Saturday, April 14, 2012

Berasa Dukacita?


Bismillahirrahmanirrahim. 


Assalamu'alaikum. 

Pada zaman dahulu ada seorang hamba Allah bernama Abul Hassan pergi mengerjakan haji di Baitul Haram. Semasa beliau sedang melakukan tawaf tiba-tiba beliau terlihat seorang wanita yang bersinar dan berseri wajahnya. 

"Demi Allah, belum pernah aku melihat wajah secantik dan secerah wanita itu, ini sudah pasti wanita ini tidak pernah risau dan bersedih hati." Berkata Abul Hassan. 

Tiba-tiba wanita itu yang terdengar ucapan Abul Hassan bertanya, "Apakah katamu hai saudaraku? Demi Allah aku tetap terbelenggu oleh perasaan dukacita dan luka hati kerana risau, dan tiada seorang pun yang menyekutui aku dalam hal ini." 

Abul Hassan bertanya, "Apakah yang merisaukanmu ?" 

Wanita itu menjawab, "Pada suatu hari ketika suamiku sedang menyembelih kambing korban, dan bersama aku dua orang anak yang sudah boleh bermain dan yang seorang lagi masih menyusu, dan ketika aku bangun untuk menyediakan makanan, tiba-tiba anakku yang lebih tua berkata pada adiknya, "Hai adikku, sukakah aku tunjukkan padamu bagaimana ayah menyembelih kambing?" 

Jawab adiknya, "Baiklah kalau begitu ?" 

Lalu disuruh adiknya baring dan disembelihkannya leher adiknya itu. Kemudian dia merasa ketakutan setelah melihat darah memancut keluar, lalu dia lari ke bukit, di sana dia dimakan oleh serigala, lalu ayahnya pergi mencari anaknya itu sehingga mati kehausan dan ketika aku letakkan bayiku untuk keluar mencari suamiku, tiba-tiba bayiku merangkak menuju ke periuk yang berisi air panas, ditariknya periuk tersebut dan tumpahlah air panas terkena ke badannya habis melecur kulit badannya. Berita ini terdengar kepada anakku yang telah berkahwin dan tinggal di daerah lain, maka ia jatuh pengsan hingga sampai menuju ajalnya. Dan kini aku tinggal sebatang kara." 

Lalu Abul Hassan bertanya, "Bagaimanakah kesabaranmu menghadapi semua musibah yang sangat hebat itu?" 

Wanita itu menjawab: "Tiada seorang pun yang dapat membezakan antara sabar dengan mengeluh melainkan dia menemukan di antara keduanya ada jalan yang berbeza. Adapun sabar dengan memperbaiki yang lahir, maka hal itu baik dan terpuji akibatnya. Dan adapun mengeluh, maka orangnya tidak mendapat ganti yakni sia-sia belaka." 

Kisah di atas dapat dijadikan tauladan, kesabaran sangat digalakkan oleh agama dan mesti dimiliki oleh setiap orang yang mengaku beriman kepada Allah apabila terkena musibah dan ujian daripada Allah. 


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah saw bersabda yang maksudnya: "Apabila Allah menghendaki kebaikan ke atas seseorang, Dia akan mengujinya dengan kesulitan" 

Diriwayatkan juga daripada Abu Hurairah ra bahawa Rasulullah saw bersabda yang bermaksud: "Untuk setiap musibah, penyakit, keresahan, kesedihan atau kesakitan yang menimpa seorang Muslim, hatta luka yang disebabkan tertusuk duri, Allah akan menghapuskan dosa2 nya" 

Ibn Mas’ud ra berkata: "Aku menziarahi Rasulullah sewaktu Baginda sakit. Aku mengatakan, “Ya Rasulullah!, engkau menghadapi demam yg kuat!” Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam menjawab, “Demamku adalah dua kali (kuatnya) daripada kamu" Aku bertanya lagi, “Adakah kerana engkau mendapat dua kali ganjaran?” Jawab Baginda, “Benar! Tiada seorang Muslim yg ditimpa kesakitan, walaupun hanya luka yang disebabkan tertusuk duri, melainkan Allah akan menghapuskan dosa-dosanya disebabkan kesakitan itu, dan dosanya gugur seperti gugurnya dedaun daripada sepohon pokok”. 

