Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Pagi ini ingin kongsikan Khutbah Jumaat (28 Disember 2012 / 14 Safar 1434H) yang disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia bertajuk “Muhasabah Diri”. N3 ini saya copy n paste daripada blog shafiqolbu.worpress. Mari sama-sama hayati topik ini buat panduan kita menghisab diri sebelum kita dihisab. Pendapat saya penerangan tentang muhasabah diri dalam khutbah ini sangat-sangat bermanfaat jika kita hayati dan kita amalkan.. InsyaAllah dan dengan pertolongan Allah juga kita pohon.. teruskan membaca..
************
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah sama-sama kita bertakwa kepada
Allah SWT dengan sebenar-benar takwa serta melaksanakan segala perintah-Nya dan
menjauhi segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan hidup di
dunia dan di akhirat. Mimbar Jumaat hari ini akan memperkatakan khutbah
bertajuk: “MUHASABAH DIRI”.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Tahun baru sekali lagi bakal menjelma
dengan bermulanya tahun 2013 masihi. Tahun yang bakal dipenuhi dengan cabaran
ini, mudah-mudahan disambut dengan rasa tawaduk ke hadrat Allah SWT atas segala
nikmat-Nya selama ini. Seperti mana tahun-tahun baru sebelum ini, kita mulakan
dengan lafaz kesyukuran kerana kita masih lagi diizinkan untuk meneruskan
kehidupan disamping menjalankan tugasan harian sama ada sebagai anak,
ibu, bapa, pendidik, pelajar, pekerja amnya dan sebagai umat Islam khasnya.
Namun sebagai muslim yang memahami akan kepentingan hidup sebagai satu Ibadah,
seharusnya kita lebih lagi mendalami perspektif sambutan tahun baru ini.
Firman Allah SWT di dalam surah
adz-Dzaariyat ayat 50:
فَفِرُّوا إِلَى اللَّـهِ ۖ
إِنِّي لَكُم مِّنْهُ نَذِيرٌ مُّبِينٌ ﴿٥٠
Maksud: “(Katakanlah Wahai Muhammad
kepada mereka): “Maka segeralah kamu kembali kepada Allah (dengan bertaubat dan
taat), Sesungguhnya aku diutuskan Allah kepada kamu, sebagai pemberi amaran
yang nyata.”
.
Justeru, sambutan tahun baru dalam Islam
bukan sahaja satu sambutan yang bersifat bermegah dan bergembira semata-mata
tetapi kita harus sandarkan kepada konsep bermuhasabah, merenung akan
kelemahan, kekurangan yang telah kita lakukan sebelum ini dan menginsafinya.
Semoga kehadiran tahun baru ini membawa pengertian yang cukup besar bagi
mencetuskan rasa ingin berubah dari satu kekurangan kepada satu kekuatan yang
baru.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Bermuhasabah diri adalah satu amalan para
anbiya, mursalin dan orang-orang soleh. Justeru, perkara penting yang harus
dijadikan budaya dalam hidup semua manusia ialah menilai diri sendiri.
Persoalan besar timbul di sini, apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan
bermuhasabah? Muhasabah adalah perilaku menilai dan memperelokkan diri yang
terbentuk dalam jiwa seseorang manusia itu menurut kaca mata agama. Ia juga
boleh dimaksudkan sebagai mendidik diri agar sentiasa mencela segala kejahatan
yang pernah dilakukan agar tidak menjadi penghalang untuk mandapat keredhaan
Allah SWT.
Mengikut Ibnu Qudamah: Pengertian
muhasabah ialah melihat keadaan modal, keadaan keuntungan dan kerugian, agar
dapat mengenal pasti sebarang penambahan dan pengurangan. Modalnya dalam
konteks agama ialah perkara yang difardhukan, keuntungan ialah perkara sunat
dan kerugiannya pula ialah maksiat.
Ibnul Qaiyyim pula berkata: Muhasabah
ialah membezakan antara apa yang diperolehinya dan apa yang perlu
ditanggungnya. Setelah mengetahui yang demikian, maka dia hendaklah membawa apa
yang diperolehinya dan melunaskan apa yang ditanggungnya. Dia seolah-olah
seorang musafir yang tidak akan kembali.
Rasulullah SAW sendiri pernah memuji sikap
muhasabah di dalam hadith Baginda yang diriwayatkan oleh Imam at-Tirmizi
daripada Syadad bin Aus RA iaitu:
Maksud: “Orang
yang pintar ialah orang yang menghitung dirinya serta beramal untuk hari
selepas kematian sementara orang yang lemah ialah orang yang mengikut hawa
nafsunya serta beragan-angan terhadap Allah dengan angan-angan (yang banyak).” (Riwayat
at-Tirmizi)
Mimbar ingin menyatakan bahawa sesiapa yang
bermuhasabah tentang dirinya maka mereka tidak akan membiarkan ruang dan masa
untuk melakukan perkara-perkara yang batil dan mungkar. Menyibukkan diri dengan
ketaatan akan menghapuskan masa untuk membuat kejahatan. Mereka akan mencela
jiwanya di atas setiap kesalahan dan kekurangan yang dilakukannya terhadap
Allah SWT kerana takutnya diri ini kepada kekuasaan-Nya. Jika inilah keadaannya
maka mana mungkin boleh didapati jalan dan ruang untuk membuat kesalahan dan
kebatilan.
Memetik kata-kata seorang ulama’ iaitu as-Sayyid
Ahmad ar-Rifaie yang pernah menyatakan di dalam kitabnya Burhan
al-Muayyad bahawa: Daripada perasaan takutakan timbulnya
muhasabah. Daripada muhasabah timbulnya muraqabah. Daripada muraqabah hati
akan sentiasa sibuk bersama Allah SWT .
