Bismillahirrahmanirrahim.
Buku best seller!
InsyaAllah akan cuba dapatkannya.
Hai anakku, Ketahuilah sesungguhnya dunia ini bagaikan lautan yang dalam, banyak manusia yang karam di dalamnya. Bila engkau ingin selamat agar jangan karam, layarilah lautan itu dengan samoan yang bernama takwa, isinya ialah iman dan layarnya ialah tawakal kepada ALLAH.
-Luqman al-Hakim
Muka Depan Buku Anakku Hidup Sekali Biar
Bererti oleh Anuwar Nursi.
|
APA yang dikatakan sebelum ini adalah
cabaran luaran. Sedangkan cabaran dalaman, iaitu terhadap peribadi tidak kurang
hebatnya.
Ayahanda percaya kita semua pernah mendengar pernyataan ini, ‘Usah
pandang yang zahir tapi lihatlah yang batin’. Isunya ialah tentang
wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ada golongan berpendapat bahawa tidak
semestinya wanita yang tidak menutup aurat itu buruk akhlaknya. Manakala yang
bertudung litup itu mulia peribadinya.
Alasan mereka mengenai perkara ini ialah, kita tidak boleh memandang serong
terhadap seseorang semata-mata melihat kepada penampilan zahirnya sahaja.
Mungkin secara zahirnya, mereka tidak menutup aurat, namun hatinya baik; malah
tidak kelihatan pun gadis atau wanita-wanita seperti ini mengganggu atau
mencederakan orang lain. Sebaliknya tidak sedikit kita saksikan seseorang yang
tunggang tonggek sembahyang (istilah mereka) namun sering pula berbohong dan
melakukan maksiat.
Anakku,
Ketahuilah bahawa tiada istilah baik apabila seseorang itu menderhakai
TUHANnya. Benar... akan ada mereka yang dikatakan ‘soleh’ tetapi masih
melakukan kejahatan. Tetapi, mungkin juga perbuatan yang dilakukannya itu
bersebab. Mungkin juga aura solat itu tidak mempengaruhinya. Atau tidak
mustahil solat yang dilaksanakannya itu kosong daripada khusyuk dan hakikat
ubudiyah.
Hakikinya, sesiapa yang menjalankan kewajipan yang termaktub tetapi telah
melakukan kesalahan, maka solat yang didirikannya itu menjadi penebus dan
penghapus dosa-dosa yang dilakukan, di samping bertaubat nasuha dan
memperbanyakkan istighfar. Sebaliknya golongan yang berterusan melakukan dosa
tetapi tidak berusaha menghapusnya dengan memohon keampunan, maka itu adalah
kesilapan besar yang telah dilakukan.
ALLAH berfirman:
Dan sesungguhnya AKU Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh kemudian tetap di jalan yang benar. - Surah Taha: 82
Anakku,
Jalan-jalan yang mendorong ke arah maksiat itu tidak terhitung banyaknya waima
ia sekecil sebuah iklan yang dipapar di jalanan. Sebenarnya, pakaian
mendedahkan aurat yang dipakai oleh wanita merupakan pintu utama yang
membangkitkan ghairah seks lelaki.
Prof. Dr. Hamka, pengarang ‘Tafsir Al-Azhar’ berkata tatkala menyatakan tentang
etika luaran atau adab berpakaian bagi wanita muslimah, beliau mengingatkan
bahawa lelaki yang tergiur ketika melihat wanita cantik, itu adalah lumrah.
Jika lelaki tidak bergetar jiwanya memandang perempuan cantik sedangkan dia
seorang lelaki, itu sangat menghairankan.
Lebih-lebih lagi jika yang dilihatnya itu memakai pakaian ketat, terbuka, malah
aksinya sangat menggoda. Bagaimana reaksi seorang pemuda ketika melihat paha
yang sengaja didedahkan? Apakah mereka diam? Jawapannya tidak. Itulah sebabnya
Nabi s.a.w ketika melihat Asma puteri Abu Bakar As-Siddiq memakai pakaian nipis
dan jarang (pakaian kaasiyatin aariyatin - berpakaian tapi bertelanjang),
baginda segera memalingkan muka lalu memerintahkan Asma agar menutupnya
baik-baik.
Islam tidak mensyaratkan perlu ada potongan atau fesyen tertentu dalam
berpakaian. Asalkan ia longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, itu sudah
mencukupi. Walaupun perkara ini mudah, tapi masih ramai yang tidak tahu serta
tidak mengamalkannya. Sebahagian mereka mungkin kerana jahil tapi bersemangat
untuk mengikut saranan agama. Mereka menyangka telah menutup aurat dengan
sempurna tetapi sebenarnya tidak. Kita dapat saksikan fenomena ini di sekeliling
hari ini.
