Tuesday, August 31, 2010

Allah rahsiakan Lailatul Qadar


Antara amalan bagi mengisi malam al-qadar adalah memperbanyakkan
membaca al-Quran selain qiamullail.


Oleh MOHAMMAD NIDZAM ABDUL KADIR

RAMADAN yang datang menjanjikan pahala yang banyak. Amat beruntunglah golongan muslim yang merebut peluang ibadah yang besar pahalanya.


Salah satu anugerah Ramadan adalah Lailatul Qadar. Dalam tulisan kali ini, kita cuba telesuri beberapa pandangan para ulama sebagaimana yang dihuraikan panjang lebar dalam kitab Fath al-Bari.

Ada kiraan bagi menentukan malam Al-Qadar. Antaranya ada disebut tentang jumlah lafaz yang ada dalam surah al-Qadr.

Jumlah lafaznya adalah 30. Manakala lafaz hiya dalam ayat yang terakhir merujuk kepada Lailatul Qadar. Lafaz ini adalah lafaz yang ke 27, maka dihukum bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Dalam kiraan yang lain, disebut bahawa lafaz Lailatul Qadar dalam tulisan Arab terdiri daripada sembilan huruf. Lafaz Lailatul Qadar disebut sebanyak tiga kali dalam surah al-Qadr, maka sembilan darab tiga menjadi 27. Maka hukumnya Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Kesemua pendapat ini hasil ijtihad para ulama. Untuk melengkap lagi kefahaman tentang Lailatul Qadar, ada beberapa hadis sebagai pedoman.

Antaranya sabda Nabi SAW maksudnya: Maka carilah Lailatul Qadar pada sembilan, tujuh dan lima. (riwayat al-Bukhari).

Menurut satu tafsiran hadis, sembilan, tujuh dan lima merujuk kepada 29, 27 dan 25 Ramadan.

Kesemua pendapat ini adalah baik bagi menerangkan hakikat malam Lailatul Qadar. Bagi sesetengah kelompok masyarakat pula, Lailatul Qadar tetap pada satu malam sahaja iaitu malam 27 Ramadan.

Kepelbagaian pandangan para ulama dalam penentuan Lailatul Qadar memberi isyarat jelas bahawa tiada kesepakatan dalam masalah ini. Maka Lailatul Qadar menjadi rahsia.

Ijtihad ulama dalam lontaran pandangan hanya sekadar ijtihad yang ada masanya betul dan ada masanya silap.

Maka di sini nyata hikmah disembunyikan Lailatul Qadar agar umat Islam lebih berusaha mencarinya.

Terserah kepada kita umat Islam untuk memilih mana-mana pandangan selagi mana ia berdasarkan dalil dan hujah.

Maka tidaklah menjadi keperluan untuk bertegang urat dalam masalah penentuan malam ini. Apa yang penting, bagaimanakah amalan kita

Sumber : Utusan Malaysia

Wednesday, August 25, 2010

Proses telur menjadi anak ayam

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Saksikan daripada telur menjadi anak ayam





Seterusnya lihatlah Allah mencipta burung

Tuesday, August 24, 2010

Rahsia Solat



Klik sini untuk artikel yang berkaitan

Monday, August 23, 2010

Untukmu Wanita

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Dua kali menonton Utube di bawah ni, sekali melalui Bujang Susah dan pagi ni pula melalui blog cik ida daiya




Memang tak bosan mendengarnya. Dalam ceramah yang humor seperti ini pasti ramai yang tak mengantuk. Elok ditonton buat santapan rohani kepada kaum perempuan bagaimanapun elok juga kaum lelaki, insyaAllah boleh didik anak isteri.

Saya baru tahu semalam bahawa ada ceramah ustaz ni dalam utube, seblelum ni saya telah mendengar daripada CD yang dipinjamkan oleh seorang kawan tetapi bukan tajuk ini, tajuk yang lain dah tak ingat tetapi satu berkaitan anggota wudhuk yang satu lagi memang dah lupa.

Saturday, August 21, 2010

Keajaiban Al-Quran



Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pagi ini sempat menonton U-tube di atas. Dalamnya dibincangkan tentang ciri-ciri metamatik:

Ditunjukkan contoh-contoh bilangan penggunaan perkataan, yang diulang di dalam al-Quran. Sungguh menakjubkan.

Bilangan perkataan HARI diulang sebanyak 365 kali
Bilangan perkataan HARI-HARI diulang sebanyak 30 kali
Bilangan perkataan BULAN diulang sebanyak 12 kali
Bilangan perkataan HUKUMAN diulang sebanyak 117 kali
Manakala bilangan perkataan KEAMPUNAN diuang 2 kali ganda daripada HUKUMAN
Bilangan perkataan DUNIA dan AKHIRAT diulang dengan jumlah bilangan yang sama yakni sebanyak 115 kali
Pernyataan " 7 LANGIT" disebut 7 kali
Pernyataan PENCIPTAAN 7 LANGIT juga disebut 7 kali
Perkataan IMAN dan juga KEKUFURAN disebut dengan bilangan yang sama yakni sebanyak 25 kali
Perkataan ZAKAT disebut 32 kali manakala BARAKAH juga diulang sebanyak 32 kali
Pernyataan "Orang-orang yang baik-baik" sebanyak 6 kali sementara "Orang-orang yang menuruti hawa nafsu" diulang kurang 2 kali ganda yakni 3 kali
Perkataan MANUSIA diulang sebanyak 65 kali, hasil tambah bilangan-bilangan perkataan yang berkaitan dengan penciptaan manusia juga diulang sebanyak 65 kali (tanah = 17 kali, sperma = 12 kali, janin = 6 kali, segumpal daging = 3 kali, tulang = 15 kali dan daging = 12 kali)

Kesimpulan:

Ini menunjukkan bukti yang jelas bahawa al-Quran mengandungi berita yang terbukti benar. Ayat-ayatnya mengandungi fakta-fakta yang mungkin tidak diketahui pada ketika ia diturunkan.

Ini menjadi bukti bahawa al-Quran bukanlah perkataan manusia. Al-Quran adalah ayat-ayat Allah, yang daripadaNya datang segala-galanya. Allah Maha Berkuasa yang memiliki segala ilmuNya.

Dalam satu ayat, Allah berfirman: "Jika al-Quran bukan datang daripada Allah, mereka pasti akan mendapati banyak percanggahan di dalamnya".

Bukan sahaja tiada percanggahan di dalam al-Quran, setiap maklumat di dalamnya mendedahkan keajaiban setiap hari.

Manusia harus berpegang teguh kepada kitab wahyu Ilahi dan menerimanya sebagai satu-satunya petunjuk.

Dalam satu ayat yang lain Allah berfirman: "Dan inilah kami turunkan sebuah kitab yang penuh barakah, ikutlah dan takutlah kepada Allah supaya kamu mungkin beroleh keampunan".

Friday, August 20, 2010

Rahmat Bagi Sekalian Alam


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Tafsir al-Quran di IKIM.FM oleh Ustaz Zahazan semalam dan hari ini difokuskan kepada ayat di bawah:

"Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam". (Al-Anbiya [21] : 107)

Dengan terutusnya Nabi Muhammad saw, baginda menjadi rahmat kepada sekelian alam. Nabi Muhammad saw mempunyai sifat Rahim iaitu kasih dan sayang.

Teringat pada ayat di bawah:

"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul dari golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad s.a.w) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu dan dia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman". (at-Taubah [9[ : 128)

Ustaz Zahazan juga membaca firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah telah mengurniakan (rahmatNya) kepada orang-orang yang beriman, setelah Dia mengutuskan dalam kalangan mereka seorang Rasul dari bangsa mereka sendiri, yang membacakan kepada mereka ayat-ayat Allah (kandungan Al-Quran yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya) dan membersihkan mereka (dari iktiqad yang sesat), serta mengajar mereka Kitab Allah (Al-Quran) dan Hikmah (pengetahuan yang mendalam mengenai hukum-hukum Syariat) dan sesungguhnya mereka sebelum (kedatangan Nabi Muhammad) itu adalah dalam kesesatan yang nyata". (Ali Imran [3 ] : 164)

Sebelum Nabi diutuskan kehidupan orang-orang 'Arab amatlah sesat, apabila diutuskan nabi, nabi membawa rahmat kepada mereka. Rahmat adalah daripada Ra hi ma, Rahim pula bermaksud rahim ibu yang mengandungkan kita, ra hi mu pula bermaksud ada pertalian atau ikatan atau hubungan antara seseorang. Rahmat Allah lebih kepada pemberian nikmat atau kelebihan, rahmat Allah kepada manusia apabila manusia mengasihi antara satu sama lain, berlemah lembut sesama mereka.

Ada hadis Qudsi daripada Abd Rahman bin Auf ra berkata: Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: Allah berfirman: Akulah Yang Maha Pemurah, dan dia adalah rahim (persaudaraan) Aku ambil namanya daripada namaKu. Barangsiapa yang menyambungnya maka Aku menyambungkannya dan barangsiapa yang memutuskannya maka Aku putuskan ia. (Hadis ini ditakhrijkan oleh Abu Daud dalam bab sillaturrahim.

Banyak peristiwa yang berlaku menunjukkan bahawa Nabi mempunyai akhlak yang agung, antara satu kisah yang dipaparkan oleh ustaz ialah bagaimana dengan kasih sayang Nabi melayan Tsumamah bin Atsal atau Utsal sehingga Tsumamah bersyahadah dan meninggalkan kepercayaan nenek moyangnya.