Berkata Syeikh Ahmad Zarruq: Lalai
dari bermuhasabah diri menyebabkan apa yang dilakukan menjadi silap. Kurang
berbincang dengannya boleh membawa kepada sifat redha nafsu atau berpuas hati
terhadapnya. Memerangi nafsu boleh menjauhkan daripada melekat pada
diri dan tidak bersikap tegas terhadapnya menyebabkannya menjadi pahlawan. Oleh
itu lazimlah diri dengan sentiasa bermuhasabah dan berbincang serta
beramallah dengan apa yang betul tanpa bertolak ansur terhadap perkara-perkara
yang salah.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama menghitung setiap
tindakan kita selama ini, sejauh mana kita telah melaksanakan amanah sebagai
hamba Allah SWT. Apakah kita telah benar-benar melaksanakannya mengikut lunas
dan etika Islam. Sejauh manakah tugas kita sebagai manusia yang dilahirkan oleh
Allah SWT untuk melaksanakan tugas benar-benar tercapai?.
Oleh itu, dalam menyambut tahun baru pada
kali ini marilah kita mulai dengan menghisab diri samada tugas kita
selama setahun sebelum ini atau tahun-tahun sebelumnya telah kita lakukan demi
menjalankan amanah sebagai khalifah Allah SWT dan sebagai hamba-Nya yang
beriman atau kita masih berada di dalam lembah kemaksiatan dan noda semata-mata
menurut hawa nafsu yang bersarang di jiwa. Rebutlah peluang dan masa yang
diberikan Allah SWT kepada kita agar dapat dimanfaatkan untuk perkara-perkara
yang berfaedah serta amal soleh.
Bukankah Allah SWT telah mengingatkan kita
tentang penjagaan masa seperti di dalam surah al-'Asr ayat 1-3 iaitu:
Maksud: “Demi Masa! Sesungguhnya
manusia itu dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh,
dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan
sabar.”
Berdasarkan ayat ini telah menekankan dua
prinsip asas iaitu berpesan dengan kebenaran dan berpesan dengan kesabaran.
Kedua-dua konsep ini boleh dijadikan panduan kita untuk menjana kefahaman bagi
memimpin diri untuk meneruskan tahun mendatang. Sudah semestinya kita semai
budaya murni yang digariskan oleh Islam seperti amalan nasihat menasihati,
berkata benar dalam setiap tindakan, merancang setiap usaha dengan garis
panduan syarak, memastikan cara dan bentuk tindakan selari dengan panduan
Islam. Bahkan segala urusan seharian kita haruslah dipastikan ianya benar-benar
suci daripada segala kecelaruan dan keburukan tingkahlaku serta perbuatan.
Mimbar menyeru para jemaah dan umat Islam
sekalian, marilah kita mulakan tahun baru ini dengan menanamkan semangat
menyampaikan sesuatu yang baik dengan penuh kebenaran. Kebenaran yang hakiki
itu kadangkala menuntut kita bersikap yakin dan berani dalam setiap hal.
Hayatilah ungkapan “Berkatalah benar
sekalipun pahit” untuk menjadi satu semangat kepada kita bilamana
berhadapan dalam setiap cabaran dan dugaan. Namun kata-kata benar yang hendak
kita lafazkan haruslah berprinsip dan beretika.
Kita juga hendaklah saling ingat mengingati
untuk diri dan orang lain juga atas prinsip kebenaran. Maka jika timbal balik
antara jiwa benar kita dituai, maka harapan untuk mencapai hakikat kebenaran dalam
masyarakat boleh tercapai.
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Marilah kita sama-sama menjana kembali
semangat Islam dengan mata hati kita. Pemahaman dan jiwa yang luhur
terhadap tanggungjawab sebagai insan yang dijadikan oleh Allah harus kita martabatkan
bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk orang lain. Kejayaan yang kita ukir
sepanjang hidup tidak harus kita raikan sendiri malah ianya mesti diraikan
bersama dengan orang lain. Kita mulai semangat tahun baru ini dengan jiwatawaduk,
berusaha mempertingkatkan kualiti diri untuk mendapat keredaan Allah SWT.
Percayalah bahawa dengan bermuhasabah, seseorang itu dapat mengelakkan
diri daripada melakukan kesalahan yang sama untuk kali kedua, kerana orang
muslim yang hebat adalah mereka yang dapat mempertingkatkan kualiti diri mereka
dari masa ke semasa.
Ingatlah pesanan sadina Umar al-khattab: Hitunglah
diri kamu sebelum kamu dihitung, timbanglah amalanmu sendiri sebelum ia
ditimbangkan untukmu, dan bersedialah untuk hari pembentangan amal yang besar, sesungguhnya
hisab pada hari kiamat menjadi ringan bagi sesiapa yang melakukan muhasabah
diri di dunia ini.
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah
sama-sama kita merenung firman Allah SWT di dalam surah Ali- Imran ayat 110:
كُنتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ
لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنكَرِ
وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّـهِ ۗ وَلَوْ آمَنَ أَهْلُ الْكِتَابِ لَكَانَ خَيْرًا
لَّهُم ۚ مِّنْهُمُ الْمُؤْمِنُونَ وَأَكْثَرُهُمُ الْفَاسِقُونَ ﴿١١٠
Maksud: “Kamu adalah sebaik-baik umat
yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat
segala perkara yang baik dan melarang daripada yang mungkar, serta kamu pula
beriman kepada Allah. Dan kalaulah Ahli Kitab itu beriman, tentulah itu lebih
baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan
mereka orang yang fasik.”
وَالسَّلاَمُ عَلَيْكَمْ وَرَحْمَةُ اللهُ وَبَرَكَاتُه
NOTA:
Kita boleh juga mendengar kuliyah dan penerangan tentang muhasabah di Intiqad