Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Pada zaman dahulu ada seorang hamba Allah bernama Abul Hassan pergi mengerjakan haji di Baitul Haram. Semasa beliau sedang melakukan tawaf tiba-tiba beliau terlihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya.
"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, ini sudah pasti wanita ini tidak pernah risau dan bersedih hati." Berkata Abul Hassan.
Tiba-tiba wanita itu yang terdengar ucapan Abul Hassan bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan tiada seorang pun yang menyekutui aku dalam hal ini."
Abul Hassan bertanya, "Apakah yang merisaukanmu ?"
Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan bersama aku dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang seorang lagi masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk menyediakan makanan, tiba-tiba anakku yang lebih tua berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?"
Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?"
Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar, lalu dia lari ke bukit, di sana dia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara."
Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?"
Wanita itu menjawab: "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka."
Kisah di atas dapat dijadikan tauladan, kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan mesti dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah apabila terkena musibah dan ujian daripada Allah.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: "Apabila Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang, Dia akan mengujinya dengan kesulitan"
Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Untuk setiap musibah, penyakit, keresahan, kesedihan atau kesakitan yang menimpa seorang Muslim, hatta luka yang disebabkan tertusuk duri, Allah akan menghapuskan dosa2 nya"
Ibn Mas’ud ra berkata: "Aku menziarahi Rasulullah sewaktu Baginda sakit. Aku mengatakan, “Ya Rasulullah!, engkau menghadapi demam yg kuat!” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Demamku adalah dua kali (kuatnya) daripada kamu" Aku bertanya lagi, “Adakah kerana engkau mendapat dua kali ganjaran?” Jawab Baginda, “Benar! Tiada seorang Muslim yg ditimpa kesakitan, walaupun hanya luka yang disebabkan tertusuk duri, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya disebabkan kesakitan itu, dan dosanya gugur seperti gugurnya dedaun daripada sepohon pokok”.
Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi:
"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya daripada ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya."
Mengeluh juga sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda, : " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang."
Dan sabdanya lagi, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian daripada wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah)
Semoga kita sentiasa dapat bersabar dalam menghadapi segala ujian dan musibah.
No comments:
Post a Comment