Monday, January 31, 2011

Diberi Hidayah

Bismillahirrahmanirrahim.


Kita adalah seorang
hamba dan tuan kita memberikan kita sebidang tanah, cangkul, benih, baja dan
segala kelengkapan yang lain untuk kita mengusahakan tanah tersebut.

"Tuan kita suruh kita usahakan tanah itu tetapi kita tidak berbuat seperti
mana yang disuruh, sebaliknya kita mengusahakan tanah orang lain. Kemudian
bila tiba di hujung bulan, kita datang kepada tuan kita untuk meminta upah.
Saudara rasa, adakah tuan kita akan bagi upah sedangkan kita tidak lakukan apa
yang disuruh, sebaliknya kita melakukan kerja untuk orang lain?

“Begitu jugalah simboliknya di dalam Islam. Jika kita melakukan kebajikan dan
kebaikan, bukan kerana Allah, tetapi kerana sesuatu yang lain, contohnya
kerana manusia, pangkat atau harta, apakah di akhirat nanti, Allah akan
memberi balasan di atas amal perbuatan kita sedangkan semua amalan yang kita
lakukan bukan untuk Dia?”


Menjalankan Amanah

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:  

"Sesungguhnya Kami (Allah) telah mengemukakan amanah (tugas-tugas keagamaan) kepada langit, bumi dan gunung-ganang. Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat jahil." (al-Ahzab: 72)

Begitulah beratnya  tanggungjawab yang perlu dipikul oleh manusia yang dilantik oleh Allah SWT sebagai khalifah di atas muka bumi ini.  Untuk melaksanakan tanggungjawb itu memerlukan sifat amanah dan wajib disertakan dengan niat yang ikhlas.

Oleh itu manusia haruslah sedar betapa pentingnya peranan dan tanggungjawab setelah mereka bersetuju dan berjanji kepada Allah untuk menjadi khalifah di dunia. 

Setiap manusia tidak akan lepas dan tidak dapat lari daripada tanggungjawab. Setelah dipertanggungjawabkan, bukan mudah untuk melaksanakannya. 

Ini kerana, sekiranya gagal dalam melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberi, kita akan dipersoalkan di kemudian hari. Oleh sebab itu, bukan calang-calang orang yang mampu dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab. 

Ia tidak cukup dengan hanya melaksanakannya, tetapi yang paling penting perlu disertakan dengan amanah dan niat yang betul. 

Contoh paling mudah untuk kita teladani ialah Nabi Muhammad SAW di mana baginda adalah seorang manusia yang sangat amanah di dalam kehidupannya seharian. Sehingga beliau digelar sebagai al-amin (orang yang dipercayai) oleh penduduk Mekah pada waktu itu.

Bukan sahaja di kalangan para sahabat dan kaum muslimin, bahkan kaum musyrikin Mekah dan musuh-musuh Islam mengiktiraf sifat yang ada pada diri baginda Nabi SAW

Perkara utama yang perlu kita laksanakan sebagai hamba adalah tugas kita kepada sang pencipta, iaitu Allah SWT. Mentauhidkan Allah, sembahyang, puasa, zakat dan juga haji adalah merupakan amanah besar yang perlu dipikul oleh setiap individu muslim. 

Namun apa yang menyedihkan, masih ramai di antara kita yang tidak peduli dengan kewajipan tersebut yang wajib kita laksanakan. 

Sebagai contoh, masih ramai umat Islam di negara kita tidak menunaikan atau meringan-ringankan rukun Islam kedua iaitu solat. Solat fardu lima waktu merupakan tunjang agama Islam, bersesuaian dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Solat itu adalah tiang agama, maka barang siapa yang mendirikan solat, sesungguhnya dia telah menegakkan agamanya, dan barang siapa yang meninggalkannya, maka sesungguhnya dia telah meruntuhkan agamanya. 

Kajian menunjukkan bahawa 80% umat Islam di negara kita tidak menunaikan solat. Ini amat membimbangkan, kerana peratusan tersebut menunjukkan angka yang sangat besar. 

Melalui solat, jiwa manusia akan menjadi lembut dan terdidik dengan pengabdian kita kepada Allah, kerana di dalamnya terdapat rukun-rukun dan syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh seorang hamba supaya patuh terhadap undang-undang yang telah ditetapkan oleh penciptanya agar solat tersebut diterima. 

Terlalu banyak rahsia solat yang tidak terungkai oleh manusia. Ini kerana ia adalah hubungan antara hamba dan pencipta (hablum minallah) yang Maha Mengetahui. 

Buat para pembaca yang saya hormati, ingin saya tekankan di sini bahawa, salah satu faktor terbesar yang menyumbang berlakunya gejala-gejala yang tidak sihat seperti perceraian, pembunuhan, rompakan, pergaduhan, buang bayi, anak luar nikah, merempit, berjudi, menilik nasib, dan perbuatan tidak baik yang berlaku dalam masyarakat hari ini berpunca daripada lemahnya iman.

Ia natijah daripada tidak mengabdikan diri kepada Tuhan, dengan melakukan solat yang difardukan kepada kita. 

Lebih menyedihkan, apabila seseorang yang kerap menunaikan solat atau tidak pernah meninggalkan solat, tetapi solatnya tidak dapat mencegah dirinya daripada melakukan kemungkaran. 

