Sunday, September 26, 2010

Nabi Musa Belah Laut Merah - Saintis USA Membenarkan

LAKARAN artis menunjukkan angin kuat dari timur telah menyebabkan air lagun (kiri) dan sungai (kanan) ‘berpusing’ dan membentuk dinding air dekat Laut Merah.


BOULDER, Amerika Syarikat (AS) – Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalamam ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. – Agensi.

Apa yang terbukti di sini ialah Allah telah berfirman :

"Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (53) .....Ingatlah! Sesungguhnya Allah Maha Meliputi pengetahuanNya akan tiap-tiap sesuatu". (54)-( surah Fussilat [ 41 ] : 53 - 54)
Ya, yang pasti sekarang ini, banyak perkara yang diberitakan dalam al-Quran sejak lebih 1400 tahun dahulu telah ditemui oleh para pengkaji.

Firman Allah dalam surah Hud [11] ayat 96 hingga 101

Dan sesungguhnya kami telah mengutuskan Nabi Musa dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami dan bukti (mukjizat) yang nyata; (96) Kepada Firaun dan kaumnya; lalu kaum Firaun menurut perintah Firaun, sedang perintahnya itu bukanlah perintah yang betul. (97) Firaun akan mengetuai kaumnya pada hari kiamat kemudian tetaplah dia akan membawa mereka masuk ke Neraka dan seburuk-buruk tempat yang dimasuki ialah Neraka. (98) Dan mereka diiringi oleh laknat yang tidak putus-putus di dunia ini dan pada hari kiamat. (Sebenarnya) laknat itu adalah seburuk-buruk pemberian yang diberikan. (99) Yang demikian, ialah sebahagian dari khabar berita penduduk negeri-negeri (yang telah dibinasakan), kami ceritakan perihalnya kepadamu (wahai Muhammad). Di antaranya ada yang masih wujud (sisanya yang dapat disaksikan) dan ada pula yang telah hancur lebur (dan hilang lenyap). (100) Dan tiadalah Kami menganiaya mereka, tetapi merekalah yang menganiaya diri sendiri. Maka berhala-berhala yang mereka sembah selain dari Allah itu tidak dapat menolong mereka sedikitpun pada masa datangnya azab Tuhanmu dan penyembahan yang mereka lakukan itu hanya menambahkan kerugian sahaja kepada mereka. (101)

Hayatilah bacaan ini.. Anda pasti ikut menangis...


Saturday, September 25, 2010

Rasulullah kasihkan surah al-A'la

Tersebut di dalam Sahih Muslim bahawa baginda membaca surah al-A'la dan al-Ghasiyah dalam solat dua hari raya dan hari Jumaat.

Baginda juga membaca kedua-dua surah itu untuk sembahyang hari raya dan sembahyang Jumaat yang jatuh pada hari Jumaat.

Memang wajar bagi Rasulullah menyintai surah ini, kerana surah ini menukarkan seluruh alam menjadi sebuah tempat ibadat di mana bergema ucapan tasbih dan tahmid di seluruh sudutnya, dan menjadi sebuah tempat pameran yang penuh dengan kejadian-kejadian yang mengilhamkan tasbih dan tahmid.


Firman Allah SWT: Bertasbihlah mensucikan nama Tuhanmu yang Maha tinggi (dari segala sifat-sifat kekurangan).

Al-Maraghi berkata: Sucikanlah nama Tuhanmu dari sesuatu yang tidak layak dengan keagungan-Nya, sama ada tentang zat-Nya, sifat-sifat-Nya, perbuatan-Nya dan hukum-hukumnya.

Oleh sebab itu, janganlah kamu menyebutnya kalau tidak untuk mengagungkan-Nya, dan jangan kamu menggunakan nama-Nya kepada selain-Nya, dan jangan menganggap sifat-sifat-Nya sama dengan sifat-sifat yang selain-Nya.

