Bismillahirrahmanirrahim
Asslamu'alaikum.
Allah berfirman:
Kemudian kamu pasti akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu megah-megahkan)! (At-Takaathur 102:8)
Apa sahaja nikmat yang diberikan kepada hambaNya akan ditanya.
Adakah benar-benar kita telah mensyukurinya?
Atau adakah kita jadi orang yang terpedaya hingga terjadi kufur nikmat?
Ramai yang diberi nikmat oleh Allah, tetapi sayangnya nikmat tersebut disalurkan untuk kemaksiatan.
Dan (ingatlah), semasa orang-orang kafir didedahkan kepada neraka (serta dikatakan kepada mereka): "Kamu telah habiskan nikmat-nikmat kesenangan kamu dalam kehidupan dunia kamu, dan kamu telah bersenang-senang menikmatinya; maka pada hari ini kamu dibalas dengan azab yang menghina kerana kamu berlaku sombong takbur di muka bumi dengan tidak berdasarkan alasan yang benar, dan kerana kamu sentiasa berlaku fasik" (Al-Ahqaaf 46:20)
Di antara nikmat yang akan ditanyakan pada hamba di hari kiamat nanti adalah nikmat sihat. Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda:
“Sungguh nikmat yang akan ditanyakan pada hamba pertama kali pada hari kiamat kelak adalah dengan pertanyaan: “Bukankah Kami telah memberikan kesihatan pada badanmu dan telah memberikan padamu air yang menyegarkan?” (HR. Tirmidzi no. 3358. Syaikh Al Albani mengatakan bahwa hadits ini shahih).
Di manakah nikmat sihat kita salurkan?
Apakah untuk berfoya-foya di dunia?
Ataukah dimanfaatkan untuk ketaatan?
Dan kebanyakan orang itu lalai dengan nikmat sihat .
Daripada Ibnu ‘Abbas, Rasulullah SAW juga bersabda:
“Ada dua kenikmatan yang banyak manusia tertipu, iaitu nikmat sihat dan waktu lapang” (HR. Bukhari no. 6412).
No comments:
Post a Comment