Cuba perhatikan, sebahagian mereka ada yang memakai tudung tapi berseluar
ketat. Sesetengahnya pula memakai jilbab (mini telekung), namun pada masa yang
sama menyarung baju pendek. Lebih teruk lagi mereka memakai tudung dan pada
masa yang sama mengenakan seluar ketat bersama baju sendat. Bahkan ada yang
sampai menampakkan sebahagian punggung dan pusat.
Apa yang berlaku?
Fesyen sebeginilah akhirnya melahirkan penjenayah dan perogol. Lalu siapakah
yang mahu dipersalahkan? Jika sudah berani menampilkan gaya sedemikian di
jalanan, pasti ada harga sebagai bayaran. Oleh itu, tanyalah kepada
perempuan-perempuan di luar sana, apakah yang memotivasinya memakai pakaian
seperti itu. Jadi, siapakah sebenarnya yang memunculkan gangguan seksual;
lelaki atau perempuan?
Walaupun mereka memiliki kecantikan yang tiada tolok banding, tetapi jiwa di
dalamnya bersifat kelabu dan menderita sakit. Apakah kita tahu apa yang terjadi
terhadap pohon yang kelihatan baik di luarnya, sedangkan teras di dalamnya
dimakan anai-anai? Berapa lama ia dapat bertahan sebelum tumbang menyembah
bumi? Ayahanda percaya, jika kita tidak ingin dianggap sedemikian maka anakanda
harus membuktikannya!
Tidak Menutup Aurat Hanya Dosa Kecil?
Anakku,
Kita berasa aneh apabila ada yang pada zahirnya begitu komited terhadap
perintah agama, tetapi kadangkala gagal memahami dan mengamalkannya. Misalnya,
cara berpakaian bagi kaum wanita. Sebahagian mereka menyatakan bahawa tidak
mengenakan jilbab dan memakai pakaian yang menampakkan tangan, dada, leher atau
menampilkan sosok tubuh, itu hanyalah sekadar dosa kecil dan dapat diampunkan
dengan hanya menjauhi dosa-dosa besar seperti zina, membunuh, mencuri, meminum
arak dan seumpamanya. Mereka menganggap banyak lagi perkara lain yang lebih
utama daripada masalah aurat. Mereka beranggapan penampilan zahir tidak perlu
diuar-uarkan kerana ia bukanlah suatu masalah besar.
Karut!
Ulama tersohor abad ini menegaskan bahawa seseorang yang beranggapan tidak
menutup aurat sebagai dosa kecil adalah tidak benar. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi
menyangkal dakwaan ini dalam bukunya yang bertajuk, ‘Fatwa Antara Ketelitian
dan Kecerobohan’. Katanya Rasulullah s.a.w menjadikan golongan perempuan
seperti ini sebagai isi neraka berpandukan hadis baginda yang bermaksud:
Ada dua golongan manusia yang akan menjadi
penghuni neraka: Pertama, golongan yang selalu memegang pecut seperti ekor
lembu (orang zalim dan bengis), yang suka memukul orang. Kedua, wanita-wanita
yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang berlenggang-lenggok apabila berjalan
dan yang menarik perhatian ramai, kepala mereka laksana anak (buah) dadu yang
condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu harumnya,
meskipun keharumannya dapat dihidu dari jarak yang jauh.- Hadis Sahih riwayat
Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a.
Seandainya memakai pakaian sempit dan
mendedahkan aurat dikatakan dosa kecil, tentu Rasulullah s.a.w tidak akan
mengelompokkan mereka sebagai penduduk dan isi neraka. Dan tidak dijadikan
golongan yang diharamkan masuk syurga, malah diharamkan walau menghidu
harumannya sahaja. Justeru, memakai pakaian yang sempit, tipis dan mendedahkan
aurat adalah dosa besar. Bukan dosa kecil seperti yang disangkakan.
Pelihara Jati Dirimu
Anakku,
Muslim sejati adalah yang memiliki jati diri yang kuat. Ia seperti ikan di
laut. Biarpun berendam di air masin selama 24 jam, badannya tidak akan masin
kecuali ia mati. Begitu jugalah dengan diri kita ini.
Sebagai orang Melayu kita sepatutnya bersyukur kerana dilahirkan dalam agama
Islam. Dengan darjat keislaman itu kita sepatutnya berani menampilkan diri
sebagai seorang muslim dalam erti yang sebenarnya. Jangan menganggap diri kita
rendah dari bangsa dan kaum lain, terutama yang dianggap maju. Setiap bangsa
dilahirkan adalah berbeza kerana ALLAH menghendakinya sedemikian. Bangsa yang
maju ialah kerana takwa, bukan kerana penampilan luarnya.
