Wednesday, October 27, 2010

Pertunangan

Pertunangan adalah langkah permulaan kepada alam perkahwinan.

Pertunangan belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan. Adakalanya terputus di tengah jalan kerana enggan ada antara pasangan bertunang itu enggan meneruskan perkahwinan.

Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)

Ulama mencatatkan, antara kelebihan merahsiakan pertunangan ialah:

1) untuk membendung hasad dengki manusia lain.

2) untuk menjadikan mereka menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana mereka masih belum sah menjadi suami isteri.

Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya.

Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.

Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.

Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.

Tidak dinafikan ikatan pertunangan yang diamalkan oleh masyarakat Islam memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing. Mereka dapat berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.

Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan.

Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti.”

Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.

Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.

Simber : Berita Harian

Tuesday, October 26, 2010

Hukum Perempuan Haidh Ziarah Kubur

Oleh : Mufti Brunei

بسم الله ، والحمد لله ، والصلاة والسلام على رسول الله ، وعلى آله وصحبه ومن والاه

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)


Salah satu amalan yang sering dilakukan oleh masyarakat kita pada bulan Ramadhan dan pada Hari Raya Fitrah ialah berziarah kubur, sama ada yang diziarahi itu adalah kubur ibu bapa atau kaum kerabat. Berziarah itu pula diisi dengan membaca al-Qur’an yang pahalanya dihadiahkan kepada orang yang telah meninggal dunia.


Biasanya surah Yassin dan bertahlil merupakan bacaan pilihan masyarakat kita apabila berziarah kubur.


Berziarah kubur pula tidak hanya di bulan Ramadhan atau ketika Hari Raya sahaja, bahkan terdapat sesetengah keluarga yang menjadikannya rutin yang dilakukan seminggu sekali, sebulan sekali atau pada waktu-waktu yang dipersetujui oleh ahli keluarga yang difikirkan boleh berziarah beramai-ramai ke kubur.


Apa yang biasa dilihat, berbagai lapisan golongan ahli keluarga yang bukan sahaja terdiri daripada golongan lelaki dewasa, malahan kanak-kanak lelaki dan golongan perempuan juga beramai-ramai turut sama berziarah.


Senario golongan perempuan turut serta pergi berziarah ke kubur menimbulkan reaksi sesetengah pihak yang beranggapan bahawa perempuan tidak dibenarkan berziarah kubur, lebih-lebih lagi perempuan yang dalam haidh. Adakah betul anggapan sedemikian?


Hukum Berziarah Kubur


Terdapat perbezaan hukum berziarah kubur bagi lelaki dan perempuan.


1. Hukum berziarah bagi lelaki


Para ulama sepakat mengatakan bahawa sunat bagi lelaki menziarahi kubur orang-orang Islam berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallalahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya:

“Dahulu aku melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang) ziarahlah.”


(Hadits riwayat Muslim)


Menurut Imam asy-Syarwani Rahimahullah, ganti nama " كم " (kum) dalam larangan dan juga " زوروا " pada perintah dalam hadis di atas adalah ditujukan kepada kaum lelaki.


Orang-orang yang sunat diziarahi kuburnya itu pula ialah:


I. Kubur kedua ibu bapa, walaupun kubur keduanya bukan di negeri di tempatnya berada.


II. Kubur kaum keluarga terdekat atau sahabat-handai yang pada ketika hidup mereka sunat untuk diziarahi, begitu juga bila mereka meninggal dunia.


III. Kubur orang lain (yang bukan keluarga atau sahabat handai) dengan tujuan berziarah untuk mengingatkan kematian, memohon rahmat daripada Allah Subhanahu wa Ta‘ala untuknya atau sebagainya.


2. Hukum berziarah bagi perempuan


Keadaan perempuan berbeza dengan lelaki dari segi emosi dan perasaan. Perasaan mudah tersentuh dengan apa sahaja yang berlaku sering dikaitkan dengan mereka. Apabila seseorang yang dikenali meninggal dunia, lebih-lebih lagi jika orang tersebut adalah seseorang yang disayangi atau terlalu rapat dengannya selalunya membangkitkan perasaan emosi dan ada sesetengahnya tidak dapat membendung perasaan sehingga meraung-raung di depan mayat atau di tanah perekuburan.


Menurut pendapat jumhur ulama, hukum ziarah kubur bagi perempuan adalah makruh kerana ditakuti boleh mengundang fitnah atau ditakuti mereka menangis dengan mengeluarkan suara yang nyaring meratapi kepergian si mati.


Dalil yang menunjukkan bahawa hukum bagi perempuan menziarahi kubur adalah tidak haram berdasarkan beberapa hadits Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam seperti berikut:


1. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, katanya:

Maksudnya:

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam berjalan melintasi seorang perempuan yang sedang menangis di kubur anaknya, lalu Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Bertaqwalah engkau kepada Allah dan bersabarlah.”

(Hadits muttafaq ‘alaih)


Daripada hadits di atas dapat difahami bahawa menziarahi kubur bagi perempuan tidak dilarang. Ini kerana jika perbuatan tersebut dihukumkan haram, sudah tentunyalah Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam menegur ataupun melarang perempuan tersebut daripada menziarahi kubur.


2. Sayyidatuna ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam tentang doa yang boleh dibacanya apabila berziarah ke perkuburan. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:


Maksudnya:

“Katakanlah: “Mudah-mudahan Allah limpahkan keselamatan ke atas ahli kubur daripada orang-orang mukmin dan orang-orang Islam dan semoga Allah merahmati orang-orang terdahulu dari kalangan kami dan orang-orang yang terkemudian, dan sesungguhnya sekiranya kami diizinkan oleh Allah kami akan bertemu dengan kamu.”


(Hadits riwayat Muslim)


Hadits di atas adalah dalil yang menunjukkan bahawa tidak haram bagi perempuan berziarah kubur.


Namun perlu diingat, bahawa hukum berziarah kubur bagi perempuan ini bergantung pada tujuan dan keadaannya ketika berziarah. Hukum asalnya adalah makruh sekalipun tujuannya untuk mengambil iktibar, untuk mengingatkan kepada kematian, alam barzakh dan alam akhirat. Di samping itu, perempuan tersebut dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah, dapat menahan diri dari kesedihan atau dukacita yang bersangatan dan aman dari segala fitnah. Manakala apabila berlaku tujuan dan keadaan yang sebaliknya, maka hukum makruh tersebut akan bertukar kepada haram.


