Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu'alaikum.
Tahukah kita siapa yang dikenali sebagai "Habrul Ummah" - seorang yang sangat luas ilmunya?
Berikut adalah N3 copy n paste. Marilah kita Kenali "Habrul Ummah" - Abdullah Ibnu Abbas yang disampaikan oleh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar Al-Hamid - Kuliah Dhuha Masjid Darul Ehsan, Tmn TAR, Ampang 26.02.2013
Abdullah bin Abbas, ialah sepupu Nabi
Muhammad SAW, atau anak kepada bapa saudaranya iaitu Abbas. Umur Abbas dan Nabi
Muhammad SAW tidak jauh bezanya, walaupun pangkatnya ialah bapa saudara kepada Nabi
SAW. Ayah Nabi SAW, iaitu Abdullah merupakan abang kepada Abbas.
Abbas mempunyai beberapa orang anak tetapi
yang masyhur dari segi keilmuan ialah Abdullah ibnu Abbas. Abdullah digelar
“Habrul Ummah” yang membawa maksud seorang yang sangat luas ilmunya. Umurnya
ketika Nabi SAW meninggal baru 13 tahun. Beliau banyak menemani Nabi SAW dalam
banyak hal.
Hubungannya menjadi lebih rapat dengan Nabi
SAW apabila ibu saudara Abdullah bin Abbas, yang namanya Maimunah
diperisterikan Nabi SAW. Maka Abdullah bin Abbas mendapat peluang belajar
dengan Nabi bukan sahaja ketika di luar rumah, bahkan di dalam rumah juga. Bila
giliran Nabi SAW tidur di rumah Maimunah, Abdullah akan ikut sama dengan tujuan
melihat apa yang dilakukan Nabi SAW ketika di rumah. Namun, pastilah dalam
keadaan penuh adab sehingga tidak menganggu kepada rumahtangga Nabi SAW dan ibu
saudaranya.
Oleh kerana kesungguhan Abdullah mencari
ilmu, Nabi SAW sering mengambil peluang untuk mengajar setiap kali bersamanya,
hatta ketika berada di atas tunggangan unta atau keldai sekalipun. Nabi SAW
akan menyuruh Abdullah naik di belakangnya. Oleh itu ada beberapa hadis riwayat
Abdullah yang berbunyi, “Saya berada di belakang haiwan tunggangan Nabi SAW,
lalu Nabi SAW bersabda, “Ya Ghulam (yang bermaksud - Wahai anak kecil)”.
Panggilan ‘Ghulam’ ini merupakan satu ‘trick’ Nabi SAW untuk menarik hati
Abdullah untuk mendengar apa yang ingin disampaikan.
Kemudian Nabi SAW akan menyambung, “Saya
ingin mengajarkan kamu beberapa kalimat. Yang pertama - Jagalah Allah, Allah
akan jaga kamu”. Ketika itu, Abdullah masih belum baligh lagi tetapi Nabi SAW
sudah mengajarnya agar menjaga hak-hak Allah. Apabila kita meminta Allah
menjaga kita, maksudnya kita meminta Allah menjaga kita daripada segala macam
bahaya, memohon nikmat dan bermacam-macam lagi. Kita menjaga Allah pula
bermaksud kita menjaga segala hak-hak Allah agar sebagai Tuhan.
Sambungan hadis itu, “Jagalah Allah, kamu
akan dapati Allah berada di hadapan kamu”.
Perkataan ‘berada di hadapan kamu’
maksudnya, jika kita dalam kesusahan, orang pertama yang akan membela, atau
menghiburkan atau meringankan beban yang dihadapi kita ialah orang yang paling
sayangkan kita, orang yang paling ingin memberi yang terbaik kepada kita.
Contohnya jika anak dalam kesusahan, maka ibu bapa merupakan orang pertama yang
akan membantu mereka. Begitulah jika kita menjaga hak Allah, maka apabila
menghadapi kesulitan, maka Allah yang paling dahulu akan membantu kita.
Sambungan hadis itu lagi, “Dan ketahuilah
apa yang ditulis Allah Ta’ala takkan berubah walaupun ada orang ingin
mendatangkan manfaat kepada kamu. Orang itu takkan dapat mendatangkan manfaat
kecuali apa yang Allah tentukan. Jika semua orang berpakat untuk mendatangkan
mudharat kepada kamu, takkan dapat mendatangkan mudharat kecuali apa yang
ditulis Allah SWT”.
Isi nasihat Nabi SAW ialah untuk mengajar
Abdullah agar mempunyai sifat muroqabah iaitu sifat menjaga hak Allah. Nabi SAW
mengajarkan in ketika Abbas masih kecil, belum baligh dan baru berumur 11
tahun. Apa maknanya? Kita juga mesti mengajar anak-anak kita agar kenal kepada
Allah ketika mereka masih kecil lagi, sebelum dikenalkan dengan benda-benda
lain. Apa yang masuk ke dalam minda anak kita, maka itulah yang akan lekat.
Oleh itu, jika kita selalu ulang sebut tentang Allah kepada anak-anak kita,
maka itulah yang akan melekat pada hati mereka. Tambahan pula dalam zaman moden
hari ini, anak-anak suka bertanya. Jadi, sebagai ibu bapa, kita kena bersedia
dengan jawapan yang sesuai dengan jiwa anak-anak yang masih kecil. Jangan pula
disamakan penjelasan kepada persolan mereka seperti penjelasan kepada orang
dewasa.
