Saturday, August 4, 2012

Ramadhan dan Keampunan


Diriwayatkan oleh Imam Bukhari : Nabi bersabda : “Apabila tiba bulan Ramadhan dibuka pintu syurga dan ditutup pintu neraka dan syaitan dibelenggu”..

Apa maksud dibukakan pintu syurga? Maksudnya ialah Allah ampunkan dosa orang-orang yang berpuasa yang beristighfar pagi dan petang, siang malam, merintih dan bermunajat minta Allah hapuskan dosa  yang terlalu banyak sejak dulu.


Pintu Syurga sentiasa terbuka menandakan betapa Allah amat suka semua makhlukNya masuk ke syurga.

Pintu Neraka tertutup menandakan betapa Allah amat tidak berkehendakkan semua makhlukNya memasuki neraka yang penuh azab.

Tak bermakna jika masuk bulan Ramadhan kita tak minta ampun. Jika demikian termasuklah kita di kalangan orang yang sombong.

Apa konsep pengampunan dalam bulan Ramadhan? Adakah berbeza dengan bulan yang lain?

Jawapannya ialah Allah bersifat Maha Pemurah lagi Maha Penyayang. Ini sering kita baca dalam al-Fatihah (ar-Rahmaanirrahim). 

Ambil contoh baju yang kita beli pada masa sales harganya lebih murah jika dibandingkan ketika kita beli pada masa bukan masa sales. Jadi dalam bulan Ramadhan Allah buka pintu pengampunan seluas-luasnya berbanding bulan-bulan yang lain. Jadi jangan sombong untuk mohon ampun dalam bulan Ramadhan.

Ada hadis kata : "Barang siapa yang masuk bulan Ramadhan tidak diampunkan oleh Allah akan bertambah jauh daripada pintu hidayah Allah".

Allah terlalu kasih kepada kita jadi jangan banyak berkira. Mohonlah ampun sepanjang masa.

Bagaimana pula konsep keampunan daripada manusia?

Jawapannya ialah; salah satu sifat ialah Allah al-Ghaffur, Allah al-Ghafir bersifat pengampun kepada kita. Jadi kita ni manusia, tak kan kita tak boleh nak maafkan orang lain. Hidup kita kena ada susur galur agama, jadi kita kena memaafkan orang. Jadi letak logik sebenarnya kita kena bertahalluk dengan sifat Allah. Kita kena ampunkan dosa orang lain.

“Barang siapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan pahala, maka dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (HR. Bukhari dan Muslim)

Maksudnya siapa yang berpuasa dengan penuh keyakinan kepada Allah maka dosanya terampun.

Malam ramadhan yang berkat ialah laialtul qadr. Malam kemuncak, bukan setakat al-Quran diturunkan tetapi kita tak tidur kerana beribadah, qiyam, rukuk, sujud dan bermunajat serta mohon keampunan. Kita tak boleh berputus asa kepada rahmat Allah. Putus asa hukumnya haram kerana berputus asa ialah cara hidup orang yang tak beriman.

Bulan ramadhan yang berkat Allah bagi ganjaran pahala yang berlipat ganda, bukan saja demikian amalan bersedekah membolehkan terhapus dosa kita.

Jadi lakukan amalan soleh dengan penuh keyakinan. Kita kena yakin bahawa Allah anugerah SALES pada Ramadhan, walaupun murah tetapi amat mahal bagi kita. Ramadhan adalah penghulu bulan dalam setahun.

Bila bercakap ramadhan dan keampunan; ingat bahawa dalam surah al-Qadr, bukan setakat turun al-Quran tetapi ingat bahawa malam itu lebih baik daripada 1000 bulan. Pahala berganda dalam setiap ibadat wajib, ibadat sunat dan hubungan dengan keluarga dan masyarakat.

Pahala pada malam itu cukup besar. Jika amalan kita diterima kita suci pada esoknya kerana benar-benar diampunkan. Subhanallah.

 

Jom tingkatkan amalan...