Allah SWT menjelaskan hal ini di dalam firmannya yang bermaksud: Maka kecelakaanlah (nerakalah) bagi orang-orang yang solat, tetapi mereka lalai dari solatnya. (al-Maa'uun: 4-5)


Menangis Kerana diangkat Menjadi Khalifah


Ketika diangkat menjadi khalifah, Umar bin Abdul Aziz menangis teresak-esak. Melihat keadaan beliau itu, beberapa penyair datang dengan maksud bagi menghiburkannya tetapi Khalifah Umar menolak dengan baik.

Sikap Khalifah Umar itu turut mendapat perhatian anaknya yang resah melihat ayahnya menangis hampir sepanjang hari. Walaupun dia berusaha menjadi penyebabnya namun anak Umar gagal mendapat jawapannya.

Berikutan itu isteri Umar, Fatimah bertanya kepada suaminya: "Wahai suamiku, mengapa engkau menangis seperti ini?" 

Umar pun menjawab: "Sesungguhnya aku telah diangkat untuk memimpin urusan umat Nabi Muhammad SAW.

"Aku termenung memikirkan nasib para fakir miskin yang sedang kelaparan, orang-orang sakit yang tidak boleh diubati, orang-orang yang tidak mampu membeli pakaian, orang-orang yang selama ini dizalimi dan tidak ada yang membela, mereka yang mempunyai keluarga yang ramai tetapi hanya memiliki sedikit harta, orang-orang tua yang tidak berdaya, orang-orang yang ditawan atau dipenjara, serta orang-orang yang menderita di pelosok negeri ini.

"Aku sedar dan memahami bahawa Allah pasti akan meminta pertanggungjawabanku berikutan amanah yang aku pikul. Namun, aku bimbang tidak sanggup memberikan bukti bahwa aku telah melaksanakan amanah ini dengan baik sehingga aku menangis".

Khalifah Umar kemudian membaca firman Allah SWT dalam surah Yunus ayat 15 yang bermaksud: 

Sesungguhnya aku takut kepada seksa hari yang besar (kiamat) jika menderhakai Tuhanku.

Begitulah semangat dan roh seperti Khalifah Umar.

Khalifah Umar tidak ghairah untuk merebut jawatan dan kedudukan dan beliau memahami bahawa setiap yang dilakukan itu pasti dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak.

Khalifah Umar menyedari masih ramai rakyatnya miskin, menderita dan sengsara, Umar membuat keputusan tidak tinggal di istana, tapi hanya menempati rumah sederhana tanpa pengawal peribadi mahupun pengawal keselamatan. 

Beliau juga menolak menggunakan kemudahan negara, termasuk pelbagai perhiasan yang diwariskan Khalifah Malik bin Marwan untuk isterinya.

Beliau tidak mahu menjadi orang yang lupa kepada Allah SWT. Allah SWT mengingatkan dalam surah al-Hasyr ayat 19 yang bermaksud: Janganlah kamu seperti orang orang yang lupa kepada Allah, lalu Allah menjadikan mereka lupa kepada diri mereka sendiri. Mereka itulah orang-orang yang fasik.

Sunday, January 30, 2011

Iblis, Syaitan dan Jin.. musuh kita.. apa perbezaannya?

Mungkin ramai dikalangan kita yang keliru dan tidak dapat membezakan antara tiga makhluk Allah S.W.T iaitu Iblis, syaitan dan jin. Ada sebahagian daripada kita mungkin menganggap ketiga-tiganya adalah sama saja tidak ada perbezaan... 
Untuk memahaminya mari kita baca  daripada blog CEMERLANG

Sunday, January 23, 2011

An-Nasr (Pertolongan)


Bismillah

A001
Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), - (An-Nasr 110:1) 
A002
Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, - (An-Nasr 110:2

A003
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (An-Nasr 110:3
Dalam satu usrah kami diberi sedikit penerangan tentang ayat-ayat daripada surah an-Nasr - surah 103 dalam al-Quran yang mulia.

Ayat 1 Surah an-Nasr fokus kepada 2 kemenangan besar umat Islam hasil daripada pertolongan Allah,
iaitu pembukaan kota Makkah dan kemenangan hasil daripada perjanjian Hudaibiyah
Ibn Abbas ra, bila ditanya, apakah maksud surah ni
beliau menjawab, ini tandanya Nabi SAW akan wafat
sebab, setiap Nabi diutuskan untuk menyampaikan
bila dah selesai tugas tu, tibalah pula masanya nabi  pergi menghadap Ilahi.

Ayat 2, ramai orang masuk Islam, (berduyun-duyun)
Ini bermakna tanda Islam dah menang.
Dulu2, sorang2 masuk, nak dakwah pun senyap2
Tetapi, pada hari pembukaan kota Makkah, ramai serentak masuk Islam

Ayat 3, Allah suruh bertasbih, puji Allah
Jadi, kena bersyukur kerana dapat pertolongn Allah, kita hamba, tanpa pertolonganNya kita tak berdaya, 
jadi kita kena bertasbih banyak-banyak mensucikan Allah.
Dalam ayat 3 tu juga yang akhir disebut, dan mohonlah keampunan yakni beristighfar daripadaNya kemudian bertaubat.

Pada zaman nabi, pada satu-satu ketika para sahabat dan orang yang hidup pada zaman itu,
ada yang rasa ragu2, bimbang dan kecil hati, sebab mereka hidup dalam keadaan susah
sejak awal kedatangan Islam lagi. Hingga tiba masa nak buka Kota Makkah makan masa 21 tahun lebih kurang.