Firman Allah SWT: Yang telah menciptakan (sekalian makhluk-Nya) serta menyempurnakan kejadiannya dengan kelengkapan yang sesuai dengan keadaannya.

Ibn Kathir berkata: Allah SWT ciptakan makhluk dan menyamakannya dengan sebaik-baik kejadian dari segi bentuknya.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengatur (keadaan makhluk-makhluk-Nya) serta memberikan hidayah petunjuk (ke jalan keselamatannya dan kesempurnaan-Nya).

Mujahid berkata: Allah memberi petunjuk kepada manusia sama ada untuk kecelakaan atau kebahagiaan yang dipilih oleh manusia begitu juga menunjuk haiwan ternakan untuk padang ragutnya.

Ayat ini sama seperti firman Allah SWT yang mengkhabarkan berkenaan perihal manusia yang berkata kepada Firaun.

Firman Allah SWT: Dan yang telah mengeluarkan tumbuh-tumbuhan untuk binatang-binatang ternak.

Al-Maraghi berkata: Dialah yang menumbuhkan segala macam tumbuh-tumbuhan untuk menjadi makanan haiwan.

Tidak ada tumbuh-tumbuhan yang tidak layak untuk dimakan oleh haiwan dan makhluk hidup yang lainnya.

Firman Allah SWT: Kemudian ia menjadikan (tumbuh-tumbuhan yang menghijau) itu kering (berubah warnanya) kehitam-hitaman.

Syed Qutub berkata: Tumbuh-tumbuhan itu mulanya tumbuh menghijau. Kemudian beransur-ansur layu kering hitam kekuning-kuningan. Semasa hijau ia boleh dimakan dan semasa kering hitam kekuningan juga boleh dimakan.

Dalam semua keadaan, tumbuh-tumbuhan itu berguna belaka kepada kehidupan mengikut perencanaan Allah yang telah menjadikan makhluk-Nya dengan ciptaan yang sempurna dengan menentukan tugas dan matlamat masing-masing serta memberi bimbingan kepadanya.

Penutup

Al-Maraghi berkata: Kita diperintahkan agar mengenal Allah SWT Yang Maha Agung, bahawa Dialah Yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana yang mana dengan sifat-sifat-Nya itu kita dapat menyaksikan bukti-bukti ciptaan-Nya.

Juga kita diperintahkan untuk memberikan nama-nama yang tidak layak, sebagaimana dilakukan oleh golongan yang ingkar, yang bertuhankan selain Allah SWT sebagai sekutunya atau menyifatkan Allah SWT dengan sifat-sifat yang serupa dengan makhluk-Nya.

Kita juga diperintahkan untuk menyucikan sifat Allah SWT bukan zat-Nya, adalah untuk membimbing kita bahawa tingkat kemampuan kita yang paling tinggi hanyalah mengenal sifat-sifat-Nya, yang dapat menunjukkan adanya Zat-Nya, Zat-Nya sendiri jauh lebih tinggi daripada yang dapat dijangkau oleh akal kita.

Justeru, cukuplah kita memerhatikan sifat-sifatnya yang dapat menunjukkan kewujudan Zat-Nya.

Semoga kita menjadi golongan yang sentiasa mempelajari ilmu Allah sehingga akhirnya menatijahkan ma'rifah kepada-Nya. Amin.

Sumber : Utusan Malaysia

==========================

Dalam surah Al-a'la ini Allah memerintahkan Nabi Muhammad saw memberi peringatan akan adanya hari kiamat/akhirat.. bagi orang2 beriman terus menerima peringatan ini kerana mereka takutkan siksaan Allah sedangkan orang2 kafir /tidak beriman merupakan orang2 yang mendapat kecelakaan kerana menjauhkan diri daripada peringatan.. tidak mahu mempercayai al-Quran dan mereka sombong.