Nama lengkapnya Tsumamah bin Atsal/Utsal bin an-Nu'man al-Yamamy. Nama panggilannya Abu Umamah. Pada masa jahiliyah beliau termasuk penguasa di Yamamah, Arab dan sangat berpengaruh dalam kabilah bani Hanifah.

Pada tahun 6 Hijrah Rasulullah saw berkeinginan untuk meluaskan misi dakwahnya. Antara strategi yang dibuat oleh baginda ialah menulis surat kepada raja-raja Arab dan bukan Arab serta mengutus bersama surat itu seseorang yang dapat mengajarkan Islam. Pada masa itu Rasulullah saw mengutus lapan surat. Salah seorang penguasa yang mendapat surat daripada Rasulullah saw adalah Tsumamah bin Utsal.

Setelah Tsumamah menerima surat daripada Rasulullah dan membacanya, beliau tersinggung dan merasa dihina. Kemarahan tampak diwajahnya. Beliau tidak mahu mendengar ajakan Rasulullah. Beliau menurut ajakan syaitan hingga memutuskan untuk membunuh Rasulullah. Setiap waktu beliau mencari-cari peluang untuk menamatkan nyawa Rasulullah saw. Hampir saja niat untuk membunuh Rasulullah tercapai, namun Allah selamatkan melalui pertolongan salah seorang bapa saudara Tsumamah. Bapa saudaranya berhasil merayu dengan memuji Tsumamah untuk mengagalkan rencana jahatnya itu.

Walaubagaimanapun beliau tetap menyimpan dendam kesumat kepada para sahabat Rasulullah. Pada setiap kesempatan para sahabat dibunuh dengan cara yang sangat kejam. Akhirnya Rasulullah mengumumkan bahawa darah beliau halal untuk dibunuh.

Suatu hari ketika beliau berhasrat untuk pergi ke Mekah bertujuan memberikan puji-pujian kepada patung sembahannya dan sebaik sahaja beliau keluar dari rumahnya, tiba-tiba beliau ditawan oleh tentera Rasululullah. Tentera itu memang tidak tahu siapa beliau, mungkin kerana sikapnya yang mencurigakan akhirnya dia ditawan dan dibawa ke hadapan Rasulullah saw.

Tsumamah dikumpulkan bersama tawanan yang lain yang diikat berdekatan dengan masjid. Pada waktu Rasulullah hendak masuk ke masjid, dilihatnya Tsumamah diikat bersama yang lainnya.

Rasulullah bertanya kepada para sahabat, "Kalian tahu siapa yang kalian tawan?" Mereka menjawab; "Tidak tahu." Rasulullah berkata, "Beliau adalah Tsumamah bin Utsal al-Hanafy. Tolong perlakukan dengan baik." Setelah itu para sahabat memberikan perlakuan yang baik padanya baik daripada segi makanan dan perlakuan.

Setiap hari Rasulullah menjenguknya. "Bagaimana khabarmu hari ini wahai Tsumamah?" tanya Rasulullah. "Baik, wahai Muhammad. Sekiranya kamu bunuh, bunuhlah orang yang membunuh. Sekiranya kamu memberi maaf, beri maaf orang yang bersyukur. Sekiranya kamu ingin harta benda, tanya berapa, pasti akan diberi sesuai apa yang diminta." Rasulullah pun akhirnya pergi.

Keesokan harinya Rasulullah saw datang lagi dengan menanyakan perkara yang sama. Jawapan yang diterimapun sama. Hingga hari ketiga pertanyaan dan jawapannya sama. Akhirnya Rasulullah saw berkata kepada para sahabat, "Sila bebaskan Tsumamah sekarang!" Para sahabat pun bergegas melaksanakan perintahnya.

Beliau kemudian meninggalkan Madinah. Sampailah beliau pada suatu tempat yang penuh dengan pohon kurma di dekat Baqi'. Di situ terdapat air. Beliau mandi dan bersuci di situ. Setelah itu beliau kembali lagi ke masjid Rasulullah.

Tiba-tiba di tengah-tengah ramainya umat Islam, beliau berucap, "Saya bersaksi tidak ada Tuhan selain Allah dan Muhammad adalah utusan Allah." Setelah itu beliau menghadap Rasulullah sambil berkata, "Wahai Muhammad, demi Allah dulu kamu adalah orang yang sangat saya benci di muka bumi ini, sekarang kamu adalah orang yang sangat saya sukai. Dulu agamamu adalah agama yang saya benci tapi hari ini agamamu adalah agama yang saya sukai, dulu negerimu adalah negeri yang saya benci sekarang negerimu adalah negeri yang saya sukai. Dulu saya telah membunuh para sahabatmu, lalu apakah hukuman buatku sekarang ini?" Rasulullah menjawab; "Tidak ada cercaan dan hinaan bagimu sekarang dan Islam telah memutus dosa-dosa yang lalu dan menghapusnya."

Selepas itu beliau meminta izin kepada Rasulullah untuk melakukan umrah ke Mekah. Rasulullah saw pun memberi keizinan. Sesampainya di Mekah, beliau terus menuju ke dalam Mekah. Dengan suara lantang beliau membaca talbiyah; "Labbaikallahumma labbaik, labbaika laa syarika labbaik, innal hamda wanni'mata laka wal mulk. Laa syariikalak". Beliaulah orang pertama di bumi ini yang masuk Mekah dengan membaca talbyiah.

Orang-orang kafir Quraisy marah mendengar ucapan talbiyah yang dikumandangkan. Seorang pemuda Quraisy ingin sekali membunuhnya dengan panah. Namun kawan-kawannya menyeret tangannya dan berkata, "Celaka betul kamu. Kamu tahu siapa ini!? Ini adalah Tsumamah bin Utsal, raja Yamamah. Demi Allah sekiranya kamu bunuh dia kelak kaumnya akan memutuskan bantuannya kepada kita. Dan kita kelak akan mati kelaparan." Setelah itu beliau kembali kepada kaumnya.

Setelah itu kaum Quraisy itu mendapatkan Tsumamah dan pedang yang mereka bawa dimasukkan kembali ke sarungnya. Mereka berkata, "Apa yang terjadi denganmu?!! Apakah kamu sudah meninggalkan agamamu dan agama nenek moyangmu?" beliau menjawab, "Saya tidak meninggalkan itu tetapi sekarang saya ikut agama yang benar, saya ikut ajaran Muhammad. Saya bersumpah dengan Tuhan yang empunya Kaabah ini, setelah kembalinya aku ke Yamamah, tidak ada lagi bantuan berupa gandum dan lainnya yang akan sampai kepada kalian hingga kalian mengikuti ajaran Rasulullah."

Hampir-hampir saja orang-orang kafir Quraisy mati kelaparan setelah terputusnya bantuan dari Yamamah. Akhirnya mereka menulis surat kepada Rasulullah meminta agar Rasulullah menghentikan tindakan Tsumamah itu. Kemudian Rasulullah mengirimkan surat kepadanya yang isinya agar beliau tetap memberikan bantuan kepada orang-orang Quraisy. Beliau pun memenuhi permintaan Rasulullah.

Setelah wafatnya Rasulullah saw, ramai yang murtad. Musailamah al-Kazzab pula mengaku sebagai nabi. Musailamah memujuk orang-orang untuk beriman kepadanya. Tsumamah terus berdiri di hadapannya sambil berkata, "Wahai bani Hanifah, hati-hati dengan orang ini yang tidak ada kebenaran sama sekali. Kelak akan ditimpakan kesengsaraan bagi yang mengikutinya. Tidak mungkin dalam satu waktu ada dua nabi. Dan Muhammad adalah nabi Allah yang terakhir."

Setelah itu beliau membaca surah al-Ghafir [40] ayat 1-3 : "Haa, Miim. (1) Turunnya Al-Quran ini dari Allah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Mengetahui; (2) Yang Mengampunkan dosa dan Yang Menerima taubat; Yang Berat azabNya; Yang Melimpah-limpah kurniaNya; tiada Tuhan melainkan Dia; kepadaNyalah tempat kembali". (3)

Begitulah kisah Tsumamah dan bagaimana kasihnya Nabi kepada manusia sehinggakan ramai yang menurut ajaran baginda hasil tindakan baginda berdasarkan kasih sayang.

Thursday, August 19, 2010

6 sebab kenapa perlu abdikan diri kepada Allah SWT


KETIKA Rasulullah mengembala kambing, tidak jauh daripadanya ada sekumpulan remaja sedang melepak, berborak dan ketawa.

Tiba-tiba seorang lelaki tua bernama Thulaihah al-Aamidi datang bertanyakan Rasulullah: "Wahai Muhammad! Kenapa kamu tidak bermain-main dan lepak seperti remaja di sana itu?" Rasulullah dengan tegas menjawab: "Saya diciptakan bukan untuk itu."

Jawapan Rasulullah itu memberitahu kita, remaja berhibur bukan satu kesalahan malah kadangkala ia diperlukan. Tetapi hiburan sehingga melalaikan itu merosakkan.

Di sebalik jawapan Nabi yang agung itu ada mesej penting iaitu hidup ini untuk beribadah kepada Allah. Kadang kala ada orang melepak sehingga lupa menunaikan solat.

Mereka bermain bola di waktu petang tanpa perasaan malu ketika azan berkumandang. Sudahlah begitu, padang bola pula sebelah masjid.

Haiwan ternakan seperti kambing lembu pun balik ke kandang tetapi sesetengah kita kadangkala asyik berborak dan bergelak ketawa di tepi selekoh. Inilah yang dilarang Nabi.

Waktu kerja ada, waktu rehat ada, masa tidur ada, masa makan ada, masa main ada, tetapi sayang waktu ibadat tidak dimasukkan dalam jadual.

