Bismillahirrahmanirrahim.
Tahukah siapa tetamu terakhir yang akan
mengunjungi kita? Tahukah anda apa tujuan ia menziarahi dan menemui kita? Apakah
hajatnya dari kita?
Ketahuilah! Ia tidak datang kerana
dahagakan hartamu, atau kerana ingin menikmati hidangan lazat bersamamu, atau
meminta bantuanmu untuk membayar hutangnya, atau memintamu memberikan sokongan
kepada seseorang atau untuk menyelesaikan urusan yang tidak mampu ia
selesaikan!!
Tetamu ini datang untuk satu urusan penting
yang telah ditetapkan. Anda dan keluarga anda malah seluruh penduduk bumi ini
tidak akan mampu menggagalkannya dalam misinya tersebut!
Walaupun anda tinggal di istana-istana yang
tinggi, berlindung di benteng-benteng yang kukuh dan di menara-menara yang
kuat, dikawal dengan ketat, anda tidak dapat mencegahnya masuk untuk menemuimu
dan menunaikan urusannya denganmu!!
Untuk menemuimu, ia tidak perlu pintu
masuk, atau meminta izin, dan membuat temujanji terlebih dahulu sebelum datang.
Ia akan datang bila-bila dan dalam keadaan apapun; ketika kamu sedang sibuk
ataupun lapang, sedang sehat ataupun sedang sakit, semasa kamu masih kaya
ataupun sedang melarat, ketika kamu sedang bemusafir atau pun tinggal di
tempatmu!!
Saudaraku! Pengunjungmu ini tidak memiliki
hati yang lemah. Ia tidak akan terpengaruh oleh ucapan-ucapan dan tangismu
bahkan oleh jeritanmu dan sahabat-sahabat yang menolongmu. Ia tidak akan
memberimu kesempatan untuk menilai semula perhitungan-perhitunganmu dan
meninjau kembali urusanmu!
Kalau pun kamu berusaha memberinya hadiah
atau menyogoknya, ia tidak akan menerimanya sebab seluruh hartamu itu tidak
bererti apa-apa baginya dan tidak membuatnya mundur dari tujuannya!
Sungguh! Ia hanya menginginkan dirimu saja,
bukan orang lain! Ia menginginkanmu semuanya bukan separuh badanmu! Ia ingin
membinasakanmu! Ia ingin kematian dan mencabut nyawamu! Menghancurkan raga dan
mematikan tubuhmu! Dia lah malaikat maut!!!
Allah SWT berfirman, ertinya:
“Katakanlah, ‘Malaikat Maut yang ditugaskan
untuk (mencabut nyawa) mu akan mematikan kamu; kemudian hanya kepada Tuhanmulah
kamu akan dikembalikan.” (As-Sajadah [32] : 11)
Dan firman-Nya, ertinya:
“Dan Dia lah yang berkuasa atas sekalian hambaNya;
dan Ia mengutuskan kepada kamu pengawal-pengawal (malaikat yang menjaga dan
menulis segala yang kamu lakukan), sehingga apabila sampai ajal maut kepada
salah seorang di antara kamu, lalu diambil (nyawanya) oleh utusan-utusan Kami
(malaikat); sedang mereka pula (malaikat itu) tidak cuai (dalam menjalankan
tugasnya) ” (Al-An’aam [6] : 61)
Tahukah kamu bahawa kunjungan Malaikat Maut
merupakan sesuatu yang pasti? Tahukah kamu bahawa kita semua menjadi musafir di
tempat ini? Sang musafir hampir mencapai tujuannya dan mengekang kenderaannya
untuk berhenti?
Tahukah kamu bahwa pusingan kehidupan
hampir akan terhenti dan ‘kenderaan usia’ sudah mendekati destinasi
terakhirnya? Sebahagian orang soleh mendengar tangisan seseorang atas kematian
temannya, lalu ia berkata dalam hatinya, “Aneh, kenapa ada kaum yang akan
menjadi musafir menangisi musafir lain yang sudah sampai ke tempat tinggalnya?”
Tahukah kamu bahwa kunjungan Malaikat Maut
kepadamu akan mengakhiri hidupmu? Menyudahi aktivitimu? Dan menutup
lembaran-lembaran amalmu?