Rasulullah s.a.w bersabda dalam firman Allah dalam sebuah hadith Qudsi: 

"Tidak ada balasan bagi hamba-Ku yang Mukmin, jika Aku ambil kekasihnya daripada ahli dunia kemudian ia sabar, melainkan syurga baginya." 

Mengeluh juga sangat dikutuk oleh agama dan hukumnya haram. Kerana itu Rasulullah s.a.w bersabda, : " Tiga macam daripada tanda kekafiran terhadap Allah, merobek baju, mengeluh dan menghina nasab orang." 

Dan sabdanya lagi, "Mengeluh itu termasuk kebiasaan Jahiliyyah, dan orang yang mengeluh, jika ia mati sebelum taubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian daripada wap api neraka." (Riwayat oleh Imam Majah) 

Semoga kita sentiasa dapat bersabar dalam menghadapi segala ujian dan musibah. 

Friday, April 13, 2012

Reflections di TV AlHijrah

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Pernah menonton rancangan Reflections di TV AlHijrah?

Sesekali saya menontonnya.

Beliau mengupas ayat-ayat daripada surah-surah dalam al-Quran.

pada rancangan Reflections musim kelima ini, William Suhaib Webb berinteraksi secara spontan dengan penonton.

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
Gambar RIDUAN RIZAL


WALAUPUN berbeza bahasa, namun demi menyampaikan kebenaran dan menyebarkan ilmu-ilmu Allah dan Rasul-Nya, maka misi dakwah seorang imam dari Boston, Amerika Syarikat di negara ini dikira berjaya.

William Suhaib Webb, 39, kini sudah mempunyai ramai penonton setia yang tidak akan berganjak tempat duduk setiap kali beliau muncul sebagai hos rancangan agama popular masa kini, Reflections di TV AlHijrah.

Dalam rancangan selama setengah jam setiap Isnin sehingga Khamis bermula pukul 7 pagi dan setiap Rabu dan Khamis bermula pukul 10.30 malam, Suhaib dalam bahasa Inggeris yang mudah membolehkan Islam turut dapat difahami dengan mudah.

Suhaib memeluk Islam pada tahun 1992, merupakan seorang deejay profesional. Maka tidak menghairankan jika dia masih menggunakan kemahiran dalam berkomunikasi itu bagi menarik perhatian penonton.

Dalam rancangan itu, Suhaib mengupas surah-surah dalam al-Quran dari pelbagai aspek, terutama dengan mengaitkannya dengan kehidupan seharian umat Islam.

Beliau tidak sahaja mengeluarkan pendapat, malah berkongsi dengan ulama-ulama dan tokoh ilmuan Islam lain bagi memberikan perspektif lebih luas kepada penonton.

Sesungguhnya beliau seorang yang suka berkongsi ilmu, jika dalam bahasa Arabnya perumpamaannya adalah Al Ilmu kal Usrati, iaitu ilmu itu bagai keluarga, mesti dikongsi bersama.

Beliau berkongsi tanpa mengira cara dan tempat di mana sahaja terutama menggunakan sepenuhnya perkembangan teknologi maklumat (IT). Bahkan, disokong laman webnya sendiri, iaitu www.SuhaibWebb.com (Your Virtual Mosque), yang diiktiraf sebagai Blog Terbaik, The Best Blog of the Year untuk tahun 2009 oleh Brass Crescent Awards dan di laman sosial Tweeter pula, dengan undian tertinggi untuk memenangi The Best Muslim Tweeter, setahun kemudian.

Ini tidak termasuk di laman sosial Facebook miliknya, seramai 30,356 yang menyukainya (likes) dan boleh juga dikenali sebagai Ustaz Youtube apabila ia antara yang begitu popular pada hari ini.

Kini di TV AlHijrah, kemunculan Suhaib antara yang sering dinanti-nantikan oleh para penonton kerana rancangan Reflections kini telah memasuki musim kelima sejak mula diperkenalkan hampir dua tahun lalu dengan Suhaib sendiri adalah peneraju awal rancangan ini.