Kadang kala ada remaja bertanya, kenapa perlu beribadah? Sibuk. Kalau sempat buatlah, jika tidak sempat qadha' saja.

Justeru, remaja perlu memahami mengapa dan alasan mengapa kita beribadah. Ada enam alasan kenapa kita mesti mengabdikan diri kepada Allah.

Jika kita memahami enam perkara ini, semangat ibadat kita tidak akan luntur walau sesibuk mana sekalipun kita.

Pertama, tujuan kita dicipta Allah adalah untuk beribadah kepada-Nya. Firman Allah dalam Surah Az-Zariyaat ayat 56 yang bermaksud:

"Aku tidak ciptakan jin dan manusia melainkan supaya beribadah kepadaku."

Jika tugas lain kita boleh ingat dan prihatin, maka tugas ibadah lebih utama lagi.

Kedua, kita wajib beribadat sebagai tanda syukur kepada-Nya, atas nikmat yang terlalu banyak. Tidak mampu kita menghitungnya. Terlalu banyak nikmat, malah dapat percuma pula, sedangkan zaman sekarang tidak ada percuma, semuanya kena bayar.

Pada hujung bulan bil elektrik, bil telefon perlu dibayar, jika tidak dibayar kena potong. Kita dapat jantung percuma, paru-paru percuma dan jika kena bayar pasti hujung bulan malaikat bawa bil, tidak bayar kena potong. Kita yang tak beribadat, matilah.

Ketiga, wajib beribadat sebab kita sudah berjanji di alam roh. Firman Allah mengingatkan kita di dalam Surah al-A'raaf ayat 72 yang bermaksud:

"... ketika Allah berfirman bukankah Aku ini Tuhanmu. Mereka menjawab bahkan betul."

Keempat, kita wajib beribadat sebab antara tugas dan kewajipan rasul adalah mengajak manusia menyembah Allah dan menjauhkan taghut (kejahatan). Jika nabi yang sangat rapat dengan Allah pun tidak terlepas beribadat apa lagi kita.

Firman Allah yang bermaksud:

"...dan sesungguhnya kami mengutus setiap umat itu rasul untuk menyeru sembahlah Allah dan jauhilah taghut." (Surah an-Nahl ayat 36).

Kelima, kita mesti beribadat dan mengabdikan diri kepada Allah kerana Dia yang paling berkuasa. Allah yang mengatur kehidupan kita kerana itu tidak boleh kita leka dengan kerja lain, melupakan Allah, apatah lagi jika menyembah tuhan lain.

Keenam, kita mesti mengabdikan diri kepada Allah kerana azab yang amat mengerikan menanti kita di akhirat. Allah amat murka kepada orang yang derhaka kepada-Nya. Al-Quran menyebut bagaimana orang yang mengikut nabi membuat pengakuan.

Ini terbukti dalam firman Allah yang bermaksud:

"Katakanlah sesungguhnya aku amat takut, jika aku menderhakai Tuhanku akan azab hari kiamat." (Surah al-Anaam ayat 15).

myMetro

Wednesday, August 18, 2010

ABU Zar al-Ghifari

ABU Zar al-Ghifari adalah seorang sahabat Nabi Muhammad yang berfahaman keras. Beliau terkenal dengan ilmu pengetahuan. Pernah dilaporkan oleh Ali bin Abu Talib bahawa Abu Zar mempunyai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain.

Abu Zar seorang yang berani. Beliau mengisytiharkan pengislamannya di hadapan Kaabah. Pada ketika itu orang-orang kafir yang menyekutukan Allah mendengar akan kedatangannya. Mereka datang bagi membunuhnya. Kemudian Abu Zar dibantu oleh bapa saudara Nabi Muhammad iaitu Abbas. Abbas memeluk Abu Zar daripada di pukul oleh orang kafir Quraisy.

Menurut cerita, orang kafir itu tidak mengenali Abu Zar. Selepas mereka mengetahui yang Abu Zar adalah dari puak Ghifar, barulah mereka membiarkan dan tidak memukulnya lagi.

Ghifar adalah satu kawasan yang menjadi laluan perjalanan kabilah-kabilah Quraisy semasa hendak ke Syria. Membunuh Abu Zar bermakna mereka tidak dapat berdagang di situ lagi. Malah puak Ghifar bakal menyerang hendap kabilah mereka.

Abu Zar juga seorang yang bersifat takwa dan tabah. Pada masa khalifah Usman, beliau diarahkan supaya berpindah ke kawasan padang pasir yang bernama Rabzah. Beliau tidak suka kepada kekayaan. Beliau sentiasa menentang golongan kaya.

Abu Zar menyara kehidupannya dengan memelihara beberapa ekor unta. Beliau juga mempunyai orang suruhan yang sudah tua.


Pada suatu hari, seorang orang kampung daripada Bani Sulaim datang berjumpa dengannya.

Orang itu berkata: "Saya mahu tinggal bersama tuan. Saya mahu belajar ilmu-ilmu yang tuan ada mengenai perintah Allah dan sunah Nabi Muhammad. Saya sanggup membantu orang suruhan tuan menjaga unta-unta tuan."

Abu Zar memang seorang yang tegas. Beliau mempunyai prinsipnya yang tersendiri. Lalu Abu Zar berkata: "Saya tidak dapat mengambil sembarangan orang tinggal bersama saya, kecuali dengan satu syarat. Kamu perlu ikut segala arahan saya."

Mendengar jawapan tersebut, lelaki dari Bani Sulaim itu bertanya: "Apakah syaratnya? Saya cuba patuh kepada kemahuan tuan itu."

Kemudian Abu Zar berkata: "Kamu harus menuruti arahan saya. Sekiranya saya menyuruh kamu membelanjakan harta saya, maka kamu perlu membelanjakan harta itu dengan cara yang terbaik."

Orang dari Bani Sulaim itu merasakan bahawa syarat yang diberikan oleh Abu Zar mudah dilakukan. Beliau menerima syarat tersebut. Akhirnya, beliau tinggal bersama Abu Zar.

Pada suatu hari, orang dari Bani Sulaim itu mendengar berita bahawa ada orang miskin berkhemah berhampiran tempat itu. Mereka sangat memerlukan makanan. Selepas mendengar berita itu, Abu Zar menyuruh orang dari Bani Sulaim menyembelih untanya dan memberi makanan kepada orang miskin tadi. Orang dari Bani Sulaim itu pergi memilih unta.

Unta pertama yang dipilih sangat jinak. Baginya unta itu sesuai bagi tunggangan Abu Zaar. Lalu dia tidak menyembelih unta pertama itu. Kemudian beliau memilih unta yang kedua. Unta yang kedua itu juga baik cuma berbeza dengan yang pertama.

Melihat unta itu, Abu Zar berkata: "Kamu tidak menepati janji yang kamu buat kepada saya sebelum ini."

Selepas mendengar penjelasan Abu Zar, orang dari Bani Sulaim itu berpatah balik dan mengambil unta pertama yang dipilihnya tadi. Unta itu adalah yang terbaik diberi makan kepada orang miskin.

Abu Zar menyuruh dua orang menyembelih unta tersebut. Beliau juga berpesan kepada tukang sembelih unta itu supaya membahagikan daging sama rata kepada orang miskin tadi. Beliau juga berpesan supaya meninggalkan satu bahagian yang sama bagi keluarganya.

Kemudian Abu Zar memanggil orang dari Bani Sulaim itu. Beliau bertanya: "Adakah kamu sengaja mengingkari arahan saya atau kamu sebenarnya terlupa dengan arahan saya itu?"

"Saya tidak terlupa. Saya sebenarnya merasakan bahawa unta pertama itu sesuai bagi kenderaan tuan. Unta itu sangat jinak. Tuan amat memerlukannya. Manakala unta kedua sesuai dijadikan makanan dan diberikan kepada orang miskin itu," jawab orang dari Bani Sulaim itu.

Abu Zar berkata lagi: "Saya beritahu kamu bilakah sebenarnya saya memerlukan harta itu? Iaitu semasa saya berada di dalam kubur. Ada tiga perkara yang berhak ke atas harta saya itu.

"Pertama, takdir. Tiada sesiapa yang berhak menghalangnya sama ada baik atau buruk. Harta itu tetap diambilnya.

"Kedua, pewaris harta itu. Mereka hanya menunggu saat kematian saya. Selepas saya mati, mereka bakal memperoleh harta itu. Ketiga ialah diri kita sendiri. Sekiranya kita dapat menguruskan harta itu, kita tidak perlu berkongsi dengan dua perkara tadi. Kita perlu menguruskan harta itu dengan sebaik mungkin."

Bagi Abu Zar, beliau tetap memberikan harta yang paling disayanginya kepada orang yang memerlukannya sebagai bekalan hari selepas kematiannya. Orang dari Bani Sulaim itu memahami penerangan Abu Zar.

Oleh yang demikian kita perlu membelanjakan harta kita ke jalan yang disukai oleh Allah. Barang yang mahu kita berikan kepada orang lain adalah dari barang yang paling kita sayang.

lPetikan daripada buku Sayap dari Syurga PTS Publications.

Utusan Malaysia Online

Bertadarus di bulan Ramadan


BULAN Ramadan mengingatkan kita dengan turunnya wahyu yang pertama (al-'Alaq: 1-5) yang bermaksud: Bacalah (Wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui Pena dan tulisan. Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.

Dengan sebab itu digalakkan membaca al-Quran terutamanya pada bulan Ramadan. Ini kerana al-Quran digandingkan dengan puasa dan juga bulan Ramadan.