Jadi, kadang-kadang, mereka ada terasa seperti... kenapa Allah tidak tolong.
Lalu, Allah ada bayangkan fasal ini dalam Surah al-Baqarah ayat 214
Dalam ayat itu, bila mereka tanya bila nak datang pertolongan Allah, Allah jawab, ketahuilah pertolongan Allah itu dekat.
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)". (Al-Baqarah 2:214)
Selain itu fasal ayat no 3
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (An-Nasr 110:3)
Bila kita dah selesai jalankan tugas kita, apa-apa sajalah kita kena minta ampun.. takut2 apa yang kita buat tu tak sempurna.. sebab tu lah bila kita selesai solat kita wirid.

Selain tu tambah doa Nabi Ibrahim as dengan doa nabi Ismail as sebaik sahaja selesai bina kaabah
doa : Rabbana taqabbal minna, innaka antal sami'ul 'alim ("Wahai Rabb kami terimalah dari kami (amalan kami), sesungguhnya Engkaulah yang Maha mendengar lagi Maha Mengetahui").

Nabi Zakaria juga diminta bertasbih apabila baginda ingin mendapatkan zuriat.. boleh baca di sini

Saturday, January 22, 2011

Kisah Nabi Ibrahim as dengan Namrud

1) Nabi Ibrahim berhujah dengan Raja Namrud 

Allah berfirman:
A258
 
Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Ia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah dia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. (Al-Baqarah 2:258)

Ketika Nabi Ibrahim berkata: Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Namrud menjawab: Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan. (lalu diambil 2 orang pemuda, seorang dibunuh dan seorang lagi dibiarkan hidup)

Nabi Ibrahim berkata lagi: Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?

Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu)dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. 

Nabi Ibrahim dibakar

Akhirnya Raja Namrud mengambil keputusan agar Nabi Ibrahim akan dibakar dalam  api atau unggun yang besar.  Namrud  memerintahkan seluruh rakyatnya menyediakan api besar hinggakan burung-burung tidak berani untuk terbang di atasnya sekiranya burung-burung itu terbang juga melaluinya, burung-burung-burung tersebut  akan terbakar kerana nyalaan api yang amat besar itu.

Waktu yang telah ditetapkan pun tiba, Namrud pun duduk di atas singgahsana sambil terus melihat kepada api yang sangat besar itu. Dalam hatinya terselit kegembiraan yang amat sangat kerana sekejap lagi Nabi Ibrahim akan mati dimakan api. Dia amat gembira kerana sangkanya api akan membakar seorang yang tidak mahu beriman dengan tuhan mereka.

Orang-orang Namrud pun mengikat Nabi Ibrahim pada satu tiang seakan-akan lastik yang besar dan terus melemparkan Nabi Ibrahim  ke dalam api yang sedang marak  itu. Ketika Nabi Ibrahim mahu dilemparkan ke dalam api baginda begitu tenang langsung tidak meronta-ronta ataupun melawan. Orang-orang Namrud terkejut dan hairan lebih-lebih lagi bila mereka saksikan bahawa Nabi Ibrahim langsung tidak dimakan oleh api.

A069
Kami berfirman: "Hai api, jadilah engkau sejuk serta selamat sejahtera kepada Ibrahim! ". (Al-Anbiyaa' 21:69) 
Sesungguhnya Allah SWT telah menyelamatkan Nabi Ibrahim daripada kejahatan dan kezaliman Raja Namrud. Nabi Ibrahim as ketika dilemparkan berserah diri kepada Allah. Baginda tawakkal kepadaNya.

Namrud Berlawan Dengan Tentera Nyamuk
 
Firman Allah SWT yang bermaksud: 
“...dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja....." (Al-Muddaththir 74:31)
Namrud mempunyai tentera sebanyak tujuh ratus ribu penunggang kuda dengan senjata yang lengkap. Namrud berkata kepada Nabi Ibrahim: “Hai Ibrahim, jika Tuhanmu mempunyai malaikat, maka kirimkanlah kepadaku untuk berperang denganku. Jika sanggup ambillah kerajaanku ini.”

Maka Nabi Ibrahim as. munajat kepada Allah SWT: “Ya Ilahi sesungguhnya Namrud dengan tenteranya menunggu kedatangan tenteramu, maka kirimkanlah kepada mereka tentera daripada selemah-lemah makhlukmu iaitu nyamuk.”

Ketika Namrud dan tenteranya telah berkumpul di padang yang luas, maka Allah memerintahkan nyamuk keluar dari lautan. Lalu keluarlah tentera nyamuk hingga menutupi permukaan bumi dan langit. Kemudian nyamuk bertanya: “Ya Tuhan kami, apakah yang harus kami laksanakan?” Allah berfirman: “Aku telah menjadikan rezeki kamu semua pada hari ini berbentuk daging tentera Namrud.”

Kemudian Allah SWT memberikan kekuatan kepada nyamuk-nyamuk tersebut. Lalu nyamuk-nyamuk tersebut menyerang tentera Namrud, menghisap semua darah mereka, Allah memerintahkan kepada nyamuk agar menunda penyeksaan terhadap Namrud. Agar ia dapat melihat sendiri kehancuran tenteranya. Maka nyamuk-nyamuk itu pun membiarkan Namrud sehingga ia dapat pulang ke istana.