Paling hebat dalam surah ini..ialah ayat ثُمَّ لَا يَمُوتُ فِيہَا وَلَا يَحۡيَىٰ yang bermaksud : "( Selain dari itu, dia tidak mati di dalamnya dan tidak pula hidup") . (Al-a'la [87] : 13) ... tentang suasana kiamat ini ialah bahawa orang yang masuk neraka itu tidak hidup dan tidak pula mati. sepintas lalu susah nak difahami.. sebab biasanya kalau orang hidup dia pastinya tidak mati dan kalau mati pastinya dia tidak hidup.. bagaimana pula dikatakan tidak akan mati dan tidak pula hidup.. cuba bayangkan..


Erti yang sebenarnya ialah jika dia dikatakan mati pasti dia tak terasa siksaan.. sedangkan dia merasa siksaan.. dan dikatakan tidak hidup pula kerana dia terus menerus mendapat siksaan.. tidak henti2.. dengan kenyataan ini seharusnya manusia akan dapat merasakan betapa hebatnya siksa Neraka itu..


Kenyataan ini lebih ngeri daripada dikatakan siksa sampai mati.. kerana jika seseorang itu disiksa terus menerus tentu dia akan memilih mati daripada hidup.. sebab dengan mati akan berakhirlah penderitaan akibat penyiksaan itu.. cuba bayangkan bagaimana rasanya disiksa terus menerus..


Para sahabat Nabi Muhammad saw setiap kali mendengar atau membaca surah ini mereka menggigil ketakutan sedangkan kita yang tidak memahami bahasa al-Quran akan membaca dan mendengar dengan tersenyum (Na'uuzubillah).. Sebab itu Rasulullah saw diperintahkan terus menerus memberi peringatan jangan sampai jemu untuk menghindarkan manusia daripada terjerumus ke dalam api neraka pada hari akhirat nanti..

Sumber : NOTA UNTUK DIRI

Adab Berziarah

BERZIARAH dan saling bermaafan adalah tuntutan agama.

AMALAN ziarah-menziarahi sememangnya dituntut oleh agama. Bukan sekadar menziarah kaum keluarga atau sanak saudara bahkan jiran-jiran terdekat hatta individu yang tidak pernah dikenali sebelum ini.

Tujuan kunjung mengunjung adalah untuk merapatkan silaturahim dan saling bermaafan. Bukan bertujuan untuk mendapatkan duit raya, memperaga baju raya paling cantik, mahal ataupun melihat setiap hiasan atau susun atur rumah yang kita kunjungi.

Islam memperincikan beberapa syarat atau adab yang perlu diamalkan ketika seseorang Muslim berhasrat untuk menziarah jiran atau sanak saudara, bukan sahaja pada hari raya malah ketika hari-hari biasa.

Adab-adab tersebut diperincikan bermula daripada sebelum berziarah, semasa menziarah, selepas menziarah dan perkara-perkara yang perlu dihindarkan ketika berziarah.

Adab-adab sebelum berziarah

*Memilih masa yang sesuai

*Memakai pakaian yang sopan dan menutup aurat

*Berniat pertemuan dan perpisahan adalah kerana Allah

Masa yang sesuai dikira berdasarkan keselesaan pihak yang anda kunjungi, bukan keselesaan pihak anda.

Sebagai contoh, kunjungan ke rumah seseorang tanpa perkhabaran terlebih dahulu, melebihi pukul 10 malam kerana masa tersebut dikira sebagai masa rehat, bukanlah masa yang sesuai. Jalan terbaik, khabarkan terlebih dahulu kepada tuan rumah mengenai kunjungan anda.

Adab semasa menziarah

*Memberi salam dan bersalaman

*Meminta izin untuk masuk

*Memendekkan tempoh ziarah

*Mengawal pandangan

*Merendahkan suara

Memendekkan tempoh ziarah bermaksud tidak bersenang-senang di rumah tersebut untuk jangka masa yang lama.

Seseorang dikira sebagai tetamu hanya di dalam tempoh tiga hari ziarah. Walaupun begitu, anda perlu peka dengan keadaan dan situasi tuan rumah, agar kunjungan anda tidak menimbulkan ketidakselesaan kepada mereka.