Beliau sebenarnya merupakan Imam Masjid Boston di Pusat Masyarakat Islam dan Kebudayaan Boston (ISBCC), masjid yang terbesar di wilayah New England, Amerika Syarikat.

Namun menyedari bahawa generasi boleh dibentuk melalui pengaruh televisyen, Suhaib sanggup untuk kerap berada di Malaysia bagi menjayakan rancangan tersebut.

"Saya dahulu membesar dengan pengaruh-pengaruh yang disiarkan oleh saluran TV MTV, maka tidak menghairankan yang lahir adalah generasi MTV.

"Jadi apabila telah ada saluran televisyen yang baik ini, maka kita perlu mengambil kesempatan sepenuhnya bagi menjadikan saluran ini yang paling utama dan berpengaruh demi membentuk generasi Islam yang terbaik terutama daripada kalangan anak muda kita hari ini," katanya.

Beliau ditemui baru-baru ini bagi menjayakan Rancangan Reflections yang dirakam bersama para penonton di Auditorium Besar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak yang buat pertama kalinya Suhaib berpeluang berinteraksi bersama penonton sebagai daya tarikan terbaru kepada rancangan itu.

Suhaib sememangnya handal dalam bual berbicara kerana menerusi pengalaman yang luas semasa belajar di Universiti al Azhar, Mesir selama enam tahun (2004 - 2010) dan pelbagai aktiviti dakwah, sosial dan kemasyarakatan, dia digunakan sepenuhnya supaya tidak ada halangan antara dirinya dengan penonton.

Sambil menyelitkan perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang semakin fasih dituturkan, Suhaib bijak mengajak para penonton secara spontan.

Tuesday, April 10, 2012

'Ini Kesimpulan Dari Sebuah Kehidupan'

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Copy n paste daripada Portal Rasmi Masjid Negara

Artikel diambil daripada web drmaza.com

Prof. Madya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin

Kita ini hanyalah bilangan hari dan waktu. Apabila sebahagian bilangan itu pergi, pergilah sebahagian dari kita ini. Setiap bilah hari yang meninggalkan kita, membawa bersamanya pelbagai coretan, kenangan, rahsia, cerita, derita, bahagia dan segala rupa warna dan rasa. Sebahagian yang tinggal menunggu giliran untuk melalui peristiwa yang sama. Mungkin berbeza nama hari, bulan dan tahun, tetapi tetap sama pada keadaan dan peranan. Ia akan membawa lagi sebahagian dari kita pergi meninggalkan kehidupan dunia ini. Sehinggalah pada saat tamatnya bilangan terakhir, maka ketika itu berakhirlah kehidupan kita di dunia ini.


Walaupun saban waktu dan hari bilangan itu pergi tidak kembali lagi, tetapi ia tetap meninggalkan kesan pada bilangan yang masih ada. Kenangan, peristiwa, pengajaran dan bekalan yang dikutip oleh hari-hari semalam ditinggalkan untuk hari-hari mendatang. Adakala ia pahit, adakala manis, adakala kita membencinya, adakala kita menangisi kehilangannya dan adakala kita ingin melupai dan mengharapkan supaya bilangan itu tidak pernah wujud dalam diari kehidupan kita. Bilangan yang pergi dan datang jua menyimpan pelbagai rahsia setiap kita. Bukan semua babak lakonan setiap insan diketahui oleh orang lain. Sebahagian besarnya adalah rahsia kehidupan, hanya dia dan Tuhan. Beruntunglah insan yang rahsianya di sisi Yang Maha Esa lebih baik dari apa yang disangka oleh manusia.

Ramai yang seakan merasa segala kezaliman dan kekejamannya ke atas orang lain berakhir dengan berlalunya hari-hari dirinya dan orang lain. Segalanya dilupa. Tapi, kesan kesakitan dan luka yang ditinggalkan oleh hari-hari semalam tidak semestinya dilupai oleh yang dizalimi. Hari-hari yang pergi mewarisi luka-luka yang terpalit dalam memori. Si mangsa tidak lupa. Allah juga tidak lupa, akan hari pembalasanNYA. Samada pembalasan itu hadir dalam baki hari-hari duniawi yang masih tertinggal ataupun pada Hari Pembalasan yang sangat agung. Ataupun, pembalasan itu akan tiba dalam dua alam; dunia yang fana ini dan akhirat yang kekal abadi. Ataupun, Allah mengampunkannya atas ilmuNYA yang DIA Maha Tahu.