Nabi Ibrahim as. merasa hairan dan takjub melihat peristiwa tersebut. Kemudian Allah berfirman kepadanya: 

“Wahai Ibrahim, demi kemuliaan dan keagungan-Ku, sekiranya engkau tidak meminta kepada-Ku supaya mengutus tentera nyamuk, tentu aku akan mengirimkan yang lebih halus daripada nyamuk, jika seribu di antaranya berkumpul menjadi satu tidak mencapai besarnya nyamuk, tentu akan aku musnahkan juga mereka dengannya.”

Ketika telah dekat siksaan untuk Namrud, lalu Allah memerintahkan seekor nyamuk untuk menjalankan tugas tersebut. Nyamuk itu berkeliling di sebatang pohon selama tiga hari. Setelah sampai tiga hari, maka ia masuk ke dalam kepala Namrud melalui lubang hidungnya. Kemudian nyamuk itu makan otak Namrud selama 40 hari.

Begitu besar sifat pengasih dan penyayang Allah SWT.  Allah tidak menyiksa Namrud dengan segera, tetapi masih diberi masa kepadanya untuk bertaubat. Masa tiga hari yang diberikan terhadap nyamuk tersebut tidak digunakan oleh Namrud untuk menerima kebenaran Allah SWT. Maka jadilah Namrud tergolong ke dalam orang-orang yang dimurkai Allah SWT.

Semoga kisah ini diambil pengajaran iaitu kita hendaklah sentiasa menjaga amalan, berserah diri hanya kepada Allah SWT dan hendaklah sentiasa mohon ampun atas segala kesilapan serta sentiasa bertaubat.
|

Monday, January 17, 2011

Lazatnya Iman.. bagaimana?

Bismillahirrahmanirrahim.


Bila hati seseorang bersih maka ibadah fardhu dan sunat serta ibadah zahir dan batinnya menjadi baik. Dia memerhati sesautu kejadian penciptaan Allah SWT dengan mata hati dan semuanya ini membawanya kepada ketakwaan yang sempurna. Dia mensyukuri nikmat dan tidak jadi orang yang lupa akan nikmat Allah. Dia percaya bahawa semua yang berlaku adalah dengan qudrah dan iradah Allah. 

Kita bertanggungjawab mensyukuri nikmat, sama ada sikit atau banyak, sekejap ada atau sekejap tiada. Begitulah sikap kita seharusnya. Allah Maha mengetahui atas sesuatu. Hamba yang ingin merasai kelazatan iman itu antaranya ialah menerima sepenuhnya qadar dan qadha' Allah. Berkata imam Malik ra : "Janganlah kita terlalu suka kesenangan dan ketenangan yang Allah SWT kurnikan kepada kita kerana boleh jadi dengan terlalu suka dengan segala kesenangan dan ketenangan yang kita miliki akan membawa kita kepada lupa kepada Allah SWT".

Lupa kepada Allah akan memudaratkan kita, hati akan menjadi keras dan mati. Bila ini berlaku seseorang itu tidak akan dapat menikmati kelazatan beribadah, tak lagi dapat merasa ta'abbud kepada Allah SWT sehingga akhirnya akan meninggalkan segala perintah dan menghampiri segala larangan Allah SWT. Dia juga akan mudah lupa bahawa segala nikmat itu adalah kurniaan Allah serta mengaku bahawa segala nikmat itu hasil usaha dia seorang.

Apa yang Allah cipta tidak semuanya dapat dirasai dengan pancaindera. Yang tak dapat dirasai dengan pancaindera itu ialah pahala dan dosa. Kita dapat rasa masin dan manisnya makanan tapi dosa dan pahala kita tak dapat rasa, sebab itu ramai orang buat dosa, begitu juga pahala, tak dapat dirasa, kerana itu orang tak mahu buat perkara yang baik. Ramai orang buat benda tak baik berbanding dengan buat benda  baik.

Manisnya iman.. bagaimana.. macam mana.. kebanyakan orang dapat bercakap saja.. rasa macam mana.. kalau madu lebah kita dapat rasanya begitu juga kurma.

Pahala dosa semuanya itu bersifat keimanan..hanya boleh dikecapi oleh orang-orang yang mempunyai keimanan seumpama hati Abu Bakar as-Siddik ra, Dzun Nun al-Misri, Syeikh al-Junid al-Baghdadi ra, dan ramai lagi orang-orang soleh yang hidupnya semata-mata ta'abbud (mengabdikan diri) kepada Allah. Jalannya mudah saja, buat yang Allah suruh tinggal yang Allah larang, apa yang Allah sediakan di atas muka bumi ini kita nikmati tetapi jangan lupa kepada Pemberi. Sangat bahaya jika kita lupa kepada Allah. Batas-batas perlu dijaga supaya berada di atas jalan yang lurus. Makan, pakai, rumah sekadar keperluan. Ilmu perlu diisi, berbanding makanan, pakaian dan harta. Ilmu yang paling penting ialah mengenal Allah dan bagaimana mendapatkan iman dan ini menjamin kemenangan dunia dan akhirat.

Selagi kita tak dapat merasa pahala itu lazat dan dosa itu pahit selama itulah kita tidak dapat kelazatan iman.

Untuk dapatkan iman yang sempurna:

Zahirnya bersih
Batin mesti bersih
Ilmupun tentang keimanan.
Ilmu itu cahaya, cahaya tak akan masuk dalam hati yang ada dalamnya walaupun setitik dosa.
Dapatkan pertolongan Allah SWT dengan usaha dan doa.

Orang-orang yang berilmu ialah orang-orang yang takut kepada Allah.. bila berilmu orang akan yakin. Bila yakin sesuatu yang tertutup akan jelas.