Menurut setengah ulama, jika tujuannya adalah untuk menimbulkan semula perasaan dukacita dan untuk meratapi si mati, maka adalah haram baginya menziarahi kubur. Begitu juga jika sekiranya perempuan tersebut tidak menjaga adab kesopanannya semasa berziarah, tidak aman dari segala fitnah atau seumpamanya, maka haram baginya menziarahi kubur.


Berbeza pula hukumnya menziarahi kubur Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam. Hukumnya adalah sunat bagi perempuan dan lelaki. Begitu juga menurut sebahagian ulama, sunat berziarah ke kubur para nabi, para ulama dan aulia.


Hukum Perempan Haidh Berziarah Kubur


Perempuan yang dalam haidh tidak ada halangan untuk berziarah kubur, kerana untuk berziarah kubur tidak disyaratkan suci daripada hadats kecil mahupun besar. Suci daripada hadats merupakan salah satu adab yang disunatkan sahaja kepada orang-orang yang ingin berziarah ke tanah perkuburan.


Oleh yang demikian, perempuan yang dalam haidh berziarah kubur dengan tujuan yang dibenarkan oleh syara‘ serta dapat menjaga adab kesopanan ketika berziarah dihukumkan makruh sebagaimana dengan hukum perempuan yang suci berziarah kubur.


Namun satu hal yang berbeza di antara perempuan yang suci dengan perempuan sedang haidh ketika di tanah perkuburan ialah dari segi keharusan membaca ayat-ayat al-Qur’an untuk si mati. Perlu diingat, perempuan yang dalam haidh haram membaca al- Qur’an walaupun hanya satu ayat daripada al-Qur’an. Maka memadailah baginya berzikir seperti bertahlil, bertasbih dan
sebagainya atau berdoa untuk si mati seperti memohon keampunan dan rahmat atau yang seumpamanya daripada Allah untuk si mati.


Secara umumnya, adab-adab yang perlu dijaga oleh perempuan yang menziarahi kubur sama ada yang dalam keadaan suci mahupun haidh ialah:


(1) Hendaklah dia ditemani oleh suaminya ataupun mahramnya.


(2) Keluar dalam keadaan menutup aurat sepenuhnya sepertimana yang telah digariskan oleh Islam.


(3) Jangan selalu pergi berziarah ke kubur.


(4) Tidak berbual dengan percakapan kosong sebagaimana yang dilarang ke atas kaum lelaki, kerana Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda dalam hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah Radhiallahu ‘anhu:


Maksudnya:

“(Dahulu) aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka (sekarang), siapa yang ingin menziarahi kubur, berziarahlah, dan janganlah kamu bercakap-cakap dengan perkataan yang tidak baik.”

(Hadis riwayat an-Nasa’ie)


Perlu diambil perhatian juga, hukum yang membenarkan perempuan berziarah kubur ini adalah tertakluk bila adanya keizinan daripada suami atau wali. Sekiranya tiada keizinan daripada suami atau wali, tidaklah perempuan itu dibenarkan untuk berziarah kubur.


Kesimpulannya, perempuan yang dalam haidh tidak dilarang menziarahi kubur kerana secara umumnya hukum berziarah bagi perempuan itu adalah makruh dengan ada syarat-syarat yang perlu dijaganya iaitu dari segi tujuan dan adab berziarah. Di samping itu, jika dia turut sama berziarah ke perkuburan bersama ahli keluarga yang lain, dia hendaklah berhati-hati agar tidak turut sama dengan yang lainnya membaca ayat-ayat al-Qur’an seperti Yassin dan yang seumpamanya kerana haram baginya melakukan yang demikian dengan keadaannya di dalam haidh itu.

Penjagaan Kesihatan - mengamalkan gaya hidup sihat

Artikel ini disalin daripada majalah iluvislam bertajuk Rahsia Awet muda. Anda tidak boleh mengurangkan umur tetapi boleh melakukan sesuatu terhadap umur biologi anda. Anda boleh memiliki anatomi, fisiologi dan sistem biokimia seorang yang berumur 30-an ketika anda berumur 60-an atau 80-an.

Kehidupan jenis mana yang anda akan pilih jika diberi dua pilihan berikut?

Pilihan pertama - umur pendek dengan tahap kesihatan yang baik dari awal hingga akhir.

Atau

Pilihan kedua - umur panjang tetapi mengalami pelbagai penyakit selama bertahun-tahun.

Kedua-dua pilihan di atas tiada kena mengena dengan mahu memilih untuk meninggal dunia awal atau membunuh diri semata-mata untuk mengelakkan diri dari mengalami penyakit.

Tiada siapa juga yang suka dengan idea hidup lama tetapi mengalami sakit jantung, kegagalan buah pinggang dan organ lain atau lumpuh berpunca daripada strok. Apatah lagi penyakit yang melibatkan tulang belakang, kanser dan penyakit-penyakit lain yang boleh dicegah tetapi sukar dirawat.

Pendek kata tiada siapa yang mahu mati ketika usia muda. Tiada siapa juga yang mahu hidup lama tetapi mengalami keadaan kesihatan yang mengganggu fizikal, tidak membahagiakan emosi serta menggugat keutuhan rohani.

Umur Biologi Muda

Kepada anda yang memilih salah satu kategori ini, saya bawa berita gembira untuk anda. Anda boleh hidup dalam keadaan fizikal dan emosi muda walau pun ketika usia tua.

Caranya ialah dengan melambatkan proses penuaan dan bebas daripada penyakit.

Dengan lain perkataan, sungguhpun anda tidak boleh mengurangkan umur, anda boleh melakukan sesuatu terhadap umur biologi anda.

Anda boleh memiliki anatomi, fisiologi dan sistem biokimia seorang yang berumur 30-an ketika anda berumur 60-an atau 80-an.

Anda kata ia mustahil?

Kalau begitu mungkin anda tidak pernah melihat seorang lelaki berumur 90 memanjat pokok. Anda masih lagi bergantung kepada logik matematik sambil terpinga-pinga mengira kekuatan otot, tendon, ligamen, dan sendi yang dimiliki oleh orang tua ini.

Bagaimanakah cara untuk mengurangkan proses penuaan?

Kajian-kajian terkini menemui mekanisme-mekanisme biologi yang bertanggung jawab terhadap penuaan yang menjadi punca kepada masalah-masalah kesihatan termasuk pembentukan penyakit degeneratif. Melalui hasil kajian tersebut, pakar-pakar penjagaan kesihatan holistik membuat kesimpulan bahawa proses penuaan boleh diperlahankan dan penyakit boleh dicegah jika kita mengamalkan gaya hidup sihat secara holistik.

