Thursday, December 30, 2010

Perang Badar tidak pernah dirancang



PERANG Badar adalah perang pertama dilalui oleh umat Islam maka ia menjadi satu catatan sejarah besar yang paling penting untuk diketahui oleh umat manusia.

Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil apabila kita menyelusuri setiap detik-detik peperangan ini dan suasana umat Islam ketika meletusnya peperangan ini.

Perang Badar berlaku selepas 16 hari umat Islam buat pertama kalinya berpuasa di bulan Ramadan, iaitu pada tahun ke 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masihi. 

Inilah ujian umat Islam ketika itu. Tidak sahaja mereka perlu menjalani ibadat puasa tetapi dalam keadaan menahan lapar dan dahaga itu jugalah mereka dikehendaki berlawan dengan musuh dengan segala kekuatan tenaga dan jiwa.

Perang Badar al Kubra tidak sekadar susulan daripada perlaksanaan perintah Allah SWT agar kaum Muslimin mengangkat senjata sebagai pertahanan diri, tetapi merupakan Perang Al Furqan (pembeza), bagi memisahkan antara yang hak dan yang batil. Juga antara yang beriman dan yang kafir di samping merupakan satu pekhabaran besar kepada dunia akan kewujudan dunia Islam dalam suasana yang ketika itu dipenuhi dengan perkara-perkara fasad dan mungkar.

Sebenarnya untuk kita bercerita mengenai Perang Badar ini, maka ia sebenarnya bukan satu kisah yang boleh dihabiskan dalam tempoh satu hari satu malam bercerita!

Tidak bermaksud Perang Badar itu umpama kisah satu odyssey (kisah sejarah pengembaraan yang panjang dan penuh pancaroba) tetapi ramai yang tidak tahu hakikat sebenar setiap rentetan yang berlaku kecuali yang asas-asasnya sahaja.

Tahukah anda bahawa Perang Badar ini sebenarnya bukan sebuah perang yang dirancang oleh umat Islam untuk berlaku? Mengapa bilangan umat Islam yang turun berperang hanyalah 313 sahaja berbanding 1,300 anggota tentera di kalangan pihak musuh?

Dan terfikirkah kita andainya umat Islam kalah dalam perang ini, tidak mustahil rasanya tiada lagi manusia yang akan menyembah Allah di muka bumi.

Begitu sekali signifikannya perang ini kepada umat Islam kerana itu mengetahui sejarahnya sangat penting kerana dengan peperangan sahaja kadang kala agama Allah akan tertegak di muka bumi ini.

Ingatlah, syariat Allah supaya Islam berperang dalam hakikat peperangan beradu kekuatan senjata dan serangan terhadap mereka yang memusuhi Islam tidak pernah ditarik.

Ini sebagaimana tegas diperintahkan oleh Allah surah al-Anfaal ayat 15 hingga 16.

Sebenarnya peperangan itu bukan dirancang dari awal atau yang dirancang dengan begitu baik dan sempat mengatur pelbagai strategi untuk mencapai kemenangan.

Ini kerana gerombolan tentera di pihak Islam yang diketuai dan dipimpin oleh Rasulullah sendiri itu tidak lebih seperti Operasi-operasi Ghazwah sebelum ini, iaitu tidak lebih untuk menyekat perjalanan perdagangan oleh kafilah-kafilah dagang milik kaum Quraisy.

Sebelum itu ada sesetengah orientalis Barat dan mereka yang prejudis terhadap Islam menganggap gerakan operasi ini tidak ubahnya seperti lanun-lanun yang merompak, tinggal lagi ia dilakukan di atas darat bukannya di laut.

Tetapi bagaimana dengan kalangan kafir yang merampas harta milik Islam sebelum ini, tindakan yang seperti itu, hendak disifatkan sebagai apa? Tidak juga gerakan ini sebagai tindakan membalas dendam terhadap segala keburukan yang telah dilakukan oleh pihak Quraisy tetapi Islam tidak lagi boleh tunduk kepada kelemahan, Islam kini mesti menunjukkan kekuatan, hatta kekuatan fizikal dan persenjataan.

