Showing posts with label Khutbah. Show all posts
Showing posts with label Khutbah. Show all posts

Friday, March 22, 2013

Tujuh Dosa Besar





 Bismillahirrahmanirrahim


السلام عليكم
الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُ…..فَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ …

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.

Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya.

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,

Firman Allah dalam ayat 65 surah az-Zumar :

وَلَقَدْ أُوحِيَ إِلَيْكَ وَإِلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكَ لَئِنْ أَشْرَ‌كْتَ لَيَحْبَطَنَّ عَمَلُكَ وَلَتَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِ‌ينَ

Maksudnya : Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai nabi Muhammad) dan kepada Nabi-nabi yang terdahulu daripadamu: “Demi sesungguhnya! jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi.

Umat Islam sentiasa diperingatkan oleh agama berkenaan dosa pahala, Syurga Neraka, dunia akhirat agar kita tidak lalai sehingga melampaui syariat. Sesuai dengan sistem agama yang meliputi seluruh aspek kehidupan termasuk ibadat khusus, politik, ekonomi, sosial dan sebagainya maka berjayalah umat yang meletakkan Islam sebagai cara hidup dan betapa ruginya umat yang hanya menjadikan agama hanya berguna pada perkara yang selari dengan kehendak nafsunya dengan menolak system agama yang bercanggah dengan nafsu serakahnya. Jadikanlah diri kita sebagai warga akhirat yang menjadikan dunia hanya sebagai tempat persinggahan dalam mengumpul sebanyak mungkin bekalan akhirat. Jangan sama sekali jadikan diri kita sebagai warga dunia yang menjadikan dunia yang sementara ini sebagai matlamat hidup sehingga mengenepikan akhirat. Nabi Muhammad s.a.w sentiasa memperingatkan kita bahawa dunia adalah tempat untuk beramal manakala akhirat nanti adalah tempat untuk kita menerima pembalasan samada Syurga yang penuh nikmat atau Neraka yang penuh azab. Oleh itu marilah kita sama-sama meningkat amal soleh disamping menjauhi dosa derhaka terhadap Allah terutama 7 dosa besar sebagaimana yang diungkapkan oleh nabi s.a.w dalam suatu hadis yang diriwayatkan oleh imam Bukhari dan Muslim daripada Abu Hurairah RH:

قال الرسول : اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوْبِقَاتِ ؟ قَالُوا يَارَسُوْلَ اللهِ وَ مَا هُنَّ ؟ قَالَ الشِرْكُ بِاللهِ وَ السِّحْرُ وَ قَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللهُ إِلاَّ بِالْحَقِّ وَ أَكْلُ الرِّبَا وَ أَكْلُ ماَلِ الْيَتِيْمِ وَ التَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ وَ قَذْفُ الْمحْصَنَاتِ الْغَافِلاتِ الْمُؤْمِنَاتِ

Maksudnya : Jauhilah 7 perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah 7 perkara tersebut?. Baginda menjawab: “Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan untuk dibunuh kecuali dengan haq (benar), makan riba, makan harta anak yatim, lari dari pertempuran dan menuduh zina terhadap wanita beriman yang terhormat serta menjaga kehormatan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 43 surah al-Furqan :

أَرَ‌أَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَـٰهَهُ هَوَاهُ أَفَأَنتَ تَكُونُ عَلَيْهِ وَكِيلًا

Maksudnya : Nampakkah (wahai nabi Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat?.

Dosa paling besar yang wajib kita jauhi ialah dosa syirik mempersekutukan Allah. Biasanya kita mudah nampak apabila manusia yang syirik pada Allah dalam menyembah patung berhala, matahari, pokok dan sebagainya yang dianggap sebagai tuhan. Apa yang jelas masih diteruskan oleh pemimpin walau pun telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa ialah penghormatan kepada Tugu Negara. Begitu juga sikap memperkecilkan sistem Islam dengan penggubalan undang-undang yang bercanggah dengan Islam disamping membiarkan suara-suara sumbang dari kalangan umat Islam sendiri yang memperlekehkan undang-undang Islam dalam masalah hukum Hudud, penutupan aurat, pergaulan bebas dan sebagainya akibat dirasuk dengan fahaman sesat sekulerisme yang memisahkan antara agama dan urusan mentadbir dunia. Oleh itu kita wajib bersyukur kepada Allah atas nikmat iman dan Islam yang wajib dijaga termasuk kita yakin bahawa Allah sahaja yang Maha Memberi rezeki di mana makhluk termasuk pemimpin hanya sebagai suatu cara untuk menyampaikan rezeki yang telah ditentukan oleh Allah. Menjadi suatu kesalahan besar jika terlalu terhutang budi kepada orang yang berbuat baik kepada kita termasuk ibubapa sehingga kita mengikut suruhan yang bercanggah daripada syariat Islam. Ingatlah alasan terakhir Firaun bila tidak mampu melawan kekuatan hujah nabi Musa a.s. iaitu mengungkit jasa beliau yang menjaga dan memberi makan minum nabi Musa semenjak dari kecil lagi namun dengan tegas ditolak oleh Musa a.s bahawa baginda tidak akan menyokong syirik dan kezaliman serta memperingatkan Firaun bahawa Pemberi rezeki yang sebenar adalah Allah