Suatu ketika, Abdullah mendengar yang Nabi
SAW berada di rumah Maimunah, lalu dia pun pergi bermalam di rumah Maimunah.
Dia meletak satu bekas wudhuk di luar bilik Nabi SAW sebagai tanda khidmatnya
untuk memudahkan Nabi SAW bangun dan bersedia untuk solat tahajjud. Bagi Nabi
SAW, solat tahajjud, solat Dhuha adalah wajib, tapi tidak kepada kita. Ada
benda lain yang Nabi SAW boleh buat kita tak boleh - contohnya Nabi boleh
berkahwin lebih daripada 4, tetapi kita tidak boleh.
Apabila terlihat bekas itu, Nabi SAW pun
bertanya siapa yang meletakannya. Setelah diberitahu bahawa Abdullah Ibnu Abbas
yang meletakkannya, Nabi SAW pun mendoakannya: “Allahumma faqqihhu fiddin wa
‘allimhu ta’wil” yang bermaksud, “Ya Allah, dalamkanlah pengetahuannya dalam
agama dan ajarkan dia ta’wil Qur’an”. Ilmu ta'wil ialah ilmu tafsir Al-Quran.
Dengan keberkatan doa Nabi SAW dan kesungguhan yang ada pada dirinya itu,
jadilah dia “Habrul Ummah” yang bermaksud orang yang luas ilmunya.
Umurnya ketika Nabi SAW wafat baru 13
tahun. Namun, dia terus mencari ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi pula. Antara
gurunya ialah Sayyidina Ali bin Abi Talib. Walaupun telah berguru dengan Nabi
SAW, beliau masih mencari ilmu daripada sahabat-sahabat Nabi SAW. Rumahnya
pernah menjadi seperti sekolah di mana ramai orang datang untuk belajar, dan
ditetapkan waktu-waktu tertentu untuk belajar perkara tertentu seperti - ilmu
Al-Quran, imu hadis, ilmu feqah dan lain-lain.
Dalam majlis Al-Syura peringkat pentadbiran
negara, Abdullah ibnu Abbas, yang masih muda ketika itu, dijemput sama dan
perkara ini menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan sahabat lain
yang berumur. Namun, mereka takut untuk menyampaikan kepada Sayyidina Umar,
tetapi akhirnya berita ini sampai juga kepada beliau. Lalu, Saiyyidin Umar pun
membuat satu mesyuarat dan bertanya kepada ahli mesyuarat tentang pemahaman
mereka tentang surah Al-Nasr:
Ayat ini turun ketika Nabi SAW mengerjakan
haji bersama 100 ribu lebih orang, ketika Nabi berada di Mina. Ini adalah satu
jumlah yang besar ketika itu.
Semua ahli mesyuarat mentafsir ayat itu
dengan makna yang hampir sama iaitu sebagai satu tanda ucapan tahniah Allah
atas kejayaan kaum Muslimin, dan semua orang Islam mesti bertasbih memuji Allah
Ta’ala. Abdullah bin Abbas ditanya terakhir sekali dan jawapannya, “Ayat ini
adalah ucapan takziah Allah kepada kaum Muslimin”. Pendapatnya itu berlawanan
sama sekali dengan pendapat sahabat lain. Sambung Abdullah lagi, “Sepertimana
kejayaan itu sudah dicapai oleh Rasulullah SAW dalam menyampaikan risalah dan
sudah lengkap waktu yang disampaikan oleh Rasulullah, dan sudah ramai kaum
Muslimin yang memeluk Islam, maknanya, sudah selesai tugas Nabi Muhammad SAW
menyampaikan wahyu. Apabila tugas Nabi sudah selesai, maknanya akan tiba masa
baginda kembali kepada Allah SWT”. Sy. Umar pun berkata, “Demi Allah, pemahaman
aku tentang ayat ini persis pemahaman kamu”. Jadi, jelaslah kepada sahabat lain
akan kelebihan yang dimiliki Ibnu Abbas.
Beliau berpindah dan meninggal di Taif
kerana takut untuk tinggal di Mekah dan tidak dapat menunaikan hak-hak kesucian
kota Mekah. Berbuat maksiat di kota Mekah atau Madinah tidak sama seperti
berbuat maksiat di tempat lain. 2 kota ini dimuliakan dengan larangan-larangan
tertentu seperti tak boleh berburu yang tidak dilarang ditempat lain. Kerana
kekhuatirannya tidak dapat menjaga kesucian kota Mekah, beliau berpindah ke
Taif. Oleh itu, kita kena tahu adab berada di kota Mekah dan Madinah. Kita kena
tahu apa yang keistimewaan kota Mekah dan kota Madinah. Kota Mekah
diistimewakan kerana doa Nabi Ibrahim, manakala Kota Madinah diistimewakan
kerana doa Nabi Muhammad SAW. Oleh sebab itu, kita digalakkan mandi sebelum
memasuki kota Mekah dan membaca doa ketika memasukinya.
Pada zaman jahiliyyah dulu, mereka tidak
membunuh di dalam kota Mekah, dan melakukannya di luar tanah haram. Orang
jahiliiyah pun tahu menjaga adab kepada kota Mekah. Kita hari ini perlu juga
menghormati kesucian kota Mekah - contohnya di dalam bilik hotel, jangan dibuka
saluran TV yang melanggar kesucian kota Madinah dan Mekah.
Moga-moga Allah jadikan kita orang yang
tahu tempat-tempat yang dimuliakan Allah untuk kita dapat memuliakan tempat
tersebut. Amin.
No comments:
Post a Comment