Mengawal pandangan pula termasuklah mata anda tidak meliar atau merayau-rayau ke segenap ceruk rumah meneliti setiap hiasan atau susun atur kelengkapan rumah yang anda kunjungi.

Adab selepas menziarah

*Meminta izin apabila hendak beredar

*Memberi salam dan bersalaman sebelum beredar

Perkara yang perlu dihindarkan semasa menziarah

*Enggan memberi salam

*Masa yang tidak bersesuaian

*Mengaibkan tuan rumah

*Mengumpat

Satu perkara yang perlu diingat adalah memberi salam kepada tuan rumah turut mempunyai syarat yang tertentu.

Jika pintu rumah terbuka, jangan berdiri di depan muka pintu dan memberi salam. Anda perlu berdiri agak jauh dari muka pintu, anggaran tidak dapat melihat isi rumah termasuk tuan rumah, bimbang terdedah aurat tuan rumah atau apa-apa sahaja yang mungkin tidak mahu diperlihatkan oleh tuan rumah.

Mungkin nampak mudah dan agak remeh namun jika tidak diberi perhatian, kunjungan anda mungkin boleh menimbulkan kebencian dan permusuhan. Salam Aidilfitiri dan ziarahlah dengan hati yang suci.

Sumber: Kosmo Online

Friday, September 24, 2010

Akhlak bertandang dan bertamu

Bismillahirrahmanirrahim.

Abul Laits berkata: “Jika seorang itu dekat dengan kerabatnya maka hubungan kerabat itu berupa hidayah-hidayah dan ziarah, jika tidak dapat membantu dengan harta, maka cukup dengan tenaga, jika jauh maka hubunginya dengan surat menyurat dan jika dapat mendatangi maka itu lebih utama.

Ketahuilah bahawa silaturrahim itu mengandungi sepuluh keuntungan iaitu: Mendapat keredhaan Allah s.w.t. sebab Allah s.w.t. menyuruh silaturrahim.

Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam) dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya iaitu Hawa) dan juga yang membiakkan dari keduanya zuriat keturunan, lelaki dan perempuan yang ramai dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut namaNya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu. (An-Nisaa' [4] : 1)

Sepuluh keuntungan itu ialah:

  1. Mendapat keredhaan Allah s.w.t. sebab Allah s.w.t. menyuruh silaturrahim.
  2. Menggembirakan mereka kerana ada hadis yang mengatakan bahawa seutama-utama amal ialah menyenangkan orang mukmin.
  3. Kegembiraan malaikat kerana malaikat senang dengan silaturrahim.
  4. Mendapat pujian kaum muslimin.
  5. Menjengkelkan iblis laknatullah.
  6. Menambah umur.
  7. Menjadi berkat rezekinya.
  8. Menyenangkan orang-orang yang telah mati kerana ayah dan nenek-nenek itu senang jika anak cucunya bersilaturrahim.
  9. Memupuk rasa cinta dikalangan kekeluargaan sehingga suka membantu bila memerlukan bantuan mereka.
  10. Bertambahnya pahala jika ia mati sebab selalu diingati kepadanya jika telah mati dan mendoakan kerana kebaikannya.
Dalam bersillaturrahim ada akhlak yang perlu dijaga:


Tuesday, September 21, 2010

Wasitoh berunsur syirik

Artikel ini disalin daripada Utusan Malaysia bagi memahami wasitoh dan tawassul.

Perbuatan mengambil perantara ataupun orang tengah dalam hubungan dengan Allah dinamakan wasitoh (juga dieja wasitah). Ramai yang salah faham dalam memahami maksud sebenar wasitoh.

Mereka menjatuhkan hukum secara sembarangan bahawa semua wasitoh itu membawa kesyirikan dan sesiapa yang menggunakan wasitoh dengan apa jua cara sekalipun, maka dia telah melakukan kesyirikan terhadap Allah.