Ini kerana Islam perlu diberi hak dan ruang untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia. Disebarkan bukan bererti memaksa, jadi tidak timbul soal memaksa orang lain untuk memeluk Islam segala-galanya terpulang kepada kerelaan dan keikhlasan, jadi mengapa perlu diperangi? Islam sama sekali tidak pernah menghunuskan pedang pada leher semata-mata untuk memaksa seseorang itu untuk memeluk Islam.
Jadi apabila hak yang sedemikian rupa disekat maka terpaksalah sekatan itu diputuskan melalui kemenangan dalam peperangan!

Utusan

Maksud ayat  ayat 15 hingga 16 dalam surah al-Anfaal.

"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari Dan sesiapa berpaling undur dari menentang mereka pada ketika itu - kecuali ia bergerak ke arah lain (untuk menjalankan tipu muslihat) peperangan, atau hendak menyatukan diri dengan pasukan yang lain - maka sesungguhnya ia tetaplah mendapat kemurkaan dari Allah, dan tempatnya ialah neraka jahanam; sedang neraka jahanam ialah seburuk-buruk tempat kembali". (Al-Anfaal [8] : 15 - 16)

Wednesday, December 29, 2010

Menguasai DUA ayat Allah


 

Bismillahirrahmanirrahim.

Allah berfirman:

A053

Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda kekuasaan Kami di merata-rata tempat (dalam alam yang terbentang luas ini) dan pada diri mereka sendiri, sehingga ternyata jelas kepada mereka bahawa Al-Quran adalah benar. Belumkah ternyata kepada mereka kebenaran itu dan belumkah cukup (bagi mereka) bahawa Tuhanmu mengetahui dan menyaksikan tiap-tiap sesuatu? (Fussilat 41:53
Dalam ayat ini ءَايَـٰتِنَا bermaksud ayat-ayat Allah, satu yang ada pada al-Quran dan satu lagi yang ada pada alam semesta termasuk diri kita.

Ayat-ayat Allah ialah al-Quran dan juga ilmu semasa seperti sains, teknologi, geografi dan sebagainya.

Kita bukan sahaja setakat diminta membaca ayat-ayat yang tertera dalam KitabulLah malah kita diminta mengkaji ayat-ayat Allah yang terdapat pada alam dan juga yang ada pada diri kita. Dengan ini kita akan menjadi ulul albab iaitu orang-orang yang berakal. Orang-orang yang berakal ialah orang-orang yang memahami syari'at dan sunnatullah.

A190

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (A-li'Imraan 3:190)

Kita pernah mendengar kehebatan bumi Andalusia/Sepanyol suatu ketika dahulu, kerana terdapat ramai para saintis Islam seperti Ibnu Sina, Ibnu Batutah, al-Ghazi dan lain-lain sehingga karya mereka membawa Barat keluar daripada kegelapan kepada era kebangkitan.
Apa yang merangsang mereka? Itulah ayat-ayat Allah - wahyu yang berbentuk ayat-ayat al-Quran yang mempunyai pelbagai ilmu.. al-bayaan.

Umat Islam di bumi Andalusia membaca dan mengakji ayat-ayat Allah dan mereka mendapat ilmu. Akhirnya Barat berubah jadi empayar yang maju dan moden seterusnya merangsang sains dan ilmu-ilmu lain.

Jadi pada hari ini kita kena hayati ilmu agama dan ilmu tentang ciptaan Allah. Rangsanglah anak-anak kita supaya bukan sahaja maju dalam ilmu semasa bahkan mesti maju dalam bidang agama.. agar mereka jadi ulul albab dan juga ulama' kerana ulama' ialah orang-orang yang berilmu dan takut kepada Allah.

