisasi cintanya.

Dan teragung adalah cintanya Muhammad kepada Tuhannya.

Pada dasar cinta itu sendiri yang menghasilkan sifat dan tindakan cinta. Pada dasar cinta manusiawi yang diisi penuh dengan nafsu terhasilnya maksiat dan dosa yang terlekat terus pada hati.

Dan kerna cinta itu pada dasarnya adalah Allah, tindakannya dan sifat cinta itu sifat yang agung. Yang hebat tak terjangkau oleh zaman. Segalanya megah dan tinggi walaupun susah dan payah mengharung jalan justru kerna dia tahu Pemilik yang dicinta nya ada menanti nya. Dia ingin mempersembahkan hadiah yang terbaik kepada Kekasihnya. Bahkan nyawa, jasad, hartanya, kekuatannya dan segala apa pada dirinya dia ingin memberikan pada Kekasihnya. Kekasihnya yang hakiki. Kekasihnya yang abadi. Pada hari yang pasti.

P/s: Wahai Tuhan pemilik hati ini. Wahai Kekasih yang kucintai. Luhur dan bersihkan hati ini untuk mencinta Mu semata-mata.

P/s/s : Ketika kecil ibuku bertanya cinta pertama sekali untuk siapa ? maka ku jawab “Untuk Allah dan Nabi”. Lalu ditanya “yang kedua?” dan lantas ku jawab untuk mama dan abah.

Ahh. Aku yang kecil. Dan kembali ku nilai kehidupan yang ku jalani, adakah semuanya ku lakukan bagai apa ku katakan? Adakah selama ini benar ku letakkan cinta yang agung pada Tuhan ku dan Nabi ku?

Aku tidak menentang kecintaan mu pada manusia kerna aku juga ada cinta itu pada hati ku.Tetapi aku mahu kamu meletakkan cinta mu pada tempat yang benar dan hak. Aku ada dasar cintaku. Kamu??

Tuesday, March 2, 2010

Titik-titik Hitam

Bismillahirrahmanairrahim.

Salam semua.

Daripada Abi Hurairah ra berkata; Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya seseorang hamba apabila ia melakukan sesuatu kesalahan maka akan digoreskan di dalam hatinya satu titik hitam, maka apabila ia menarik diri (daripada kemaksiatan itu) dan terus beristighfar dan bertaubat (kepada Allah swt) hatinya akan kembali suci bersih. Tetapi apabila ia kembali melakukan kesalahan itu maka titik hitam itu akan bertambah (di dalam hatinya) sehingga sampailah titik-titik hitam itu memenuhi semua permukaan hatinya. Dan inilah yang dinamakan "AR-RAAN" ataupun "KARAT" di hati yang disebutkan Allah swt dalam firmannya: "Sekali-kali bukan demikian (seperti apa yang dikatakan oleh orang2 kafir) sebenarnya apa yang selalu mereka lakukan itu (daripada perbuatan dosa) telah menutup hati mereka". [Hadis Riwayat Tirmizi]




Hati yang baik akan menyuruh anggota badannya berbuat kebaikan. Sebaliknya hati yang rosak akan menyuruh anggotanya berbuat kerosakan dan kemaksiatan.

Asalnya hati diciptakan Allah adalah baik. Fitrahnya semula jadi meminati dan mencintai yang baik dan membenci yang tidak baik. Tetapi manusia mempunyai musuh yang sangat pandai dan sangat berdendam kepadanya. Itulah Iblis yang telah bersumpah di hadapan Allah untuk menyesatkan manusia. Iblis sentiasa menggoda, membujuk rayu untuk membalut fitrah suci manusia dengan balutan hawa nafsu, syahwat, tamak, cinta dunia dan sebagainya. Iblis tidak akan berputus asa daripada matlamatnya memesongkan manusia.

Oleh itu Iblis masuk ke dalam hati seseorang, membisikkan kesenangan dan kebahagiaan dunia. Sedikit demi sedikit ditiupkan semagat nafsu dan syahwat, dan apabila manusia terdorong dan mengikut hawa nafsu lalu mengerjakan maksiat, maka derhakalah ia kepada Allah swt, dan ketika itulah titik hitam terpalit di hatinya.

Seterusnya apabila dibiarkan kotoran mendap ke dalam hati dan lembaran fitrahpun menjadi kotor sehingga kotoran itu bertambah; lalu makin mudahlah Iblis menjalankan tugasnya. Apabila makin banyak titik-titik hitam dalam hati manusia; makin mudah dan makin seronok manusia itu melakukan kemaksiatan.