Mereka meletakkan kedudukan orang yang berwasitoh sama seperti kaum musyrikin yang mengatakan: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Inilah ayat yang sering digunakan oleh para penentang terhadap wasitoh dan konsep yang seumpamanya seperti tawassul (mengambil wasilah) dan tasyaffu' (memohon syafaat).

Perkataan ini sebenarnya tertolak dan kerana mereka memahami ayat tersebut bukan pada tempatnya. Ini kerana ayat di atas dengan jelas menolak perbuatan kaum musyrikin yang menyembah berhala dan menjadikannya sebagai tuhan sembahan mereka selain Allah SWT.

Bahkan, mereka juga menyekutukan Allah daripada aspek rububiyyah (kuasa mentadbir dan mencipta) seraya mengaku bahawa penyembahan yang mereka lakukan bertujuan untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan sedekat-dekatnya.

Maka, kekufuran dan kemusyrikan mereka dilihat daripada sudut penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu dan turut disertai dengan i'tiqad mereka bahawa berhala tersebut adalah tuhan Arbab (Pentadbir-pentadbir alam) selain Allah SWT.

Dari sini terdapat suatu masalah penting yang perlu dijelaskan. Ayat tersebut membuktikan orang-orang musyrik tersebut tidak bersungguh-sungguh pada dakwaan mereka menyembah Allah SWT, sebagaimana yang dikisahkan di dalam al-Quran berkenaan dengan penyembahan mereka terhadap berhala: Kami tidak menyembah atau memujanya (berhala) melainkan supaya mereka mendampingkan kami kepada Allah dengan sedamping-dampingnya. (al-Zumar: 3)

Jika kenyataan mereka adalah benar dan jujur, pasti mereka akan menganggap bahawa Allah lebih agung di sisi mereka daripada berhala-berhala dan mereka tidak akan menyembah selain Allah. Tetapi, mengapa mereka menyembah selain Allah? Allah SWT juga melarang kaum Muslimin daripada menghina berhala-berhala yang mereka sembah itu melalui firman-Nya: Dan janganlah kamu memaki sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah Kami jadikan setiap umat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan mereka kembali, lalu Dia memberitakan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan. (al-An' aam: 108)

Diriwayatkan oleh Abdur Razzaq, Abd ibnu Humaid, Ibnu Jarir, Ibnu Munzir, Ibnu Abi Hatim dan Abu al Syeikh, daripada Qatadah RA, berkata: "Dahulu, umat Islam pernah memaki berhala-berhala milik orang-orang kafir, maka orang-orang kafir itu pun mencela Allah SWT. Maka Allah menurunkan ayat di atas.

Inilah sebabnya ayat tersebut diturunkan. Dengan tegas, orang-orang Mukmin dilarang mencela dan merendah-rendahkan batu-batu yang disembah oleh kaum penyembah berhala di Mekah. Perbuatan tersebut hanya akan menimbulkan kemarahan mereka dan mereka pasti akan membela tuhan-tuhan yang mereka yakini melalui hati yang tuli bahawa tuhan-tuhan itulah yang berkuasa memberikan manfaat dan menolak kemudaratan.

Apabila mereka marah, mereka akan membalas sebagaimana yang dilakukan oleh kaum Muslimin. Maka mereka akan mencela Tuhan umat Islam, iaitu Tuhan Semesta Alam dan akan melemparkan bermacam-macam perkataan yang merendah-rendahkan Allah SWT, sedangkan Allah itu suci daripada segala kekurangan.

Jika mereka benar-benar jujur bahawa penyembahan mereka terhadap berhala-berhala itu hanya untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah, sudah pasti mereka tidak akan berani memaki Allah sebagai membalas dendam terhadap orang yang memaki sembahan-sembahan mereka.

Maka dengan ini, amat jelas, bahawa Allah dianggap lebih kecil dan lebih rendah pada diri kaum musyrikin daripada batu-batu yang mereka sembah itu!