Jika hari ini kita baca al-Quran tapi tak tahu atau faham tentang ayat-ayat Allah yang berada pada ciptaanNya, maka berubahlah. Para saintis bukan Islam telah ramai mengkaji dan akhirnya mereka memeluk Islam contohnya doktor pakar kulit Thailand yang mengkaji tentang deria sakit pada kulit. Setelah diberitahu bahawa ada ayat dalam al-Quran yang menyebut bahawa kulit yang terbakar hangus akan diganti baru  beliau mengucap syahadah.

Begitu juga dengan seorang pakar kaji laut iaitu Cousteau. Beliau memeluk Islam setelah berasa hairan terhadap fakta yang menarik perhatiannya.

Banyak lagi ayat-ayat Allah yang bila dikaji kita akan dapat menyingkap rahsianya seperti teori big bang dalam surah al-Anbiya' ayat 30 dan sebagainya.

Kesimpulan: Marilah kita umat Islam kembali kepada kecemerlangan dengan memerhati dan menguasai DUA ayat-ayat Allah ini.

Tuesday, December 28, 2010

Bertawakkal


Tawakkal jalan terbaik hadapi dugaan hidup
Oleh Khairunneezam Mohd Noor

Berita Harian 2010/12/28
Setiap kejadian menimpa manusia pasti ada sebab serta mempunyai hikmah

KITA selalu mendengar keluh kesah sesetengah orang yang bertanyakan kenapa agaknya suratan kehidupan mereka begitu susah untuk memperoleh kesenangan dan begitu senang pula mendakap kesusahan.

Mereka iri hati dengan keadaan orang lain yang ditakdirkan senang memperoleh kesenangan secara berterusan. Ada manusia yang hidup senang dan kaya raya, ada hidup susah dan melarat, ada dulunya senang tetapi kemudian hidup melarat.
Hakikatnya, inilah asam garam dan pancaroba kehidupan yang harus diterima dengan hati terbuka. Sebagai khalifah di muka bumi, perlulah kita membuat analisis dan muhasabah. Berfikir secara waras bahawa ketentuan Allah SWT mempunyai seribu satu sebab yang terkandung hikmah dan pengajaran.

Cuba nilai mengapa sesetengah manusia diberikan ujian terlalu hebat oleh Allah SWT? Mengapa sesetengah yang lain diberi rahmat dan rezeki yang tidak putus-putus?

Setiap sesuatu dijadikan atau ditakdirkan-Nya itu pasti ada sebab dan mempunyai hikmah. Manusia hanya perlu bersyukur jika diberikan rahmat dan rezeki yang melimpah ruah.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu; sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah an-Nahl, ayat 18)
Begitu juga sebaliknya, manusia perlu terus-menerus bersabar andai diuji dengan dugaan demi dugaan. Setiap sesuatu ketentuan perlu dihadapi dengan waras, bijak, tenang, serta berserah tanpa kompromi atau bersyarat kepada Allah SWT.

Tidak perlulah melihat dalam perspektif yang luas, lihat saja diri kita sendiri. Dalam banyak waktu, kita iri hati melihat sahabat yang nampak bahagia sepanjang masa dibanding kita tidak senang atau bahagia seperti mereka.

Ini memang amalan manusia, suka membanding-bandingkan diri dengan orang lain. Cuba lihat rakan lain yang selalu dirundung kesukaran, kesakitan, kepayahan dan duka? Bandingkan nasib mereka dengan kita.

Hanya dengan cara ini kita akan mengucap syukur Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya kita menyedari ketentuan nasib yang lebih baik dan senang berbanding mereka. Hakikatnya, manusia sukar untuk merasa puas.

Oleh itu, sehebat mana ujian yang dihadapi hendaklah reda, bersyukur dan bertawakal kepada-Nya. Giatkan usaha dan berdoa supaya Allah memberikan petunjuk dan mengurniakan keadaan lebih baik daripada sebelum ini.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan sesungguhnya kami akan berikan cubaan kepada kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar iaitu orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan, Innalillahi Wainna Ilaihi Rajiun, maka itulah mendapat berkat dan rahmat daripada Tuhannya dan mereka itulah orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Baqarah, ayat 155-157)

Akan tiba masanya, kalau tidak di dunia, Insyaallah di akhirat kelak, terbit sinar kebahagiaan dan rahmat-Nya menerangi kehidupan, berkat kesabaran serta keimanan menempuhi ujian demi ujian.