Thursday, January 13, 2011

Pemuda2 Dalam Gua

Bismillahirrahmanirrahim.

Artikel ini disalin daripada Utusan Malaysia.

 

Sebuah hadis riwayat Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Suatu hari tiga orang dari kamu sebelum kalian berangkat, lalu di tengah perjalanan hujan lebat sehingga mereka memasuki sebuah gua di kaki sebuah gunung…"

... dikisahkan tentang tiga pemuda yang bermusafir ke suatu tempat.
Tiba-tiba dalam perjalanan, hujan turun dengan lebat sehingga memaksa mereka mencari tempat berteduh iaitu sebuah gua.

Ketika berada di dalam gua tersebut, tiba-tiba sebongkah batu yang besar jatuh dari gunung sehingga menutupi pintu gua tersebut.

Sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat keluar.

Dengan keadaan yang demikian, mustahil mereka bertiga keluar daripada gua tersebut waima mereka menolak batu yang menutupi pintu gua itu.

Lalu, salah seorang di antara tiga pemuda tersebut berkata: "Berdoalah kalian kepada Allah, kerana kalian tidak akan dapat melalui batu ini kecuali dengan berdoa kepada Allah dengan amal soleh kalian."

Tidak lama selepas itu, orang pertama mulai berkata: "Ya Allah, aku memiliki dua orang ibu bapa yang sudah tua dan juga sebuah keluarga. Aku memerah susu, dan aku tidak akan memberi anak-anakku sehingga ibu dan bapaku minum terlebih dahulu.

"Pada suatu malam, aku terlambat untuk memerah susu, dan saat aku pergi hendak memberikan susu kepada ibu bapaku, mereka ku lihat sudah tidur.

"Aku tetap duduk menunggu di tepi mereka dan dalam masa yang sama aku tidak mahu mengejutkan mereka hingga tiba waktu subuh.

"Sedangkan ketika itu anak-anakku menangis meminta minum. Aku tidak mahu memberi minum kepada anak-anakku sehinggalah orang tuaku meminumnya.."

(Mari sama-sama lihat dan renung bagaimana keikhlasan amal dapat menolong hamba Allah yang soleh) "Dan apabila subuh telah menjelma, mereka pun meminumnya.

"Ya Allah, jika aku telah melakukan perkara tersebut kerana ingin mencari reda-Mu dan mencari wajah-Mu, maka permudahkanlah kami daripada kesulitan ini."

Dengan kuasa Allah, batu yang menutupi pintu gua itu bergerak sedikit. Namun, mereka masih belum boleh keluar.

Melihatkan keadaan itu, pemuda yang kedua tadi berfikir sejenak lalu berkata: "Ya Allah, aku memiliki seorang sepupu iaitu anak bapa saudaraku.

"Aku sangat mencintainya, dan aku memintanya untuk menjadi isteriku tetapi dia menolak. Ketika dia berada dalam kesulitan dia datang kepadaku dan berkata: Pinjamkanlah aku wang'"

Aku pun menjawab: "Aku akan memberimu 120 dinar dengan syarat kau mahu ku gauli."

"Dia pun menggeletar kerana beratnya menerima ajakanku. Tatkala aku mungkin pada masa itu boleh menguasainya, dia berkata: Wahai hamba Allah, bertakwalah kepada Allah. Aku tidak halal bagimu.

"Aku langsung bangun dan membelakanginya sambil berkata, ambillah harta ini dan pergilah".

Pemuda kedua itu berkata lagi: "Ya Allah, jika aku telah melakukan perkara itu kerana mencari reda-Mu dan mencari wajah-Mu, maka lapangkanlah kami daripada kesulitan yang kami hadapi ini".

Tidak lama selepas itu, pemuda ketiga juga turut merintih: "Ya Allah, aku dulu sering menggaji orang dan aku selalu memberikan gaji kepada mereka, kecuali seorang yang pergi dan belum mengambil gaji.

"Gajinya itu aku ambil lalu aku laburkan sehingga pada suatu hari dia datang dan berkata 'berikanlah gajiku".
Aku pun jawab gajimu semua binatang ternakan ini, baik sapi ataupun kambing. Dia pun membalas, "Apakah kau menghinaku? Aku menjawab, demi Allah, aku tidak akan menghinamu."

Dia mengambil semua harta itu tanpa meninggalkan satu pun untukku. Maka Ya Allah, jika aku melakukan semua itu kerana-Mu, permudahkanlah dan keluarkanlah kami daripada kesulitan ini".

Seusai pemuda ketiga tadi berdoa, maka batu yang menutupi gua tersebut pun tergolek dan dapatlah mereka keluar daripada dalam gua itu.

Maha Suci Allah, tidakkah anda kagum dengan kebesaran Allah?

Anda sudah nampak apa mesej di sebalik cerita tiga pemuda ini? Anda sudah nampak bagaimana keikhlasan memberi kesan besar dalam kehidupan?

Wednesday, January 12, 2011

Kisah Seekur Kuda

Redha ialah menerima dengan rasa senang hati dan lapang dada atas segala apa yang telah ALLAH tentukan, baik berbentuk musibah ataupun kesenangan.

Ada orang bila dapat senang dia kata Allah sayang dia, tapi bila dapat musibah dia kata Allah tak sayang dia. Namun sebenarnya dengan memberikan musibah Allah nak gilap dia jadi orang yang redha.

"Tiada muslim yang tertusuk duri/yang lebih dari itu, kecuali Allah mencatat baginya kebaikan dan menghapus darinya dosa". (HR.Bukhari).