Daripada sikap yang sedemikian, Abu Sufyan pernah mengatakan sebelum memeluk agama Islam: Tinggikan tuhan Hubal. (riwayat Bukhari) Abu Sufyan menyeru tuhannya yang bernama Hubal supaya ia ditinggikan dan dapat menguasai Tuhan Pentadbir langit dan bumi (Allah) agar dia dan juga tenteranya dapat mengalahkan tentera Islam yang mahu mengalahkan dan menghancurkan tuhan-tuhan mereka. Beginilah keyakinan dan pendirian mereka yang sebenar terhadap berhala-berhala mereka dan terhadap Allah, Tuhan Yang Mentadbir semesta alam.

Kesimpulannya, jika kita ingin bersikap secara adil, ilmiah dan objektif terhadap isu ini, kita harus memahami benar-benar bezanya wasitoh yang berbentuk syirik seperti yang dilakukan oleh para kafir musyrik penyembah berhala dan wasitoh yang tidak berunsur syirik yang ada tempatnya dalam kerangka Islam.

Insya-Allah, dalam minggu hadapan kita akan menghuraikan pula tentang wasitoh jenis kedua ini.

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

Saturday, September 18, 2010

Tazkirah Imam Muda



Alllahu Akbar.. hebatnya tarbiyah Nabi Muhammad saw
mendidik anak-anak solat
Ajarlah anak-anakmu ketika 7 tahun
pukullah setelah enggan ketika berumur 10 tahun
habat sungguh Rasulullah saw
hebat sungguh para sahabat

Nabi Ibrahim pun berdoa:
Ya Allah! jadikan aku dan zuriatku orang
orang yang mendirikan solat
Ya Allah perkenankanlah permintaanku

Mudah2an kita tak didakwa oleh anak2 kita di akhirat nanti
kerana kita tak pernah memukul anak kita...

Sunday, September 5, 2010

Perhiasan

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah berfirman:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ ٱلشَّهَوَٲتِ مِنَ ٱلنِّسَآءِ وَٱلۡبَنِينَ وَٱلۡقَنَـٰطِيرِ ٱلۡمُقَنطَرَةِ مِنَ ٱلذَّهَبِ وَٱلۡفِضَّةِ وَٱلۡخَيۡلِ ٱلۡمُسَوَّمَةِ وَٱلۡأَنۡعَـٰمِ وَٱلۡحَرۡثِ‌ۗ ذَٲلِكَ مَتَـٰعُ ٱلۡحَيَوٰةِ ٱلدُّنۡيَا‌ۖ وَٱللَّهُ عِندَهُ ۥ حُسۡنُ ٱلۡمَـَٔابِ (١٤

Maksud terjemahannya : "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: Kesukaan kepada benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)". (Ali-Imran [3] : 14)

Menurut tafsir Prof Dr Hamka dalam kitab tafsir Al-Azhar
زُيِّنَ
Ertinya keinginan kepada barang-barang sama ada barang itu elok ataupun tidak.

حُبُّ
Ertinya suka ataupun cinta.

ٱلشَّهَوَٲتِ
Syahawat pula bererti keinginan-keinginan yang membuatkan nafsu tertarik kepadanya

"Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia" : Allah swt memberikan perasaan suka dalam diri manusia terhadap benda-benda yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda yang banyak bertimbun-timbun, daripada emas dan perak; kuda peliharaan yang bertanda lagi terlatih dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman.


Di sini; kerana Allah yang menimbulkan rasa suka atau cinta kepada perkara-perkara yang disenaraikan dalam ayat itu, maka manusia boleh mendapatkannya. Namun di hujung ayat itu Allah swt mengingatkan bahawa "Semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga)".


Jadi apabila kita telah berusaha mendapatkan apa yang mengikut fitrah ini, dan kita telah memperolehnya maka hendaklah kita menggunakan segala perkara yang telah dianugerahi Allah swt kepada kita itu dengan perkara-perkara yang membolehkan kita meraih syurgaNya.

