Bismillahirrahmanirrahim.
Allah berfirman:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah 2:185)
Beberapa hari lagi Ramadhan penuh berkat dan ganjaran pahala bakal
tiba. Seperti biasa setiap kali menjelang bulan mulia ini, suri rumah
paling sibuk bersiap dengan pelbagai menu yang sesuai dan menyelerakan bagi tujuan berbuka dan bersahur. Itu seakan-akan menjadi satu kelaziman. Apa kata kali ini kita sediakan ‘senarai semak’ tentang kelemahan kita sepanjang Ramadhan tahun-tahun sebelum ini. Senarai semak ini bertujuan agar segala kecacatan amalan kita pada Ramadhan yang lalu dapat diperbaiki pada tahun ini.
Selanjutnya mari kita bermuhasabah diri.
Apakah kita hanya berpuasa zahir semata-mata dengan meninggalkan soal
makan minum sedangkan perangai lama seperti mengumpat, berhasad dengki dan
sebagainya masih terlekat di hati. Jika demikian, maka kita perlu imbas semula hati pada Ramadan tahun ini supaya
virus mazmumah dapat dinyahkan dari dalam diri. Tidak guna berpuasa hanya dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mampu
menahan lidah daripada berkata yang keji, hati penuh berkarat kerana iri hati
kepada insan lain dan tabiat menabur fitnah masih menebal.
Kehadiran Ramadhan seolah-olah menjadi satu magnet yang menarik kita untuk turut serta menggiatkan aktiviti membaca al-Quran. Apakah kita akan mengisi Ramadan dengan amalan bertadarus al-Quran. Jika ya, janganlah amalan itu terhenti sebaik sahaja Ramadan berakhir. Usah hilang semangat untuk memegang kitab al-Quran selepas berlalunya Ramadhan..
Apakah kita akan ubah tabiat malas untuk qiamullail. Jika sebelum ini kita tidak pernah atau hanya sesekali saja, maka tahun
ini sewajarnya kita berazam mengubah tabiat malas bersolat malam dengan
melakukan perubahan hati supaya rajin dan bersemangat menunaikannya.
Mualla bin Fadhil ada memberitahu, orang soleh terdahulu membahagikan 12 bulan
kepada dua bahagian. Enam bulan pertama mereka memohon kepada Allah supaya
dapat bertemu Ramadhan dan melaksanakan ibadat dalam bulan demikian dengan aktif.
Pada enam bulan kedua, mereka memohon kepada Allah supaya puasa dan semua
ibadat dilakukan sepanjang Ramadhan diterima Allah.
Demikianlah kasih dan cinta orang soleh pada zaman dulu. Jadi, berusahalah
menjinakkan hati kita, anak isteri supaya membiasakan amalan mendirikan solat
malam sebagai menyahut seruan Allah yang menjanjikan pulangan pahala besar.
Seharusnya puasa pada bulan Ramadhan menjadikan kita seorang insan yang
tidak bakhil sebaliknya sentiasa teruja untuk menghulurkan sedekah dan bantuan
kepada orang lain.
Jadikanlah Ramadhan ini akademi yang mengasuh dan mendidik hati dengan sifat
mahmudah serta amalan soleh sekali gus memadamkan virus mazmumah yang sentiasa
bersarang dalam jiwa selama ini.
Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak
Rujukan :
No comments:
Post a Comment