Sumber Gambar : SINI
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Artikel ini sebenarnya dirujuk daripada Berita Harian bagi mengingatkan diri ini tentang musibah yang menimpa adalah sebenarnya ujian dan mungkin ada hikmah di sebaliknya.
KETIKA ini, ramai penduduk di Perlis, Kedah dan Kelantan diuji Allah SWT dengan musibah banjir teruk sejak seminggu lalu. Ada di kalangan mereka terpaksa dipindahkan ke pusat penempatan banjir demi keselamatan.
Orang yang berjaya menempuhi ujian Allah SWT dengan penuh kesabaran, akan dianugerahkan balasan pahala. Malah, Allah SWT akan menggantikan sesuatu yang hilang itu dengan sesuatu perkara lebih baik.
Umat Islam hendaklah mempunyai akidah yang betul iaitu bahawa semua makhluk yang wujud di atas muka bumi ini adalah hamba dan milik Allah. Sebaik saja mengaku bahawa kita sebagai hamba dan milik Allah SWT, kita hendaklah meredhai apa juga ketentuan yang menimpa.
Sebenarnya, di sebalik musibah itu ada hikmah yang besar yang kita sendiri tidak mengetahuinya. Boleh baca Hikmah di Sebalik Musibah oleh harmoniinn.blogspot.com.
Oleh sebab itu tabahkan hati menghadapi kesukaran, kesulitan dan penderitaan supaya mampu menempuh banyak lagi penderitaan pada masa akan datang.
Allah berfirman:
"Kamu diwajibkan berperang (untuk menentang pencerobohan) sedang peperangan itu ialah perkara yang kamu benci dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang Mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya". (al-Baqarah [2] : 216)
Orang yang tabah sentiasa diberikan perlindungan dan rahmat oleh Allah SWT. Jiwa yang sering melalui proses ujian semakin lama semakin teguh, kerana sentiasa digilap seumpama emas yang ditempa.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Dan sesungguhnya akan Kami berikan ujian kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” ( al-Baqarah [2] : 155)
Kemudian Allah SWT menjelaskan tentang orang yang sabar itu dalam firman yang bermaksud:
“(Iaitu) mereka yang apabila ditimpa musibah lalu berkata sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nya (Allah) jugalah (tempat) kami kembali.” (al-Baqarah [2] : 156)
Allah SWT menyatakan setiap hamba-Nya akan diuji dan ujian itu berlaku dalam pelbagai bentuk seperti bencana alam, kematian, kekayaan, kemiskinan, kesihatan dan kesakitan. Ini untuk membuktikan siapakah yang penyabar serta tetap bertuhankan Allah SWT dalam apa juga keadaan.
Jelas di sini bahawa orang yang sabar itu tetap yakin bahawa diri mereka hamba dan milik Allah SWT walaupun ditimpa musibah berat. Malah, mereka sentiasa mengharapkan balasan pahala daripada Allah SWT dan sentiasa takut azabNya.
Ibn Kathir dalam tafsirannya menjelaskan: “Dengan melafazkan ayat ini menunjukkan seseorang itu menerima segala musibah yang menimpanya dan mengakui bahawa dirinya adalah hamba dan milik Allah SWT. Allah SWT berkuasa melakukan apa sahaja ke atas para hambaNya.”
Untuk memperkukuhkan lagi tafsirannya, Ibn Kathir membawakan hadis antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermaksud: “Ummu Salamah berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Tiada seorang pun daripada kalangan orang Islam yang ditimpa musibah, lalu ia melafazkan apa yang diperintahkan oleh Allah (iaitu firman Allah SWT ayat 156 surah al-Baqarah yang bermaksud): “Sesungguhnya kami adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Ya! Allah berilah pahala bagiku dalam musibahku ini dan gantikanlah untukku yang lebih baik daripadanya, melainkan Allah menggantikan baginya dengan yang lebih baik.”
Ummu Salamah berkata: “Ketika Abu Salamah meninggal dunia, aku sering bertanya kepada diriku sendiri, orang Islam manakah yang lebih baik daripada Abu Salamah? Dialah orang yang pertama hijrah kepada Rasulullah SAW. Pertanyaan itu sering aku mengulanginya, lalu Allah menggantikan untukku Rasulullah SAW sendiri.”
Ummu Salamah berkata: “Baginda SAW mengutuskan Hatib bin Balta‘ah untuk melamarku bagi dirinya sendiri. Lalu Ummu Salamah berkata lagi: Aku sudah mempunyai seorang anak perempuan dan aku seorang wanita yang kuat cemburu.”
Jawab Baginda: “Mengenai anak perempuannya kita doakan semoga Allah SWT cukupkan segala keperluannya dan aku mendoakan semoga Allah SWT hilangkan rasa cemburunya itu.”
Berdasarkan kefahaman hadis itu, balasan Allah SWT atas kesabaran Ummu Salamah yang diuji dengan kematian suaminya Abu Salamah, ialah beliau dikahwini oleh Rasulullah SAW.
Hadis lain yang diriwayatkan Imam Ahmad bin Hanbal, yang bermaksud: “Abu Sinan berkata: Setelah aku mengebumikan anakku, aku masih berada di kubur. Tiba-tiba datang Abu Talhah al-Khaulaniy lantas memegang tanganku dan membawa aku keluar sambil berkata: Adakah engkau suka sekiranya aku menceritakan sesuatu yang mengembirakanmu? Jawab Abu Sinan: Baiklah.”
Lalu Abu Talhah berkata bahawa al-Dahhak bin Abd al-Rahman bin ‘Azib menceritakan kepadaku daripada Abu Musa katanya: “Sabda Rasulullah SAW bahawa Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai Malaikat Maut, engkau telah mencabut nyawa seorang anak daripada hamba-Ku, engkau telah mengambil buah hatinya dan anak kesayangannya. Jawab Malaikat Maut: Ya! Lalu Allah SWT berfirman: Apa yang ia kata (ketika kematian anaknya itu)? Jawabnya: Ia memuji Engkau dengan berkata kami ini adalah hamba dan milik Allah dan kepada-Nya kami akan dikembalikan. Maka Allah SWT berfirman: Binalah untuknya sebuah rumah di dalam syurga dan berilah namanya dengan Bait al-Hamd.”
Walaupun anak kesayangannya meninggal dunia, Abu Sinan tetap memuji Allah SWT dan sebagai balasan, dibina sebuah rumah untuknya dalam syurga.
Jelaslah ujian Allah SWT ini untuk melihat kekuatan akidah hambaNya, sama ada hanya bertuhankanNya dalam keadaan senang-lenang saja atau terus betuhankan-Nya dalam apa juga keadaan sekalipun.
Apabila kita ditimpa sesuatu musibah biasanya kita tidak dapat memahami isyarat Allah pada ketika itu. Namun adakalanya setelah sekian lama insyaAllah kita akan tahu juga apa disebaliknya. Kita yang tidak mengalami musibah janganlah hendaknya membuat andaian bahawa semua itu balasan Allah kepada mereka. Namun kita boleh mengambil pengajaran dan yakin bahawa Allah Maha Berkuasa atas tiap-tiap sesuatu.
No comments:
Post a Comment