"Sesungguhnya Kami telah jadikan apa yang ada di muka bumi sebagai perhiasan baginya, kerana kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalnya." (Al-Kahfi [18] : 7)

"Harta benda dan anak pinak itu, ialah perhiasan hidup di dunia dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan, dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan". (Al-Kahfi [18] : 46)

Serta pelbagai barang perhiasan (keemasan) dan (ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia dan (sebaliknya) kesenangan hari akhirat di sisi hukum Tuhanmu adalah khas bagi orang-orang yang bertakwa. (Az-Zukhruf [ 43 ] : 35)


Oleh itu Allah mengingatkan kita supaya bersegara dalam melakukan amal soleh.

"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa". (Ali-Imran [3] : 133)

Saturday, September 4, 2010

Simbolisme ketika sambut Lailatul Qadar


LAILATUL Qadar adalah satu malam yang amat agung, kerana ia telah dipilih Allah SWT sebagai malam permulaan Nuzul Quran. Ia permulaan melimpahkan cahaya agama Allah SWT ke seluruh alam di samping limpahan kesejahteraan dan kedamaian yang memancar daripada hidayat Allah (al-Quran) ke atas hati dan kehidupan manusia.

Jika kita renungkan kembali sejak berabad lalu peristiwa Lailatul Qadar yang mulia itu dan kita gambarkan kembali temasya indah yang telah disaksikan oleh bumi pada malam itu, di samping kita memerhatikan pula apa yang sebenar berlaku pada malam itu dan meneliti kesan-kesannya kepada dunia dan kefahaman hati dan akal manusia tentulah kita dapati bahawa malam Lailatul Qadar sebenarnya suatu malam yang sungguh agung.

Disebabkan Lailatul Qadar itu abstrak, bersifat spiritual dan tidak boleh dipastikan melalui kajian, maka timbullah pendapat yang pelbagai mengenainya.

Pelbagai cerita mitos terbit ketika Lailatul Qadar turun iaitu seperti air sungai berhenti mengalir, pohon-pohon serta tumbuhan tunduk tenang, alam maya kelihatan cerah dan sebagainya.

Tidak sedikit daripada cerita-cerita itu bersifat mitologi, yang tidak boleh dipertanggungjawabkan, tidak masuk akal dan mengada-ngada.

Mungkin semua itu pernah terjadi, terutama di negara yang wilayah geografinya memungkinkan seperti air membeku di belahan bumi bahagian utara atau selatan, tetapi tidak ada kaitannya dengan Lailatul Qadar.

Jadi peristiwanya cuma kebetulan belaka. Seakan-akan di malam yang dipercayai Lailatul Qadar turun, terjadi peristiwa alam seperti itu. Lalu ia dikaitkan.

Justeru Lailatul Qadar ini kita dapatkan asas legalitasinya dalam al-Quran. Maka selayaknya ia memberi tanda-tanda itu agar tidak terjadi penyelewengan dan menimbulkan cerita-cerita karut dan tidak masuk akal. Bagaimana sebenarnya al-Quran berbicara soal tanda-tanda Lailatul Qadar ini?

Dalam surah al-Qadar ayat terakhir Allah SWT menyebut tanda-tandanya: Sa laamun hiya hatta matla‘il fajr - malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar. Jadi jelas tandanya tidak bersifat lahiriah kerana kedamaian itu adalah sesuatu yang dirasakan.

Justeru, dalam surah ad-Dukhan ayat tiga Lailatul Qadar disebut Laylatun mubaarakah kerana kedamaian hati yang bersumber terus daripada Allah adalah berkat yang paling tinggi. Ia bagaikan air sejuk bagi musafir yang kehausan.

Al-Quran adalah sumber pengetahuan tertinggi dan kerananya, kebenarannya tidak diragukan. Ia hanya dapat dicapai melalui darjat intelektual paling tinggi iaitu intelek kenabian.

