FITNAH dan khabar angin sering digunakan untuk menyebarkan maklumat tidak benar. Ada segelintir manusia menggunakan kemudahan canggih untuk melaga-lagakan sesama manusia sehingga sahabat bertukar menjadi musuh, suami isteri bercerai berai dan sebagainya.
Islam melarang keras perbuatan fitnah dan menyebar khabar angin dan golongan penyebar maklumat palsu itu dijanjikan Allah azab yang amat pedih.
Firman Allah SWT bermaksud:
“Sesungguhnya orang yang menghebahkan tuduhan buruk di kalangan orang beriman, mereka akan beroleh azab seksa tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat. Ingatlah Allah lebih mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahuinya”. (Surah an-Nur, ayat 19).
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Awasilah diri kamu daripada berburuk sangka kerana perbuatan itu satu pembohongan besar. Janganlah mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikanlah diri kamu bersaudara. (Riwayat Bukhari & Muslim).
Rasulullah mengingatkan kita agar sentiasa menjauhi diri daripada perbuatan keji yang dinyatakan dalam hadis itu.
Sesungguhnya impak perbuatan keji itulah membawa kepada berlakunya budaya penyebaran surat layang dan fitnah dalam masyarakat.
Perbuatan bersangka buruk terhadap orang lain sebenarnya timbul daripada perasaan tidak puas hati dan dengki atas sebab tertentu.
Perbuatan sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup menghancurkan maruah orang lain dengan menolak rasional akal yang dianugerahkan Allah kerana dikuasai nafsu marah dan dengki.
No comments:
Post a Comment