Rasulullah SAW bersabda : “Apabila seseorang mukmin diuji oleh Allah dengan sesuatu bencana pada tubuhnya, Allah Taala berfirman kepada Malaikat penulis amalnya: “Tulislah juga untuknya amal-amal soleh yang biasa ia lakukan;” kemudian jika Tuhan hilangkan bencana yang menimpanya itu, Tuhan jadikan ia hidup berkeadaan baharu – bersih suci dari dosanya; dan jika Tuhan mengambil nyawanya, diberikannya keampunan serta dikurniakan rahmat kepadanya”. (Anas r.a)

Nabi Ayyub yang diuji dengan sakit, baginda redha biarpun segala harta dan anak-anaknya hilang daripadanya dan Nabi Ayyub masih memuji Allah kerana memberinya banyak nikmat.

Di sini dikisahkan tentang seorang lelaki tua miskin yang hidup dengan anak lelakinya yang masih muda serta seekor kuda betina. Kisah ini berlaku lama dahulu. Orang-orang kampung sentiasa datang dan berkata kesihan kepadamu kerana kamu miskin, hanya ada seorang anak dan seekor kuda betina. Dijawab oleh lelaki miskin itu, "apa yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik". Kembalilah orang-orang kampung. Lama setelah itu kuda betinanya hilang, orang-orang kampung kembali berkata, kesihan kamu sudahlah miskin kuda pula hilang. Lelaki tua miskin itu berkata; "apa yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik". Kembalilah orang-orang kampung. Tidak berapa lama kuda betinanya yang hilang kembali kepadanya dengan membawa bersamanya 6 ekor kuda jantan. Lalu anak lelakinya melatih kuda2 itu supaya menjadi jinak. Lama setelah itu, anak lelaki ini patah kaki akibat jatuh kuda. Orang-orang kampung berkata kesihan kepadamu, anakmu pula patah kaki. Lelaki itu tetap berkata yang sama; "yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik". Lama selepas itu negara tempat tinggal mereka akan diserang musuh lalu pemerintah mengerahkan setiap anak muda dari kampong itu turut serta dalam peperangan. Jadi semua anak-anak lelaki kampong telah dikerah menjadi tentera, tetapi disebabkan anak lelaki yang miskin ini kakinya patah tidaklah dia turut serta kerana dikecualikan. Ditakdirkan semua anak muda yang ikut berperang semuanya tewas, jadi anak lelaki miskin ini dapat berkahwin dengan perempuan daripada anak orang yang kaya di kampong itu. Jadi di sinilah barulah orang-orang kampong mendapati bahawa jawapan lelaki miskin itu "yang tidak baik itu bukan semestinya tidak baik" itulah yang sebenarnya berlaku. Daripada seekor kuda bertambah jadi 7, anaknya tidak perlu ke medan perang kemudian dapat kahwin dengan anak orang kaya. Itulah hikmah di sebalik kejadian.

Pengajarannya ialah jika kita redha dengan ketentuan Allah, maka Allah juga redha kepada kita:

A100

Dan orang-orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang "Muhajirin" dan "Ansar", dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah redha akan mereka dan mereka pula redha akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar. (At-Taubah 9:100)
 
Setiap manusia hendaklah menerima segala ujian Allah dengan hati yang tabah, sabar dan redha kerana sikap yang demikian akan membawa kebaikan pada dirinya. Jika ia membiasakan dirinya dengan amalan yang baik semasa susah atau senang, sakit atau sihat kemudian tidak dapat melakukannya disebabkan kesakitan atau kemalangan yang menimpanya, maka Allah memerintahkan malaikat amal mencatat amalan yang baik yang tidak dapat dikerjakannya itu.

Sekiranya Allah menyembuhkan sakitnya atau menghilangkan bencana yang menimpanya itu maka Allah jadikan ujianNya itu sebagai “kaffarah” (yang menghapuskan dosa-dosanya yang telah lalu) serta dijadikan hidupnya berkeadaan baru, suci dan bersih daripada dosa. Namun sekiranya Allah S.W.T sempurnakan ajalnya dengan kemalangan itu, maka ia akan dikurniakan keampunan dan dilimpahkan rahmat kepadanya.

Jika Allah ambil salah seorang ahli keluarganya yang disayangi yakinlah semuanya itu hak milik Allah. Kita hanya diberi pinjam buat sementara. 

dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya. (Al-Baqarah 2:216)

Kesimpulannya bersyukurlah bila diberi nikmat dan sabar serta redha bila diberi ujian.

Monday, January 10, 2011

Hidup Sederhana Lebih Selamat - Sebuah kisah

Bismilllahirrahmanirrahim.
Sebuah kisah dan pengajaran.

Sebagai seorang keluarga raja Maslamah bin Abdul Malik sangat terkenal sebagai orang yang sangat mewah cara hidupnya. Maslamah terkenal sebagai seorang yang hanya mahu makanan yang mahal dan lazat sahaja. 

Rose CateringPada suatu hari khalifah Umar bin Abdul Aziz yang sangat zuhud dan soleh mahu mendidik Maslamah menjadi seorang yang boleh hidup secara sederhana.

Kahlifah Umar menjemput Maslamah ke rumahnya dan menahannya sejak pagi tanpa memberinya makanan. Setelah Maslamah tersangat lapar Umar lalu menghidangkan makanan berupa bubur kacang tanpa apa-pa ramuan. Tanpa berfikir panjang Maslamah menyantapnya dengan gelojoh.

