Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum.
Mari kita cek hati.
SUATU hari, Imam Fath Al-Musili berkata
kepada murid-muridnya, "Bukankah seorang pesakit jika tidak diberi makan,
minum dan ubat selama tiga hari ia akan mati?"
Murid-muridnya menjawab: "Ya."
Guru yang bijak ini melanjutkan:
"Begitu juga hati kita. Jika tidak diberikan ilmu dan hikmah selama tiga
hari, ia akan mati."
Hati manusia
Setiap amalan bersumber daripada hati. Hati
yang baik akan melahirkan perbuatan yang baik. Dan hati yang rosak hanya akan
melahirkan perbuatan yang buruk. Meskipun ia melakukan kebaikan, namun
tersimpan niat buruk di sebaliknya. Oleh itu, hati sangat menentukan kualiti
amalan seseorang.
Rasulullah SAW bersabda: Ketahuilah,
sesungguhnya di dalam tubuh manusia ada seketul daging. Apabila ia baik, maka
baiklah seluruh jasad. Dan apabila ia rosak, maka rosaklah seluruh jasad.
Ketahuilah, daging itu adalah hati. (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Hati manusia sangat ajaib. Ia selalu
berubah-ubah. Ia juga sangat mudah dipengaruhi oleh faktor-faktor luaran.
Apa-apa yang dilihat ataupun didengar dapat merubah suasana hati. Oleh yang
demikian, seorang mukmin wajib selalu menjaga pancainderanya daripada maksiat
agar terjaga kejernihan hati.
Sebagaimana tubuh badan, hati boleh sihat
ataupun sakit. Tanda hati yang sihat adalah ia giat melakukan ibadat dan amalan
kebajikan. Setiap amalan ibadah dan zikir terasa nikmat untuk dikecapi. Sama
seperti seseorang yang tengah sihat tubuhnya, ia akan nikmat menyantap makanan
dan minuman.
Adapun tanda hati tengah sakit adalah ia
tidak dapat merasakan manisnya ibadat. Ia tidak tahan berlama-lama dalam
aktiviti ibadah. Sebaliknya, ia sangat seronok melakukan maksiat. Seperti orang
yang tengah sakit kulit, perkara yang paling nikmat adalah menggaruk gatalnya
hingga melukai diri sendiri.
Imam Tabiin di Basrah yang bernama Hasan
Al-Basri pernah mengajarkan teknik semak kesihatan hati. Beliau berkata:
"Rasakanlah kemanisan dalam tiga perkara: ketika melakukan solat, membaca
al-Quran dan ketika berzikir. Jika engkau merasakannya, maka bergembiralah.
Namun jika kau tidak merasakannya, maka ketahuilah bahawa pintu hatimu telah
tertutup."
Ubat hati
Hati orang kebanyakan seperti kita tidak
berapa sihat. Kita sedari ataupun tidak, pelbagai penyakit tersimpan di dalam
hati kita seperti hasad dengki, dendam, tamak, kedekut, meragukan janji Allah
dan lain-lain. Tingkatan sakit itu berbeza-beza. Ada yang masih ringan, ada
juga yang sudah parah.
Oleh itu, kita perlu segera mengubati hati
kita. Ubat hati adalah hikmah dan ilmu yang memperkenalkan tuhannya, hakikat
dirinya dan tugasan yang mesti ia lakukan di dunia sebagai hamba Allah. Semua
itu boleh didapatkan apabila kita bercampur dengan orang-orang yang
"berhati sihat."
Berkata Ibrahim Al-Khawas, "Ubat hati
lima perkara: Membaca al-Quran sambil memahami maknanya, mengosongkan perut,
solat malam, berdoa pada waktu fajar dan bergaul dengan orang-orang
saleh."
Jika kita tidak segera mengubati hati yang
sakit, ia akan terus sakit. Suatu hari nanti, ia bahkan boleh mati. Orang yang
mati hati lebih berbahaya daripada mati jasad. Sebab orang yang mati jasad
boleh segera dikuburkan.
Namun orang yang mati hati akan menjadi
sampah masyarakat. Ia sangat mengganggu kehidupan masyarakat, namun tidak boleh
dibuang ataupun ditanam.
Sumber : Awas mati hati
Oleh UMAR MUHAMMAD NOOR