Mengamalkan gaya hidup holistik bukan sahaja membantu meningkatkan tahap kesihatan kepada yang optimum dan mencegah daripada penyakit, malahan ia dipercayai membantu memanjangkan umur. Selain itu amalan tersebut membantu seseorang supaya tidak perlu berulang alik ke klinik atau hospital.

Tip Awet Muda Dan Cegah

Penyakit:

1. Dapatkan seberapa banyak ilmu tentang pencegahan penyakit daripada pakar. Ia boleh didapati dengan membaca buku-buku dan artikel karangan mereka atau menghadiri seminar dan bengkel mereka.

2. Makan menurut jenis metabolisme.

Tiga jenis metabolisme:

Pertama yang boleh makan makanan berlemak pada paras tinggi dan kurang sayur- sayuran serta buah- buahan terutama yang masam.

Kedua ialah jenis yang boleh makan sayuran-sayuran dan kebanyakan jenis buah-buahan termasuk jenis masam tetapi kena kurangkan lemak.

Ketiga ialah mereka yang boleh makan daripada kedua-kedua jenis makanan yang disebutkan.

3. Pulihara k seimbangan organ sistem daripada segi kesihatan dan fungsinya. Kurang atau elakkan mengambil makanan yang menjejaskan organ sistem seperti makanan bergoreng secara terendam lama, makanan terproses, lelemak terhidrogenasi, merokok, minum alkohol, makan secara berlebihan.

Elakkan makanan berkarbohidrat terproses kerana ia menyebabkan ketagihan serta pelbagai jenis penyakit serta simptom. Makan sayur-sayuran dan buah-buahan daripada pelbagai jenis. Elakkan makan makanan yang menyebabkan kesensitifan kepada sistem pencernaan dan usus. Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan kesihatan memerlukan sahaja. Gunakan garam gunung Himalaya dalam masakan harian. Minum air mineral 6-8 gelas sehari.

4. Ambil ubat-ubatan moden ketika keadaan kesihatan memerlukan sahaja. Meningkatkan pengetahuan mengenai kaedah menjaga kesihatan diri sendiri termasuk berkaitan keberkesanan pemakanan termasuk ubatan herba dan suplemen boleh menguntungkan anda.

Sunday, October 24, 2010

Fiqh Awlawiyyah


Bismillahirrahmanirrahim.

Tadi sempat dengar Kuliah Ustaz Kazim tentang Mudahnya Islam di Kuliyah.net

Tajuknya : Fiqh Awlawiyyah (fiqh keutamaan).

Fiqh Awlawiyyah (fiqh keutamaan) ialah mengutamakan amal ibadat yang lebih bermanfaat, kena faham, kena tahu mana yang perlu didahulukan antara beli rumah dengan kereta, antara bayar hutang dengan hantar anak ke Mesir, antara nak berubat dulu atau ke Mekah mengerjakan haji, antara nak buat baik kepada ibu bapa ke atau nak ikut cakap isteri . Dalam keadaan sekarang ramai yang tak tahu nak buat yang mana. Bila tak tahu jadilah tersalah pilih. Jadi kita wajib belajar bab fiqh awlawiyyah.

Hadis Nabi "Keutamaan ilmu lebih aku suka daripada keutamaan ibadah dan sebaik-baik agamamu adalah sifat warak yakni menjaga diri daripada dosa".

Mana lebih afdhal ilmu atau ibadah? Sebab ada orang beribadat ketika imam sedang membaca khutbah, imam baca khutbah dia berzikir . Ada orang, ustaz sedang mengajar dia baca al-Quran, dia tak masuk dalam dewan dengar kuliah. Ini namanya orang yang tidak mengerti tentang fiqh keutamaan. Mengikuti kuliah sebenarnya lebih utama daripada mengaji al-Quran pada ketika itu, tetapi disebabkan kekurangan ilmu orang itu tersalah pilih kerana dia menganggap membaca al-Quran lebih baik daripada menyertai majlis ilmu. Dia juga menganggap berzikir beribu-ribu kali lebih baik daripada mendengar khutbah. Ini adalah perbuatan yang salah

Gagal memilih keutamaan menyebabkan ramai yang tersilap mengatur kehidupan. Ramai di kalangan kita tidak tahu memilih mana yang lebih penting. Kegagalan ini bukan saja berlaku di kalangan kita orang biasa malah turut berlaku di kalangan pemimpin dan mereka yang berkuasa.

Gagal memilih keutamaan juga menyebabkan ramai orang berkali-kali mengerjakan umrah, sedangkan dia belum lagi mengerjakan Haji. Ada pula yang mengerjakan Haji dan Umrah berkali-kali namun pada masa yang sama ramai yang memerlukan bantuan kewangan untuk melanjutkan pelajaran, ada surau dan masjid yang perlu diperbaiki, ada jirannya yang mengalami musibah, ada anak-anak yatim yang memerlukan bantuan dan pelbagai lagi. Apa yang sepatutnay mereka ialah wang yang digunakan untuk ke Tanah Suci itu tersebut dihulurkan kepada yang memerlukan. Ini sudah tentu ganjarannya lebih besar dan berterusan walaupun kita telah mati.

Jadi disebabkan kita kekurangan ilmu maka kita tersalah pilih. Untuk itu kita perlu banyak belajar.

Dunia Yang Memperdaya


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Apakah persepsi kita tentang kehidupan dunia dan segala yang ada di dalamnya? Dalam al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menyebut tentang dunia.

Allah berfirman:

"Ketahuilah bahawa (yang dikatakan) kehidupan dunia itu tidak lain hanyalah (bawaan hidup yang berupa semata-mata) permainan dan hiburan (yang melalaikan) serta perhiasan (yang mengurang), juga (bawaan hidup yang bertujuan) bermegah-megah di antara kamu (dengan kelebihan, kekuatan dan bangsa keturunan) serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak; (semuanya itu terhad waktunya) samalah seperti hujan yang (menumbuhkan tanaman yang menghijau subur) menjadikan penanamnya suka dan tertarik hati kepada kesuburannya, kemudian tanaman itu bergerak segar (ke suatu masa yang tertentu), selepas itu engkau melihatnya berupa kuning; Akhirnya ia menjadi hancur bersepai dan (hendaklah diketahui lagi, bahawa) di akhirat ada azab yang berat (di sediakan bagi golongan yang hanya mengutamakan kehidupan dunia itu) dan (ada pula) keampunan besar serta keredaan dari Allah (disediakan bagi orang-orang yang mengutamakan akhirat) dan (ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya. (20)". (al-Hadid [57] : 20);


"Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada hari kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari Neraka dan dimasukkan ke Syurga maka sesungguhnya dia telah berjaya dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya". ( Ali Imran [ 3 ] : 185).