Sidang Jumaat yang diberkati Allah,

Dosa besar yang kedua ialah amalan sihir di mana tidak dapat dinafikan ada ramai di kalangan umat Islam sendiri yang terlibat dengan amalan ini termasuk masalah mencari kedudukan dalam politik kepartian sehingga negara pernah digegarkan dengan pembunuhan wakil rakyat oleh bomoh. 

Dosa besar yang ketiga ialah membunuh orang tanpa sebenar di mana kita melihat akhir-akhir ini pembunuhan yang berlaku dalam negara semakin meningkat. Ia disebabkan daripada sifat tercela yang merasuk jiwa seperti hasad dengki, gagal mengawal kemarahan, gila harta dan pangkat disamping mabuk dan ketagihan dadah. Imam Hasan al-Basri berkata : “ 4 perkara di mana sesiapa yang memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkannya daripada azab Neraka iaitu sesiapa yang mampu menahan diri ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan”

Firman Allah dalam ayat 93 surah an-Nisa’ :

وَمَن يَقْتُلْ مُؤْمِنًا مُّتَعَمِّدًا فَجَزَاؤُهُ جَهَنَّمُ خَالِدًا فِيهَا وَغَضِبَ اللَّـهُ عَلَيْهِ وَلَعَنَهُ وَأَعَدَّ لَهُ عَذَابًا عَظِيمًا

Maksudnya : Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan sengaja, maka balasannya ialah neraka jahanam, kekal ia di dalamnya, dan Allah murka kepadanya, dan melakanatkannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Firman Allah dalam ayat 278 – 279 surah al-Baqarah :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّـهَ وَذَرُ‌وا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّ‌بَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ فَإِن لَّمْ تَفْعَلُوا فَأْذَنُوا بِحَرْ‌بٍ مِّنَ اللَّـهِ وَرَ‌سُولِهِ ۖ وَإِن تُبْتُمْ فَلَكُمْ رُ‌ءُوسُ أَمْوَالِكُمْ لَا تَظْلِمُونَ وَلَا تُظْلَمُونَ

Maksudnya : Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman. Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (perintah mengenai larangan riba itu), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya, (akibatnya kamu tidak menemui selamat). Dan jika kamu bertaubat, maka hak kamu (yang sebenarnya) ialah pokok asal harta kamu. (Dengan yang demikian) kamu tidak berlaku zalim kepada sesiapa, dan kamu juga tidak dizalimi oleh sesiapa.

Dosa besar yang keempat ialah makan riba di mana kita di Kelantan Alhamdulillah tindakan bijak kerajaan negeri untuk mengeluarkan simpanannya dari bank riba menyebabkan semua bank bertindak mengadakan kaunter perbankan Islam. Sedangkan kesungguhan di peringkat negara terhadap haramnya riba masih dingin di mana banyak amalan riba bukan sahaja diteruskan malah disuburkan lagi sedangkan dunia sedang menyaksikan sistem riba antara sebab utama ekonomi dunia semakin hancur dan banyak negara menjadi muflis. Akibat teralu seronok dengan janji syaitan bahawa riba menguntungkan menyebabkan amaran Allah yang mengisytiharkan perang terhadap amalan riba dipandang sepi.

Dosa besar yang kelima ialah makan harta yatim dengan cara yang bercanggah dengan syariat. Islam begitu memuliakan anak yatim dan golongan yang menjaga kebajikan mereka disamping memberi amaran keras kepada sesiapa yang mengkhianati anak yatim. Firman Allah dalam ayat 34 surah al-Isra’ :

وَلَا تَقْرَ‌بُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ حَتَّىٰ يَبْلُغَ أَشُدَّهُ ۚ وَأَوْفُوا بِالْعَهْدِ ۖ إِنَّ الْعَهْدَ كَانَ مَسْئُولًا