Hari yang pergi, jika ia kejelekan dan kotor hitam, kita diberi peluang untuk mengindahkan dan memutihkannya pada hari-hari yang masih berbaki. Adakala kejelekan itu tidak boleh diindahkan kembali melainkan melalui proses yang panjang. Adakala kekotoran dan kehitaman itu tidak boleh dicuci dan diputihkan dengan mudah. Mengambil masa yang lama dan memerlukan bahan pembersih yang banyak.

Ada kalanya pula, kita telah benar-benar membersihkannya namun oleh kerana warna hitam semalam terlalu kuat mempengaruhi pemikiran sebahagian orang, lantas mereka tetap menafikan warna putih, ataupun kain yang sudah kita bersih pada hari-hari yang berbaki. Mungkin mereka tahu hakikatnya telah suci, tapi masih ingin menafi atas sifat rakus insani. Ataupun, memang rupa jelek atau warna hitam semalam telah benar-benar membutakan mata dari melihat warna murni hari ini.

Namun, kita perlu yakin tanpa syak bahawa Allah benar-benar mengetahui segalanya. Dia Maha Mengetahui antara yang hitam dan putih, antara yang bersih dan kotor. Dia Mengetahui siapa hambaNYA yang bertaubat, siapa pula hambaNYA yang keras jantung hati. Penilaian Tuhan sentiasa adil tanpa kekurangan. Hari-hari yang baki memberi peluang insan membaiki diri. Bahkan dengan keikhlasan kepada Tuhan, kebaikan hari ini dapat memadamkan keburukan hari semalam.

Sebahagian manusia pula menyangka bahawa kemanisan hari-hari yang pergi akan terus diwarisi tanpa siapa yang dapat menghalangi. Tiba-tiba dia sedar, bahawa hari-hari yang berbaki tidak semestinya menjejaki warna-warna indah, ceria dan bahagia yang telah pergi meninggalkannya. Duka mengambil tempat suka, derita merampas hari-hari bahagia. Sekali lagi diingatkan agar insan sentiasa bersyukur atas apa yang telah diberikan dan memohonkan dikekalkan nikmat kurniaan. Disuruh kita membunuh rasa bongkak dan takabur atas kurnia nikmat, kerana segalanya mungkin saja bertukar. Senggara itu boleh menjelma dalam pelbagai rupa. Walaupun sang raja masih hidup di istana mewahnya, namun senggara boleh masuk dan mencabut gembira dan bahagia sekalipun dia masih berada atas singgahsana empuknya. Kepada Allah juga pengharapan dalam setiap detik kehidupan. Dia Yang Memberikan segala kurnia sebagai ujian untuk sebahagian hamba-hambaNYA.

Hari-hari yang pergi dengan penuh dengan tangisan dan kesedihan tidak semestinya mewarisi airmata derita dan wajah duka untuk hari-hari yang menjelma selepasnya. Tangisan dari sepasang mata mungkin terus mengalir pada hari yang berbaki, tetapi disebabkan gembira dan bahagia. Bukan lagi disebabkan sengsara. Hari-hari yang datang, tidak semestinya mencontohi lagi hari semalam. Bahkan derita semalam, memuncakkan kenikmatan apabila kebahgiaan menjelma pada hari ini. Siapakah penentu segalanya? Allah. Allah. Allah tiada tuhan melainkan Dia Yang Maha Menguasai segalanya. Maka jangan hairan wahai teman, jika anda melihat yang miskin bertukar menjadi kaya, yang sengsara bertukar bahagia. Juga jangan hairan, jika berlaku hal yang sebaliknya. Sesiapa yang bertawakal kepada Allah, akan dibukakan baginya pelbagai keajaiban yang tidak disangka.