"Katakanlah (wahai Muhammad): Harta benda yang menjadi kesenangan di dunia ini adalah sedikit sahaja, (dan akhirnya akan lenyap) dan (balasan) hari akhirat itu lebih baik lagi bagi orang-orang yang bertakwa (kerana ia lebih mewah dan kekal selama-lamanya) dan kamu pula tidak akan dianiaya sedikit pun." (an-Nisaa' 77)

"Dan kemukakanlah kepada mereka misal perbandingan: Kehidupan dunia ini samalah seperti air yang Kami turunkan dari langit, lalu bercampur aduklah tanaman di bumi antara satu sama lain (dan kembang suburlah ia) disebabkan air itu; kemudian menjadilah ia kering hancur ditiup angin dan (ingatlah) adalah Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu". (al-Kahfi [18] : 45)


"Sesungguhnya orang-orang yang tidak menaruh ingatan akan menemui Kami (pada hari akhirat untuk menerima balasan) dan yang redha (berpuas hati) dengan kehidupan dunia semata-mata serta merasa tenang tenteram dengannya dan orang-orang yang tidak mengindahkan ayat-ayat (keterangan dan tanda-tanda kekuasasaan) Kami. Mereka yang demikian keadaannya (di dunia), tempat kediaman mereka (di akhirat) ialah Neraka; disebabkan keingkaran dan kederhakaan yang mereka telah lakukan". (Yunus [10] : 8)


"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" (al-An'am [6] : 32)

"(Ingatlah) bahawa kehidupan dunia (yang tidak berdasarkan iman dan takwa) hanyalah ibarat permainan dan hiburan dan jika kamu beriman serta bertakwa, Allah akan memberikan kamu pahala amal kamu dan Dia tidak meminta kepada kamu harta benda kamu (melainkan untuk memberikan kamu barang yang lebih baik daripadanya)". (Muhammad [47] :36)

Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikit jua berbanding dengan (kesenangan hidup) di akhirat kelak. (at-Taubah [9] : 38)

Rasulullah SAW telah memberikan panduan kepada orang-orang yang beriman dalam menghadapi kehidupan mereka di dunia: "Jadilah kamu di dunia seperti orang asing atau musafir." (H.R. Bukhari). Baginda bukan hanya memberi perintah, bahkan baginda juga menunjukkan contoh teladan kepada umatnya bagaimana cara hidup di dunia. Setiap langkah kehidupan baginda sentiasa mengharapkan keredhaan Allah.


Suatu ketika Ibnu Mas'ud r.a. melihat Rasulullah tidur di atas tikar yang lusuh hingga pola anyaman tikar itu membekas di pipinya. Lalu Ibnu Mas'ud menawarkan kepada beliau sebuah kasur. Apa jawaban rasul? "Untuk apa dunia itu! Hubungan saya dengan dunia seperti pengembara yang berehat sejenak di bawah pohon, lalu pergi dan meninggalkannya." (HR Tirmidzi).


Contoh-contoh kehidupan sederhana dan bersahaja seperti yang dilakukan oleh Rasulullah saw dan para sahabatnya sudah jarang kita temui ketika ini. Sebahagian besar umat Islam telah terjebak dan terlena oleh manisnya tipu daya dunia, rakus terhadap kehidupan dunia bahkan ada yang sanggup melakukan pelbagai cara bagi mendapatkan harta kekayaan yang sebenarnya hanya bersifat sementara. Perkara seperti ini sama seperti apa yang dilakukan oleh orang-orang kafir sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah SWT:


"Sesungguhnya Allah akan memasukkan orang-orang yang beriman serta mengerjakan amal-amal yang soleh ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; dan (sebaliknya) orang-orang yang kafir menikmati kesenangan di dunia serta mereka makan minum sebagaimana binatang-binatang ternak makan minum, sedang Nerakalah menjadi tempat tinggal mereka". (Muhammad [47] : 12)


"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan dunia ini (meliputi segala kesenangan dan kemewahannya, jika dinilaikan dengan kehidupan akhirat) tidak lain hanyalah ibarat hiburan dan permainan dan sesungguhnya negeri akhirat itu ialah kehidupan yang sebenar-benarnya; kalaulah mereka mengetahui (hakikat ini tentulah mereka tidak akan melupakan hari akhirat)". (al-'Ankabut [29] : 64)

"Wahai umat manusia, sesungguhnya janji Allah (membalas amal kamu) adalah benar; maka janganlah kamu diperdayakan oleh kemewahan hidup di dunia dan janganlah Syaitan yang menjadi sebesar-besar penipu itu berpeluang menyebabkan kamu terpedaya dengan (kemurahan) Allah (lalu kamu lalai dan menderhaka)." (Fathir [35] : 5)


Bukanlah tidak boleh mengambil dunia, ambillah sebanyak mungkin, tetapi untuk keperluan diri dan keluarga ambillah sekadar keperluan. Selebihnya hendaklah digunakan untuk membangun agama Allah dan mencari keredhaanNya. Contoh, kita makan sekadar mendapat tenaga untuk memperoleh kekuatan untuk beribadah kepada Allah dan bekerja untuk menegakkkan kalimah Allah, untuk kepentingan Islam lebih daripada kepentingan peribadi.


Jika ada harta, laburkanlah ke jalan Allah. Jika ada kekuasaan hendaklah gunakan untuk menegakkan ajaran Allah. Hentikanlah usaha mencari kekayaan dan ketinggian pangkat di dunia semata-mata untuk keseronokan di dunia. Lakukanlah untuk agama Allah dan untuk akhirat. Alllah berfirman :

"Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik)"; (As-Syu'ara [26 ] : 88 - 89)

Mintalah petunjuk atau bimbingan Allah agar kita menjadi seorang zahid yang berilmu yang menolak dunia kerana Allah, contohilah para rasul, nabi dan para sahabat serta orang-orang salih yang zuhud terhadap dunia, Mereka mengambil sebahagian sahaja daripada dunia, selebihnya diberikan kepada orang yang memerlukan atau disumbangkan ke jalan Allah.


Dunia jika diburu ia akan lari, tetapi jika ditinggalkan ia akan datang. Orang-orang yang meninggalkan dunia sebaliknya menumpukan perhatiannya kepada Allah dan hari akhirat insyaAllah rezekinya akan murah. Dia akan hidup tenang tanpa bersusah payah serta bimbang untuk mengumpul harta atau mencari nama.