Perlu diingat, sebanyak mana harta kemewahan dan kesenangan dianugerah Allah hendaklah disyukuri. Perlu juga diyakini segala nikmat diperoleh dengan izin Allah SWT, dan dengan kehendak Allah juga, boleh hilang dalam sekelip mata.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan (saja) mengatakan ‘kami telah beriman’ sedangkan mereka belum lagi diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah SWT mengetahui orang yang benar dan dan orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Ingatlah, setiap apa yang kita lakukan, baik mahupun tidak, akan tetap dihitung dan diberi balasan sewajarnya oleh Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang mengerjakan kebaikan seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya), dan sesiapa yang mengerjakan kejahatan sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasannya) pula.” (Surah al-Zalzalah, ayat 7-8)

Untuk itu, janganlah kita mudah mengeluh apabila berdepan dugaan hingga mudah syaitan menusuk jarum kebencian terhadap takdir Allah SWT. Kita menjadi lupa kepada Allah serta lupa kekuasaan dan pembalasan-Nya.

Janganlah kita menjadi seperti kaduk naik junjung atau luncai yang terjun dengan labu-labunya sehingga dikatakan sebagai orang yang ‘kufur nikmat’. 

Monday, December 27, 2010

Amalan kebaikan walaupun remeh tetap dinilai

HIDUP ini harus dipenuhi dengan amal salih dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala. 

Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud: 


“Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (al-Baqarah [2] : 148) 


"Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa"; (Ali-'Imraan [3] : 133)


Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah.   
Contohnya:

1) Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain dan mengeratkan ukhuwah sesama Muslim. 

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” – Hadis riwayat Muslim) 

Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat. 

Lihatlah, berapa banyak restoran yang laris jualannya dan memikat ramai pengunjung kerana keramahan dan senyuman pemilik serta pelayannya berbanding restoran yang memberi layanan tidak mesra. 

2)  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” – (Hadis riwayat Muslim) 

Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu. 

Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan. 

Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredhaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan. 

Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.


NOTA:

Allah berfirman: "Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya". (Al-Israa' 17:7) - Petikan daripada Buat Baik Balasannya Baik.

Monday, December 6, 2010

Mari Berdoa

Bismillahirrahmanirrahim.

Esok kita akan melangkah ke tahun baru hijrah, 1432H. Di sini dikongsikan Doa Akhir tahun dan Doa Awal Tahun untuk di baca pada petang ini (Isnin 6 Disember 2010).

Diharapkan kita dapat berdoa dengan 'Doa akhir tahun' ini, dibaca 3 kali pada penghujung waktu Asar, sebelum masuk waktu Maghrib.

doa-akhir-tahun


Manakala 'Doa Awal Tahun' ini pula kita berdoa sebanyak 3 kali selepas solat Maghrib.



doa-awal-tahun

Semoga kita semua di ampunkan oleh Allah SWT, dan semoga kita menjadi insan lebih bertakwa pada tahun-tahun berikutnya.. Amiin

Friday, December 3, 2010

Thursday, December 2, 2010

Hijrah


Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul, maka hijrahnya itu kepada Allah dan Rasul..’

Ketika Khalifah Saidina Umar al-Khattab mengira-ngira untuk membuat satu tanda jelas bagi orang Islam tentang kalendar, banyak peristiwa penting yang boleh dijadikan batutanda itu. Peristiwa kelahiran Nabi SAW, Isra’ Mikraj, Hijrah, pelbagai peperangan yang berlaku sepanjang sejarah semuanya penting. Namun daripada semua peristiwa penting itu, akhirnya Umar al-Khattab memilih peristiwa hijrah. Mengapa hijrah? Tentunya ada perkara istimewa dan kelainan berbanding dengan peristiwa-peristiwa lain.