Benarlah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada hamba pada hari kiamat. Puasa berkata: Hai Tuhanku, aku menegahnya daripada makan dan syahwat pada siang hari. Maka berilah syafaatku padanya. Al-Quran pula berkata: Tuhanku, aku tegahkannya daripada tidur malam, maka berilah syafaat kepadaku padanya. Kemudian kedua-duanya diberi syafaat." (riwayat Ahmad dengan sanad sahih)

Dr. Muhammad al-Zuhaili dalam bukunya Mausu'ah Qadaya Islamiah Mu'asirah 1/328 berkata: "Sesungguhnya al-Quran adalah kalam Allah, dan sesiapa yang mahu berbicara dengan Tuhannya, maka hendaklah membaca al-Quran. Ini kerana al-Quran merupakan hidangan Allah yang diturunkan-Nya kepada hamba-hamba-Nya untuk dinikmati dan dikecapi."

Sebuah hadis riwayat al-Hakim dan beliau mensahihkannya menyebut: Daripada Abdullah bin Mas'ud, daripada Nabi SAW bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya al-Quran merupakan hidangan Allah, maka terimalah hidangan-Nya semampu kamu. Sesungguhnya al-Quran ini tali Allah, cahaya yang nyata, penyembuh yang bermanfaat, penyelamat bagi siapa yang berpegang dengannya, kesejahteraan bagi siapa yang mengikutinya. Tidaklah ia menyeleweng, pasti diperbetulkan dan sesat pasti ditunjukkan keajaibannya tidak putus-putus. Ia tidak binasa dengan sebab banyaknya dibaca. Bacalah al-Quran kerana Allah menggandakan kepada kamu pahala pada setiap bacaannya. Setiap huruf dengan sepuluh kebajikan. Adapun sesungguhnya aku tidak berkata ali lam mim satu huruf tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf."

Rasulullah SAW menggalakkan umat Islam berhimpun untuk membaca al-Quran dan bertadarus. Baginda menjelaskan kepada mereka kelebihannya antaranya: Diturunkan sakinah dan tama'ninah serta ketenangan, rahmat dan pelbagai lagi kelebihan kepada yang cintakan al-Quran.

Sebuah hadis riwayat al-Turmuzi daripada Abi Sa'id bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Firman Allah SWT dalam hadis Qudsi, siapa yang disibukkannya oleh al-Quran daripada memohon kepadaku, nescaya aku kurniakannya yang lebih afdal daripada yang aku kurniakan kepada orang yang meminta. Dan kelebihan kalam Allah SWT berbanding dengan semua kalam sama seperti kelebihan Allah atas segala makhluknya."

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL BAKRI

Utusan Malaysia Online

Monday, August 16, 2010

Jangan Jadi Manusia yang rugi


Setiap kali Ramadan menjelma, menjadi satu teradisi bagi orang-orang kita, memikirkan apa juadah yang akan dihidangkan waktu berbuka dan sewaktu bersahur.

Bazar Ramadhan pula seperti cendawan tumbuh selepas hujan sepanjang Ramadhan. Ramai pelanggan mengerumuni setiap gerai seperti semut mengerumuni gula.

Apa sahaja yang dijual, jenis makanan yang dianggap tidak munasabah untuk diniagakan pada bulan-bulan biasa, semuanya laris pada bulan puasa.

Sekali gus bulan Ramadhan umpama bulan bonus atau bulan durian runtuh bagi para peniaga juadah. Ada peniaga yang yang kata berniaga sebulan bulan Ramadhan boleh menampung keperluan hidup keluarga untuk tempoh setahun.

Pagi-pagi lagi di mana-mana sahaja, ketika dua sahabat bertemu paling lazim yang menjadi tajuk utama percakapan ialah tentang apa yang mahu dijadikan juadah berbuka dan juadah untuk bersahur.

Mereka dapat menceritakan kedai mana yang paling bagus untuk berbuka, untuk bersantai sementara tunggu mata mengantuk dan juga kedai yang mampu membuka selera ketika bersahur.

Jarang yang bertanya atau berbincang tentang berapa surah daripada 114 surah al-Quran, berapa juzuk daripada 30 juzuk kitab suci itu dan berapa ayat daripada 6,236 ayat keseluruhan al-Quran dengan 4,780 daripadanya diturunkan di Mekah dan dinamakan surah/ayat Makkiyyah manakala 1,456 ayat lagi diturunkan di Madinah dan dinamakan surah/ayat Madaniyyah yang sudah dibaca ataupun yang sudah dihayati.

Juga jarang ditanya pada malamnya pula apakah diisi dengan solat sunat terawih, dilipatgandakan solat sunat tahajjud, sunat tasbih dan pelbagai solat sunat yang lain. Barangkali masih kekal sama seperti pada bulan-bulan Ramadan yang lepas-lepas, banyak masa dihabiskan dengan bersantai di warung-warung menikmati pelbagai hidangan santai ketika rakan-rakan yang lain di masjid, surau atau madrasah, berterawih. Atau bersantai di hadapam television atau bermain game di internet.

Pada siang harinya pula apakah ditukar tabiat daripada bercakap tentang hal-hal keduniaan yang bersifat mengumpat individu-individu tertentu, kepada membanyakkan berzikir dan beristighfar dan juga menyambung bacaan al-Quran yang dibaca pada malam hari atau menjelang pagi serta selepas solat subuh supaya cepat khatam.

Memang diperakukan bahawa Ramadan memang bulan pesta, bulan bonus, bulan Mega sales dan aneka macam mega tetapi bukan dalam bentuk pesta melambakkan pelbagai juadah di meja makan, lebih-lebih lagi hingga sampai ke tahap menyumbang kepada pembaziran.

Sebaliknya, Ramadan adalah bulan Allah SWT melelong, membuat Mega sales dan memberi bonus pahala berganda kepada hamba-hamba-Nya yang mengambil kesempatan daripada berkatnya Ramdaan untuk bertaubat nasuha dan memperbanyakan ibadah dengan ganjaran berganda berbanding dengan bulan-bulan biasa.

Selain para penjual mendapat laba hasil larisnya jualan juadah berbuka dan bersahur, kita tidak akan dapat laba apa sepanjang Ramadan kalau kekalkan tabiat menjadikan ia sebagai pesta juadah sedangkan dari sudut amal ibadahnya tidak meningkat pun dan tetap juga kekal pada tahap biasa.

Apatah lagi jika yang berdosa membiarkan diri kekal dengan dosa tanpa bertaubat nasuha. Semalas mana pun kita, kena usahakan juga supaya khatam al-Quran sekali dalam bulan puasa yang mana kalau bulan-bulan biasa setiap ayat yang dibaca akan dibayar dengan 10 kebajikan oleh Allah dan jika dibaca keseluruhan ayat al-Quran yang mengandungi 1.2 juta huruf dibaca kita akan dapat 12 juta kebajikan, bila al-Quran dibaca pada bulan puasa, maka jumlah kebajikannya tentulah berlipat kali ganda lagi. Alangkah ruginya kita jika tidak mengambil peluang mendapatkan gajnaran yang banyak ini. Sementelahan pula kita amat tidak digalakkan untuk bersifat malas. Kita diingatkan supaya berdoa supaya Allah melindungkan kita daripada sifat malas.

Demikian juga dengan amalan-amalan lain termasuk bersedekah, sembahyang sunat, berzikir, beristighfar, memulakan penghidupan baru yakni meninggalkan kehidupan mungkar kepada kehidupan yang diredai-Nya akan diberi juga pahala yang berganda.

Rugi benar kalau kita tidak rebut peluang yang Allah sediakan sepanjang Ramadan. Marilah kita tingkatkan usaha kita agar kita tidak tergolong di kalangan orang yang rugi.

Rujukan: Utusan Malaysia Online

Thursday, August 12, 2010

Jadual Harian Seorang Muslim di Bulan Ramadhan


Contoh Jadual Harian Seorang Muslim di Bulan Ramadhan ini ditulis oleh Mohd Farid b Rahmat UTM

4.00 pagi - Bangun
Berdoa kepada ALLAH dengan doa : Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan aku setelah DIA mematikan aku dan kepadaNYAlah aku akan dikembalikan. Berniatlah untuk melaksanakan sebanyak-banyak kebaikan hari itu. Mandi dan membersihkan diri. Mengambil wudhu dan memakai pakaian yang suci untuk beribadah, berwangi-wangian.

4.20 pagi -

Solat Sunat Taubat
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat taubat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan memohon ampun kepada ALLAH. Menangislah menyesali dosa-dosa.

Solat Sunat Tahajjud
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat tahajjud 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Rakaat pertama selepas Al-Fatihah baca surah Al-Kafirun, rakaat kedua selepas Al-Fatihah baca surah Al-Ikhlas. Selepas sembahyang, angkatlah tangan berdoa kepada ALLAH.

Solat Sunat Hajat
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat hajat 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas Al-Fatihah rakaat pertama baca ayatul Kursi 1 kali. Selepas Al-Fatihah rakaat kedua baca surah Al-Ikhlas 11 kali. Ketika sujud terakhir baca 11 kali dan sertakan di dalam hati segala hajat-hajat kita.

Solat Sunat Witir
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat witir 2 rakaat kerana ALLAH Taala. Selepas salam, bangun lagi dan sembahyang witir 1 rakaat. Perbanyakkan berdoa kepada ALLAH dengan penuh rasa kehambaan, rendah diri, meminta-minta, merintih-rintih, agar ALLAH ampunkan dosa-dosa kita, taubat kita, terima amalan kita, memperkenankan doa dan permintaan kita.

