Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Nikmat hidup adalah peluang paling bernilai bagi hamba Allah di dunia ini. Ini patut disyukuri sebelum kematian menjemput kerana kematian adalah penamat segala ruang dan peluang untuk membuktikan pengabdian kepada Allah SWT. Peluang hidup di dunia datang sekali sahaja dan jangka hayat kita pula hanya diketahui Allah SWT.
Rasulullah SAW mengingatkan tenyang kepentingan menguruskan peluang yang diberikan Allah SWT dalam hidup. Baginda mengingatkan supaya kita memanfaatkan waktu sihat sebelum sakit, kaya sebelum miskin,
lapang sebelum sibuk, muda sebelum tua dan hidup sebelum mati.
Apabila sampai waktunya, malaikat maut akan datang menjemput untuk dikembalikan
kepada Maha Pencipta. Di sana kita akan ditanya bagaimana kita mengisi peluang
yang telah diberikan oleh-Nya.
Tujuan kita dijadikan ialah untuk beribadat kepada-Nya, diberi amanah dan tanggungjawab
sebagai khalifah di bumi. Ibadat dan tanggungjawab ini mesti dilaksanakan
berdasarkan syariat dan perintah-Nya.
Seseorang yang melakukan amalan baik kerana mentaati perintah Allah dikira
sudah melakukan ibadat kepada Allah SWT. Sifat orang beriman adalah segera melakukan
amalan baik dan melakukan secara berterusan malah ada ke tahap berlumba-lumba melakukan
kebaikan selagi nyawa di kandung badan.
Orang-orang beriman yakin kiamat diri boleh berlaku pada bila-bila masa atau di mana sahaja.
Imam Ghazali berkata, mati itu ada kalanya berlaku serta-merta. Andainya anda
tidak mati serta-merta, anda harus ingat bahawa sakit itu selalu datang dengan
serta-merta. Apabila anda sakit, nescaya anda tidak akan berdaya lagi untuk
mengerjakan amalan soleh, sedangkan amalan soleh itu pula adalah bekalan
akhirat.
Oleh itu usahlah kita bertangguh lagi. Bersegeralah dan berlumba-lumbalah melakukan ibadah. Usah memberi alasan belum dapat
hidayah kerana jika kiamat diri terjadi ketika kita masih sedang menunggu
hidayah, bagaimana kita dapat memasuki syurga-Nya.
Hidayah perlu dicari dan bukan ditunggu. Janganlah menanti masa lapang untuk
beribadah kerana hal ini akan memutuskan kita daripada kewajipan menunaikan hak
terhadap apa yang telah ditetapkan Allah pada masa lapang itu.
Semoga kita tetap istiqamah di atas jalan lurus hinggalah ke destinasi yang kita idam-idamkan. Marilah berusaha dengan bersungguh-sungguh.. peringatan buat diriku juga...