Showing posts with label Sabar. Show all posts
Showing posts with label Sabar. Show all posts

Wednesday, February 6, 2013

Tanyalah Ustaz di TV9 - Indahnya Sabar





Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Tanyalah Ustaz Jumaat 04.02.2013 - Indahnya Sabar (1)
Oleh Ustaz Elyas Ismail

Muqaddimah : 

Bacaan ayat-ayat al-Quran Surah al-Baqarah ayat 153 - 157

2:153
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar (Al-Baqarah 2:153)
2:154
Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu: orang-orang mati; bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya. (Al-Baqarah 2:154)

2:155
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Al-Baqarah 2:155

2:156
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."(Al-Baqarah 2:156)

2:157
Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. (Al-Baqarah 2:157

Sabda Rasulullah SAW : "Barangsiapa yang Allah menghendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amat malang jika sudah tua masih lagi tidak faham agama.

Dalam ayat-ayat di atas ada 5 tip yang Allah berikan untuk kita fahami

1)   Jika kita nak pertolongan Allah kita hendaklah sabar dan dirikan solat. 
2)   Orang-orang yang mati syahid sentiasa hidup di sisi Allah.
3)   Allah uji kita dengan perasaan takut (contoh nak belajar jauh di negara yang tak aman akan timbul rasa takut), lapar (jika nak tahu orang tu sabar atau tidak lihatlah ketika dia lapar - ketika membeli makanan sanggup potong que).
4)   Bila kita diuji Allah ajar kita baca istirja (Inna lillahi wainna ilaihi raaji'uun). Ini bukan untuk kematian sahaja tetapi untuk apa sahaja ujian.
5)   Jika ingin dapat petunjuk daripada Allah SWT, pra-syaratnya ialah sabar.

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan dengan sifat sabar?

Jawapan:

Bila cakap tentang sabar, Allah SWT telah mengajar kita bahawa jika kita ingin berjaya kita kena sabar.

Nabi kata sabar itu umpama sinar matahari.  

Selalunya bila nak sabar kita rasa panas. Dikaitkan sabar dengan matahari kerana orang yang sabar diibaratkan seperti matahari yang panas membahang tetapi panas matahari itu dapat menyuburkan tanam-tanaman di atas muka bumi.

Ini nak menunjukkan bahawa orang yang sabar itu subur jiwanya.

Bila musibah menimpa seolah-olah kegelapan melanda. Jadi bila sabar cahaya dapat menyinari. Contoh apabila rasa nak marah terhadap anak-anak kita sabar lalu berfikir kenapa anak jadi seperti ini maka tak jadi marah. Allah SWT lebih lagi Maha Penyabar (as-Sabuur).

Orang yang sabar akan dapat banyak ganjaran. Perhatikan cicak, cicak tidak dapat terbang tetapi makanannya terdiri daripada binatang yang terbang. Allah berikan cicak lidah yang panjang.

Soalan:

Setiap kali ditimpa musibah adakalanya sabar adakalanya tidak. Bagaimana?

Jawapan:

Ada 4 tip atau kaedah menanganinya 

  1. Ingat satu ketika nabi ditanya apa itu iman. Nabi jawab iman itu sifatnya sabar dan dapat memaafkan (let go let God) biarlah berlalu dan serah kepada Allah SWT. Ingatlah kisah Rasulullah SAW yang sering dilemparkan duri oleh seorang wanita, bila wanita itu sakit nabi ziarah menyebabkan wanita itu bersyahadah.
  2. Sebelum tidur malam maafkan semua orang. Dengan pasangan kita adalah lebih baik kita pegang erat tangan masimg-masing supaya ada sentuhan dan minta pasangan kita rating kita. Tanya skala kemudian ikhlaskan dan redha supaya pasangan masing-masing akan memperbaiki diri.
  3. Ingat Pak Hamka dalam Ihya Ulumuddin ada menyebut marah itu adalah salah satu pintu syaitan.
  4. Bila ada org sebelah anda nak marah suruh dia buat teknik pernafasan 2, 3 dan 4 , tarik nafas 2 saat tahan selama 3 saat kemudian lepaskan 4 saat..sebtlah Allah selepas lepaskan nafas.. InsyaAllah tak jadi marah.