Setelah kenyang dengan bubur itu Umar menghidangkanya pula dengan makanan yang mewah sambil berkata : "Makanlah!"

Maslamah menjawab, :"Saya sudah kenyang dan tidak mampu makan apa-apa lagi".

Lalu Umar berkata, : "Mengapa bermewah-mewah dengan makanan yang boleh membawa kamu ke neraka, padahal makanan yang murahpun sudah memadai bagimu?".

Sejak itu Maslamah meninggalkan kebiasaan buruknya yakni bermewah-mewah dengan makanan.

Pertanyaan yang serupa layak kita tanyakn kepada diri kita. Kita suka bermewah-mewah dalam kehidupan walaupun kita terpaksa berhutang. Hidup sederhana itu lebih selamat.

Solat Qasar dan Jamak


Ayat 101 surah an-Nisaa':


A101

Maksudnya : " Dan apabila kamu musafir di muka bumi ini, maka kamu tidaklah berdosa / salah "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu". (An-Nisaa' 4:101)
Berdasarkan ayat ini orang-orang Islam harus qasar dan jamak.
Ada 3 cara:
1) Qasar saja
2) Jamak saja
3) Qasar dan jamak
Qasar maksudnya pendek.. solat yang dipendekkan, 4 rakaat jadi 2 rakaat sahaja (zohor, asar dan isyak dilakukan 2 rakaat sahaja)
Maghrib dan subuh tak boleh diqasarkan.
Jamak pula menghimpunkan dua solat, dilakukan dalam satu waktu zohor n asar atau maghrib n isyak
Solat yg boleh dijamakkan ialah maghrib n isyak zohor n asar
dikerjakan sama ada pd waktu maghrib atau isyak bagi solat maghrib n isyak
dikerjakan sama ada pada waktu zohor atau waktu asar bagi sloat zohor dan asar.
Yang lain-lain tak boleh
yg dimaksukn qasar dan jamak ialah pendekkan dan himpunkan iaitu solat yg boleh diqasar dan jamak
boleh diqasarkan dijamakkan dan solat Maghrib tak boleh qasar tp boleh jamak.

[Klik] untuk kaifiyat solat jamak n qasar

Persoalan Rahsia Ayat-ayat al-Quran

Persoalan Agama: Perkembangan ilmu bongkar banyak rahsia dalam ayat al-Quran


2010/12/12

Soalan: 

ADA mendakwa makhluk asing dari angkasa lepas wujud. Benarkah dakwaan itu.

AID, Johor.

Jawapan: 

Allah SWT berfirman dalam surah asy-Syura ayat 29 bermaksud: “Dan antara tanda kekuasaan-Nya ialah kejadian langit dan bumi serta segala yang ia biakkan pada keduanya daripada Daabbah (makhluk yang melata). Dia berkuasa menghimpunkan mereka semuanya apabila Ia kehendaki (melakukannya).” 

Ayat ini adalah umum mengenai makhluk Allah SWT yang bertebaran di langit dan bumi. Dari segi bahasa, kalimah Daabbah (makhluk yang melata) diambil daripada kata akar yang bererti berjalan dengan sangat halus. Secara pastinya, perkataan Daabbah tidak digunakan dalam erti malaikat. 
Menurut pakar bahasa al-Quran, ar-Raghib al-Ashfahani, perkataan itu digunakan bagi haiwan yang berjalan, tetapi banyak digunakan untuk serangga. 

Ada juga ulama tafsir yang memahami kata langit pada ayat terbabit dengan awan dan Daabbah ialah burung seperti dikemukakan Muhammad Thahir dalam kitab tafsirnya, at-Tahrir. 

Pada pandangan saya, pendapat itu tidak didukung ayat ini dan ayat al-Quran lain. Ayat ini menggunakan bentuk jamak bagi langit, ia bukan semata-mata langit yang kita lihat. Di samping itu, pada ayat 38 surah al-An’am, Allah SWT membezakan antara Daabbah dengan burung seperti dalam firman-Nya: “Tiada satu Daabbah di bumi dan tidak pula burung yang terbang dengan kedua-dua sayapnya melainkan umat juga seperti kamu..” 

Apa yang dimaksudkan dengan Daabah? al-Quran menyatakan kalimah Daabah bermakna umum, tidak diertikan dengan sesuatu. Justeru, sukar kita menentukannya. Ada baiknya kita renung sikap ditunjukkan Khalifah Umar ketika membaca surah ‘Abasa ayat 25 hingga 32 iaitu: “Sesungguhnya Kami (Allah) benar-benar mencurahkan air dari langit, kemudian Kami belah bumi dengan sebaik-baiknya lalu Kami tumbuhkan biji-bijian di bumi anggur dan sayur-sayuran, zaitun dan pohon kurma, kebun yang lebat dan buah-buahan serta Abba sebagai kesenangan untuk kamu dan binatang ternakmu.” 

Menurut riwayat ini ada tongkat di hadapannya lalu beliau patahkan tongkat itu kerana kesal tidak faham makna perkataan abba. Tetapi, beliau sedar dan berkata kepada dirinya: 

“Demi Allah, ini (mencari sesuatu di luar jangkauan akal) adalah bersikap berlebih-lebihan. Padahal tidak rugi andai tidak mengetahui makna abba.” 

Menurut Muhammad Abduh, Saidina Umar tidak melarang kajian makna kalimah al-Quran atau membincangkan permasalahan berkaitan dengannya. 

