Asas hidup beragama ialah Mengenal Allah dan mencintai-Nya juga disebut Tadayyun. Seseorang yang bertadayyun di sisi Allah SWT juga disebut sebagai Rabbaniyyin.
Allah berfirman:
Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmat serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya. (A-li'Imraan 3:79)
Setiap individu Muslim yang menjadi pengikut nabi Muhammad s.a.w. wajib menjadikan dirinya seorang yang Rabbani.
Setiap orang yang hidup bertadayyun dan menjadikan dirinya rabbani perlu melaksanakan seperti apa yang diikrarkan dan diulang-ulang sebut setiap kali dia menunaikan solat.
Katakanlah: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. (Al-An'aam 6:162)
Bila bertadayyun kita kena menjalani seluruh kehidupan kita berdasarkan peraturan yang diperintahkan Allah.
Kena sentiasa bersama Allah. Pemikiran, hati, seluruh urat saraf dan denyutan nadinya, atau jiwa raga kita sentiasa mengharapkan Allah, kita amat memerlukan Allah, baik ketika senang, ketika susah, ketika kaya, ketika miskin, sakit atau sihat bahkan nak mengerdipkan matapun kita memerlukan pertolongan Allah.
(Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Faatir 35:15)
Allah itu Rabbil `alamin; iaitu Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Allahlah yang mengilhamkan kepada sekelian makhluk dan menunjuki jalan-jalan kehidupan. Rahmat dan kasih sayang Allah kepada hamba-hambaNya di dunia ini amat luas sehinggakan orang-orang kafir, fasik dan zalim juga dapat menikmati segala kurniaan Allah kepada sekelian makhluk didunia ini. Tidak ada yang melata di bumi melainkan Allahlah yang menyediakan rezeki untuk kehidupan mereka.
Dan tiadalah sesuatupun daripada makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Lauh mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan). (Hud 11:6)
Sejak permulaan kewujudan alam ini, seluruh sistem bergerak, berjalan, beredar dan berputar dengan selari, selaras dan seirama, tersusun dengan amat sistematik, tepat dan tidak terlewat atau tercepat walau sedetik. Segalanya ini telah ditakdirkan, ditentukan dan ditetapkan oleh Allah Azza wa jalla yang Maha Agung dan Maha Bijaksana. Segala-galanya ini telah tertulis oleh Qalam dengan perintah Allah di Lauh Mahfuz sebelum lain-lain kewujudan diciptakan Allah.
Allah telah mengulang-ulang hakikat RububiyyahNya ini berkali-kali dalam al-Quran bagi mengetuk jiwa manusia agar mengiktiraf kehebatan Allah, menerimaNya sebagai tuhan yang Esa yang disembah, ditaati dan diagungkan serta berserah diri sebagaimana Nabi Ibrahim sentiasa berserah diri iaitu 'dengar dan taat' tanpa mempersoalkan kenapa diperintahkan begini dan begini.
(Ingatlah) ketika Tuhannya berfirman kepadanya: "Serahkanlah diri (kepadaKu wahai Ibrahim)!" Nabi Ibrahim menjawab: "Aku serahkan diri (tunduk taat) kepada Tuhan Yang Memelihara dan mentadbirkan sekalian alam". (Al-Baqarah 2:131)
Dalam surah al-An`am Allah menyatakan:
Segala puji tertentu bagi Allah yang menciptakan langit dan bumi, dan menjadikan gelap dan terang; dalam pada itu, orang-orang kafir menyamakan (sesuatu yang lain) dengan tuhan mereka. (Al-An'aam 6:1
Allah lah yang mencipta langit dan galaksi yang begitu hebat dan luas dan Dialah yang menciptakan bumi dan segala isinya. Allah juga yang menciptakan sinar cahaya yang berkilau terang benderang yang tidak mampu ditentang oleh mata dan Dialah juga yang menciptakan kegelapan yang pekat.
Itulah hakikat kekuasaan Rububiyyah Allah tetapi masih wujud manusia yang dengan kejahilannya masih menjadikan makhluk ciptaan Allah sebagai sembahan dan pujaan.
Dia lah yang menciptakan kamu dari tanah, kemudian Ia tentukan ajal (kematian kamu) dan satu ajal lagi yang tertentu di sisiNya (iaitu masa yang telah ditetapkan untuk dibangkitkan kamu semula pada hari kiamat); dalam pada itu, kamu masih ragu-ragu (tentang hari pembalasan). (Al-An'aam 6:2)
Allah mengingatkan kita hakikat kekuasaanNya dan mengingatkan bahawa ajal maut kita dan hari berlakunya kemusnahan alam ini telahpun ditentukan. Allah mencipta kita daripada tanah tetapi cubalah renungkan perbezaan antara kita diciptakan daripada tanah dengan patung buatan manusia.
Apakah ciptaan patung manusia yang juga dicipta daripada tanah itu bernyawa? Boleh melihat, mendengar, berkata-kata, bergerak dan segalanya-galanya yang cukup bersistematik sebagaimana manusia ciptaan Allah daripada tanah ini?.
Lihatlah betapa besar perbezaan antara kekuatan manusia dan kehebatan Allah, tetapi kenapa masih ada manusia meragukan hari kebangkitan?
Dan Dia lah Allah (yang disembah dan diakui kekuasaanNya) di langit dan di bumi; Ia mengetahui apa yang kamu rahsiakan dan apa yang kamu lahirkan, dan Ia juga mengetahui apa yang kamu usahakan. (Al-An'aam 6:3)
Allah menegaskan bahawa Dialah Tuhan yang mencipta, memiliki, memerintah, menguasai segala makhluk di langit yang luas dan di bumi yang kecil, malah Allah mengetahui dan mendengar apa yang terlintas di hati manusia.
Apakah patut manusia tidak menghiraukan amanah dan tujuan mereka diciptakan dan menghabiskan usia sementara ini sia-sia begitu sahaja?
No comments:
Post a Comment