Cuba lihat orang yang bertungkus lumus berusaha mencari dunia, walaupun hartanya bertimbun, namanya masyhur tetapi jiwanya belum tentu tenang.


Orang-orang yang berusaha untuk akhirat mereka akan bahagia di dunia lebih-lebih lagi di akhirat. Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Sesungguhnya Allah suka memberi keduniaan dengan sebab amalan akhirat tetapi kalau amalnya khusus untuk dunia maka tidak akan diberi di akhirat".

Rujukan : Pelbagai

Monday, October 18, 2010

Rahsia Kejadian Manusia








Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Allah SWT menerangkan di dalam kitab suci al-Quran, Proses kejadian manusia mempunyai beberapa peringkat iaitu :

PERINGKAT PERTAMA :

NUTFAH : iaitu peringkat pertama bermula selepas persenyawaan atau minggu pertama. Ianya bermula setelah berlakunya percampuran air mani. Sebagaimana firman Allah dalam surah al-Insaan : 2 yang bermaksud :

"Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia daripada setitis air mani yang bercampur yang Kami (hendak mengujinya dengan perintah dan larangan), kerana itu Kami jadikan dia mendengar dan melihat”

Menurut Ibn Jurair al-Tabari, asal perkataan nutfah ialah nutf ertinya air yang sedikit yang terdapat di dalam sesuatu bekas sama ada telaga, tabung dan sebagainya manakala perkataan amsyaj berasal daripada perkataan masyj yang bererti percampuran.

Berasaskan kepada makna perkataan tersebut maksud ayat di atas ialah sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan manusia daripada air mani lelaki (sperma) dan air mani (ovum) perempuan.

Daripada nutfah inilah Allah menciptakan anggota-anggota yang berlainan, tingkahlaku yang berbeza serta menjadikan lelaki dan perempuan. Daripada nutfah lelaki akan terbentuknya saraf, tulang dan fakulti , manakala dari nutfah perempuan akan terbentuknya darah dan daging.

PERINGKAT KEDUA :

‘ALAQAH : Peringkat pembentukan 'alaqah ialah pada hujung minggu pertama (hari ketujuh) . Pada hari yang ketujuh telur yang sudah disenyawakan itu akan tertanam di dinding rahim (qarar makin). Selepas itu Kami mengubah nutfah menjadi 'alaqah. Firman Allah SWT yang bermaksud :

"Kemudian Kami mengubah nutfah menjadi 'alaqah”. Surah al-Mukminun : 14

Kebanyakan ahli tafsir menafsirkan 'alaqah dengan makna segumpal darah. Ini mungkin dibuat berasaskan pandangan mata kasar. 'Alaqah sebenarnya suatu benda yang amat seni yang diliputi oleh darah. Selain itu 'alaqah mempunyai beberapa maksud :

  • Sesuatu yang bergantung atau melekat seperti pacat atau lintah
  • Suatu buku atau ketulan darah

Peringkat 'alaqah adalah peringkat pada minggu pertama hingga minggu ketiga di dalam rahim.

PERINGKAT KETIGA :

MUDGHAH : Pembentukan mudghah dikatakan berlaku pada minggu keempat. Perkataan mudghah disebut sebanyak dua kali di dalam al-Quran iaitu surah al-Hajj ayat 5 dan surah al-Mukminun ayat 14.

Firman Allah yang bermaksud :

“lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging”. Surah al-Mukminun : 14
Pada peringkat ini sudah berlaku pembentukan otak, saraf tunjang, telinga dan anggota-anggota yang lain. Selain itu sistem pernafasan bayi sudah terbentuk. Vilus yang tertanam di dalam otot-otot ibu kini mempunyai saluran darahnya sendiri. Jantung bayi pula mula berdengup. Untuk perkembangan seterusnya, darah mula mengalir dengan lebih banyak lagi ke situ bagi membekalkan oksigen dan pemakanan yang secukupnya. Menjelang tujuh minggu sistem pernafasan bayi mula berfungsi sendiri.

PERINGKAT KEEMPAT :

'IZHAM DAN LAHM : Pada peringkat ini iaitu minggu kelima, keenam dan ketujuh ialah peringkat pembentukan tulang yang mendahului pembentukan otot-otot. Apabila tulang belulang telah dibentuk, otot-otot akan membungkus rangka tersebut. Firman Allah SWT di dalam Surah al-Mukminun : 14 yang bermaksud :

“Lalu Kami mengubahkan pula mudghah itu menjadi 'izham dan kemudiannya Kami membalutkan 'izham dengan daging”
Kemudian pada minggu ketujuh terbentuk pula satu sistem yang kompleks. Pada tahap ini perut dan usus, seluruh saraf, otak dan tulang belakang mula terbentuk. Serentak dengan itu sistem pernafasan dan saluran pernafasan dari mulut ke hidung dan juga ke paru-paru mula kelihatan. Begitu juga dengan organ pembiakan, kalenjar, hati, buah pinggang, pundi air kencing dan lain-lain terbentuk dengan lebih sempurna lagi. Kaki dan tangan juga mula tumbuh. Begitu juga mata, telinga dan mulut semakin sempurna. Pada minggu kelapan semuanya telah sempurna dan lengkap.

PERINGKAT KELIMA :

NASY’AH KHALQAN AKHAR : Pada peringkat ini iaitu menjelang minggu kelapan , beberapa perubahan lagi berlaku. Perubahan pada tahap ini bukan lagi embryo tetapi sudah masuk ke peringkat janin. Pada bulan ketiga, semua tulang janin telah terbentuk dengan sempurnanya Kuku-kukunya pun mula tumbuh. Pada bulan keempat, pembentukan uri menjadi cukup lengkap menyebabkan baki pranatal bayi dalam kandungan hanya untuk menyempurnakan semua anggota yang sudah wujud. Walaupun perubahan tetap berlaku tetapi perubahannya hanya pada ukuran bayi sahaja

PERINGKAT KEENAM :

NAFKHUR-RUH : Iaitu peringkat peniupan roh. Para ulama' Islam menyatakan bilakah roh ditiupkan ke dalam jasad yang sedang berkembang? Mereka hanya sepakat mengatakan peniupan roh ini berlaku selepas empat puluh hari dan selepas terbentuknya organ-organ tubuh termasuklah organ seks. Nilai kehidupan mereka telah pun bermula sejak di alam rahim lagi. Ketika di alam rahim perkembangan mereka bukanlah proses perkembangan fizikal semata-mata tetapi telahpun mempunyai hubungan dengan Allah SWT melalui ikatan kesaksian sebagaimana yang disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran surah al-A’raf : 172.