Akhirnya kita akui bahawa, kita hanya bilangan hari. Maha Suci Tuhan yang telah menciptakan detik dan waktu. Kita semua akan sampai pada saat bilangan detik yang terakhir. Di kala itu tamatlah segala drama dan babak-babaknya yang kita lalui di atas pentas dunia yang fana. Menunggu saat perhitungan Tuhan atas segala cerita yang kita lakonkan. Segala lenggang lenggok watak dan gaya kita, telah tamat dengan berakhirnya bilah terakhir yang pergi dan tiada yang datang lagi. Tiada subsidi waktu dan hari yang mampu diberikan oleh sesiapa pun. Segalanya kenangan bagi semua drama kehidupan. Tiada lagi teman, tiada lagi harta dan tiada lagi senyum tawa. Derita dan derita. Atau pun, tiada lagi derita, tiada lagi sengsara. Bahagia dan bahagia. Di kala itu kita akan hidup dalam bilangan hari yang tiada kesudahan, dan waktu yang tiada berbaki. Ya Allah! Ampunilah kami ini.



Di Bawah ni sebahagian daripada Kuliyah Bertajuk "Bilah-Bilah Kehidupan" oleh Dr. Maza...


Monday, April 9, 2012

Pentingnya Hidup Berilmu

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Dapat dengar Tafsir oleh Ustaz Zahazan di IKIM.FM.. Didengar daripada kiemiftah.com dan dicatat sebahagian daripadanya.



Surah yang agak panjang jika dibandingkan dengan surah-surah lain dalam juz amma. Surah ini adalah surah pertama yang dibacakan kepada Nabi kita. Surah ini memberikan kefahaman kepada kita tentang kepentingan ilmu.

Ayat pertama: 

Iqra'! Bacalah! Satu kalimah yang mulia menampakkan satu manefestasi ilmu, satu asas kepada ilmu. Menjadi dasar atau akar kepada ketamadunan manusia. Jadi bila dilihat di sini susunan ayat-ayat Allah yang hebat ini Allah SWT telah menyebut mengingatkan kepada kita; mengingatkan kepada Nabi Muhammad SAW pertama iaitu:
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (Al-'Alaq 96:1)
Baca ini sinonim dengan ilmu. Ilmu itu satu perkara yang mulia, sebab itu Imam al-Ghazali ketika membahaskan tentang ilmu beliau meletakkan bab ilmu ini di bahagian pertama kitab Ihya' Ulumuddin karangannya. Ini nak bagi tahu kepentingan ilmu. Ilmu tu pula dibahagikan kepada fardhu 'ain fardhu kifayah dibincang panjang lebar. Ini nak bagi tahu kita bahawa ilmu ni mulia.

Apa buktinya? Bila kita lihat dalam kehidupan, bila ada orang kata kepada kita awak tidak tahu, katakanlah atau bayangkanlah, fikirkan seorang budak kecil, kita pula sudah berumur begini tiba-tiba dia bertanya satu soalan yang mudah tapi kita ambil masa untuk memikirkan apa jawapan yang akan diberikan kepada budak itu, mungkin kerana kita nak lihat apa jawapan terbaik atau mungkin kita nak cuba memahamkan dia dengan sebenar-benarnya, dengan bercakap menggunakan bahasa yang difahaminya tiba-tiba dia menfikan ilmu yang ada pada kita, katanya pakcik tidak tahu atau kakak tidak tahu, kitapun akan terasa marah, apatah lagi jika orang mengatakan kita ni orang yang bodoh iaitu satu istilah yang kejam yang amat menyakitkan hati, kerana dia menafikan ilmu kita, maknanya jika tiada ilmu bermaksud tiadalah kemuliaan.

Imam Ibnu katsir menceritakan tentang ilmu dengan satu perbincangan yang panjang dan hebat, bacalah dalam Tafsir Ibnu Katsir, tuan-tuan akan melihat bagaimana Imam Ibnu Katsir ni menjelaskan bahawa ilmu ni mempunyai pelbagai sumber. Antaranya:

Pertama: Bertafakkur iaitu kita berfikir

Kedua: Dengan kita membaca

Ketiga: Bila orang memaklumkan kepada kita. Contohnya Nabi Adam as bila dicipta oleh Allah SWT, maka Allah mengajarnya ilmu. Ini disebut dalam ayat di bawah maksudnya:
"Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: "Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar". (Al-Baqarah 2:31)
Ini menujukkan bahawa perkara pertama diberikan kepada Nabi Adam as ialah ilmu. Jadi daripada sini tahulah kita akan kepentingan ilmu dalam kehidupan kita.  Perkara ini mempunyai kaitan langsung dalam hidup kita. Betapa penting ilmu ini kita dapat lihat dalam kehidupan masyarakat yang maju pada hari ini yang menjadikan ilmu sebagai asas kepada kepentingan hidup mereka seperti kata Pemikir Islam Harun Yahaya.