Beliau ingin mengajar mengimani kandungan al-Quran sekalipun tidak mampu memahami secara terperinci. Banyak ayat al-Quran tidak jelas bagi generasi terdahulu, tetapi kini jelas maknanya kerana perkembangan ilmu. 

Mungkin ia tidak jelas, tetapi akan jelas pada masa akan datang dengan penemuan baru. Siapa tahu penjelajahan manusia ke angkasa dapat memberikan maklumat yang lebih tepat dan memuaskan. Wallahua’lam. 

Dan boleh jadi, jawapan yang tepat buat kita sekarang adalah firman Allah SWT yang menjadi pengajaran bagi manusia iaitu: “Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang ada di semua langit” - al-Israk ayat 55. 

Sabung Silaturrahim - lanjut usia

Persoalan Agama: Penyambung silaturahim 'dilanjutkan' usia
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
2010/12/12

Insan jaga hubungan sentiasa hidup dalam ingatan, dipuji walaupun selepas meninggal dunia 

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM ustaz, benarkah orang yang menghubungkan silaturahim akan dipanjangkan usianya sedangkan kematian tidak boleh ditangguh.
FAIRUZ, 
Gombak. 

Jawapan: 

Dalam hadis diriwayatkan Imam al-Bukhari dan Muslim bermaksud: “Daripada Anas Malik ra bahawa Rasulullah SAW bersabda: Sesiapa yang suka (dan ingin) dimurahkan rezeki serta dilewatkan ajalnya, hendaklah dia menghubungkan silaturahimnya.” 
Maksud silaturahim ialah berbuat baik kepada kaum kerabat. Disebabkan inilah perkataan silaturahim (menghubungkan ikatan kekeluargaan) diguna dengan maksud berbuat baik kepada sanak saudara. 

Hubungan kekeluargaan dapat dijalin melalui harta, khidmat atau sebagainya yang menjadi sebab diberi taufik melaksanakan ketaatan dan dipelihara daripada melakukan maksiat dalam hidup. Justeru, lahir pujian selepas seseorang meninggal dunia. Pujian itu bagaikan umur kedua untuknya. 

Bagaimanapun, jelas ajal tidak ditangguh kerana Allah SWT berfirman dalam surah al-A’raf ayat 34 bermaksud: “Maka apabila ajal sudah datang, mereka tidak dapat menangguhnya (walaupun) satu detik dan tidak juga dapat mendahulukannya.” 

Firman-Nya lagi dalam surah al-Munafiqun ayat 11 (bermaksud): “Allah tidak akan menangguh kematian sesuatu yang bernyawa (sama ada manusia atau lainnya) apabila ajalnya sampai.” 

Oleh itu, maksud ajal dilewatkan dalam hadis berkenaan adalah pujian kepada orang yang menghubungkan silaturahim berkekalan selepas kematiannya. Seolah-olah dia belum mati. 

Namun, ada ulama yang menghukum pandangan ini lemah. Antaranya ialah Imam an-Nawawi rhm dalam kitabnya Syarhu Muslim ketika menghuraikan hadis itu. Menurut beliau, ulama mengutarakan beberapa jawapan dan huraian kepada persoalan dilewatkan ajal bagi sesiapa yang menghubung silaturahim. 

Pertama, jawapan yang benar ialah tambahan ajal adalah dengan keberkatan umurnya, diberi hidayah untuk taat, dipenuhkan masa hidupnya dengan perkara berguna kepadanya di akhirat, dipelihara waktunya daripada sia-sia dan seumpamanya. 

Kedua, tambahan ajal itu berdasarkan apa yang zahir kepada malaikat seperti tertulis di Luh Mahfuz dan seumpamanya. Sebagai contoh, malaikat mendapati di Luh Mahfuz umur seseorang ialah 60 tahun, tetapi jika dia menyambung silaturahim, umurnya ditambah 40 tahun lagi. Padahal Allah SWT mengetahui apa yang terjadi. Berdasarkan ilmu dan takdir Allah SWT, tambahan ajal adalah mustahil, namun berdasarkan apa yang zahir kepada malaikat, ia tidak mustahil. 

Ketiga, ialah tambahan umur bermaksud kekalnya sebutan dan pujian yang baik selepas kematian seseorang seolah-olah dia masih hidup. Boleh jadi sebutan yang baik itu disebabkan ilmu yang bermanfaat atau sedekah jariah (seperti wakaf) atau anak salih yang mendoakannya. 

Dalam kitab al-Mu’jam as-Saghir, karangan at-Thabrani, diriwayatkan daripada Abu Darda: “Disebutkan di sisi Rasulullah SAW bahawa sesiapa yang menghubungkan silaturahimnya, ajalnya akan ditangguh untuknya. Lalu Baginda SAW bersabda: Ia bukanlah tambahan umurnya kerana Allah SWT berfirman (dalam surah al-A’raf ayat 34 bermaksud): Maka apabila ajal mereka datang, mereka tidak akan dapat melewatkannya walaupun satu detik dan mereka juga tidak akan dapat mendahulukannya. Tetapi lelaki itu mempunyai zuriat salih yang berdoa untuknya selepas kematiannya.” 

Justeru, menghubungi silaturahim ialah punca rezeki dimurahkan dan pujian yang akan mendorong orang masih hidup memohon rahmat Allah SWT dan berdoa perkara yang baik untuk si mati berkenaan. Wallahua’lam. 

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) As-Syahid Syeikh Ahmad Yassin (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)