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Dia bertanya dengan firmanNya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini." (al-a'raaf [7] : 172)

Dengan ini entiti roh dan jasad saling bantu membantu untuk meningkatkan martabat dan kejadian insan disisi Allah SWT.

Dalam surah Al-Hajj ayat 5, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud:

"Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak (ragu-ragu) tentang kebangkitan makhluk (hidup semula pada hari kiamat), maka (perhatilah kepada tingkatan kejadian manusia) kerana sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan;(Kami jadikan secara yang demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami); dan Kami pula menetapkan dalam kandungan rahim (ibu yang mengandung itu) apa yang Kami rancangkan hingga ke suatu masa yang ditentukan lahirnya; kemudian Kami mengeluarkan kamu berupa kanak-kanak; kemudian (kamu dipelihara) hingga sampai ke peringkat umur dewasa; dan (dalam pada itu) ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau semasa dewasa) dan ada pula yang dilanjutkan umurnya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi); Engkau melihat bumi itu kering, kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bergeraklah tanahnya (dengan tumbuh-tumbuhan yang merecup tumbuh), dan gembur membusutlah ia, serta ia pula menumbuhkan berjenis-jenis tanaman yang indah permai".

Sumber Rujukan : Rahsia Kejadian Manusia Menurut Al-Quran

Gambar istimewa yang sangat luar biasa yang dirakam oleh Lennart Nilsson. Sila lihat hasil kerja beliau yang lain di dalam webnya.









































Friday, October 15, 2010

Hukum Berkaitan Kematian

07 Zulkaedah 1431 H
Oleh: Ustaz Ibrahim Mohd Raja Al-Maniri

إِذَا حَضَرْتُمُ الْمَرِيْضَ أَوِ الْمَيِّتَ فَقُوْلُوْا خَيْرًا فَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ يُؤَمِّنُوْنَ عَلَى مَا تَقُوْلُوْنَ

Maksudnya: Apabila kamu menghadiri (ziarah) orang sakit atau orang mati maka ucapkan ucapan yang baik kerana para malaikat mengaminkan atas apa yang kamu ucapkan.

Peluang berdoa memohon rahmat serta keampunan untuk si mati ini banyak disia-siakan oleh penziarah dan bahkan oleh keluarga si mati sendiri. Sedangkan Allah memerintahkan kita supaya berbuat demikian sepanjang masa lebih-lebih lagi dalam keadaan menghadapi kematian. Firman Allah SWT di dalam Surah Muhammad ayat 19:

فَاعْلَمْ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَاسْتَغْفِرْ لِذَنبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya: Dan mohonlah keampunan bagi dosa kamu dan dosa orang-orang beriman lelaki dan perempuan.

Malangnya mereka begitu sibuk dengan “acara-acara” yang telah di susun dan diaturacarakan oleh adat dan amalan yang tidak thabit dari sunnah Nabi Muhammad SAW. Sedangkan kalau di lihat dari keterangan-keterangan yang bersumber dari sunnah Nabi Muhammad SAW apabila terjadi kematian maka doa dari orang yang hidup amat ditekankan. Kita dapat lihat secara jelas perkara ini bermula dari:

Selepas mati (seperti hadith di atas)
Dalam solat jenazah
Di kubur selepas dikebumikan
Oleh itu setiap penziarah dan juga keluarga si mati hendaklah memberi perhatian yang besar tentang perkara ini.

Janganlah disia-siakan peluang berdoa dalam keadaan yang begitu penting ini, lebih-lebih lagi doa tersebut diaminkan oleh para malaikat. Inilah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW semasa menziarahi jenazah Abu Salamah RA melalui doa yang diriwayatkan oleh Ahmad, Muslim, Abu Daud:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ ِلأَبِيْ سَلَمَةَ وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ فِي الْمَهْدِيِّيْنَ وَاخْلُفْهُ فِي عَقِبِهِ فِي الْغَابِرِيْنَ وَاغْفِرْ لَنَا وَلَهُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ وَافْسَحْ لَهُ فِي قَبْرِهِ وَنَوِّرْ لَهُ فِيْهِ

Maksudnya: Ya Allah berilah keampunan untuk Abu Salamah, angkatlah darjatnya di dalam golongan orang-orang yang mendapat petunjuk, kurniakanlah gantinya untuk orang yang ditinggalkannya, berilah keampunan untuk kami dan untuknya wahai Tuhan semesta alam dan lapangkanlah kubur untuknya serta penuhilah cahaya didalamnya.

Keterangan: Bagi sesiapa yang ingin berdoa dengan doa ini ketika menziarahi si mati, maka tukarkan tempat nama Abu Salamah itu dengan nama si mati. Sebagai contoh si mati bernama Muhammad:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِمُحَمَّد وَارْفَعْ دَرَجَتَهُ……………….

Sekiranya penziarah atau keluarga si mati ingin menambah dengan doa yang lain maka boleh di pilih doa-doa yang berkisar kepada pengampunan dosa, memohon rahmat, dijauhkan azab kubur dan neraka, masuk syurga dan lain-lain.

Kemudian kita juga dapat melihat dalam suasana kematian ini ramai yang duduk di sekeliling jenazah sambil membaca Al-Quran atau surah-surah tertentu yang ditujukan bacaan tersebut untuk simati.

Persoalannya adakah bacaan tersebut sampai kepada si mati? Di sisi Imam As-Syafie tidak sampai pahala bacaan Al-Quran dari orang hidup untuk orang yang telah mati. Berkata Imam An-Nawawi di dalam kitabnya Syarah Soheh Muslim (Jilid 4 mukasurat 98 cetakan Darul Hadith, Al-Qaherah-cetakan pertama 1994):

“Dan yang masyhur di dalam mazhab kami (As-Syafie) bahawa membaca Al-Quran (untuk simati) tidak sampai pahalanya”.

Ini berbeza sekiranya Al-Quran itu di baca oleh anak si mati kerana setiap amalan kebajikan yang dikerjakan oleh anak pasti diperolehi pahalanya oleh ibu dan bapa walaupun tidak diniatkan untuk kedua-duanya.