5.00 pagi - Makan Sahur
Menggosok gigi dan membersihkan sisa-sisa makanan di mulut.

5.30 pagi - Bersiap menunggu waktu Subuh dengan membaca Al-Quran atau berselawat.
Sembahyang sunat Subuh, sembahyang Subuh berjemaah. Selesaikan wirid harian di tikar sembahyang atau baca Al-Quran hingga terbit matahari.

7.00 pagi - Membuat persiapan ke tempat kerja.
Melangkah ke tempat kerja dengan membaca Bismillah dan doa kepada ALLAH agar semua aktiviti kita diberkatiNYA. Sentiasa berselawat kepada Rasulullah SAW sama ada menyebutnya atau di hati. Banyakkan istigfar/meminta ampun. Melaksanakan kerja dengan bersemangat dan penuh bertanggungjawab. Datangkan rasa bahawa ALLAH sentiasa memerhati kerja-kerja yang di lakukan dan yakinlah DIA akan membalas segala kebaikan yang kita buat.

10.00 pagi - Sembahyang Sunat Dhuha
Ia adalah sumber rezeki yg berkat kalau istiqamah diamalkan.
Niatnya : Sahaja aku sembahyang sunat dhuha 2 rakaat kerana ALLAH Taala.
Penuhi masa rehat tengahari dengan menambah ilmu atau membaca Al-Quran. Elakkan sungguh-sungguh daripada melakukan dosa walaupun kecil dan perkara yang sia-sia.
Contoh dosa-dosa : mengumpat mengutuk, menyindir yang menyakitkan orang, bergaul bebas tanpa menjaga syariat seperti berbual dengan bukan muhrim mengenai perkara yang tiada sangkut paut dgn kerja.

12.45 tgh - Bersiap untuk solat Zohor.
Menunggu waktu bersembahyang dengan berselawat. Solat Zohor berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Rawatib Bersujud syukur setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA

4.15 ptg - Bersedia untuk solat Asar.
Solat Asar berjemaah. Laksanakan juga solat sunat Qabliyah. Bersujud syukurlah setelah selesai sembahyang sunat dan wirid sebagai berterima kasih kepada ALLAH yg memberi kita nikmat besar dapat menyembahNYA.

5.30 ptg - Membeli barang-barang keperluan berbuka dan sahur.
Tanpa berlebih-lebih. Ingatlah walaupun syaitan dirantai tetapi nafsu masih ada dlm diri kita !!!

6.30 ptg - Memperbanyakkan doa sebelum berbuka.
Kerana di waktu itu adalah masa yang mustajab doa. Ingatlah sabda Rasulullah SAW : "Ramai orang yang berpuasa, yang mereka dapat hanya lapar dan dahaga", merintihlah kepada ALLAH memohon agar amalan kita diterima.

Apabila masuk watu Maghrib, Bacalah doa dan berbuka :
Wahai Tuhan, kerana Engkaulah aku berpuasa, kepada Engkaulah aku beriman dan dengan rezki engkaulah aku berbuka. Berbuka puasa dengan makanan manis seperti buah kurma dan meminum air, terus menunaikan solat maghrib berjemaah, setelah itu barulah makan makanan berat.

8.00 mlm - Solat Isya' berjemaah dan diteruskan dengan solat Terawih.
Cuba pertahankan solat terawih walau bagaimana keadaan sekalipun kerana fadhilatnya amat besar. Bacalah Al-Quran dengan penuh tawadhuk, seeloknya baca dengan bertadarus (berkumpulan bergilir-gilir, seorang baca, yang lain menyemaknya), cuba khatamkan membaca Al-Quran paling kurang satu kali sepanjang ramadhan. Kebanyakan imam-imam besar mengkhatamnya dua kali dalam sehari (60 kali sebulan Ramadhan).

11.00 mlm - Memperbanyakkan istighfar sebelum tidur.
Berniatlah utk puasa esok hari dgn berniat : Sahaja aku berpuasa hari esok untuk menunaikan puasa ramadhan yg wajib ke atasku , tahun ini kerana ALLAH Taala. ( JANGAN LUPA!!!) Tidur awal agar dapat bangun utk beribadah. Bacalah doa sebelum tidur : Dengan namaMU Ya ALLAH! Aku hidup dan mati. Ingatlah tidur adalah mati yg sementara, kemungkinan kita dipanggil ALLAH ketika tidur.

Monday, August 9, 2010

Istidraj

Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Semua.

Artikel ini saya copy daripada blog INI YANG AKU RASA

Daripada Abdullah bin 'Amr r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sampaikanlah PesanKu Biarpun Satu Ayat..."

Apakah istidraj itu? Patutkah atau tidak kita jauhi istidraj? Inilah yang akan saya ulas dalam risalah ini. Tajuk ini adalah amat penting, terutama kepada anak-anak dan generasi muda kita agar tidak terkeliru dengan risalah ini. Pemikiran kebanyakan umat Islam pada zaman moden ini nampaknya jelas kelihatan kian jauh menyimpang daripada pemikiran orang-orang Islam pada zaman silam. Pemikiran manusia pada zaman serba maju ini telah dihanyutkan oleh arus keadaan dan diselaputi oleh kebendaan.

Itulah sebabnya kita lihat masyarakat pada hari ini berbeza dengan masyarakat dahulu. Bagaimana masyarakat pada hari ini? Mereka telah terpengaruh dengan apa yang ada; dengan suasana sekelilingnya. Mereka tidak memandang jauh sepertimana orang-orang dahulu. Padahal orang dahulu tidak belajar tinggi sehingga ke universiti. Kita sekarang cerdik, ada ijazah, ada PhD dan macam-macam lagi, tapitidak sebijak mereka yang terdahulu.

Terdapat ramai orang-orang sekarang tertipu dengan kekuasaan, pangkat, kebesaran dan kekayaan yang telah diperoleh. Lantas mereka tidak faham lagi dengan nikmat Allah. Jika dia berkuasa, dia gunakan kekuasaannya untuk menindas orang-orang bawahannya kerana dia tidak tahu menggunakan nikmat kekuasaan yang ada padanya (tidak tahu bersyukur). Dia tidak faham tentang nikmat dan rahmat Allah S.W.T.

Kuasa Dan Kekayaan Untuk Maksiat

Kalau dia ada kebesaran, dia menzalimi orang dibawahnya. Kekayaan yang ada padanya digunakan bukan untuk kebaikan dirinya dan orang lain, tetapi untuk berbuat maksiat kepada Allah S.W.T. Manusia golongan ini telah terkeliru dengan fahaman mereka sendiri. Mereka tidak faham dan tidak dapat membezakan nikmat pemberian Allah kepada hambaNya yang setia dengan hambaNya yang derhaka.

Saya pernah ditanya oleh seorang mahasiswa, "Ustaz, betulkah atau tidak, saya dengar ustaz bersyarah, ulama'-ulama' kalau bersyarah menyatakan bahawa barangsiapa yang mahu mendapatkan kebahagiaan di dunia dan di akhirat hendaklah mengikut jejak langkah Rasulullah S.A.W. dan berpegang teguh kepada agama Islam. Betulkah ustaz?"

Saya jawab, "betul."

"Minta maaf ustaz, saya tidak percaya. Sebab, apa yang saya lihat realitinya tidak begitu. Orang-orang yang mengikut jejak langkah Rasulullah inilah yang teruk."

Dia kemudian menyebutkan beberapa contoh, "Mak dan ayah saya, bukan sahaja solat sehari semalam lima waktu, tapi tengah malampun bangun solat tahajjud. Rumah kami roboh juga. Puasa bukan sahaja puasa Ramadhan, Isnin mereka puasa, Khamis pun mereka berpuasa. Tapi kami nak makan daging sebulan sekali pun susah. Ayah saya, orang belum azan sudah pergi ke masjid. Begitu azab mak dan ayah saya yang berpegang teguh kepada agama."

"Tapi, bapa saudara saya (adik mak saya), tak pernah solat seumur hidupnya. Rumahnya rumah batu. Puasapun tidak pernah. Kalau kita tanya, pakcik tak ingat mati? Bukan saya seorang sahaja yang mati, katanya. Kalau masuk nerakapun ramai juga orang lain yang masuk. Dia hidup kaya, hidup mewah, kita yang sembahyang ni, hidup susah."

Saya beritahunya; "Sebenarnya, hendaklah kamu tahu tentang nikmat-nikmat Allah yang telah dikurniakan kepada makhluk-makhlukNya. Pemberian nikmat Allah kepada hambaNya yang setia (yang dikasihiNya) ialah pemberian yang diredhaiNya, tetapi pemberian nikmat Allah kepada manusia yang melakukan maksiat dan kejahatan adalah pemberian yang tidak diredhaiNya dinamakan ISTIDRAJ.

Pemberian yang redha ini seperti pemberian ayah kepada anaknya. Ketika si ayah hendak sembahyang, tiba-tiba lalu si penjual aiskrim. Si anak merengek minta dibelikan. Si ayahpun membelikannya kerana tidak mahu anaknya mengacau dia solat. Dengan senyum mesra diberikannya aiskrim itu dengan layanan yang baik. "Makan baik-baik ya nak!, jangan bising-bising, ayah nak solat."

Kemudian, baru saja nak solat, si anak menjerit-jerit minta tambah aiskrim lagi. Si ayah naik darah. Dengan perasaan marah, dibelikan juga aiskrim tersebut kerana takut solatnya tidak khusyuk. Tetapi pemberiannya pada kali ini tidak disertai dengan kemesraan. Pemberian inilah yang dikatakan sebagai pemberian yang tidak redha.