Maksudnya : Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Dosa besar yang keenam ialah lari daripada medan perjuangan. Kita sebelum ini menyaksikan bagaimana pencerobohan terhadap bumi Palestin, Iraq dan sebagainya yang menuntut jihad peperangan terhadap musuh Islam. Manakala dalam masa sebulan lebih ini kita didedahkan dengan pencerobohan di Lahad Datu yang telah mengorbankan ramai polis dan tentera. Kita doakan semoga ia diselesaikan dengan baik dan segera disamping mimbar Jumaat pada hari ini mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga perwira kita. Kita juga mesti memperkasakan amar makruf nahi mungkar dan jangan lari daripada tugas penting ini termasuk dalam masalah kepimpinan di mana ketika merenungi suatu hadis daripada Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya hingga sampai kepada Zubair Adi. Beliau berkata, “Kami datang kepada Anas Malik, kemudian kami mengadu kepadanya mengenai kezaliman yang dilakukan Hajjaj Yusuf Thaqafiy. Dia menjawab, “Sabarlah, kerana setiap zaman yang berjalan yang kemudiannya lebih buruk daripada sebelumnya. Hingga kamu bertemu Rabb kamu. Saya mendengar hadis ini daripada Nabi SAW.”

Menurut Ibnu Masud, “Hadis ini tidaklah bererti pemerintah hari esok lebih buruk daripada pemerintah hari ini, juga bukan bererti tahun akan datang lebih buruk daripada tahun ini.

“Maknanya, ulama kamu dan ahli fiqah ramai yang meninggal dunia sehingga kamu tidak menemui pengganti mereka, akhirnya datanglah orang yang tidak berilmu memberikan fatwa dalam agama berdasarkan akal mereka.”

Dalam riwayat lain, beliau mengatakan, “Akhirnya orang yang tidak berilmu itu menelanjangkan Islam dan menghancurkannya.”

Oleh itu kita jangan lari daripada perjuangan dalam memilih pemimpin yang mampu memandu kita kepada kebahagiaan hidup dunia akhirat agar kemakmuran dan keberkatan Negara terus dikecapi

Dosa besar yang ketujuh ialah menuduh orang yang beriman dan soleh terlibat dengan perbuatan terkutuk seperti zina dan liwat. Pada hari ini sekali lagi tuduhan liwat terhadap seseorang dimainkan tanpa rasa takut kepada Allah akibat daripada hukuman Islam diketepikan. Ingatlah amaran Allah dalam ayat 4 surah an-Nuur :

وَالَّذِينَ يَرْ‌مُونَ الْمُحْصَنَاتِ ثُمَّ لَمْ يَأْتُوا بِأَرْ‌بَعَةِ شُهَدَاءَ فَاجْلِدُوهُمْ ثَمَانِينَ جَلْدَةً وَلَا تَقْبَلُوا لَهُمْ شَهَادَةً أَبَدًا ۚ وَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksudnya : Dan orang-orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan 4 orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang-orang yang fasik;

بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ

Posted on Mac 22, 2013 by ekhutbah

Sunday, December 30, 2012

Khutbah Jumaat: “Muhasabah Diri”




Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pagi ini ingin kongsikan Khutbah Jumaat (28 Disember 2012 / 14 Safar 1434H) yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bertajuk “Muhasabah Diri”. N3 ini saya copy n paste daripada blog shafiqolbu.worpress. Mari sama-sama hayati topik ini buat panduan kita menghisab diri sebelum kita dihisab. Pendapat saya penerangan tentang muhasabah diri dalam khutbah ini sangat-sangat bermanfaat jika kita hayati dan kita amalkan.. InsyaAllah dan dengan pertolongan Allah juga kita pohon.. teruskan membaca..

************

kj pembuka 1
kj muhasabah 1

kj pembuka 3

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah bertajuk: “MUHASABAH DIRI”.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,


Tahun baru sekali lagi bakal menjelma dengan bermulanya tahun 2013 masihi. Tahun yang bakal dipenuhi dengan cabaran ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala nikmat-Nya selama ini. Seperti mana tahun-tahun baru sebelum ini, kita mulakan dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan kehidupan  disamping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak, ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya. Namun sebagai muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah, seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini.

Firman Allah SWT di dalam surah adz-Dzaariyat ayat 50:

 فَفِرُّ‌وا إِلَى اللَّـهِ ۖ إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ‌ مُّبِينٌ ﴿٥٠

Maksud: “(Katakanlah Wahai Muhammad kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran yang nyata.”
.
Justeru, sambutan tahun baru dalam Islam bukan sahaja satu sambutan yang bersifat bermegah dan bergembira semata-mata tetapi kita harus sandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya. Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian yang cukup besar bagi mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang baru.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Bermuhasabah diri adalah satu amalan para anbiya, mursalin dan orang-orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri. Persoalan besar timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan bermuhasabah? Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang terbentuk dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mandapat keredhaan Allah SWT.