Soalan:

Bagaimanakah yang dimaksudkan dengan berpesan-pesan dengan kesabaran?

Jawapan:

Kita yang berpesan-pesan ni pun kena sabar.
"Dan tetap tekunlah engkau memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu mendatangkan faedah kepada orang-orang yang beriman". (Adz-Dzaariyaat 51:55)
Maksudnya orang-orang yang beriman sahaja yang mudah menerima nasihat. Bila menerima peringatan akan berbekas di hati orang-orang beriman.

Iman kena kuat, Bila kita lihat sirah, bagaimana Sumayyah dan keluarganya disiksa teruk, nabi kata kepada mereka "Sabarlah keluarga Yasir, Syurga menanti kamu di sana".

Begitu juga dengan Bilal bin Rabah dijemur dan disiksa tetapi sentiasa sebut "Ahad"

Jangan ingat Allah hanya bila berada di masjid sahaja. Ingatlah Allah pada setiap masa dan keadaan.

Soalan:

Apakah kelebihan jika kita sentiasa sabar?

Jawapan:

Sabar adalah senjata orang mukmin. Dunia ini negara bala dan ujian. Dunia ini tempat penyelesaian masalah. Ada yang kata dunia ini seperti mengupas bawang, semasa kupas  mengalirair mata.

Hamka kata masa kita lahir kita menangis, orang sekeliling ketawa. Jangan pula ketika kita meninggal orang ketawa.

Kelebihan sabar:
  • Hati jadi tenang, bila sabar kita tak kelam kabut. Kita tidur pun lena sebab dah maafkan orang/ lupakan marah kepada orang.

  • Sentiasa dapat petunjuk daripada Allah SWT.

  • Apa jadi jika kita balik kita lihat bilik bersepah, lalu kita nak marah-marah kemudian kita dapati mak kita yang sepahkan, takkan nak marah. Begitulah jika Allah uji kita takkan kita nak marah/tak sabar.

  • Orang sabar akan tenang dalam beribadah.

  • Orang sabar akan dekat dengan Allah.

Soalan:

Adakah sifat sabar itu perlu dalam kesusahan sahaja?

Jawapan:

Sabar bukan setakat mendapat musibah sahaja. 

1) Sabar dalam mentaati perintah Allah SWT.
Contoh kita kena lawan nafsu mengantuk untuk bangun waktu subuh. Solat nampak mudah tapi jika tak sabar tak jadi. Nak khusyuk seperti orang bercinta juga perlu bersabar. Bayangkan jika kita bercinta kita boleh bersembang lama-lama. Jadi sabarlah dalam solat.

2) Sabar dalam menghindarkan maksiat. Sebenarnya nak tinggalkan maksiat lebih sukar daripada buat ibadah. Contoh nak berhenti mengumpat lebih sukar daripada memberi nasihat.

3)  Sabar ketika menghadapi musibah.

Soalan:

Bagaimana nak didik hati untuk bersabar?

Jawapan:

Ada 3 kaedah yang Rasulullah SAW bagi

  1. Hubung sillaturrahim kepada yang memutuskan sillaturrahim dengan kita. Orang yang baik ialah orang yang memulakan menyambung yang putus.
  2. Berikan kepada dia biarpun kita tak pernah dapat apa-apa daripada dia. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.
  3. Maafkan orang yang menzalimi kita.

Saturday, April 14, 2012

Berasa Dukacita?


Bismillahirrahmanirrahim. 


Assalamu'alaikum. 

Pada zaman dahulu ada seorang hamba Allah bernama Abul Hassan pergi mengerjakan haji di Baitul Haram. Semasa beliau sedang melakukan tawaf tiba-tiba beliau terlihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. 

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, ini sudah pasti wanita ini tidak pernah risau dan bersedih hati." Berkata Abul Hassan. 

Tiba-tiba wanita itu yang terdengar ucapan Abul Hassan bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan tiada seorang pun yang menyekutui aku dalam hal ini." 

Abul Hassan bertanya, "Apakah yang merisaukanmu ?" 

