Pertunangan belum tentu akan berakhir dengan perkahwinan. Adakalanya terputus di tengah jalan kerana enggan ada antara pasangan bertunang itu enggan meneruskan perkahwinan.
Pertunangan sebaik-baiknya dirahsiakan, seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Rahsiakan pertunangan dan iklankan (maklumkan) perkahwinan.” (Hadis riwayat Ahmad dari Abbdullah bin Zubair)
Ulama mencatatkan, antara kelebihan merahsiakan pertunangan ialah:
1) untuk membendung hasad dengki manusia lain.
2) untuk menjadikan mereka menahan, mengawal perangai serta pergaulan kerana mereka masih belum sah menjadi suami isteri.
Ibu bapa perlu mengawal anak perempuan yang bertunang supaya tidak bergaul bebas dengan tunangnya.
Jika dirasakan ikatan pertunangan menyebabkan hubungan bebas, maka ibu bapa perlu memikirkan supaya perkahwinan disegerakan bagi mengelak berlaku keterlanjuran.
Bertunang sebenarnya tempoh untuk pasangan mengenali satu sama lain dalam batas syarak dan sepatutnya dalam tempoh inilah bakal isteri perlu mengambil tahu adakah bakal suaminya seorang bertanggungjawab, beramanah serta rajin beribadah.
Dalam tempoh bertunang juga kedua-dua pihak perlu bermujahadah untuk menambah ilmu rumah tangga.
Tidak dinafikan ikatan pertunangan yang diamalkan oleh masyarakat Islam memberi kebaikan kepada pasangan serta keluarga masing-masing. Mereka dapat berkenalan dan menjalin hubungan lebih rapat. Malah, bertukar hadiah secara tidak langsung melahirkan kemesraan dan saling menghormati.
Tempoh pertunangan terlalu lama tidak digalakkan kerana takut membuka ruang maksiat kepada pasangan dan sering menyebabkan perkara yang merenggangkan hubungan.
Jika pasangan sudah berilmu dan bersedia, berkahwin awal memberi lebih peluang mendapat zuriat lebih awal. Zuriat adalah anugerah Allah yang menyerikan suasana hidup suami isteri. Justeru pasangan bertunang perlu menyimpan hasrat ingin mendapat zuriat yang ramai setelah berkahwin.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Berkahwinlah kamu dan mempunyai anak melaluinya, sesungguhnya aku berbangga dengan umatku yang ramai di akhirat nanti.”
Mahu tidak mahu, pasangan perlu menerima hakikat jika ikatan pertunangan yang diharap ke jinjang pelamin terputus. Memandangkan pertunangan bukan perkahwinan dan hanya janji untuk berkahwin, kebanyakan fuqaha berpendapat pasangan bertunang boleh memutuskan pertunangan.
Bagaimanapun, pasangan yang bertunang tidak digalakkan membatalkan pertunangan demi memelihara nama baik pasangan dan keluarganya. Bagi kes putus tunang secara tidak munasabah, pihak berkenaan berhak menuntut ganti rugi di Mahkamah Syariah.
Simber : Berita Harian
1 comment:
owh?
tapi sekarang org umumkan pertunangan bagai nak rak jer kan?
huhuhu
Post a Comment