Mengikut Ibnu Qudamah: Pengertian muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar dapat mengenal pasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat dan kerugiannya pula ialah maksiat.

Ibnul Qaiyyim pula berkata: Muhasabah ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah seorang musafir yang tidak akan kembali.

Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi daripada Syadad bin Aus RA iaitu:

kj muhasabah 2

Maksud: “Orang yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat at-Tirmizi)

Mimbar ingin menyatakan bahawa sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.

Memetik kata-kata seorang ulama’ iaitu as-Sayyid Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan al-Muayyad bahawa: Daripada perasaan takutakan timbulnya muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT .

Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: Lalai dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh itu lazimlah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara yang salah.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama menghitung setiap tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas dan etika Islam. Sejauh manakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh Allah SWT untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai?.

Oleh itu, dalam menyambut tahun baru pada kali ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi menjalankan amanah sebagai khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa. Rebutlah peluang dan masa yang diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara yang berfaedah serta amal soleh.

Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-'Asr ayat 1-3 iaitu:

kj muhasabah 3

Maksud: “Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Berdasarkan ayat ini telah menekankan dua prinsip asas iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran. Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagi memimpin diri untuk meneruskan tahun mendatang. Sudah semestinya kita semai budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati, berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan Islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar suci daripada segala kecelaruan dan keburukan tingkahlaku serta perbuatan.

Mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam sekalian, marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal.

Hayatilah ungkapan “Berkatalah benar sekalipun pahit” untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika.

Kita juga hendaklah saling ingat mengingati untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik antara jiwa benar kita dituai, maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam masyarakat boleh tercapai.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Marilah kita sama-sama menjana kembali semangat Islam dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat tahun baru ini dengan jiwatawaduk, berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan Allah SWT. Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang itu dapat mengelakkan diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, kerana orang muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka dari masa ke semasa.

Ingatlah pesanan sadina Umar al-khattab: Hitunglah diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah diri di dunia ini.

Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 110:

كُنتُمْ خَيْرَ‌ أُمَّةٍ أُخْرِ‌جَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُ‌ونَ بِالْمَعْرُ‌وفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ‌ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرً‌ا لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُ‌هُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠

Maksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka orang yang fasik.”


وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه



NOTA:

Kita boleh juga mendengar kuliyah dan penerangan tentang muhasabah di Intiqad


Friday, July 29, 2011

Khutbah Rasulullah SAW Menjelang Bulan Ramadhan

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ


Assalamu'alaikum,


Bulan Ramadhan adalah bulan yang amat dinanti-nantikan kehadirannya oleh umat Islam, kerana dalam bulan itu banyak peluang dan kesempatan yang baik bagi meningkatkan keimanan dan amal ibadah. Bulan Ramadhan dikenal sebagai bulan barakah (bulan yang penuh keberkatan), bulan maghfirah (bulan keampunan), sebagai bulan ibadah kerana di dalamnya pelbagai ibadah dapat dilakukan, iaitu ibadah puasa, solat , zakat, bersedekah, bertadarrus al-Quran, berzikir dan lain2 dan pahalanya pula dilipatgandakan.


Menjelang kedatangan ramadhan Rasulullah saw. berkhutbah kepada para sahabat dan umat Islam untuk menyambut kedatangan Ramadhan ini dengan persiapan yang rapi, dan mengisinya dengan amal ibadah dengan bersungguh2 serta berharap dengan sungguh2 kepada Allah swt akan keberkatan Ramadhan.


Berikut adalah sebahagian Khutbah Rasulullah Menjelang Ramadhan.


Wahai manusia! Sungguh telah datang pada kamu sekalian bulan Allah dengan membawa berkah, rahmat dan maghfirah (keampunan). Bulan yang paling mulia di sisi Allah.


Hari-harinya adalah hari-hari paling utama. Malam-malamnya adalah malam-malam yang paling utama. saat demi saatnya adalah saat-saat paling utama. Inilah bulan ketika kamu diundang menjadi tamu Allah dan dimuliakanNya. Dalam bulan ini nafas-nafasmu menjadi tasbih, tidurmu menjadi ibadah, amal-amalmu diterima, dan doa-doamu dimakbulkan.


Bermohonlah kepada Allah Rabbmu, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Allah membimbingmu untuk melakukan puasa dan membaca kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah pada bulan yang agung ini. Kenanglah dengan rasa lapar dan hausmu, kelaparan dan kehausan pada hari Kiamat. Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin.