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan bersama aku dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang seorang lagi masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk menyediakan makanan, tiba-tiba anakku yang lebih tua berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?" 

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?" 

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar, lalu dia lari ke bukit, di sana dia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara." 

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?" 

Wanita itu menjawab: "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka." 

Kisah di atas dapat dijadikan tauladan, kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan mesti dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah apabila terkena musibah dan ujian daripada Allah. 


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: "Apabila Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang, Dia akan mengujinya dengan kesulitan" 

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Untuk setiap musibah, penyakit, keresahan, kesedihan atau kesakitan yang menimpa seorang Muslim, hatta luka yang disebabkan tertusuk duri, Allah akan menghapuskan dosa2 nya" 

Ibn Mas’ud ra berkata: "Aku menziarahi Rasulullah sewaktu Baginda sakit. Aku mengatakan, “Ya Rasulullah!, engkau menghadapi demam yg kuat!” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Demamku adalah dua kali (kuatnya) daripada kamu" Aku bertanya lagi, “Adakah kerana engkau mendapat dua kali ganjaran?” Jawab Baginda, “Benar! Tiada seorang Muslim yg ditimpa kesakitan, walaupun hanya luka yang disebabkan tertusuk duri, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya disebabkan kesakitan itu, dan dosanya gugur seperti gugurnya dedaun daripada sepohon pokok”. 

Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: 

"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya daripada ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." 

Mengeluh juga sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda, : " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang." 

Dan sabdanya lagi, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian daripada wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah) 

Semoga kita sentiasa dapat bersabar dalam menghadapi segala ujian dan musibah. 

Sunday, April 24, 2011

Tentang SABAR

بِسۡمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡمَـٰنِ ٱلرَّحِيمِ

Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyyah memberikan gambaran bahawa:
  • Sabar bukan bererti menyerah tanpa usaha  namun, sabar juga bukan bererti perjuangan tanpa hasil. 
  • Sabar adalah taman kesejukan di antara usaha yang maksima dan tawakkal yang sepenuhnya. 
  • Sabar adalah timbulnya keyakinan yang kuat kepada janji Allah. Allah tidak mungkir janji.
  • Dengan sabar, hati begitu optimis, bahawa Allah akan segera menyambut niat dan keinginan tulus seorang hamba. 
Apa akan berlaku jika hati dipenuhkan dengan  mengharap sambil memaksa terhadap kehendak Allah? 

Yang pasti ialah habis tenaga kita, dan niat suci kitapun hancur bekecai bak debu berterbangan dan wujudlah prasangka buruk terhadap Allah. Wal'iyazubillah.

Tidak ada satupun keadaan yang paling indah, melainkan bila kita dapat bersabar; baik ketika kita senang mahupun ketika kita susah, ketika kita berada mahupun ketika kita miskin, lapang mahupun sempit. 

Allah berjanji bahawa hanya hamba-Nya yang istiqamah dan berjiwa teguh serta yakin dengan  Qadar serta Qadha' Allah SWT sahaja  yang mampu bersabar, dalam mengharungi suka duka kehidupan.

Dalam Al-Quran terdapat banyak perkataan sabar, sama ada dalam bentuk ismun (kata nama) ataupun dalam bentuk fa'el (perbuatan/kata kerja). Ini menunjukkan betapa  pentingnya sabar kepada seorang mukmin pada sisi Allah SWT.

Contoh ayat-ayat al-Quran:


Sabar merupakan perintah daripada Allah SWT.  

"Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar" (Al-Baqarah 2:153)

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan)". (A-li'Imraan 3:200 

"Dan turutlah apa yang diwahyukan kepadamu serta bersabarlah (dalam perjuangan mengembangkan Islam) sehingga Allah menghukum (di antaramu dengan golongan yang ingkar, dan memberi kepadamu kemenangan yang telah dijanjikan), kerana Dia lah sebaik-baik Hakim". (Yunus 10:109)

"Dan sabarlah (wahai Muhammad, engkau dan umatmu, dalam mengerjakan suruhan Allah), kerana sesungguhnya Allah tidak akan menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan". (Hud 11:115) 

"Dan bersabarlah (wahai Muhammad terhadap perbuatan dan telatah golongan yang ingkar itu); dan tiadalah berhasil kesabaranmu melainkan dengan (memohon pertolongan) Allah; dan janganlah engkau berdukacita terhadap kedegilan mereka, dan janganlah engkau bersempit dada disebabkan tipu daya yang mereka lakukan". (Al-Nahl 16:127)


Larangan isti’jal (tergesa-gesa).


