Bagaimanakah memustajabkan doa Ramadan?
|
Doa! Semua insan inginkan agar doanya
mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita
perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan
pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat
dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya.
Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya.
Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya
tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun
tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah,
Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.
Peranan Jiwa
Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa
sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu
perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan.
Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa
yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam
hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi
melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan
hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di
Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab
ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang
asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti
seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan
harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu
yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.
Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan
untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan
Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang
disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka
Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka
Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya): "Dan
apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada
mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku
perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka
hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah
mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah: 186).
Kesucian Nurani
Setiap manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga
bukan muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah
setiap orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan
demikian fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa.
Puasa itu mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk
kepada kehendak Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa
membentuk kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa
dimustajabkan.
Sesiapa yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan
jiwanya. Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah,
maka bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah kepadanya.
Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah. Sayang Allah
melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: Berdoa ketika berbuka. Ini
berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang
tidak ditolak ketika dia berbuka”. (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim dalam
al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ahmad
Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih).
Al-Munawi menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini
mengenai doa dalam firman Allah: (maksudnya) “Berdoalah kepadaKU nescaya AKU
mustajabkan untuk kamu” (Al-Ghafir: 60). Itu asalnya untuk para nabi. Kemudian
diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para nabi a.s. Namun,
urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai jantung hati mereka
maka ia pun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu. Apabila seseorang
meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta bersinarlah
cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya hanya untuk
sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara
lidah, jiwa dan perbuatannya”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar
al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
Justeru, Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan
nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita
mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor,
maka janji Allah ini mungkin tidak untuk kita.
No comments:
Post a Comment