Bismillahirrahmanirrahim
Di sebuah kampung di negara Arab, terdapat seorang peladang tua memelihara dua ekor binatang iaitu anjing dan himar. Memang menjadi kebiasaan bagi peladang memelihara ke dua-dua jenis binatang ini. Anjing untuk mengawal dan himar pula untuk mengangkut barang dan menjadi tunggangan.
Sudah sedia kita maklum bahawa anjing dan himar mempunyai perbezaan sifat, watak dan kebolehan. Anjing mempunyai taring tapi tidak himar. Anjing tidak bekerja tetapi himar bekerja keras dan banyak lagi perbezaannya yang ketara.
Suatu hari timbul rasa cemburu dalam hati himar melihatkan anjing tidak disuruh bekerja sedangkan dia bekerja keras. Anjing disediakan makanan yang sedap kadang-kadang diberikan daging, dilayan pula dengan baik oleh tuannya.
"Kalau begitu aku akan perhatikan apa yang dibuat oleh anjing sehingga tuan begitu sayang kepadanya. Barangkali jika aku meniru apa yang dilakukan oleh anjing itu, aku juga akan disayangi oleh tuan" Kata himar pada satu hari.
Sejak hari itu himar memerhatikan segala perlakuan anjing. Dilihatnya anjing menggesel-geselkan badan kepada tuannya. Kadang-kadang dilihat anjing itu duduk di atas riba tuannya sambil bermanja-manja.
Lalu himar berkata: "Begitu rupanya kelakuan anjing. Patutlah tuan begitu sayang kepadanya dan tidak sayang kepadaku. Aku tidak pernah buat seperti apa yang dibuat oleh anjing. Jika begitu aku nak tiru perbuatan anjing kepada tuan aku."
Seperti biasa apabila peladang balik dia akan berehat di atas pangkin di bawah sebatang pokok, sambil memerhatikan tanamannya sebelum dia beredar masuk ke rumahnya. Sedang peladang itu memerhatikan tanamannya tiba-tiba himar datang menggesel-gesel dan menyondol-nyondol badannya kepada tuannya. Disebabkan badan himar besar maka tuannya terjatuh dari atas pangkin.
Peladang kehairanan, lantas bangun dan menjadi marah kepada himar yang dianggap bertabiat luar biasa. Diambilnya tali lalu diikatnya himar pada pokok. Keesokan harinya himar ini disembelih kerana telah dianggap membahayakan keselamatan.
Jadi teringat akan pesanan ustaz, kita ini dijadikan mengikut peranan. Manusia peranannya sebagai khalifah, malaikat pula sebagai pembawa wahyu, pemberi rezeki, penulis catatan, penjaga dan lain-lain. Binatang juga pelbagai jenis dan peranannya juga berbeza.
Iktibar yang boleh diambil ialah bertindaklah ikut kesesuaian dan kebolehan diri.
Semuanya ini disalin daripada blog Bangkit Kembali
Semuanya ini disalin daripada blog Bangkit Kembali
2 comments:
Assalammua'alaikum warahmatullah sis..Bertindak tanpa dengan akal yang waras itu membahayakan.kadang-kadang kita disapa dengan nilai cemburu terhadap apa yang ada pada orang lain tanpa memikir kebolehan yang ada untuk bersaing dengan mereka yagn kita cemburu..ALhamdulillah..good story ^_^
Wa'alaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh Suhana.
Allah kurniakan kita aqal dan nafsu, hendaknya janganlah kita jadikan nafsu sebagai tunggangan.. iri hati sifat tercela.. na'uzubillahi min zalik
Post a Comment