Begitu juga Allah S.W.T. dengan kita. Kadang-kadang manusia mendapat nikmat yang diredhai Allah dan kadang-kadang tidak. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud,

"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberi nikmat kepada hambaNya yang selalu membuat maksiat (derhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diIstidrajkan oleh Allah S.W.T." (Riwayat At-Tibrani, Ahmad dan Baihaqi)

Akan tetapi manusia derhaka yang terkeliru dengan pemikirannya berpendapat bahawa dengan nikmat yang datang mencurah daripada Allah S.W.T. kepadanya itu walaupun dia sentiasa melakukan maksiat, dia menyangka itu adalah bukti yang menunjukkan bahawa Allah kasih dan berserta dengan perbuatan maksiat mereka.

Manusia Istidraj? Manusia Yang Lupa Daratan

Walaupun dia membuat maksiat, tapi dia merasakan Allah menyayanginya. Manusia seperti ini kadang-kadang memandang hina kepada orang-orang yang suka beramal dan ke masjid. Apatah lagi orang yang selalu ke masjid itu hanya berselipar jepun atau berterompah kayu, sedangkan dia naik kereta jenis mewah.

"Alah, siang malam ke masjid, ke surau, tapi basikal burukpun tak ada. Tengok aku. Aku nak ke kelab malam dengan kereta mewah. Walaupun aku tidak pernah solat, tapi Allah sayangkan aku. Kalau awak sikit ibadat, tentu awak juga akan kaya macam aku." Katanya sombong.
Inilah jenis manusia yang tidak sedar akan dirinya sendiri. Dia melakukan maksiat pagi petang. Siang malam, dia sangka Allah sayangkannya.

Maka mereka yang berpendapat sedemikian, baik mereka yang mengaku muslim, lebih-lebih lagi yang kepada orang yang sudah nyata kafirnya, berterusanlah mereka menggunakan nikmat pemberian Allah yang berupa harta kekayaan, kebesaran, pangkat dan kuasa mereka untuk melakukan penindasan dan kezaliman serta maksiat (derhaka) kepada Allah yang berpanjangan.

Sesungguhnya mereka tidak faham dan tidak sedar sama sekali bahawa pemberian nikmat itu adalah istidraj daripada Allah. Dengan pemberian nikmat yang tidak diredhaiNya itu mereka akan lalai dari mengingati Allah. Akhirnya mereka akan menemui kehancuran dan kemusnahan.

Kadang-kadang Allah S.W.T. memberikan manusia nikmat yang banyak dengan tujuan untuk menghancurkannya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud, "Apabila Allah menghendaki untuk membinasakan semut, Allah terbangkan semut itu dengan dua sayapnya." (Daripada kitab Nasa'ibul 'Ibad)

Anai-anai misalnya, kalau tidak ada sayap selamatlah dirinya. Dia akan duduk diam di bawah daun atau merayap di celah-celah batu. Jika Allah hendak membinasakannya, Allah beri ia sayap. Anai-anai kalau sudah bersayap namanya akan berubah menjadi kelkatu. Otaknya menjadi otak kelkatu. Kelkatu, bila dapat nikmat dia cuba nak lawan api. Begitu juga manusia, bila mendapat nikmat, dia cuba hendak melawan Allah.

Pemimpin-pemimpin Yang Dilaknati Allah

Buktinya telah banyak kita lihat dan kita dengar. Berapa banyak pemimpin-peminpin yang dahulunya gagah dan sombong telah dilaknati Allah. Tidak kurang juga jumlahnya kerajaan yang besar lagi utuh telahpun hancur dan musnah.

Firaun yang gagah mengaku Tuhan, Namrud yang sombong membakar Nabi Allah Ibrahim, Qarun yang kaya, Tha'labah yang bakhil dan banyak lagi ? semuanya telah musnah disebabkan kesombongan dan keangkuhan mereka!

Nikmat Allah yng diberikan kepada Firaun tidak terkita banyaknya. Bersinpun tidak pernah. Jangan kita ingat kita sihat Allah sayang kita. Firaun lagi sihat, tetapi dengan nikmat kesihatan itulah Allah binasakannya. Orang lain selalu sakit, tetapi Firaun tidak. Orang lain mati, sedangkan dia belum juga mati mati hingga dia merasa besar diri, sombong dan takabbur. Akhirnya dia mengaku dirinya Tuhan.

Namrud begitu sombong dengan Allah hingga membakar Nabi Ibrahim. Berapa besar pangkat Namrud? Bagaimana dia menemui ajalnya? Kematiannya hanya disebabkan oleh seekor nyamuk yang masuk ke lubang hidungnya!

Tidak ada seorangpun manusia pada hari ini yang sekaya Qarun. Anak kunci gudang hartanya saja 40 ekor unta membawanya. Akhirnya Allah tenggelamkan hartanya dengan dirinya sekaligus. Hingga kini harta itu tidak timbul-timbul. Harta Qarun itulah yang kita cari-cari sehingga lupa solat! Kalau kita kaya, kita sangka Allah sayang. Qarun lagi kaya, akhirnya Allah terbenamkan harta kekayaannya dengan dirinya sekali.

Di mana dan bagaimanakah keadaan mereka itu sekarang? Tanyalah pada tanah! Tanah yang mereka pijak semasa mereka diistidrajkan oleh Allah yang akan memberikan jawapan.

Kita baru naik kereta sudah sombong. Rasulullah S.A.W. naik ke langit pun tidak sombong. Kita kalau berjumpa dengan orang besar sikit sudah sombong dan merasa bangga. Kalau menteri senyum kepadanya dia merasa bangga. Rasulullah S.A.W. berjumpa dengan Allah S.W.T. di langit, tetapi baginda tidakpun sombong. Kejadian seperti ini akan terus berlaku sepanjang zaman.

Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud,

"Kerana engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi "Sunnatullah" (undang-undang peraturan Allah) dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi peraturan "Sunnatullah" itu. (43)- (Q.S: Al-Fatir 42 - 43).


Apabila kita tinjau semua ini, akan hilanglah segala persoalan yang tidak terjawab dan yang menjadi keraguan selama ini yang sentiasa mengganggu fikiran kita. Mengapa orang-orang kafir kaya raya? Mengapa orang-orang yang sentiasa membuat maksiat hidup mewah? Tidakkah kita hairan mengapa orang-orang yang selalu ke masjid hanya berbasikal buruk? Yang ke kelab malam naik kereta mewah?

Cara Untuk Menentukan Nikmat Yang Diredhai Allah

Seseorang itu dapat menyedari hakikat yang sebenarnya tentang nikmat yang diterimanya itu. Adakah pemberian itu diredhai Allah atau tidak? Caranya ialah hendaklah dia sentiasa mengkaji dengan teliti nikmat yang diterimanya itu dan bagaimana serta ke mana digunakannya?

Seseorang yang menerima segala nikmat itu akan terus mensyukuri Allah. Dia akan menggunakan pemberian itu ke jalan kebaikan dan selain dari itu, dia sentiasa redha mengabdikan dirinya kepada Allah. Maka dengan limpah kurnia yang diperolehinya itu adalah pemberian yang diredhai Allah.

Pemberian yang diredhai Allah akan membuatkan seseorang itu ikhlas apabila bersedekah. Apabila dia melihat orang membawa list derma, dia lantas memanggil orang tersebut walaupun dia hanya ada wang 50 sen ketika itu. "Ini sedekah saya. Maaflah, hanya 50 sen." Katanya.

Akan tetapi pemberian yang tidak diredhai Allah akan membuatkan orang yang menerimanya enggan bersedekah atau berbuat kebajikan dengan ikhlas. Dia ada wang RM500.00 dalam sakunya. Ketika orang minta derma dia menyatakan dia tiada wang. Maknanya wang yang ada dalam sakunya adalah wang istidraj.

Pada ketika setelah itu, lalu seorang gadis cantik yang menjual tiket "pertunjukan amal". Belumpun sempat gadis itu menawarkannya, dia pula yang memanggilnya terlebih dahulu. Diapun membeli tiket untuk pertunjukan amal itu.

Pertunjukan amal? Ini juga satu kekeliruan bagi kita. Kita sering tertipu dengan label "amal" ini. Kadang-kadang pada waktu Maghrib, lalu sebuah van yang riuh rendah dengan muzik dan memberi pengumuman. "Tuah tuan, silalah datang ke taman hiburan, kita akan mengadakan pertunjukan amal." Ada ibu bapa yang terpengaruh lalu pergi dengan membawa keluarga. Pasal pertunjukan amal, dia ingat dapat pahala.

Inilah cakap-cakap yang mesti kita jaga. Begitu juga dengan orang yang bersyarah. Kita mesti tengok betul gerak-geri orang yang bersyarah tersebut. Ke mana pensyarah tersebut hendak membawa kita. Sebab kadang-kadang banyak kekeliruan dalam syarahan-syarahan.

Ada pensyarah yang berkata, "Kita sekarang hendaklah sesuaikan Islam dengan zaman." Nampak jelas di sini otak kita hendak dikelirukannya. Hendaklah kita sedar, Islam itu tidak boleh disesuaikan dengan zaman, tetapi zaman itulah yang mesti disesuaikan dengan Islam.

Kalaulah Islam hendak disesuaikan dengan zaman, maka zaman orang bertelanjang Islam sesuai dengan orang yang bertelanjang, zaman orang merompak, Islam mesti sesuai dengan perompak. Tidak boleh islam disesuaikan dengan zaman. Islam tidak boleh tunduk kepada zaman, tetapi zaman itulah yang mesti tunduk dengan Islam.