(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya Rasul-rasul "Ulil-Azmi" (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan Rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu); dan janganlah engkau meminta disegerakan azab untuk mereka (yang menentangmu itu). Sesungguhnya keadaan mereka semasa melihat azab yang dijanjikan kepada mereka, merasai seolah-olah mereka tidak tinggal (di dunia) melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. (Penerangan yang demikian) cukuplah menjadi pelajaran (bagi orang-orang yang mahu insaf). Maka (ingatlah) tidak dibinasakan melainkan kaum yang fasik - derhaka. (Al-Ahqaaf 46:35)


Pujian Allah kepada orang-orang yang bersabar:

".... dan ketabahan orang-orang yang sabar dalam masa kesempitan, dan dalam masa kesakitan, dan juga dalam masa bertempur dalam perjuangan perang Sabil. orang-orang yang demikian sifatnya), mereka itulah orang-orang yang benar (beriman dan mengerjakan kebajikan); dan mereka itulah juga orang-orang yang bertaqwa". (Al-Baqarah 2:177)


Allah sangat mencintai orang-orang yang sabar.

"Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mencintai orang-orang yang sabar". (A-li'Imraan 3:146) 


Kebersamaan Allah dengan orang-orang yang sabar.
"Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar". (Al-Anfaal 8:46)


Mendapatkan pahala berupa syurga dari Allah.
"Dan orang-orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; - (Ar-Ra'd 13:22)iaitu Syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri-isteri mereka serta anak-anak mereka; sedang malaikat-malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; - (Ar-Ra'd 13:23)(Memberi hormat dengan berkata): "Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu. (Ar-Ra'd 13:24)


Hadis  tentang sabar. 

Dalam hadis terdapat banyak sekali tentang sabda Rasulullah SAW yang menjelaskan tentang kesabaran. Sebagai contoh; dalam kitab Riyadhus Shalihin, Imam an Nawawi mencantumkan 29 hadis berkenaan sabar.

Antaranya: 

Kesabaran merupakan dhiya’ (cahaya yang amat terang). Dengan kesabaran inilah, seseorang akan mampu menyingkap kegelapan. Rasulullah SAW mengungkapkan, "…dan kesabaran merupakan cahaya yang terang…" (HR. Muslim) 

Kesabaran merupakan sesuatu yang perlu diusahakan dan dilatih secara optimum.(bersungguh-sungguh). Rasulullah SAW pernah menggambarkan: "…barangsiapa yang berusaha untuk sabar, maka Allah akan menjadikannya seorang yang sabar…" (HR. Bukhari) 

Kesabaran merupakan anugerah Allah yang paling baik. Rasulullah mengatakan, "…dan tidaklah seseorang itu diberi sesuatu yang lebih baik dan lebih lapang daripada kesabaran." (HR Bukhari dan Muslim) 

Kesabaran merupakan salah satu sifat sekaligus ciri orang mukmin, sebagaimana hadis yang terdapat pada muqadimah; 

"Sungguh menakjubkan perkara orang yang beriman, kerana segala perkaranya adalah baik. Jika ia mendapatkan kenikmatan, ia bersyukur kerana (ia mengatahui) bahawa hal tersebut adalah memang baik baginya. Dan jika ia tertimpa musibah atau kesulitan, ia bersabar kerana (ia mengetahui) bahawa hal tersebut adalah baik baginya." (HR. Muslim)


Seseorang yang sabar akan mendapatkan pahala syurga. 


Dalam sebuah hadis digambarkan: 

Daripada Anas bin Malik ra berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah saw. bersabda, "Sesungguhnya Allah berfirman: "Apabila Aku menguji hamba-Ku dengan kedua matanya, kemudian dia bersabar, maka aku gantikan syurga baginya". (HR. Bukhari). 