Sampaiya pahala setiap amalan kebajikan anak kepada kepada kedua-dua ibubapanya berdasarkan kepada “anak merupakan hasil dari usaha ibubapa”. Sabda Nabi SAW tentang perkara ini di dalam hadith riwayat Ahmad, Al-Bukhari (di dalam kitabnya At-Tarikh Al-Kabir), Abu Daud, An-Nasai, Ibnu Majah:

إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَإِنَّ وَلَدَهُ مِنْ كَسْبِهِ

Maksudnya: Sesungguhnya apa yang paling baik dimakan oleh seseorang ialah dari hasil usahanya dan sesungguhnya anak adalah dari hasil usahanya.

Tapi yang malangnya dalam masyarakat kita ialah anak tidak berperanan ketika dalam keadaan ini. Urusan yang penting ini di serah dan diharapkan bulat-bulat kepada orang lain.

Dimanakah silapnya. Adakah si anak malu atau tergagap-gagap atau lebih buruk lagi tidak pandai membaca Al-Quran? Oleh itu kepada sesiapa yang bergelar ibubapa janganlah di beri dunia semata-mata kepada anak-anak, berikan sama (atau lebih) agama kepada mereka kerana faedahnya adalah untuk ibubapa juga, bukan untuk orang lain.

Kesembilan: Menyediakan makanan untuk keluarga si mati oleh jiran-jiran. Ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat As-Syafie, Ahmad, Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ad-Daruquthni, Al-Baihaqi ketika datang perkhabaran kematian Ja’far bin Abi Thalib yang syahid pada Peperangan Mu’tah:

اصْنَعُوْا ِلآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا فَقَدْ أَتَاهُمْ أَمْرٌ يَشْغَلُهُمْ

Maksudnya: Buatlah makanan untuk keluarga Ja’far kerana sesungguhnya telah menimpa mereka suatu perkara yang menyusahkan mereka.

Berkata Imam As-Syafie di dalam kitabnya Al-Umm (Jilid 2 mukasurat 635 cetakan Darul Wafa’, cetakan pertama 2001) mengenai perkara ini:

“Aku menyukai bagi jiran si mati atau kerabatnya membuat untuk keluarga si mati pada hari kematiannya dan sebelah malamnya makanan yang mengeyangkan mereka kerana sesungguhnya yang demikian itu adalah sunnah. Dan ia adalah satu tanda ingatan yang mulia di mana ia merupakan sebahagian dari perbuatan ahli kebaikan sebelum dan selepas kita”.

Inilah sunnah yang di ajar oleh Nabi Muhammad SAW dan juga sebagaimana yang di sebut oleh Imam As-Syafie di atas. Semestinya bagi keluarga si mati tidak menyibuk dan menyusahkan diri mereka menyediakan makan

apa lagi menjemput orang ramai ke rumah pada malam-malam tertentu kemudian menyediakan makanan untuk jemputan yang hadir. Berkata Dr. Wahbah Az-Zuhaily di dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami Wa Adillatuh (Jilid 2 mukasurat 549-550 cetakan Dar Al-Fikr, cetakan kedua 1989):

“Adapun ahli keluarga si mati membuat makanan kepada orang ramai maka ia adalah makruh dan bid’ah yang tiada asal baginya (dari Nabi SAW).

Perbuatan sedemikian menambahkan lagi atas musibah mereka serta menyusahkan mereka atas kesusahan yang telah menimpa mereka dan menyerupai perbuatan ahli jahiliyyah. Sekiranya ia melibatkan harta waris yang belum baligh maka haram disediakan makanan (tersebut)”.

Kemudian Dr. Wahbah Az-Zuhaily membawa satu riwayat daripada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW bernama Jarir bin Abdullah Al-Bajali RA dengan katanya:

كُنَّا نَرَى اْلإِجْتِمَاعَ إِلَى أَهْلِ الْمَيِّتِ وَصَنْعَةَ الطَّعَامِ مِنَ النِّيَاحَةِ

Maksudnya: Kami (sababat-sahabat Nabi Muhammad SAW) mengira bahawa berkumpul bersama keluarga si mati dan menyediakan makanan adalah termasuk dalam meratap.

Demikian juga di sebut di dalam Kitab Al-Fiqh Al-Manhaji ‘Ala Mazhab Al-Imam As-Syafie karangan Dr. Musthofa Al-Khin, Dr. Musthofa Al-Bugho dan Ali Al-Syarbaji (Juzuk 1 mukasurat 263 cetakan Darul Ulum Al-Insaniyyah, cetakan pertama 1989) dalam perkara ke 7 bid’ah jenazah:

“Keluarga si mati membuat makanan dan menghimpun orang ramai atasnya sebagaimana yang biasa dilakukan di zaman ini. Perbuatan ini adalah bid’ah yang bertentangan dan sangat menyalahi Sunnah”.

Sayugianya setiap orang yang cintakan Agama dan Sunnah Nabi Muhammad SAW menghindarkan diri dari melakukan perkara-perkara baru yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW atau sekurang-kurangnya oleh sahabat-sahabat Baginda SAW. Ini penting untuk memastikan supaya ketulenan Islam itu tetap terpelihara dan terhindar dari tokok tambah.

Kesepuluh: Ta’ziah (menyabar dan memberi kegembiraan kepada kaum kerabat si mati). Sabda Nabi Muhammad SAW di dalam hadith riwayat Ibnu Majah, Al-Baihaqi:

مَا مِنْ مُؤْمِنٍ يُعَزِّي أَخَاهُ بِمُصِيْبَةٍ إِلاَّ كَسَاهُ الله ُسُبْحَانَهُ مِنْ حُلَلِ اْلكَرَامَةِ يَوْمَ اْلقِيَامَةِ

Maksudnya: Mana-mana dari kalangan orang beriman yang memberi ta’ziah kepada saudaranya yang di timpa musibah nescaya Allah akan memakainya dengan pakaian kemuliaan pada Hari Qiamat.

Kemudian urusan jenazah seterusnya: di mandi, di kafan, di solat, dikebumikan.

Sumber : SINI

Kesan Zikir terhadap otak


Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain.

Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif.

Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut.

Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik.

Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif.

Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini.

Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993.

Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda.

Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan.

Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks.

Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.

Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama.

Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya.

Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

iluvislam.com

Thursday, October 14, 2010

Kisah Nabi Musa Dan Iblis

Bismillahirrahmanirrahim.

Diriwayatakan bahawa pada satu ketika, Nabi Musa as sedang berehat-rehat di suatu tempat duduknya,Iblis datang kepadanya. Sambil meletakkan burnusnya (kain yang diletakkan di atas kepala atau kening, yang biasa dipakai di Maghribi), Iblis lalu menemui Nabi Musa seraya berkata :

"Kesejahteraan atas dirimu wahai Musa."