Tidak beberapa lamu dahulu, saya berjumpa dengan seorang ulama'. Ditanya tentang loteri, dia kata haram. Habis, bagaimana kalau kita hendak membantu orang, macam loteri kebajikan? "Halal." Katanya.

Loteri haram, dibalut dengan label kebajikan jadi halal. Inilah cakap-cakap yang mengelirukan kita. Kiranya di samping seseorang yang menerima segala nikmat Allah, maka bertambah pula maksiat dan derhakanya kepada Allah, maka jelaslah segala kemudahan dan kemewahan yang diperolehinya itu adalah istidraj, iaitu pemberian nikmat yang tidak diredhai Allah S.W.T.

Namun, jangan pula apabila ada orang kaya datang ke masjid dengan kereta besar kita katakana istidraj. Orang naik pangkat istidraj, orang-orang besar istidraj. Jangan! Orang-orang yang menggunakan nikmatnya untuk kebajikan, untuk mengabdikan dirinya kepada Allah, itu bukan istidraj namanya.

Bukan bermakna kita tidak boleh kaya. Kaya tidak salah di sisi Islam, tetapi masuk ke syurga agak lambat sedikit. Ibarat orang dari Singapura hendak masuk ke Johor. Orang yang membawa barang yang banyak akan diperiksa oleh kastam. Makin banyak barangnya, makin lama pemeriksaan, makin lambat dia masuk ke Johor. Orang yang tidak membawa barang akan lepas dengan mudah memasuki Johor.

Inilah yang sangat-sangat kita takuti dalam hidup ini dan kehidupan kita di dunia ini. Sebab itulah umat Islam di zaman Rasulullah S.A.W. sentiasa merintih di hati sanubari sambil berkata, RedhaMu yang selalu kami rindukan, Dan marahMu yang sangat kami takuti, Tuhan ? Lebih baik kami hidup miskin ? ? asal dalam redhaMu, kami tak - ingin kepada kekayaan ? ? di dalam marahMu.

Inilah sajak yang penuh makna. Apakah maknanya? Hidup kita di dunia mesti ada terget, mesti ada pedoman. Jangan hidup kita seperti kumbang di tengah kolam, ditiup angin ke tepi ia ke tepi, ditiup ke tengah ia ke tengah. Tidak ada pegangan langsung.

Kita kalau hendak selamat, hidup kita mesti ada terget atau matlamat atau tujuan. Tujuan hidup kita di dunia ialah mencari keredhaan Allah S.W.T., baru kita selamat. Bukan kaya yang kita cari dan bukan juga miskin yang kita cari!

Kalau target kita hanya untuk kaya, akan jahanamlah diri kita. Jika ada kesempatan untuk kaya, kita lihat dulu. Kalau ada keredhaan Allah, barulah kita ambil. Kalau tidak lebih baik kita miskin. Bukan tujuan kita untuk menjadi miskin, tetapi hendak mencari keredhaan Allah. Kalau hidup miskin ada keredhaan Allah, maka kita pilih miskin. Kalau mahu menjadi kaya dengan keredhaan Allah, katakan aku tidak mahu kekayaan tanpa keredhaanMu.


Bila hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita didunia dan di akhirat. Wallahu A'lam.

(Dipetik dari buku Siri Syarahan Ustaz Yazid Jaafar)

Sunday, August 8, 2010

Sikap Sombong, "Saya Lebih Baik Daripada Dia"


Bismillahirrahmanirrahim.

Salam Semua.

Daripada Abu Sa'id Al-Khudri dan Abu Hurairah ra. bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud; "Allah berfirman: "Kesombongan adalah selandangku dan kebesaran adalah sarungku. Maka sesiapa yang bersaing denganKU pada salah satu daripada kedua-duanya, maka pasti akau akan lemparkan ia ke dlaam neraka jahanam". (Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Sifat mazmumah yang satu ini lahir daripada sifat marah, ujub, hasad, riya', sum'ah, tamak, bakhil dan segala sifat mazmumah yang lain.

Takbur berlaku kali pertama tatkala Iblis enggan mematuhi suruhan Allah supaya tunduk hormat kepada Adam as. Ini kerana dia merasakan dirinya lebih baik daripada Adam. Dia merasakan dia lebih baik kerana dia diperbuat daripada api dan Adam as pula daripada tanah.

Qabil pula merasakan dia lebih dan lebih berhak mendapatkan saudara perempuannya untuk dikahwini daripada adiknya Habil. Hasilnya Habil terbunuh kerana Qabil menueruti jejak langkah syaitan.

Begitulah hasil 'legasi' iblis kepada manusia-manusia yang bersedia menjadi 'protege'nya. Maka lahirlah Firaun, Haman, Qarun, Namrud, Abu Jahal dan lain-lain yang sanggup terpedaya dengan pujuk rayu syaitan.

Rasulullah saw memberi definisi kepada takbur sebagai " ... sombong itu menolak kebenarn dan menghina makhluk" (riwayat Muslim)

Ciri-ciri Orang takbur

Merasa dirinya lebih baik daripada orang lain.
Menghina orang lain.
Menolak kebenaran.

Ketiga-tiga ciri ini biasanya datang serentak dan biasanya berkait antara satu sama lain. Apabila merasakan dirinya lebih baik, lebih mulia daripada orang lain, ia akan cenderong untuk memandang orang lain hina dan lebih buruk daripadanya. Ketika itu ia akan menolak apa sahaja pandangan orang lain walaupun pendapat orang lain itu benar.

Hendaknya kita dapat membezakan orang-orang yang bersifat takbur dengan orang yang ada harga diri. Orang yang ada ada harga diri selalu menyedari bahawa apa sahaja yang ada pada dirinya adalah hasil pemberian Allah swt. Mereka sangat menghargai orang lain. Mereka melihat dunia ini sebagai tempat untuk berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan dengan ikhlas kerana Allah.

Sumber : Secangkir Ilmu

Sombong, barangkali sama tuanya dengan peradaban manusia. Iblis dikutuk dan dikeluarkan dari syurga juga lantaran sombong. Ia menolak bersujud hormat kepada Adam as, manusia pertama, kerana merasa dirinya lebih baik.

Allah berfirman: Hai iblis! Apa yang menghalangmu daripada turut sujud kepada (Adam) yang Aku telah ciptakan dengan kekuasaanKu? Adakah engkau berlaku sombong takbur ataupun engkau dari golongan yang tertinggi? Iblis menjawab: Aku lebih baik daripadanya; Engkau (wahai Tuhanku) ciptakan daku dari api, sedang dia Engkau ciptakan dari tanah.
(Sad [38] : 75–76).

“Ana khoirun minhu (saya lebih baik daripada dia),” kata Iblis. Merasa diri lebih baik daripada yang lain itulah sombong. Akibat sombong, iblis dikutuk dan diusir.


Allah berfirman: "Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat!" (Sad [38] : 77–78).

Kita berlindung kapada Allah dari perbuatan sombong, baik dalam bentuk sifat, sikap maupun perilaku, Ini kerana sifat ini dapat menjadi penghalang kita masuk syurga. Rasulullah saw bersabda, “Tidak akan masuk jannah (syurga) seseorang yang terdapat dalam hatinya sifat sombong (kibr) meskipun hanya sebesar biji sawi.” (HR Muslim).

Hendaklah kita sentiasa berhati-hati kerana sifat, sikap, dan perilaku merasa lebih baik, lebih mulia boleh terjadi kepada sesiapa saja.

Seorang tokoh yang mempunyai ramai pengikut, reputasi yang luas juga berpotensi untuk menyombongkan diri lantaran ketokohannya dan pengikutnya yang ramai. Seorang yang memiliki tubuh kuat, atlit, juara, kadang-kadang tergoda mempamerkan bentuk tubuhya, di samping kadang-kadang mudah berlaku perselisihan dan pergaduhan, dalam urusan kecil sekalipun, hanya kerana merasa dirinya lebih.

Seorang rupawan atau jelitawan juga kadang-kadang tergoda untuk membanggakan kecantikannya dan meremehkan orang lain yang tidak segagah dan secantik dirinya, bahkan sampai mencacat atau menghina serta mengejek bentuk fizikal orang lain.

Seorang hartawan sering tergoda membanggakan pakainnya yang bagus, kenderaannya yang mewah, rumahnya yang tersergam indah dan melihat sebelah mata pada kaum yang berpakaian kumal dan kotor dan seumpamanya.

Seorang pekerja pejabat yang kebetulan pangkatnya lebih tinggi kadang-kadang merasa lebih baik dari pekerja bawahannya. Presiden merasa lebih baik dari menteri, jeneral merasa lebih baik dari kopral, direktur merasa lebih baik dari karyawan dan seterusnya.

Rasa sombong juga dapat menghinggapi ilmuwan. Ilmunya setinggi langit, titelnya profesor doktor, hafal Al-quran, dapat berbicara dalam banyak bahasa. Tetapi, ia tidak sabar untuk menahan dirinya daripada merasa lebih baik daripada ahli masyarakatnya. Seorang bangsawan, kerena merasa berasal daripada keturunan yang mulia, aristokrat, darah biru, kadang-kadang merasa tidak sepadan jika harus bersanding, bergaul dengan yang bukan bangsawan.

Bahkan sifat sombong juga dapat menimpa seorang ahli ibadah atau ulama. Sosok yang secara mata kasar (zahir) terlihat wara’ (sangat hati-hati bersikap), zuhud (sederhana), bertahajud setiap hari, berpuasa Isnin-khamis, solat rawatibnya tidak pernah tertinggal. Kerana solatnya rajin sekali hingga jidatnya hitam. Namun, ternyata ia tergoda untuk menganggap dirinya orang yang paling suci, paling baik, paling takwa. Orang lain dianggap tidak ada apa-apanya dibanding dengan dirinya.