Sekurang-kurangnya jika kita dapat sekadar percikannya pada malam Lailatul Qadar bermakna mujahadah kita waktu itu berhasil menyentuh intelek kenabian. Itulah kenikmatan, sekali gus berkat yang paling tinggi.

Inilah malam yang sangat dinantikan oleh umat Islam, malam yang penuh barakah dan lebih baik dari 1,000 bulan. Pada malam itu turun rahmat dan kebaikan-Nya. Pengalaman mendapatkan Lailatul Qadar merupakan pengalaman spiritual dan individual. Tidak semua orang mampu mendapatkannya. Ia tidak boleh dicapai hanya dengan kehadiran kita pada malam-malam ganjil 10 malam terakhir Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda: Carilah Lailatul Qadar pada sepuluh malam terakhir, pada malam ganjil. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Tentang bila datangn Lailatul Qadar, banyak riwayat mengaitkan dengan malam-malam ganjil di 10 hari terakhir. Mungkin ini ada hubungannya dengan hadis lain yang menyebutkan bahawa “Allah itu ganjil dan menyenangi yang ganjil-ganjil.”

Bagi pencinta tuhan yang mencintaiNya dengan penuh keikhlasan tidak penting bila Lailatul Qadar itu turun. Yang penting baginya adalah menunjukkan kerinduannya kepada kekasihnya secara sungguh-sungguh.

Intinya adalah mujahadah iaitu kesungguhan menghidupkan bulan Ramadan dan ritual (yang dibenarkan syariat).

Oleh AZIZ JAMALUDIN MHD. TAHIR
Utusan Malaysia

Thursday, September 2, 2010

Wednesday, September 1, 2010

Iktikaf


Iktikaf ialah berdiam atau tinggal di masjid memenuhi adab tertentu, pada masa tertentu dengan niat ibadah dan bagi mendekatkan kepada Allah SWT. Ulama bersepakat menyatakan iktikaf khususnya pada 10 hari terakhir bulan Ramadan adalah ibadah yang disyariat dan disunatkan Rasulullah SAW.

Jenis-jenis iktikaf yang disyariatkan ada dua bentuk; pertama sunat dan kedua wajib.

Iktikaf sunat iaitu yang dilakukan secara sukarela semata-mata mendekatkan diri kepada Allah seperti iktikaf pada 10 hari terakhir bulan Ramadan.

Iktikaf yang wajib iaitu yang didahului dengan nazar (janji), seperti: “Jika Allah menyembuhkan penyakitku ini, maka aku akan beriktikaf.”

Iktikaf wajib tergantung pada berapa lama waktu yang dinazarkan, sedangkan iktikaf sunat tidak ada batasan waktu khusus, bila-bila masa pada malam atau siang hari, waktunya boleh lama atau singkat.

Ya’ la bin Umayyah berkata: “Sesungguhnya aku berdiam satu jam di masjid tidak lain hanya untuk beriktikaf.”

Syarat iktikaf ialah muslim, berakal, suci dari janabah (junub), haid dan nifas.

Rukun iktikaf ialah niat dan berdiam di masjid.

Hal dibolehkan bagi orang yang beriktikaf:

Keluar dari tempat iktikaf bagi menghantar isteri, seperti dilakukan Rasulullah SAW kepada isterinya, Safiyah.

Menyisir, mencukur rambut, memotong kuku, membersihkan tubuh daripada kotoran dan bau badan.

Keluar dari tempat keperluan yang harus dipenuhi, seperti membuang air besar dan kecil, makan, minum dan segala sesuatu yang tidak mungkin dilakukan di masjid, tetapi ia harus segera kembali sudah menyelesaikan keperluannya.

Makan, minum dan tidur di masjid dengan sentiasa menjaga kesucian dan kebersihan masjid.

Lagi tentang iktikaf : Iktikaf

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)