Sabar merupakan sifat para nabi.  

Ibnu Mas’ud dalam sebuah riwayat pernah mengatakan: Daripada Abdullah bin Mas’ud berkata: "Seakan-akan aku memandang Rasulullah SAW menceritakan salah seorang nabi, yang dipukul oleh kaumnya hingga berdarah, kemudian ia mengusap darah daripada wajahnya seraya berkata, "Ya Allah ampunilah dosa kaumku, kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui".  (HR. Bukhari)


Kesabaran merupakan ciri orang yang kuat. 

Rasulullah SAW pernah menggambarkan dalam sebuah hadis; Daripada Abu Hurairah ra berkata, bahawa Rasulullah bersabda, "Orang yang kuat bukanlah yang pandai bergusti, namun orang yang kuat adalah orang yang memiliki jiwanya ketika ia sedang marah". (HR. Bukhari)


Kesabaran dapat menghapuskan dosa. 

Rasulullah SAW menggambarkan dalam sebuah hadisnya; Daripada Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda; "Tidaklah seorang muslim mendapatkan kelelahan, sakit, kecemasan, kesedihan, bahaya dan juga kesusahan, hingga duri yang menusuknya, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya dengan hal tersebut". (HR. Bukhari & Muslim)


Kesabaran merupakan suatu keharusan. 

Seseorang tidak boleh putus asa hinggakan dia menginginkan kematian. Sekiranya memang sudah sangat terpaksa hendaklah ia berdoa kepada Allah, agar Allah memberikan hal yang terbaik baginya; apakah kehidupan atau kematian. Daripada Anas bin Malik ra, bahawa Rasulullah SAW bersabda;  "Janganlah salah seorang di antara kalian mengangan-angankan datangnya kematian kerana musibah yang menimpanya. Dan sekiranya ia memang harus mengharapkannya, hendaklah ia berdoa; "Ya Allah, teruskanlah hidupku ini sekiranya hidup itu lebih baik untukku, dan wafatkanlah aku sekiranya itu lebih baik bagiku". (HR. Bukhari Muslim)


Pembahagian sabar dan kaitannya dengan hukum yang lima iaitu: 

1. Sabar yang Wajib.  

Sabar ini terbahagi  kepada 3:
  • Sabar dalam ketaatan dan dalam menunaikan kewajipan (melakukan segala suruhan Allah)
  • Sabar dalam menahan diri daripada melakukan kemaksiatan dan segala yang dilarang oleh Allah.
  • Sabar terhadap semua bala bencana dan musibah yang ditakdirkan.
2. Sabar yang Sunat.  

Sabar ini juga ada 3:  
  • Sabar dalam menahan diri dalam menghadapi perlakuan buruk dengan membalas keburukan pula; 
  • Sabar dalam hal-hal yang disunatkan; dan 
  • Sabar dalam menahan diri daripada perkara-perkara yang makruh. 
3. Sabar yang Mubah.  

Sabar yang mubah adalah menahan diri daripada semua perbuatan yang kedua-duanya sama baik antara melakukan dan meninggalkan dan bersabar atasnya, kerana sabar itu berkaitan dengan nafsu yang selalu berkeinginan dan menyukai agar keinginan-keinginannya selalu dituruti dan dipenuhi. 

4. Sabar yang Makruh. 

Ada beberapa contoh sabar yang makruh yang dapat menjelaskannya, iaitu : 

Pertama: Menahan diri daripada kelapangan dalam makanan, minuman, pakaian dan hubungan suami isteri sehingga hal itu membahayakan kesehatan badannya; 

Kedua : Menahan diri daripada menggauli isterinya ketika isterinya memerlukan berbuat demikian dan tidak ada mudharat bagi si suami. karena yang demikian akan memudharatkan bagi isteri dan ini bermakna dia telah mengabaikan salah satu hak hidup suami isteri, manakala Islam menganjurkan untuk menjaga hak-hak tersebut dan menggaulinya secara baik; 

Ketiga: Tidak menegur apabila melihat seseorang yang melakukan perkara-perkara yang makruh dalam solat,  pada hal dia tahu hal itu sebahagian daripada hal-hal yang dimakruhkan dalam solat

Keempat: Menahan diri daripada perbuatan yang disunatkan seperti kebiasaan memberi sedekah kepada salah seorang yang memerlukan sedikit wang atau yang lainnya setiap minggu atau setiap bulan, lalu tiba-tiba ia menghentikan hal itu. 