Sumber :


Ustaz Roslan Mohamed
TV al-Hijrah dalam Madrasah Ramadhan
Sabtu 4/8/2012
7.00 - 7.30 pagi


dan pelbagai

Friday, July 27, 2012

Bukan Doa Kamu Yang Makbul Sebenarnya


Assalamu'alaikum

Pernah dulu terbaca dalam sebuah buku, tapi tak ingat apa nama bukunya. Saya rasa ramai dah membacanya. Hari ini dapat emel fasal kisah di bawah ni.. jadi dikongsikan di sini.. jangan meremehkan doa dan bakhil untuk berdoa kepasa sesama saudara sama ada saudara melalui pertalian darah atau sesama muslimin




Bercakap fasal doa,

Saya teringat satu kisah yang sangat-sangat memberikan kesan dalam
kehidupan saya. Guru-guru saya di sekolah, semenjak sekolah rendah,
sangat menerapkan doa. Jadi, saya sudah dibiasakan dengan Solat Hajat,
Solat Dhuha, Qiamullail, waktu-waktu doa yang mustajab seperti ketika
hujan dan sebagainya agar saya rajin berdoa, dan agar doa saya makbul.
Jadi, bila Allah anugerahkan saya kejayaan, saya sentiasa rasa, itu
sebab saya doa dengan bersungguh-sungguh. Namun satu cerita mengubah
persepsi saya.

Cerita yang saya dengar itu begini:

Kisah berkenaan seorang abang dan seorang adik.

Kedua-duanya adalah anak yatim lagi miskin. Mereka tinggal di rumah
pusaka tinggalan ibu bapa mereka. Kedua ibu bapa mereka adalah hamba
ALLAH yang soleh. Kedua-dua anak dididik untuk bergantung harap dengan
Allah SWT.

Si abang, saban hari berdoa agar ALLAH mengubah nasib hidupnya. Dia
meminta kepada ALLAH agar dipertemukan dengan isteri yang cantik lagi
kaya. Dia meminta kepada ALLAH agar dirinya kaya raya.

Si Adik pula, seorang yang buta huruf. Tidak seperti abangnya, dia
membaca doa pun dengan melihat kertas. Sebelum bapanya mati, dia pernah
meminta bapanya menulis sesuatu di atas kertas, dan kertas itu sering
dipegangnya setiap kali berdoa.

Akhirnya, Allah mempertemukan seorang perempuan yang cantik lagi kaya
dengannya. Perempuan itu jatuh hati kepadanya, lantas berkahwin. Si
Abang seperti mendapat durian runtuh dan kehidupannya terus berubah. Dia
keluar dari rumah pusaka, dan meninggalkan adiknya.

Si Abang akhirnya kaya raya, malah terus kaya apabila dia memasuki medan
bisnes. Dia sudah mula alpa dengan ALLAH, melewat-lewatkan solah, jarang
membaca Al-Quran, tapi tidak pernah lalai untuk meminta kekayaan
daripada ALLAH. Kalau masuk dalam bab perniagaan, kekayaan dunia, maka
berbondong-bondong doanya kepada ALLAH. Dan ajaibnya, Allah beri apa
yang dia minta. Si abang rasa dia istimewa.

Si adik pula, hidupnya tidak berubah. Dia masih seorang sederhana,
dengan kelemahannya sebagai seorang buta huruf, dia hannya mendapat
kerjaya sederhana, terus menjaga rumah pusaka. Si adik, juga rajin
berdoa. Si abang tahu, si adik rajin berdoa. Tapi Si Abang melihat,
hidup adiknya tidak berubah-ubah. Lantas satu hari, ketika Si Abang
menziarahi adiknya, Si Abang berkata dengan sombong:

"Kau kena berdoa kuat lagi. Tengok aku, berdoa je ALLAH makbulkan. Kau
ni tak cukup hampir dengan Allah ni. Berdoa pun masih tengok-tengok
kertas. Tak cukup hebat."

Si Adik tersenyum sahaja. Suka abangnya menegur kerana padanya, teguran
abang amat bermakna.