Kita dapat lihat banyak negara menjadikan ilmu itu sebagai asas kepada kepentingan hidup mereka. Orang-orang Jepun adalah masyarakat yang maju, mereka merupakan masyarakat yang mengkaji dan membaca dan kemudian mengaplikasikan apa yang mereka tahu itu. Orang-orang Peranchis sebagai contoh mereka adalah orang yang cukup berdisiplin. Mereka mencipta sejenis kereta yang hebat, bila dinaikkkan power windownya, bila ada tangan menghalang secara otomatiknya power window tu tidak berfungsi. Ini untuk kepentingan kehidupan, orang Sweden pula mencipta kereta volvo semuanya menunjukkan kepada satu hasil pemikiran yang bersumberkan kepada ilmu yang dipraktikkan.

Panjang nak ceritakan akan hal ini. Ini didedahkan oleh Harun Yahaya dalam bukunya "Warna-warni Kehidupan" menceritakan tentang ilmu yang diberikan Allah kepada makhlukNya tapi kita orang Islam cukup jauh ketinggalan berbanding orang-orang yang tidak beriman kepada Allah SWT.

Catatan ini setakat minit 07.57 daripada 19.29... semoga memberikan manfaat.

Cara Pilih Sahabat

Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamu'alaikum.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: 
“Dan janganlah engkau menurut orang yang telah Kami lalaikan hatinya daripada mengingati-Ku, lalu ia mengikutkan hawa nafsunya.” (Surah al-Kahf, ayat 28)

Firman Allah lagi bermaksud: 
“Maka berpalinglah engkau dari orang yang tidak mempedulikan peringatan Kami dan ia hanya menginginkan kehidupan dunia semata-mata.” (Surah an-Najm, ayat 29)

Kesimpulan dalam ayat itu, Allah melarang bersahabat dengan orang fasik. 

Alqamah berpesan kepada anaknya: “Wahai anakku! Kiranya engkau merasakan perlu untuk bersahabat dengan seseorang, maka hendaklah engkau memilih orang yang bersifat demikian (iaitu antaranya): 

Pertama; Jika engkau berbuat baik kepadanya, ia akan melindungimu. 

Kedua, jika engkau rapatkan persahabatan dengannya, ia akan membalas baik persahabatanmu itu. 

Ketiga, jika engkau memerlukan pertolongan daripadanya berupa wang dan sebagainya, ia akan membantumu. 

Keempat, jika ia melihat sesuatu yang tidak baik daripadamu, ia akan menutupnya. 

Kelima, jika engkau meminta sesuatu bantuan daripadanya, ia akan mengusahakannya. 

Keenam, jika engkau berdiam diri (kerana malu hendak meminta), ia akan menanyakan kesusahanmu. 

Ketujuh, jika engkau menghulurkan sesuatu kebaikan kepadanya, ia akan menerima dengan baik. 

Kelapan, jika ia mendapat sesuatu kebajikan (bantuan) daripadamu, ia akan menghargai dan menyebut kebaikanmu. 

Kesembilan, jika datang sesuatu bencana menimpamu, ia akan meringankan kesusahanmu (iaitu membuat sesuatu untuk menghilangkan kesusahan itu). 

Kesepuluh, jika engkau berkata kepadanya, nescaya ia akan membenarkanmu. 

Kesebelas, jika engkau merancangkan sesuatu, nescaya ia akan membantumu. 

Kedua belas, jika engkau berselisih faham, nescaya ia akan lebih senang mengalah untuk menjaga kepentingan persahabatan.”

Saidina Ali dalam satu syairnya (yang bermaksud): “Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu, ia sanggup membahayakan dirinya demi kemaslahatanmu, orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu, sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu.”

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)