Sebelum hijrah, Nabi SAW adalah Nabi. Demikian juga selepas hijrah. Tetapi selepas hijrah, Nabi bukan sahaja kekal sebagai Nabi, pangkat yang diberi oleh Allah tetapi juga menjadi ketua sebuah negara. Walaupun Madinah kecil sahaja pada waktu itu (kecil dari segi geografi, kecil daripada segi bilangan penduduk dan kecil dari segi kuasa berbanding kuasa-kuasa besar yang sudah sedia ada ketika itu) Parsi dan Rom, namun Madinah menepati ciri-ciri sebuah negara menurut sains politiknya. Ada tanah dan bumi, ada pemimpin, ada rakyat, ada perlembagaan dan ciri-ciri lain.

Hijrah menjadi batas sempadan di antara tempoh Mekah dan tempoh Madinah. Ayat-ayat al-Quran berbeza daripada segi uslub dan perintah-perintahnya, (Dengan sebab itu ada ayat Makiyyah dan Madniyaah) Justru, peristiwa hijrah ini sangat penting untuk dihayati oleh umat Islam agar maksud sebenar daripada hijrah ini tercapai.

Latar belakang Hijrah

1) Nabi menyeru kepada Islam

Semenjak berada di Mekah, wahyu sudah mulai turun. Muhammad SAW telah diangkat dan dilantik menjadi Nabi dan Rasul. Bermula daripada seorang diri, Baginda mula menyebarkan Islam di kalangan keluarganya yang hampir, sahabat yang rapat dengannya agar mudah diterima. Kemudian berkembang sedikit demi sedikit. Begitu juga daripada segi uslub dakwah, daripada sembunyi hinggalah terang-terangan.

2. Para Sahabat ditindas, dizalimi hanya kerana menyatakan ‘Kami beriman kepada Allah’

Oleh sebab dakwah yang mula diterima daripada kalangan penduduk Mekah, respon yang diberi oleh pembesar Quraisy adalah sangat keras. Para Sahabat ditindas, disiksa, ditekan dan diperlakukan pelbagai kezaliman. Contoh-contohnya cukup banyak. Cukup bagi kita melihat seperti Bilal bin Rabah yang disiksa begitu rupa dengan sebab hanya beriman kepada Allah, begitu juga Ammar bin Yasir dan lain-lain.

3) Diizin berhijrah ke Habsyah

Kezaliman dan penindasan yang dahsyat menyebabkan para sahabat dibenarkan berhijrah ke Habsyah buat sementara waktu, sehingga tempoh untuk kembali ke Mekah selepas suasana yang sedikit mengizinkan. Bumi Habsyah hanya transit sementara, untuk perlindungan, bukan bumi sebenar menegakkan Islam dalam bentuk negara. Suasana dakwah di Mekah berlangsung sedemikian rupa selama 13 tahun. Yang didengar oleh telinga para sahabat hanyalah ‘sabar, sabar’ hingga Allah menentukan masa dan ketika yang sesuai untuk ditegakkan Islam itu dalam bentuk pemerintahan negara.

4) Pemimpin Quraisy bersidang dan ambil keputusan di Darul Nadwah

Sampai waktunya Nabi memberi khabar gembira kepada para sahabat. Nabi bersabda, maksudnya: ‘Aku diberitahu tempat hijrah kamu iaitu Yathrib. Sesiapa yang mahu keluar, maka keluarlah ke sana.’ Para sahabat mula mengatur langkah menuju Yathrib. Ia berlaku selepas Bai'ah Aqabah 1 dan 2 di antara Nabi SAW dan penduduk Yathrib yang datang mengerjakan haji. Nabi SAW menawarkan Islam kepada mereka sehingga kemudiannya berlaku Bai'ah Aqabah 1 dan 2 itu dalam musim-musim haji. Melihat kepada perkembangan Islam yang sudah berlaku outreach di Yathrib, iaitu pengaruh yang sudah berkembang hingga ke luar Mekah, maka para pemimpin Quraisy bermesyuarat di Darul Nadwah mahu mengambil keputusan apa yang sepatutnya dibuat terhadap Nabi SAW. Daripada cadangan-cadangan yang diberi, akhirnya keputusan yang dicapai ialah Nabi Muhammad SAW, Al-Amin itu mesti dibunuh. Inilah kemuncak kepada sebuah perjuangan hingga melibatkan risiko nyawa melayang.