5. Sabar yang Haram.  

Secara ringkas Ibnu Al-Qayyim Al-Jauziyyah berkata : 
  • "Sabar atas kewajiban adalah wajib dan sabar dalam menahan diri daripada kewajiban adalah haram. 
  • Sabar dalam menahan diri daripada yang haram adalah wajib dan sabar menerima perlakuan yang dilarang adalah haram. 
  • Sabar dalam menunaikan yang sunah adalah disunahkan dan sabar untuk tidak melakukannya adalah makruh.  
  • Sabar dalam menahan diri dari yang makruh adalah sunah. 
  • Sabar yang dibolehkan adalah mubah”.
Mudah-mudahan menambah pengetahuan kita dan dapat mengamalkannya. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang sabar.

Sumber : Pelbagai

Saturday, March 12, 2011

Erti Sabar

Bismillahirrahmanirrahim

Di bawah ini disalin dan ditampal artikel
Sabar senjata ajaib Mukmin hadapi cabaran hidup
Oleh Mohd Rizal Azman Rifin
Berita Harian
2011/03/12
Umat tak berputus asa berdepan ujian jadi penanda aras ketinggian darjat keimanan, takwa

SATU nilai peribadi mukmin mesti ada ialah sabar kerana banyak keterangan daripada al-Quran dan pesanan Rasulullah SAW menjelaskan bahawa sabar nilai dimiliki setiap mukmin beriman.
Sabar senjata paling ajaib kepada setiap Mukmin untuk berdepan sebarang keadaan dalam menyusuri aliran kehidupan di dunia. Ia juga jalan terbaik menuju kejayaan dan kebahagiaan. Tiada jalan penyelesaian terbaik melainkan mengamalkan sikap sabar. Allah ada menyebut kira-kira 90 kali dalam al-Quran berkenaan sabar. Imam Ahmad dalam kitabnya, az-Zuhud, ada memetik kata-kata Saidina Umar al-Khattab: “Kami dapati sebaik-baik kehidupan kami adalah dengan kesabaran.”

Sikap sabar terangkum dalam sabar badani atau fizikal dan sabar nafsi. Kedua-dua sifat sabar itu pula dapat dipecahkan kepada dua lagi iaitu ikhtiyari atau pilihan dan idtirari atau keterpaksaan.

Sabar badani ikhtiyari itu adalah sikap sabar ketika melaksanakan sesuatu amalan atau kerja yang berat. Sabar badani idtirari pula bersabar menahan rasa sakit, contohnya menahan rasa sakit dipukul. Di sini seseorang itu tiada pilihan melainkan terpaksa bersabar.

Sabar nafsi ikhtiyari ialah sabar untuk tidak melakukan sesuatu dianggap bertentangan syariat. Sabar nafsi idtirari pula seperti orang yang bersabar tatkala kehilangan atau kematian seseorang dikasihinya.
Dalam keadaan sedemikian, jika seseorang itu tidak bersabar maka akan terjadi pelbagai tingkah laku menyalahi kehendak agama seperti menangis secara melampau atau menjerit-jerit sebagai tanda sedih. Ini semua bertentangan syariat agama.

Dikisahkan, ada seorang ahli hikmah berkata: “Aku tidak pernah kalah kecuali oleh seorang pemuda yang pintar. Suatu hari, anak muda itu bertanya kepadaku, apakah sabar itu? Lalu akupun menjawab, jika kami memiliki makanan, maka kami makan dan jika tiada makanan, kami akan bersabar.