Si Adik terus hidup sederhana, di dalam rumah pusaka, dengan doa melihat
kertas saban hari, dan kehidupannya tetap tidak berubah. Tidak menjadi
kaya seperti abang.

Satu hari, Si Adik meninggal dunia. Ketika Si Abang mengemas-kemas rumah
pusaka, dia berjumpa satu kertas. Kertas itu adalah kertas yang adiknya
sering pegang ketika berdoa.

Si Abang menangis teresak-esak apabila membaca kertas kecil itu.

Kertas itu tertulis: " Ya Allah, makbulkan lah segala doa abang aku"

MasyaALLAH...

Si Abang mula membandingkan dirinya dengan adiknya. Adiknya kekal taat
kepada ALLAH dan tidak meringan-ringankan urusannya dengan ALLAH SWT.
Adiknya, sedikit pun tidak meminta dunia kepada ALLAH, malah tidak
meminta apa-apa untuk dirinya. Tetapi adiknya meminta agar segala doa Si
Abang dimakbulkan. Si Abang, tidak pernah sedikit pun mendoakan Si Adik.

Si Abang mula nampak, rupanya, bukan doa dia yang makbul. Tetapi doa
adiknya telah diterima oleh ALLAH SWT, lantas segala doanya menjadi
makbul.

Cerita ini meruntun hati saya, dan buat saya sentiasa berfikir panjang.

Kadang-kadang kita, bila Allah realisasikan hajat kita, kita suka
mengimbau usaha-usaha kita.

"Aku buat beginilah yang jadi begini."

"Doa aku makbul seh!"

"Aku ni memang Allah sayang. Tengok, semua benda Allah bagi. Aku minta
je pun."

Tanpa sedar kita bongkak. Takabbur.

Sedangkan, kita tak tahu, mungkin yang makbul itu adalah doa ibu bapa
kita, doa adik beradik kita, doa sahabat-sahabat kita. Bukannya doa
kita.

Cerita itu sangat menyentuh hati saya.

Membuatkan setiap kali saya berdoa, saya tidak lupa mendoakan ibu bapa
saya, guru-guru saya, keluarga saya, adik beradik saya, sahabat-sahabat
karib saya, yang teramat akrab saya sebutkan namanya agar lebih merasai
bahawa saya memerlukan mereka mendoakan saya juga.Kita ini banyak dosa.
Banyak hijab.

Mungkin doa orang lain yang lebih bersih hatinya, lebih suci jiwanya
yang makbul, menyebabkan rahmat Allah tumpah pada diri kita. Sebab itu
jangan berlagak. Jangan tinggi diri. Jangan rasa doa kitalah yang
makbul. Pulangkan semuanya kepada Allah. Doa itu sebahagian daripada
usaha sahaja sebenarnya.

Dan jangan rasa segan nak minta orang lain doakan kita.

Semoga bermanfaat note ini.

Sebarkan jika anda rasa ada manfaatnya.

Semoga Allah redha dengan kita.

Sumber EMEL 

Tuesday, July 24, 2012

Bagaimanakah Memustajabkan Doa Ramadan?


Bagaimanakah memustajabkan doa Ramadan?



Doa! Semua insan inginkan agar doanya mustajab. Hidup tanpa doa adalah satu kemusnahan. Banyak perkara yang kita perlu mohon kepada Allah. Bukan sahaja nikmat atau cita-cita yang diidamkan pada masa hadapan, namun kita juga perlu memohon agar tidak dihilangkan nikmat dan cita yang telah dicapai. Insan sentiasa memerlukan Tuhan dalam hidupnya. Kehidupan ini jauh lebih besar dari kudrat seorang insan untuk dia mengawalnya. Betapa ramai para penguasa yang merasai diri mereka hebat, tetapi akhirnya tumbang dan tewas. Betapa canggih dan teguh kapal ‘Titanic’ yang bina, namun tenggelam selepas beberapa hari belayar. Siapakah yang menguasai alam?! Allah, Allah dan Allah. Awal dan akhir. Zahir dan batin.