Dengan demikian, Nabi SAW berhijrah bersama Saidina Abu Bakar as-Siddiq ra sehingga akhirnya tiba ke Yathrib di awal bulan Rabi al-Awwal Tahun pertama Hijrah.

Dalam hijrah ini pelbagai pengajaran yang kita boleh petik. Saya rumuskan melalui 5P seperti berikut:

Iktibar (5P)

Penuh strategi

Nabi SAW membuat persediaan mencari tapak sesuai sebelum berhijrah. Yathrib bukan sahaja tapaknya sesuai bahkan penduduknya juga sudah bersedia menerima dan mempertahankan Baginda SAW. sebagai tapak tegaknya Islam. Untuk itu Bai'ah 'Aqabah 1 dan Bai'ah 'Aqabah 2 menjadi tahap penting dalam dakwah Nabi. Bagi merealisasikan Bai'ah 'Aqabah supaya berjaya dan tidak bocor, penduduk Yathrib mengerjakan haji seperti orang lain pada musim haji, tetapi bangun pada tengah malam di Mina ketika semua yang lain masih tidur untuk berbai'ah dengan Baginda SAW.

Selepas Nabi mendapat tahu tentang perancangan Quraisy mahu membunuhnya, Baginda SAW pergi ke rumah Abu Bakar pada waktu tengahari dan selepas menerima perintah Allah untuk berhijrah. Waktu tengahari dipilih kerana ketika itu masing-masing sedang berihat di rumah agar perancangan Baginda tidak disedari.

Begitu juga perancangan yang dibuat oleh Saidina Abu Bakar selepas Nabi menyampaikan berita untuk berhijrah itu. Dikaderkan anak-anaknya untuk Islam. Asma' menyediakan makanan, Abdullah ditugaskan mendengar khabar di pasar lalu membawa khabar berita itu kepada Nabi di Gua Thur nanti, Amir bin Fuhairah ditugaskan membawa kambing ke Gua Thur untuk didapatkan susunya dan dihilangkan kesan tapak kaki.

Sebagai usaha melambat-lambatkan dan mengelirukan pemuda Quraisy, Nabi SAW meminta Saidina Ali menggantikan Baginda di tempat tidur.

Nabi sendiri tinggal di Gua Thur selama 3 hari bersama Abu Bakar bagi memastikan misi ke Yathrib selamat. Nabi juga melalui jalan yang tidak biasa dilalui ke Yathrib agar perjalanan tidak dikesan musuh.

Semua ini menggambarkan kepada kita betapa strategi dalam menegakkan Islam itu mesti diberikan keutamaan. Bahkan secara umum, ia memberi panduan kepada semua bentuk pengurusan agar perancangan berstrategi itu diambil perhatian. Buatlah Plan A atau Plan B, usaha dan ikhtiar dari manusia, namun tawakkal dan pergantungan mesti tekad kepada Allah.

Pengorbanan

Apa yang diberi oleh para Sahabat selama di Mekah hingga bersedia berhijrah ke Yathrib ialah kerana mereka mengutamakan Islam, kehendak Allah yang mendahului kehendak diri dan peribadi. Pengorbanan para Sahabat sepanjang tempoh dakwah di Mekah bukan calang-calang. Dalam persitiwa hijrah, para sahabat bersedia meninggalkan rumahtangga, kampung halaman, harta benda kerana semata-mata menyelamatkan Islam. Kalau Islam selamat, yang lain selamat. Kalau yang lain selamat, belum tentu Islam selamat.