Pemuda itu kemudian berkata lagi: “Jika itu, biasa dilakukan oleh anjing di kampung kami. Terdiam seketika aku mendengar kata-kata pemuda itu. Seketika kemudian, aku bertanya kepada anak muda itu: Wahai anak muda, jika demikian apa sebenarnya makna sabar?

Pemuda itu dengan tenang menjawab: “Jika kami tidak ada makanan maka kami bersabar, dan sebaliknya jika kami dikurnia Allah makanan, maka kami biasakan amalan itsar, mendahulukan orang lain.”

Sikap sabar menjadi penanda aras kepada mantapnya iman dan takwa seseorang mukmin. Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya Allah berfirman: Jika aku menguji hamba-Ku dengan hilangnya dua hal yang sangat dicintainya (dua matanya) kemudian dia boleh bersabar, maka akan Aku ganti keduanya dengan syurga.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Ini bermakna seseorang mukmin yang bersabar atas apa saja penderitaan dan musibah menimpanya, Allah menjanjikan balasan syurga. Kesabaran sifat yang boleh diusahakan manakala pada sesetengah orang memang dikurniakan Allah sifat sabar.

Untuk berlatih menjadi penyabar itu sesuai dengan pesanan Rasulullah SAW bermaksud: “Dan barang siapa yang berusaha bersabar maka Allah akan menyabarkannya.”

Sifat sabar menghadapi apa juga dugaan dan ujian Allah satu kebaikan yang agung, malah Nabi SAW menjelaskan sabar itu cahaya dalam sabda yang bermaksud: “Solat adalah sinar, sedekah adalah bukti, sabar adalah cahaya dan al-Quran adalah hujah bagimu.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Permasalahan kehidupan kita tidak seperit dan seteruk pengalaman Nabi Muhammad SAW dan sahabat menyebarkan Islam di Makkah. Jadi seharusnya kita sentiasa memperingatkan diri supaya tidak mudah berputus asa atau mengambil sikap pesimis apabila bertembung ujian dalam kehidupan.

Diriwayatkan suatu ketika Nabi SAW melalui hampir dengan seorang perempuan yang sedang menangis di sebelah kubur. Lalu Nabi SAW pun berkata kepadanya: “Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah. Lalu perempuan itu menjawab: Jauhkan daripadaku! kerana engkau tidak pernah mendapat musibah seperti aku.”

Sebenarnya perempuan itu tidak mengetahui yang berpesan kepadanya itu adalah Rasulullah SAW. Kemudian Nabi meninggalkan perempuan itu. Nabi SAW langsung tidak menunjukkan rasa kecewa dan marah atas kata-kata perempuan itu. Ini satu contoh terbaik buat kita semua khususnya pendakwah supaya sentiasa berhati lembut dan sabar dengan apa saja kerenah manusia.

Apabila saja diberitahu orang yang berpesan kepadanya di kawasan kubur itu adalah Rasulullah SAW, maka dia pun bergegas menuju ke rumah Baginda untuk memohon ampun. Namun, malang sekali, tatkala sampai di rumah Nabi SAW, Baginda tiada pada masa itu.

Kemudian ketika bertemu Rasulullah SAW, perempuan itu berkata: “Maaf, saya tadi tidak melihat engkau wahai Rasulullah. Nabi SAW berkata, “Sesungguhnya, kesabaran itu ada pada masa pertama.” (Hadis riwayat Bukhari)

Demikian penting nilai sabar dalam diri setiap mukmin dan kita hendak mula bersabar dengan apa saja musibah menimpa dan anggaplah ia sebagai ujian Allah kepada kita untuk menilai darjat keimanan dan ketinggian takwa. Mukmin yang penyabar adalah mukmin yang unggul. 

Monday, January 10, 2011

Sabar Hadapi Ujian

Persoalan Agama: Sabar hadapi ujian dunia tidak lama
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
2010/12/19

Umat yang tenang menghadapi setiap musibah, ujian-Nya dijanjikan pahala di akhirat 


MAKSUD sabar adalah menahan diri daripada sesuatu yang sukar. Sabar terpuji yang dituntut oleh Islam ialah sabar dalam mentaati Allah SWT, sabar dalam meninggalkan larangan-Nya serta sabar dalam musibah yang ditakdirkan.