Sebagai ingatan, kita hendaklah sentiasa beristighfar (Memohon keampunan daripada Allah swt) dan bertaubat yakni sentiasa memperbaiki hati supaya titik-titik hitam tidak melekat di hati kita, insyaAllah. Mudah2an diterima oleh Allah. Amiin.

Sunday, February 7, 2010

Zikrullah


Bismillahirrahmanirrahim

Beberapa persoalan iaitu:

1. Ketika berzikir, apakah perlu bacaannya bertajwid? Apakah dimaksudkan dengan zikrullah, zikir qalbu, syir dan makrifatullah?

2. Bolehkah berzikir tanpa bertasbih?

3. Apakah rantai tasbih boleh dijadikan hiasan dalam kenderaan?

Jawapan:


APABILA kita hendak menggunakan bahasa Arab, kita perlu mengetahui kaedah atau peraturannya. Bahasa Arab ini mempunyai peraturan bahasa yang dikenali sebagai ilmu Nahu dan Saraf yang disusun oleh alim ulama. Jika kita tidak tahu atau mengenali ilmu berkenaan, dibimbangi kita sudah tersalah dalam menggunakan bahasa Arab. Begitu juga dengan bahasa lainnya termasuklah tatabahasa bagi bahasa Melayu.

Bagi mereka yang tidak mengenali peraturan bahasa Arab, sudah tentu kita tidak memahami manfaat ilmu berkenaan. Justeru dalam kita membaca al-Quran, kita perlu membaca mengikut hukum tajwid yang disusun oleh ulama supaya apa yang kita baca menepati maknanya. Jika tidak mengikuti tajwid, sudah tentu bacaan kita membawa makna berbeza dan membawa kepada laknat bagi pembacanya.

Dalam tajwid ada panjang, pendek, dengung dan seumpamanya perlu dibaca supaya bacaan itu menepati makna dan maksud seperti diturunkan kepada junjungan kita Nabi Muhammad SAW. Justeru mempelajari ilmu tajwid juga suatu fardhu supaya apa yang kita baca itu dinilai sebagai pahala ibadat seperti dinyatakan kata al-Imam Ibn Jazari yang bermaksud: "Dan mengambil bacaan al-Quran dengan tajwid itu adalah wajib. Dan barang siapa tidak mentajwidkan al-Quran itu adalah berdosa kerana dengan tajwid itu, Allah SWT menurunkan al-Quran. Dan demikian pula sampainya al-Quran itu kepada kita daripada-Nya."
Begitu juga zikir yang disebut dalam bahasa Arab, sama ada bertasbih, bertahmid, bertakbir, bertahlil atau seumpamanya hendaklah dibaca atau disebut dengan betul supaya ia menepati maknanya. Saya tidak jelas maksud saudara berzikir tanpa bertasbih. Mungkin maksud saudara berzikir tanpa membilang dengan rantai tasbih kerana bertasbih itu termasuk dalam zikir.

Zikir bukan saja menyebut tasbih (Subhanallah), tahmid (Alhamdulillah), takbir (Allahuakbar) dan seumpamanya. Justeru, konteks berzikir ini luas dalam rangka mengingati Allah SWT. ALLAH SWT ada berfirman pada surah 'Ali Imran ayat 190 hingga 191:

"Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah SWT) bagi orang-orang berakal. (Iaitu) orang-orang yang sentiasa berzikir kepada Allah (mengingati Allah) semasa mereka berdiri, dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan pula tentang kejadian langit dan bumi (sambil menyebut): Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, (dan bertasbih menyebut) Subhanallah (Maha suci Allah), maka peliharalah kami dari azab neraka."