Pengorbanan dari Abu Bakar sepanjang peristiwa hijrah juga menjadi contoh hebat. Memasuki Gua Thur terlebih dahulu bagi memastikan keadaan selamat buat Nabi SAW, sanggup kakinya ditahan kesakitan akibat bisa binatang kerana tidak mahu mengganggu Nabi yang baring diribanya. Begitu juga Ali bin Abi Talib yang mengambil risiko besar menggantikan Nabi SAW di tempat tidur. Nyawa menjadi pertaruhan untuk sebuah perjuangan.

Persaudaraan

Bagi menegakkan pemerintahan Islam, faktor-faktor yang membantu ke arah perkara itu mesti dilakukan. Tidak mungkin Islam boleh ditegakkan jika mereka yang menegakkan Islam itu bersengketa. Tindakan Nabi SAW mempersaudarakan Aus dan Khazraj menjadi golongan Ansar adalah tindakan bijak seorang pemimpin. Aus dan Khazraj yang berperang sesama sendiri begitu lama akhirnya menjadi seperti saudara karib. Bukan mudah menyatukan mereka yang sudah berperang begitu lama. Tali persaudaraan bukannya atas dasar Arab tetapi islam. Nasionalisme sempit tiada dalam kamus Islam. Bentuk persaudaran diluaskan hingga Muhajirin dan Ansar juga dipersaudarakan. Bentuk persaudaraan ini diakui Islam sehingga di peringkat awalnya masing-masing boleh mewarisi dari saudara seislamnya yang lain hingga dibatalkan hukum itu.

Positif dan pro-aktif

Sikap umat Islam mesti positif dan pro-aktif. Ia ditunjuk oleh Nabi SAW dalam persitiwa hijrah ini. Apabila mengetahui orang Musyrikin mahu membunuhnya, terus Baginda bertindak menemui Abu Bakar dan menyiapkan perkara yang sepatutnya.

Nabi SAW sentiasa memandang masa depan Islam yang cemerlang. Dalam apa suasana sekalipun, Baginda tetap optimis dan positif terhadap Islam. Inilah sifat seorang pemimpin yang mesti diikuti oleh pengikutnya. Dalam persitiwa hijrah, ketika hanya Nabi dan Abu Bakar berada di dalam Gua Thur-tiada PBB, tiada OIC, tiada negara dan bala tentera islam yang boleh membantu, Nabi SAW bersabda kepada Abu Bakar ‘Apa sangkaan kamu dengan 2 orang, Allah yang ketiga’, suatu tarbiyyah, keyakinan dan keimanan yang jitu diletakkan dalam dada Abu Bakar. Ketika Suraqah yang mengejar Nabi dari belakang mulai takut dengan kaki kudanya yang sentiasa tenggelam dalam pasir itu meminta keamanan dari Nabi SAW, Baginda berjanji kepada Suraqah untuk diberikan gelang Raja Kisra. Satu janji yang melihat masadepan yang gemilang buat Islam walaupun negara Islam itu belum kelihatan di depan mata.

Perpindahan

Hijrah wajib di awal Islam. Namun ia berubah selepas itu: ‘Tiada hijrah selepas pembukaan Mekah tetapi jihad dan niat (yang benar)’ , ‘Jihad berterusan hingga ke hari Qiamat’

Perpindahan yang mesti berlaku di kalangan orang Islam ialah berhijrah dari perkara yang dilarang Allah ‘Orang yang berhijrah ialah orang yang meninggalkan perkara yang dilarang Allah’. Bagi seorang mukmin, falsafah hidupnya ialah hari ini lebih baik dari semalam, esok lebih baik dari hari ini dan hari-hario muka lebih baik dari hari sebelumnya.

Berpindahnya Nabi SAW dari Mekah ke Madinah ialah bagi menegakkan Islam dalam bentuk syumul-peribadi, keluarga, masyarakat dan negara. Ia bukan hijrah dari satu tempat ke satu tempat sahaja. Hijrah membawa misi dan visi yang sangat hebat.

Oleh Nik Nasri Malik : Hijrah

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)