Banyak ayat al-Quran berbicara mengenai sabar. Antaranya, Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 155 yang bermaksud: “Dan sungguh akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.
(Iaitu) orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka mengucapkan, Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un (sesungguhnya kami adalah milik Allah dan kepada-Nya kami kembali). Mereka itulah yang mendapat keberkatan yang sempurna dan rahmat dari Tuhannya dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.” 

Ucapan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un adalah ucapan istirja’ ketika ditimpa musibah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad daripada Ummu Salamah, beliau bercerita: “Pada suatu hari, selepas menemui Rasulullah SAW, Abu Salamah mendatangiku, lalu beliau menceritakan bahawa beliau telah mendengar ucapan Rasulullah SAW yang membuat aku merasa senang. 

Baginda bersabda: Tidak ada seorang daripada kaum muslimin yang ditimpa musibah, lalu ia mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’uun, lalu ia berdoa, Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha (Ya Allah, berilah aku pahala dalam musibahku ini dan berilah pengganti yang lebih baik darinya), melainkan doanya itu dikabulkan. Ummu Salamah berkata: Kemudian aku menghafal doa darinya itu. Ketika Abu Salamah wafat, maka aku pun mengucapkan inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un dan berdoa: “Allahumma’ jurnii fii mushibatii wa akhlif lii khairan minha.” Kemudian aku berkata kepada diriku sendiri: Dari mana aku akan memperoleh orang yang lebih baik dari Ummu Salamah? Selepas masa ‘iddahku berakhir, Rasulullah SAW meminta izin kepadaku. Ketika itu, aku sedang menyamak kulit milikku lalu aku menyuci tanganku dari qaraz (daun yang digunakan untuk menyamak). Lalu kuizinkan Baginda masuk dan kusiapkan untuknya bantal tempat duduk yang berisi sabut. 

Maka Baginda duduk di atasnya. Lalu Baginda menyampaikan lamaran kepadaku. Selepas Baginda berbicara, aku berkata: Ya Rasulullah, keadaanku akan membuatmu tak berminat. Aku ini seorang wanita yang sangat cemburu, maka aku takut engkau mendapatkan dari diriku sesuatu yang kerananya Allah akan mengazabku, sementara aku sendiri sudah tua dan mempunyai banyak anak. Maka Baginda bersabda (yang bermaksud): Adapun kecemburuanmu yang engkau sebutkan, maka semoga Allah SWT menghilangkan darimu. Dan usia tua yang engkau sebutkan, maka aku pun mengalami apa yang engkau alami. Dan keluarga yang engkau sebutkan itu, maka sesungguhnya keluargamu adalah keluargaku juga”. 

Maka Ummu Salamah menyerahkan diri kepada Rasulullah SAW dan kemudian Baginda menikahinya. Selepas itu Ummu Salamah pun berkata: “Allah memberi ganti kepadaku yang lebih baik dari Abu Salamah, iaitu Rasulullah SAW”.

Begitu juga sabar dalam melaksanakan ketaatan serta meninggalkan pelbagai hal yang diharamkan dan perbuatan dosa sebagaimana yang disebutkan dalam surah al-Baqarah ayat 45 (yang bermaksud): “Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk.” Manusia paling sabar adalah Nabi sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim dari Abu ‘Abdurrahman ‘Abdullah bin Mas’ud ra, beliau berkata: “Seakan-akan saya masih melihat Rasulullah SAW sewaktu menceritakan seorang dari nabi-nabi ketika dipukul oleh kaumnya sehingga berlumuran darah dan ia mengusap darah dari mukanya sambil berdoa: Wahai Allah, ampunilah kaumku kerana sesungguhnya mereka tidak mengetahui.” 

Kepada saudara yang bertanya, sabar dengan ujian kehidupan dunia bukanlah satu tempoh yang lama kerana pahala dijanjikan Allah sangat besar sebagaimana firman Allah SWT dalam surah az-Zumar ayat 10, bermaksud: “Sesungguhnya hanya orang yang bersabarlah yang dicukupkan pahala mereka tanpa batas.” Wallahua’lam. m. 

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)