Tahukah kamu, setelah kunjungan-nya itu
kamu tidak akan dapat lagi melakukan satu kebaikan pun? Tidak dapat melakukan
shalat dua raka’at? Tidak dapat membaca satu ayat pun dari kitab-Nya? Tidak
dapat bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, beristighfar walau pun
sekali? Tidak dapat berpuasa walaupun sehari? Bersedekah dengan sesuatu
meskipun sedikit? Tidak dapat melakukan haji dan umrah? Tidak dapat berbuat
baik kepada kerabat atau pun tetangga?
‘Kontrak’ amalmu sudah berakhir dan engkau
hanya menunggu perhitungan dan pembalasan atas kebaikan atau keburukanmu!!
Allah s.w.t. berfirman, ertinya:
"Kesudahan golongan yang kufur ingkar
itu apabila sampai ajal maut kepada salah seorang di antara mereka, berkatalah
ia: "Wahai Tuhanku, kembalikanlah daku (hidup semula di dunia); Supaya
aku mengerjakan amal-amal yang soleh dalam perkara-perkara yang telah aku
tinggalkan". Tidak! Masakan dapat? Sesungguhnya perkataannya itu hanyalah
kata-kata yang ia sahaja yang mengatakannya, sedang di hadapan mereka ada alam
barzakh (yang mereka tinggal tetap padanya) hingga hari mereka dibangkitkan
semula (pada hari kiamat)” (Al-Mu’minun [32] : 99 -100)
Oleh itu mana persiapanmu untuk menemui
Malaikat Maut? Mana persiapanmu untuk menyongsong huru-hara setelahnya; di alam
kubur ketika menghadapi pertanyaan, ketika di Padang Mahsyar, ketika hari
Hisab, ketika ditimbang, ketika diperlihatkan lembaran amal kebaikan, ketika
melintasi Shirath dan berdiri di hadapan Allah Al-Jabbar?
Daripada ‘Adi bin Hatim ra berkata,
Rasulullah SAW bersabda:
“Tidak seorang pun daripada kamu melainkan akan
diajak bicara oleh Allah pada hari Kiamat, tidak ada penterjemah antara dirinya
dan Dia, lalu ia memandang yang lebih beruntung darinya, maka ia tidak melihat
kecuali apa yang telah diberikannya dan memandang yang lebih sial darinya, maka
ia tidak melihat selain apa yang telah diberikannya. Lalu memandang di
hadapannya, maka ia tidak melihat selain neraka yang berada di hadapan mukanya.
Kerana itu, takutlah api neraka walau pun dengan sebelah biji kurma dan walau
pun dengan ucapan yang baik.” (Muttafaqun ‘alaih)
Oleh itu bermuhasabahlah ke atas
dirimu di saat masa lapangmu, fikirkanlah betapa cepat akan berakhirnya masa
hidupmu, bekerjalah dengan sungguh-sungguh di masa lapangmu untuk masa sulit
dan keperluanmu, renungkanlah sebelum melakukan suatu pekerjaan yang kelak akan
dicatit di lembaran amalmu.
Di mana harta benda yang telah kau
kumpulkan? Apakah ia dapat menyelamatkanmu dari cubaan dan huru-hara itu?
Sungguh, tidak! Kamu akan meninggalkannya untuk orang yang tidak pernah
menyanjungmu dan maju dengan membawa dosa kepada Yang tidak akan bertolak ansur
denganmu!
*****************
Semoga dengan membaca peringatan di atas kita akan sentiasa muhasabah diri.. sesiapa yang bermuhasabah tentang dirinya
maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa untuk melakukan
perkara-perkara yang batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan ketaatan akan
menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela jiwanya di atas
setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap Allah SWT kerana
takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya maka mana
mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan kebatilan.
2 comments:
Salam, Beruntunglah mereka yang mengetahui ajalnya tiba...tapi seringkali ianya hadir tanpa di duga, tidak menunggu atau terlwat mahupun tercepat walau sesaat. Bersedialah dgn bekalan...jangan menunggu hari tua krn kita tidak tahu mungkin esok tiada lagi hari buat kita.
Wa'alaikumussalam Bin Muhammad
Mudah-mudahan kita sentiasa memerhatikan diri kerana saat kunjungan itu tidak kita ketahui.
Post a Comment