Bismillahirrahmanirrahim.
Sebuah hadis riwayat Abdullah bin Umar, Rasulullah SAW pernah bersabda: "Suatu hari tiga orang dari kamu sebelum kalian berangkat, lalu di tengah perjalanan hujan lebat sehingga mereka memasuki sebuah gua di kaki sebuah gunung…"
... dikisahkan tentang tiga pemuda yang bermusafir ke suatu tempat.
Tiba-tiba dalam perjalanan, hujan turun dengan lebat sehingga memaksa mereka mencari tempat berteduh iaitu sebuah gua.
Ketika berada di dalam gua tersebut, tiba-tiba sebongkah batu yang besar jatuh dari gunung sehingga menutupi pintu gua tersebut.
Sekali gus menyebabkan mereka tidak dapat keluar.
Dengan keadaan yang demikian, mustahil mereka bertiga keluar daripada gua tersebut waima mereka menolak batu yang menutupi pintu gua itu.
Lalu, salah seorang di antara tiga pemuda tersebut berkata: "Berdoalah kalian kepada Allah, kerana kalian tidak akan dapat melalui batu ini kecuali dengan berdoa kepada Allah dengan amal soleh kalian."
Tidak lama selepas itu, orang pertama mulai berkata: "Ya Allah, aku memiliki dua orang ibu bapa yang sudah tua dan juga sebuah keluarga. Aku memerah susu, dan aku tidak akan memberi anak-anakku sehingga ibu dan bapaku minum terlebih dahulu.
"Pada suatu malam, aku terlambat untuk memerah susu, dan saat aku pergi hendak memberikan susu kepada ibu bapaku, mereka ku lihat sudah tidur.
"Aku tetap duduk menunggu di tepi mereka dan dalam masa yang sama aku tidak mahu mengejutkan mereka hingga tiba waktu subuh.
"Sedangkan ketika itu anak-anakku menangis meminta minum. Aku tidak mahu memberi minum kepada anak-anakku sehinggalah orang tuaku meminumnya.."
(Mari sama-sama lihat dan renung bagaimana keikhlasan amal dapat menolong hamba Allah yang soleh) "Dan apabila subuh telah menjelma, mereka pun meminumnya.
"Ya Allah, jika aku telah melakukan perkara tersebut kerana ingin mencari reda-Mu dan mencari wajah-Mu, maka permudahkanlah kami daripada kesulitan ini."
Dengan kuasa Allah, batu yang menutupi pintu gua itu bergerak sedikit. Namun, mereka masih belum boleh keluar.
Melihatkan keadaan itu, pemuda yang kedua tadi berfikir sejenak lalu berkata: "Ya Allah, aku memiliki seorang sepupu iaitu anak bapa saudaraku.
"Aku sangat mencintainya, dan aku memintanya untuk menjadi isteriku tetapi dia menolak. Ketika dia berada dalam kesulitan dia datang kepadaku dan berkata: Pinjamkanlah aku wang'"
Aku pun menjawab: "Aku akan memberimu 120 dinar dengan syarat kau mahu ku gauli."
"Dia pun menggeletar kerana beratnya menerima ajakanku. Tatkala aku mungkin pada masa itu boleh menguasainya, dia berkata: Wahai hamba Allah, bertakwalah kepada Allah. Aku tidak halal bagimu.
"Aku langsung bangun dan membelakanginya sambil berkata, ambillah harta ini dan pergilah".
Pemuda kedua itu berkata lagi: "Ya Allah, jika aku telah melakukan perkara itu kerana mencari reda-Mu dan mencari wajah-Mu, maka lapangkanlah kami daripada kesulitan yang kami hadapi ini".
Tidak lama selepas itu, pemuda ketiga juga turut merintih: "Ya Allah, aku dulu sering menggaji orang dan aku selalu memberikan gaji kepada mereka, kecuali seorang yang pergi dan belum mengambil gaji.
"Gajinya itu aku ambil lalu aku laburkan sehingga pada suatu hari dia datang dan berkata 'berikanlah gajiku".
Aku pun jawab gajimu semua binatang ternakan ini, baik sapi ataupun kambing. Dia pun membalas, "Apakah kau menghinaku? Aku menjawab, demi Allah, aku tidak akan menghinamu."
Dia mengambil semua harta itu tanpa meninggalkan satu pun untukku. Maka Ya Allah, jika aku melakukan semua itu kerana-Mu, permudahkanlah dan keluarkanlah kami daripada kesulitan ini".
Seusai pemuda ketiga tadi berdoa, maka batu yang menutupi gua tersebut pun tergolek dan dapatlah mereka keluar daripada dalam gua itu.
Maha Suci Allah, tidakkah anda kagum dengan kebesaran Allah?
Anda sudah nampak apa mesej di sebalik cerita tiga pemuda ini? Anda sudah nampak bagaimana keikhlasan memberi kesan besar dalam kehidupan?