Seperti saya katakan tadi, maksud zikrullah adalah luas. Saya ingin bawakan definisi zikrullah yang disebut al-'Allamah Abi Zakaria, Yahya bin Syaraf an-Nawawi (seorang ulama besar mazhab as-Syafie) dalam kitab beliau al-Azkar (yang bermaksud): "Ketahuilah olehmu bahawa fadilat (keutamaan) zikir itu tidaklah terbatas pada tasbih, tahlil, tahmid, takbir dan seumpamanya saja. Bahkan setiap orang yang melakukan ketaatan, maka dia dinilai daripada orang yang berzikir kepada Allah Ta'ala. Demikianlah menurut Sa'id ibn Jubair dan ulama lain. Dan sudah berkata Atha': "Majlis zikir iaitu majlis (yang diambil peduli dan dibicarakan padanya mengenai) halal dan haram, bagaimana caranya kamu membeli, bagaimana caranya kamu menjual, bagaimana caranya kamu sembahyang, bagaimana caranya kamu berpuasa, bagaimana caranya kamu bernikah, bagaimana caranya kamu talak (cerai), bagaimana kamu melaksanakan haji dan seumpamanya.

Ada juga ulama yang memberi takrif zikrullah dalam cakupan luas iaitu tiap ketaatan kepada Allah SWT, zahir dan batin. Menurut Imam al-Wahidi di dalam tafsir al-Wasith, dengan sanadnya kepada Khalid bin Imran r.a, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda: Barang siapa yang mentaati Allah SWT maka sesungguhnya ia berzikir mengingati Allah SWT, walaupun sedikit solatnya, puasanya dan amal kebaikannya. Dan barang siapa yang bermaksiat (menderhakai) Allah SWT, maka sesungguhnya ia sudah melupakan-Nya sekalipun banyak solatnya, puasanya, pembacaan al-Qurannya dan amal kebaikannya.
Makrifatullah bermaksud mengenal Allah. Dalam ilmu aqidah, kita biasa bertemu dengan kata-kata "Awwaluddin makrifatullah" bermaksud pertama-tama dalam agama ialah mengenal Allah SWT. Menurut Sayid Sabiq, cara untuk makrifat kepada Allah dengan mengenal nama-nama-Nya yang mulia dan sifat-sifat-Nya yang tinggi. Juga kita dapat mengenal (makrifat) Allah SWT dengan bukti-bukti yang wujud atau ada-Nya serta kenyataan sifat keagungan-Nya dalam alam semesta atau di dunia ini. Orang yang makrifat kepada Allah SWT akan memancarkan pelbagai perasaan baik dalam jiwanya, dan dapat dibina semangat untuk menuju ke arah kebaikan. Makrifat ini dapat memberi didikan kepada hati untuk sentiasa menyelidik dan meneliti mana-mana salah dan tercela, malahan lahir kemahuan untuk mencari kemuliaan, keluhuran dan ketinggian budi dan akhlak sebaliknya juga menyuruh seseorang supaya menghindarkan dirinya dari perbuatan yang hina, rendah akhlak dan tidak berharga sedikit pun.

Bagi persoalan mengenai tasbih, biji tasbih yang digunakan sekarang mungkin belum dikenali lagi pada masa Baginda. Tetapi ada sahabat Nabi SAW menggunakan biji kurma sebagai alat menghitung bilangan bacaan mereka yang kemudian berkembang menjadi tasbih. Di samping itu tidak semua yang tidak dikerjakan Rasulullah SAW adalah terlarang. Sebelum menetapkan hukumnya, perlu dilihat dulu, apakah sebab dan motivasinya sehingga Baginda SAW tidak mengerjakannya. Penulisan semua ayat al-Quran dalam satu mashaf misalnya tidak dilakukan pada zaman Rasulullah kerana belum timbul keperluan untuk itu. Tetapi pada zaman Khalifah Abu Bakar r.a, bermulalah pengumpulan dan usaha membukukan al-Quran itu.

Mengenai perbuatan ramai yang menjadi rantai tasbih sebagai hiasan yang digantung dalam kenderaan, ini sebenarnya bergantung kepada individu itu sendiri. Jika diletakkan sebagai hiasan, tidak menjadi masalah kerana mungkin dengan melihat tasbih itu, hatinya terdorong untuk berzikir mengingati Allah SWT. Tetapi jika ia digantung dengan iktikad kepercayaan bahawa rantai tasbih itu mempunyai Ta'sir (memberi bekas), mempunyai tuah atau kekuatan yang dapat mengadakan, memberi manfaat dan mengelak daripada mudarat, maka orang yang berkeyakinan (beriktiqad) seperti ini sudah menjadi kufur. Ini kerana keyakinan atau kepercayaan itu timbul daripada tahyul, daripada ajaran yang bukan-bukan dan kurafat, yang wajib dijauhi setiap Muslimin. Wallahua'lam.

Oleh Ustaz Zahazan Hj Mohamed

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)