Musa as berkata; "Siapa kamu?"

"Aku Iblis," jawabnya.

Musa berkata; "Allah tidak mahu mengucapkan salam kepadamu. Apa yang membuatmu ke mari?"

Ia menjawab; "Aku datang untuk mengucapkan salam kepadamu kerana kedudukanmu di sisi Allah dan kedudukanmu di hadapanNya."

Musa bertanya; "Apa yang sedang kulihat pada dirimu itu?"

Iblis menjawab; "Dengannya (burnus) aku akan menyambar hati bani Adam."

Musa bertanya; "Bagaimanakah kamu lakukan terhadap manusia bila kamu dapat menguasainya?"

Iblis menjawab: "Andaikata ia merasa takjub, memperbanyak pelaksanaannya dan melalaikan dosa-dosanya." Aku memperingatkanmu tentang tiga perkara:

1) Janganlah sekali-kali kamu bergaul dengan wanita yang tidak halal bagimu kerana tidaklah seseorang itu bila bergaul dengan wanita yang tidak halal untuknya kecuali aku menjadi sahabatnya tanpa disertai sahabat-sahabatku yang lain, sehingga dapat mengujinya kerana keadaannya itu.

2) Janganlah kamu mengikat janji atas nama Allah kecuali kamu menepatinya, kerana tidaklah seseorang itu mengikat janji atas nama Allah lalu tidak menepatinya, kecuali aku menjadi sahabatnya tanpa sahabat-sahabatku yang lain, hingga aku berada di antara dirinya dan pemenuhan janjinya.

3) Janganlah kamu berniat mengeluarkan sedekah kecuali kamu melaksanakannya kerana seseorang itu tiada mengeluarkan sedekah lalu tidak melaksanakannya kecuali aku menjadi sahabatnya tanpa sahabat-sahabatku yang lain, sehingga aku berada di antara dirinya dan pengeluarannya."

Kemudian Iblis berpaling seraya berkata, "Sungguh celaka (tiga kali). Musa as sudah mengetahui apa yang seharusnya diwaspadai oleh Bani Adam."

Sesungguhnya Syaitan itu sentiasa ingin membuatkan kita tergelincir dan mengikutnya ke neraka. Apabila kita dah tergelicir maka diapun berlepas diri.

"Dan (ingatlah) ketika Syaitan memperhiaskan kepada mereka perbuatan mereka (yang salah itu, untuk dipandang elok dan diteruskan), serta menghasut mereka dengan berkata: Pada hari ini tidak ada sesiapa pun daripada umat manusia yang dapat mengalahkan kamu dan sesungguhnya aku adalah pelindung dan penolong kamu. Maka apabila kedua-dua puak (angkatan tentera Islam dan kafir musyrik) masing-masing kelihatan (berhadapan), Syaitan itu berundur ke belakang sambil berkata: Aku berlepas diri dari kamu, kerana aku dapat melihat apa yang kamu tidak dapat melihatnya; sesungguhnya aku takut kepada Allah dan Allah sangat berat azab seksaNya." (al-Anfal [8] : 48)

Jadi berwaspadalah.

Sunday, October 10, 2010

5 Perkara Untuk Dapat Anak Soleh


Allah SWT berfirman:

"(Setelah jelas kesesatan syirik itu) maka hadapkanlah dirimu (engkau dan pengikut-pengikutmu, wahai Muhammad) ke arah agama yang jauh dari kesesatan; (turutlah terus) agama Allah, iaitu agama yang Allah menciptakan manusia (dengan keadaan fitrah semula jadinya) untuk menerimanya; tidaklah patut ada sebarang perubahan pada ciptaan Allah itu; itulah agama yang betul lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui. (surah ar-Rum ayat[ 30 ] : 30)

Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari daripada Abu Hurairah : “Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud, “setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (tidak mempersekutukan Allah) tetapi orang tuanya yang menjadikannya seorang Yahudi atau Nasrani atau Majusi.”

Sebenarnya, setiap manusia yang lahir ke dunia dalam keadaan suci bersih dan yang membentuknya menjadi baik atau buruk adalah kedua ibu bapanya sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Namun, sebelum mahu membentuk anak menjadi salih, ibu atau bapa hendaklah berusaha menjadi ibu yang salihah dan bapa yang salih.

Pertama, perlu kita mempertingkatkan ketakwaan kepada Allah SWT agar anak meniru sikap yang kita paparkan. Jangan sekali-kali meninggalkan sembahyang atau apa-apa disyariatkan kita lakukan.

Kedua, banyakkan memohon kepada Allah SWT dengan menggunakan doa yang ma’thur iaitu doa daripada al-Quran atau Hadis.

Antaranya doa terbaik yang dipetik daripada al-Quran

1) surah ali-Imran [3] ayat 38 : “Rabbi Hab li Min Ladunka Zurriyatan Toiyibatan, innaka sami’ud du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa Mendengar (menerima) doa permohonan.”

2) surah Ibrahim [14] ayat 40: “Rabbij’alni muqiimas solati wamin zurriyati rabbana wa taqabbal du’a.” Maksudnya: “Wahai Tuhanku Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankan doa permohonan ku.”

Ketiga, suami isteri perlu hindarkan diri daripada sering bertengkar. Ini disebabkan, pertengkaran itu boleh menyebabkan wujud suasana tidak harmoni dalam hubungan suami isteri dan dibimbangi mempengaruhi anak.

Keempat, jauhi daripada melakukan perkara fasik atau maksiat. Apabila ibu atau ayah sukakan perkara maksiat boleh membawa kerosakan besar dalam hubungan suami isteri, begitu juga anak. Berusahalah mewujudkan suasana baik sebagai mana firman-Nya dalam surah ar-Rum ayat 21 yang bermaksud: “Dan antara tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki) isteri-isteri daripada jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati (Sakinah) dan hidup mesra dengannya dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang (mawaddah) dan belas kasihan (rahmah)...”

Kelima, banyakkan membaca al-Quran ketika mengandung. Tidak semestinya membaca ayat pilihan seperti surah Yusuf dan surah Maryam. Sebaik-baiknya, baca sehingga khatam kemudian diulang. Begitu juga apabila anda ingin membesarkan anak, dengarkan anak dengan bacaan al-Quran kerana ia boleh mempengaruhi jiwanya. Wallahua’lam.

Oleh Ustaz Zahazan Mohamed

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)