                                                                Peranan Jiwa

Semakin dekat insan dengan Allah, semakin mustajab doanya. Kemustajaban doa sangat berkait dengan kekusyukan jiwa hamba yang berdoa. Semakin tertumpu perasaannya kepada kebesaran Allah, semakin pantas doanya dimustajabkan. Sebenarnya, bukannya susah untuk berdoa, tetapi yang susah ialah mencari jiwa yang khusyuk yang menyebabkan doa mustajab. Ramai orang tersalah sangka dalam hal ini. Mereka hanya tertumpu kepada waktu, ungkapan dan tempat berdoa tetapi melupai perkara asas iaitu kekhusyukan diri insan yang berdoa itu. Maka jangan hairan jika ada insan yang tidak dimustajabkan doanya sekalipun dia berada di Mekah, ataupun berada pada bulan Ramadan. Walaupun unsur tempat yang mustajab ataupun waktu mustajab telah dipenuhi, namun dia gagal memenuhi perkara yang asasi iaitu jiwa yang khusyuk yang benar-benar memohon dengan penuh erti seorang hamba. Tumpuan perasaan kepada Tuhan dengan penuh kerendahan diri dan harapan. Jika unsur itu dipenuhi, kemudian diikuti dengan tempat ataupun waktu yang mustajab maka doa menjadi amat mustajab.
  
Setelah kita memahami hal ini, maka kita cuba memahami bahawa Allah menjanjikan untuk memustajabkan doa mereka yang berpuasa. Ini kerana, puasa pada bulan Ramadan dapat membentuk jiwa yang khusyuk. Ramadan pula waktu yang Allah sayang disebabkan bulan pilihanNYA dan suasana hamba-hambaNYA taat kepadaNYA. Maka Allah setelah menyebut tentang kewajiban berpuasa pada bulan Ramadan, maka Allah ikuti dengan janjiNYA di mana DIA berfirman: (maksudnya): "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka mendapat petunjuk (Surah al-Baqarah: 186).

                                                            Kesucian Nurani
  
Setiap manusia yang hidup pada waktu ini akan memasuki Ramadan. Muslim dan juga bukan muslim. Mereka yang berpuasa dan juga mereka yang bermaksiat. Apakah setiap orang dimustajabkan doa mereka pada bulan Ramadan? Sudah pasti bukan demikian fahaman yang betul. Doa dimustajabkan apabila insan itu berpuasa. Puasa itu mendatangkan pahala. Puasa itu juga mendidik rohani agar tunduk kepada kehendak Allah. Puasa menyuburkan keikhlasan dalam jiwa. Lantas puasa membentuk kekhusyukan yang luar biasa. Dengan itu doa orang yang berpuasa dimustajabkan. 
    
Sesiapa yang berpuasa dalam ertikata yang sebenar akan dapat merasai perbezaan jiwanya. Lebih mendalam dia menghayati puasanya pada hati, lidah dan tingkah, maka bertambahlah kekhusyukan jiwanya. Bertambah pula sayang Allah kepadanya. Apabila dia berbuka puasa, dia telah menyempurnakan arahan Allah. Sayang Allah melimpah kepadanya. Maka Nabi s.a.w bersabda: Berdoa ketika berbuka. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w.:“Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu, doa yang tidak ditolak ketika dia berbuka”. (Riwayat Ibn Majah, al-Hakim dalam al-Mustadrak, al-Baihaqi dll. Sanadnya pada nilaian hasan dan ke atas. Ahmad Syakir dalam ‘Umdah al-Tafsir menilainya sahih). 
    
Al-Munawi menukilkan satu pendapat yang menyebut: “Dikhususkan untuk umat ini mengenai doa dalam firman Allah: (maksudnya) “Berdoalah kepadaKU nescaya AKU mustajabkan untuk kamu” (Al-Ghafir: 60). Itu asalnya untuk para nabi. Kemudian diberikan kepada umat ini apa yang diberikan kepada para nabi a.s. Namun, urusan umat ini bercampur baur disebabkan nafsu menguasai jantung hati mereka maka ia pun terhijablah. Maka, puasa itu mencegah nafsu. Apabila seseorang meninggalkan syahwatnya, maka bersihlah jantung hatinya serta bersinarlah cahaya maka dimustajabkan doa. Maka hadis ini dan yang seumpamanya hanya untuk sesiapa yang telah menunaikan hak puasa dengan sebenarnya. Dia memelihara lidah, jiwa dan perbuatannya”. (Al-Munawi, Faidh al-Qadir 2/634, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).
    