Kisah Abu Dzar Radhiyallahu’anhu patut kita ambil menjadi pengajaran. Suatu ketika beliau sedang marah kepada seorang laki-laki sampai terucap, “Hai anak wanita hitam.” Rasulullah Shalallahu’alaihi wasallam mendengar hal itu, kemudian bersabda, “Wahai Abu Dzar, tidak ada keutamaan bagi kulit putih atas kulit hitam,” (dalam riwayat lain ditambahkan, “melainkan kerana takwa”). Mendengar hal itu Abu Dzar sangat menyesal hingga meminta orang tadi untuk menginjak pipinya. (HR Imam Ahmad)

Allah ‘azzawa jalla berfirman : “Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” (QS, Luqman [ 31 ] : 18).

Perihal sombong, Rasulullah Shalallahu’alaihi wasallam mendefinisikan dalam sebuah riwayat, “Kibr (sombong) adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” (HR Muslim).

Dua kata kunci: menolak kebenaran dan meremehkan manusia, itulah sombong. Ketika ada rasa ingin menonjolkan dan membanggakan diri, ketika hati kita keras menerima nasihat lebih-lebih lagi nasihat itu daripada yang lebih junior, ketika pendapat kita enggan untuk dibantah bahkan tidak jarang dipertahankan dengan dalil yang dipaksakan, ketika kita tersinggung tidak diberi ucapan salam terlebih dahulu, ketika kita berharap tempat khusus dalam sebuah majlis, ketika kita tersinggung titel dan jabatan yang dimiliki tidak disebut, maka jangan-jangan virus takabbur telah meracuni diri kita.

Imam Al-Ghazali mengajari cara mengawasi diri agar tidak terjebak dalam sikap merasa lebih baik.

Ketika kita melihat seseorang yang belum dewasa, kita boleh berkata dalam hati: “Anak ini belum pernah berbuat maksiat, sedangkan aku tak terbilang dosa yang telah kulakukan, maka jelas anak ini lebih baik daripadaku.”

Ketika kita melihat orang tua, “Orang ini telah beramal banyak sebelum aku berbuat apa-apa, maka sudah semestinya ia lebih baik daripadaku.”

Ketika kita melihat seorang ‘alim, “Orang ini telah dianugerahi ilmu yang tiada kumiliki, ia juga berjasa telah mengajarkan ilmunya. Mengapa aku masih juga memandang ia bodoh, bukankah seharusnya aku bertanya atas yang perlu kuketahui?”

Ketika kita melihat orang bodoh, “Orang ini berbuat dosa kerana kebodohannya, sedangkan aku? Aku melakukannya dengan kesedaran bahwa hal itu maksiat. Betapa besar tanggung jawabku kelak".

Lantas, atas dasar apa kita membanggakan diri ? Bukankah dunia ini bersifat fana? Bukankah kekayaan, pangkat, kecantikan, keturunan, pengikut, dan ilmu merupakan anugerah Allah yang bersifat sementara dan ujian bagi setiap manusia? Perbezaan fizikal manusia tidak akan kekal dan ditujukan untuk menguji kesabaran dan akhlak manusia. Semuanya dapat dicabut bila-bila masa sahaja jika Allah menghendaki. Ia pun dapat merubahnya sekejap, si cantik dapat diubah-Nya menjadi si buruk rupa, sang jagoan bisa menjadi si buta, si kaya dapat bangkrup seketika, pekeraja di pejabat menjadi penghuni penjara, dan seterusnya.

Allah hanya melihat ketakwaan seorang hamba. Bukan kekayaan, pangkat, fizikal atau keturunan. Maka sungguh rugi kalau masih ada anak manusia yang masih merasa ana khairun minhu (saya lebih baik daripada dia).

Sumber: Jadikan Ilmu Sebagai Lantera Hidup dengan sedikit pindaan daripada bahasa Indonesia ke bahasa Malaysia

Saturday, August 7, 2010

Umur Dan Harta

Bismillahirrahmaniraahim.

Salam Semua. Hari ini berkesempatan mendengar Ceramah Umur dan Harta Oleh Ustaz Ismail Kamus.




Di bawah ini di tulis sebahagian daripada isi ceramah daripada Video pertama.

Kita dimaklumkan bahawa masa yang diperuntukkan oleh Allah SWT kepada kita hanya TIGA sahaja: iaitu SEMALAM, ESOK DAN HARI INI.

Yang semalam dah tak ada dah, yang besok belum tahu lagi, YANG TeNTU ADA sekarang.

Maka kita gunakan masa yang sangat sedikit itu untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT. Memang rasanya kita ingin hidup lama lagi, seribu tahun, dua ribu tahun lagipun, semuanya mahu, tetapi Allah SWT Maha Mengetahui makna di sebalik hidup atau mati. Ada orang dicepatkan dan ada orang ditangguhkannya, tidak pula kita tahu apakah hikmat dipercepatkan dan dipertangguhkan. Yang tampak zahirnya jika dipanjangkan umur adalah supaya kita dapat menambahkan amalan, atau jika dipendekkan umur supaya kita jangan tambah buat maksiat.

Tapi kadang-kadang ramai orang menangguh-nangguh untuk berbuat ibadat sebab dia rasa masa untuk dia hidup masih lama lagi. TIDAK diketahuinya bahawa mati itu antara pejam dan celik, waktu ia celikkan mata, bimbang tak sempat pejam dan waktu nak pejamkan mata bimbang tak sempat nak celik. Mati mencelah antara pejam dan celik.

Nafaspun begitu, nafas tadi dah tak ada, nafas sekarang je yang ada, nafas yang sekejap lagi belum pasti dapat ditarik atau dilepas. Jadi nafas yang ada pada kita sekarang itulah nafas yang kita ada,( guna).

Tapi kadang-kadang bila tengok cermin rasa-rasa lambat lagi mati. Muka masih merah, doktor pula kata; "Awak tak sakit". Terbayanglah kita bahawa kita lambat lagi mati. Ada pula yang kata; "Saya tak pernah minta pun lahir ke dunia ini". Itu sombong namanya.

Imam al-Ghazali berkata jika ada yang disuruh masuk kembali ke dalam perut ibunya, dia takkan mahu. Begitulah perjalanan hidup ini, tidak diketahui mengapa kita datang, apahal kita datang, kemana kita nak pergi.

Saidina 'Ali pernah mengatakan; "Dunia dan agama boleh tegak, kalau ada 4 perkara:

1. Selama mana orang kaya tidak bakhil daripada apa yang telah dikurniakan kepada mereka. Jadi orang kaya ada tugas, orang berharta ada tanggungjawab, ada hak orang lain yang perlu mereka jaga, zakat, dermanya, sedekahnya, tetapi ada orang yang wangnya banyak tapi dia rasa wang itu dia punya kesemuanya, sedangkan Nabi Allah Daud pernah berdoa: "Ya Allah aku berlindung kepada Engkau daripada harta yang nanti akan mengenyangkan orang lain, hisabnya aku yang tanggung dalam kuburku". Maksudnya Nabi Daud berdoa supaya Allah lindingkan dia daripada harta-harta yang ada padanya menjadikan orang-orang lain kenyang, maksudnya kalau dia mati setelah mengumpulkan wang yang begitu banyak tetapi tidak dinafkahkan kepada yang menurut hukum Allah tidak dibelanjakan (untuk dirinya dan orang lain), nanti dia mati orang lain yang dapat. Jadi untuk kegunaan dia semasa di dunia tidak ada begitu juga sebagai pahala di akhirat pun tidak ada.

Teruskan menonton, untuk mengetahui perkra-perkara selanjutnya, banyak yang menginsafkan kita daripada segi penggunaan umur dan harta kita. Semoga kita mendapat manfaat dan dapat amalkan segala yang akan mendatangkan manfaat kepada kita di dunia dan juga di akhirat.















Friday, August 6, 2010

Teknologi Allam - Harun Yahya

Allah berfirmana : "(Kami adakan semuanya itu) untuk menjadi perhatian dan peringatan, (yang menunjukkan jalan kebenaran), kepada tiap-tiap seorang hamba Allah yang mahu kembali kepadaNya (dengan taat dan berbakti)". (Qaf [50] : 8)

Bagaimana Burung terbang tidak jatuh, itik berenang tidak terbang, ikan lumba-lumba yang gembira hidup di dalam lautan berkejaran dengan kapal-kapal yang terapung dan bergerak laju, bagaimana pula kehidupan gajah di hutan, binatang yang terbesar dan terberat sama berat seperti berat 50 orang, umurnya pula meningkat sehingga 50 tahun. Dalam samudera luas pula terhadap pelbagai kehidupan laut yang pelbagai rupa pula, terdapat ikan lumba-lumab yang lucu dan sekawan burung yang mencari mangsa di dalam lautan. Semuanya ini menndakan kebesara Allah bagi yang mahu berfikir. Saksikanlah youtube di bawah.. di sana banyak pengajaran yang boleh diambil, insyaAllah.

Harun Yahya - TEKNOLOGI DI ALAM part 1

.

Harun Yahya - TEKNOLOGI DI ALAM part 2

Harun Yahya - TEKNOLOGI DI ALAM part 3


Harun Yahya - TEKNOLOGI DI ALAM part 4




Selamat menonoton dan ambil prngajaran daripadanya.

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)