Don Daniyal dalam usia 27 tahun mengendalikan program televisyen corak Islam untuk mereka yang muda dan sebaya dengannya. |
Terdapat banyak maklum balas positif menunjukkan program interaktif agama, 30 Minit Ustaz Don di saluran TV Al Hijrah semakin mendapat tempat di hati para penonton.
Bagaimanapun, beliau tidak menganggap kejayaan itu menjadikannya semakin popular atau glamor.
"Bukan ini saya kejar apabila diberi kepercayaan untuk mengendalikan program ini. Sebabnya, kejayaan program ini terletak pada semua krew rancangan yang turut sama, yang bagaikan sebuah keluarga besar.
"Malah penonton juga adalah sebahagian daripada ahli keluarga program ini. Maka pujian dan penghargaan tidak harus pergi kepada saya seorang tetapi semua pihak yang saya sebutkan tadi," kata anak muda lepasan Universiti Al Azhar Mesir ini.
Program 30 Minit Ustaz Don yang ke udara di kaca televisyen setiap Isnin hingga Rabu pada pukul 10.30 malam sejak Oktober lalu adalah kesinambungan program yang mula-mula diterajui oleh Don Daniyal, iaitu Program Ihya Ramadan.
Selain Rancangan 30 Minit Ustaz Don ini, TV Al Hijrah sebagai saluran utama media elektronik bercirikan Islam di negara ini turut menyajikan pelbagai program keagamaan yang menarik.
Ini termasuklah Madrasah Al Hijrah, Muhasabah Diri, Jalan Orang Mukmin dan Signs Of The Creator yang semakin hari semakin mendapat tempat di hati para penonton tanpa mengira latar belakang dan usia.
Program 30 Minit Ustaz Don ini disasarkan kepada golongan remaja dan anak-anak muda untuk mereka menimba pelbagai ilmu agama melalui rancangan bual bicara dan interaktif.
Ia memfokus dua perkara penting untuk golongan iaitu Bicara Fardu Ain dan al-Quran secara santai.
"Saya sedar membaca al-Quran di televisyen (tv) bukanlah kaedah pembelajaran al-Quran yang betul. Kita kena saling bertalaqqi secara fizikal antara guru dan pelajar dalam mempelajari al-Quran.
"Bagaimanapun, sekurang-kurangnya ia antara alternatif yang terbaik untuk kita belajar. Kalau selama ini tv boleh digunakan untuk pelbagai perkara dan matlamat jadi tidak salah kita gunakan saluran ini untuk kita belajar agama dan membaca al-Quran," kata Don Daniyal.
Menurut Pengurus Besar Bahagian Majalah dan Dokumentari TV Al Hijrah, Zainal Rashid Ahmad, tidak dinafikan kaedah pembelajaran agama yang terbaik mungkin boleh diperolehi melalui kelas-kelas di masjid, madrasah dan lain-lain majlis ilmu.
"Namun tidak mustahil kita 'memadrasahkan' tv sebagai satu cara pembelajaran. Oleh kerana media tv ini merupakan satu pembudayaan secara hiburan (culture entertaining) maka Ustaz Don kita jadikan ustaz di madrasah tv bagi mengajar anak-anak muridnya, iaitu para penonton TV Al Hijrah.
"Hasilnya alhamdulillah dengan pengenalan dan kemampuan yang ditunjukkan oleh Don Daniyal, kita berjaya mendapatkan sekelompok besar penonton terutama golongan remaja sehinggalah golongan eksekutif muda wanita yang tidak melepaskan peluang menonton rancangan ini," katanya.
Ustaz Don, kata Zainal Rashid, berjaya memberi satu nafas baru dengan corak persembahan yang pelbagai untuk lari dari lingkungan dan suasana pembelajaran madrasah yang lazimnya, serius, kurang jenaka dan 'berat'.
"Ustaz Don tidak lari daripada lingkungan budaya ilmu walaupun cara dan kaedah yang disampaikan adalah mesra penonton, sangat 'hidup', bersahaja, tidak bergantung sepenuhnya kepada skrip dan 30 minit itu dirasakan seperti tidak cukup," katanya.
Namun apabila bercakap soal imej dan penampilan, Don Daniyal yang juga pensyarah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Bangi, Selangor meminta agar penampilannya yang mengenakan jubah dan serban bukan penghalang antaranya dengan para penonton.
"Yang penting, selagi penyampaian saya berlandaskan ilmu, bagaimana rupa dan gaya saya kini bukan menjadi persoalan" tambahnya.
Namun beliau meminta masyarakat jangan meniru penampilan sesetengah kaum, yang kalau diikuti pasti akan menjadi seperti kaum tersebut.
"Kita kata arak itu memabukkan. Siapa yang tidak pernah minum pasti akan mabuk jika dia minum. Begitulah jika kita meniru sesetengah budaya, kalau Barat yang (negatif) ditiru maka Baratlah yang menjadi budaya kita," ujarnya penuh makna.
Para penonton boleh berinteraksi secara langsung dan bertanya sebarang soalan melalui talian 03-22602411 atau 03-22601610 dan melalui fan page di Facebook untuk dibincangkan semasa siaran.
Boleh juga klik di SINI
Petang tadi Ustaz Don memberi tazkirah tentang kalimah syahadah, yang perlu kita jaga. Di sana ada penerangan tentang ILAH dan Rabb.. Kalimah Allah hanya hak orang Islam. Syahadah adalah kesaksian kita terhadap Allah yang kita sembah, tiada ilah selain Allah dan Muhammad saw adalah rasul Allah yang terakhir. Kita kena ikat betul-betul pengakuan kita ini jangan sampai terbatal. Ustaz ada sebut tentang maksud aqidah yakni ikat, biasanya ikatan ini akan terputus, oleh sebab itulah kita perlu sentiasa bersyahadah, kita diwajibkan solat lima waktu. Bacaan kalimah syahadah kena betul.
No comments:
Post a Comment