Bismillahirrahamanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Mari kita hayati hadis di bawah dan berusaha mengambil iktibar daripadanya.
Diriwayatkan daripada Ibnu Umar r.a: "
Rasulullah SAW pernah bersabda : "Di dalam tidurku, aku melihat mangkuk penuh
susu diberikan kepadaku dan aku meminumnya hingga membasahi sebahagian jemari
ku. Kemudian aku memberikan sisanya kepada Umar bin al-Khattab." (Para sahabat nabi SAW bertanya : "Apakah tafsiran anda
(terhadap mimpi itu) ya Rasulullah SAW?" Nabi SAW menjawab : " Itulah ilmu
(agama)".
Huraian
Orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang tafaqquh (mendalam ilmu
agamanya). Dalam hal ini cuba
kita renung sejenak tentang beberapa kisah Saidina Umar Al Khattab RA. Beliau adalah
orang yang paling disegani dan paling digeruni semasa zaman jahiliah. Demikian
juga setelah beliau memeluk Islam, beliau tetap disegani dan ditakuti termasuk
syaitan sendiri. Apakah rahsianya Saidina Umar boleh mencapai tahap tersebut?
Jawapannya tidak lain ialah kerana beliau benar-benar mendalami ilmu agama.
Sungguh
banyak pengajaran yang dapat diambil daripada kisah Saidina Umar Al Khattab RA. Antaranya, kisah
tentang beliau berkata dengan Hajar Al Aswad, kisah beliau tidak memotong
tangan pencuri kerana terlalu fakir, kisah beliau memotong tangan
pencuri kerana mencuri serta sebat pencuri berkenaan kerana telah berdusta atas nama Allah, kisah beliau mengubah destinasi
setelah mendapat berita wabak taun di negeri yang akan dituju, kisah tentang
beliau berhijrah dan lain-lain. Beliau dikenal sebagai khalifah yang paling
adil.
Mukmin yang mendalam ilmu agamanya memang lebih ditakuti oleh syaitan
berbanding dengan orang yang banyak beribadah tetapi jahil tentang seluk-belok
agama. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW bermaksud: Seorang Faqih adalah lebih
digeruni oleh syaitan daripada seribu orang 'Abid (orang yang banyak
beribadat)”(at- Tirmidzi dan Ibnu Majah)
No comments:
Post a Comment