Dr. ‘Aidh Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ menjelaskan, “Umat manusia terdiri
daripada pelbagai jenis tabiat. Wataknya adalah seperti alam tumbuhan; ada yang
manis dan masam, ada yang panjang dan pendek. Dan seperti itulah seharusnya
umat manusia.
Jika anda pisang, anda tidak perlu mengubah diri menjadi jambu. Ini kerana
harga dan keindahan anda akan tampak seperti pisang juga, bukannya jambu.
Sesungguhnya perbezaan warna kulit, cara hidup, bahasa dan kemampuan merupakan
tanda-tanda kebesaran Maha Pencipta.44
Perlukah Dirai?
Islam mempunyai perayaan sendiri yang disambut pada setiap tahun. Ada perayaan
Maulidul Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran, Israk Mikraj dan dua hari raya
terbesar iaitu Aidil Fitri dan Hari Raya Aidiladha. Manakala kita dilarang
meraikan perayaan bukan Islam.
Oleh kerana jati diri yang goyah, umat Islam hari ini tanpa segan silu turut
meraikan perayaan yang disambut oleh kebanyakan kaum bukan Islam. Alasannya
ialah untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum
dan bangsa.
Benar... kita disuruh untuk merapatkan hubungan sesama manusia, tetapi biarlah
kena cara dan gayanya. Haram jika kita bersama-sama mereka dengan niat untuk
merayakan perayaan yang diadakan. Kecuali ia disambut berkonsepkan kebudayaan
(tanpa menjejaskan akidah) semata-mata. Ketika itu kita tidak diharamkan untuk
bersama mereka.
Hari ini, masih ada segelintir remaja kita yang masih menyambut perayaan yang satu
ini walaupun sudah jelas hukumnya haram. Mengapa? Jawapannya kerana tiada jati
diri yang kukuh dalam diri. Soal hukum ditolak ke tepi.
Valentine Day’s adalah hari istimewa yang disambut oleh penganut agama
Kristian. Namun kini telah diikuti oleh segelintir remaja kita yang bercouple. Sudahlah coupleitu
haram, ditambah pula dengan menyambut hari tersebut. Maka, bertambah-tambahlah
haramnya.
Hari itu dirayakan oleh muda-mudi pada 14 Februari setiap tahun.45 Pada
asalnya hari ini disambut untuk memperingati St. Valentine iaitu seorang paderi
Kristian yang dianggap sebagai pencinta yang unggul. Umat Islam dilarang
mengikuti ritual ini bukan semata-mata kerana sumbernya dari kaum Nasrani
tetapi gereja Katolik sendiri pun pernah mengeluarkan larangan terhadap
penganutnya daripada merayakan hari Valentine’s. Dalam ‘Katolik Ensiklopedia’
menyatakan bahawa ritual Hari Valentine berasal daripada ritual pemujaan
syaitan dan penyembahan berhala.
Bukan itu sahaja, Hari Valentine mengakibatkan kerosakan yang dahsyat dari segi
akidah dan moral. Jika ini natijahnya, tentu ini bukan cinta sejati, tetapi
tuntutan nafsu serakah! Walhal agenda utama ialah merosakkan umat Islam.
Buktinya pada setiap malam sambutan hari ‘kemeriahan’ itu, jumlah pasangan yang
ditangkap berkhalwat kian bertambah. Tiga bulan selepas itu dapat dilihat
peningkatan kes hamil anak luar nikah. Lalu diikuti dengan kes buang bayi di
merata-rata tempat yang langsung tidak menggambarkan darjat seorang manusia.
Tujuan mereka sebenarnya ialah untuk menghancurkan masa depan muda-mudi Islam
seterusnya mengaut keuntungan dalam perniagaan. Tanpa disedari, muda-mudi kita
akhirnya tenggelam dalam nafsu.
Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin, seorang ulama
terkenal Arab Saudi berkata, “Apabila merayakan Hari Valentine dengan maksud
untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu
telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada
orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”
Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan,
“Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”
Ingatlah... golongan kafir yang memusuhi Islam tidak akan berhenti daripada
terus berusaha menanam benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam, supaya
mereka jauh dari jalan lurus lagi diredhai ALLAH S.W.T.
Perayaan bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam ialah:
• Majlis itu tidak disertakan upacara
bertentangan akidah Islam contohnya menyertakan simbol agama seperti salib,
memasang lampu, lilin dan pokok Krismas.
• Majlis itu tidak disertakan perbuatan
bertentangan syarak yang diamalkan masyarakat bukan Islam iaitu memakai pakaian
seperti Santa Claus.
•Majlis itu tidak disertakan perbuatan
bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam seperti
percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan. Berpakaian menjolok mata,
mendengar lagu mempunyai seni kata berunsur lucah serta pemujaan. Mengadakan
program seperti pertandingan ratu cantik dan laga ayam.
Sumber : sinarharian.com.my