Muliakanlah orang-orang tuamu, sayangilah yang muda, eratkanlah tali persudaraanmu, jaga lidahmu, tahan pandanganmu daripada apa yang tidak halal kamu memandangnya, dan pendengaranmu daripada apa yang tidak halal kamu mendengarnya.


Kasihanilah anak-anak yatim, nescaya kamu akan dikasihi manusia. Bertaubatlah kepada Allah akan dosa-dosamu. Angkatlah tangan-tanganmu untuk berdoa pada waktu solatmu kerana itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah Azza wa Jalla memandang hamba-hambaNya dengan penuh kasih.


Dia menjawab kepada hambaNya ketika mereka menyeruNya, Dia menyambut hambaNya, ketika mereka memanggilNya, dan Dia mengabulkan permintaan hambaNya, ketika mereka berdoa kepada-Nya.


Wahai manusia!


Sesungguhnya diri-dirimu tergadai karena amal-amalmu, maka bebaskanlah dengan istighfar. Punggung-punggungmu berat kerana beban dosamu, maka ringankanlah dengan memperpanjangkan sujudmu iaitu memperbanyakkan solat sunat (antaranya ialah solat Tarawih).


Ketahuilah! Allah swt bersumpah dengan segala kebesaranNya bahwa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan Rabbul 'Alamin (pada hari kiamat nanti).


Wahai manusia!


Barangsiapa di antaramu memberi makanan untuk berbuka puasa kepada orang-orang mukmin yang berpuasa pada bulan ramadhan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba sahaya, dan dia diberi keampunan atas dosa-dosanya yang lalu.Sahabat- sahabat bertanya, " Ya Rasulullah! Tidaklah kami semua mampu berbuat demikian." Rasulullah saw menjawab, : "Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya bersedekah dengan sebiji kurma. Jagalah dirimu daripada api neraka walaupun hanya bersedekah dengan seteguk air".


Wahai manusia!


Barangsiapa yang mempercantikkan akhlaknya pada bulan ini dia akan berhasil melewati jambatan sirathal mustaqin, yang pada hari itu, banyak kaki-kaki tergelincir. Barangsiapa yang meringankan pekerjaan pegawai atau pembantunya atau hambanya pada bulan ini, Allah akan meringankan pemeriksaan ke atasnya pada hari Kiamat.


Barangsiapa menahan keburukannya pada bulan ini, Allah akan menahan murkaNya pada hari dia berjumpa denganNya. Barangsiapa memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari dia berjumpa denganNya.


Barangsiapa menyambungkan tali persudaraan (silatuarahim) pada bulan ini, Allah akan menghubungkan dia dengan rahmatNya pada hari dia berjumpa denganNya. Barangsiapa memutuskan kekeluargaan pada bulan ini, Allah akan memutuskan rahmatNya pada hari dia berjumpa denganNya. Barangsiapa melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan menuliskan baginya kebebasan daripada api neraka.


Barangsiapa memperbanyak selawat kepadaku pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangan meringan. Barangsiapa pada bulan ini membaca satu daripada ayat Al-Quran, ganjarannya sama seperti mengkhatam Al-Quran pada bulan-bulan yang lain.


Wahai manusia!


Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagimu, maka mintalah kepada Tuhanmu agar tidak akan pernah menutupkannya bagimu. Pintu-pintu neraka tertutup, maka mohonlah kepada Rabbmu untuk tidak akan pernah dibukakan bagimu. Syaitan-syaitan terbelenggu, maka mintalah agar syaitan tidak akan lagi pernah menguasaimu. Ali bin Abi Thalib ra berdiri dan berkata,"Ya Rasulullah! Apa amal yang paling utama pada bulan ramadhan ini? " Jawab Baginda, “Ya abal Hasan! Amal yang paling utama pada bulan ini adalah menjaga diri daripada apa yang diharamkan Allah."


Inilah sebahagian daripada khutbah Rasulullah saw yang dibacakan menjelang bulan Ramadahan. Baginda sedar betul akan kemuliaan bulan Ramadhan ini, bulan Ramadhan bukan sahaja diwajibkan kita berpuasa tetapi bulan yang padanya diperuntukkan banyak keberkatan.


Marilah menghayati isi khutbah ini agar puasa dan akitiviti kita dalam bulan Ramadhan tahun ini bertambah baik daripada tahun2 sebelumnya, dan semoga berkekalan sehingga tahun2 berikutnya.

Sumber : SINI 


Ahlan WaSahlan Ya Ramadhan!

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)