Justeru, Ramadan bulan diberkati. Puasa pula menjadikan kita bersih jiwa dan nurani. Gabungan keberkatan bulan dan kebersihan jiwa menjadikan doa kita mustajab. Jika sekadar bulan yang diberkati sedangkan jiwa kita tetap kotor, maka janji Allah ini mungkin tidak untuk kita.


Friday, July 20, 2012

Qadha Puasa Dan Fidyah

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamu'alaikum.

Esok kita mula berpuasa, saya yakin kita semua menaruh harapan agar dapat menyempurnakan segala amalan wajib dan sunnah dalam bulan penuh berkat ini. Pasti juga ada di kalangan kita yang masih kurang jelas atau terlupa tentang puasa ganti (terutamanya wanita seperti saya) dan juga kaedah membayar fidyah.

Di sini saya kongsikan artikel copy & paste daripada blog Ustaz Noramin.. semoga memberikan manfaat buat kita semua. Amiin.




Puasa atau dalam istilah arabnya saum secara bahasanya boleh diertikan sebagai menahan diri. Daripada segi istilah syara' bermaksud menahan diri daripada makan atau minum untuk suatu jangkamasa tertentu.


Puasa ertinya menahan diri daripada makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa, mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari. Umat Islam juga dikehendaki menahan diri daripada menipu, mengeluarkan kata-kata buruk atau sia-sia, serta bertengkar atau bergaduh. Ini kerana puasa merupakan medan latihan memupuk kesabaran, kejujuran serta bertolak ansur sesama sendiri. Secara tidak langsung amalan puasa akan menyuburkan sikap murni di dalam diri pelakunya. Adalah menjadi harapan kita agar kesemua nilai yang baik ini akan terus dipraktikkan ke bulan-bulan berikutnya. Firman Allah yang bermaksud :

“Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Orang Yang Dilarang Puasa

Wanita yang didatangi haid dan nifas. Diriwayatkan dari 'Aisyah ra. ia berkata :

“Disaat kami haidh di masa Rasulullah saw, kami dilarang puasa dan diperintahkan mengqadhanya, dan kami tidak diperintah mengqadha Shalat " ( H.R Bukhary Muslim)

Orang Yang Diberi Kelonggaran Tidak Berpuasa


  • Orang yang musafir yang tiada tenaga dalam musafirnya oleh berbuka dan wajib ia ganti puasa tersebut.
  • Orang yang uzur seperti orang tua yang tidak mempunyai kekuatan untuk berpuasa.
  • Ibu yang menyusu anaknya, kalau di dapati ibu tersebut lemah disebabkan anaknya menyusu dan lemah disebabkan puasa, maka ibu tersebut boleh berbuka puasanya.
  • Orang Islam yang pergi berperang dan berhadapan dengan musuh Islam, maka dibolehkan mereka berbuka untuk memberikan kekuatan kepada mereka melawan musuh Islam.
  • Orang yang sakit dan dinasihatkan oleh doktor perubatan bahawa beliau tidak perlu puasa dan jika ia puasa sakitnya lebih teruk lagi.
  • Wanita yang hamil dan dinasihatkan oleh doktor supaya tidak berpuasa, kerana dikuatiri dirinya menjadi lemah dan akan membahayakan kandungannya, maka wanita itu tidak wajib berpuasa.


Cara Menggantikan Puasa Ramadhan


Orang Islam yang diberikan kelonggaran untuk berbuka puasa Ramadhannya, wajib digantikan kembali puasanya jika ia berkuasa dan sakitnya sembuh selepas puasa nanti. Orang yang musafir yang berbuka puasanya disebabkan tiada kuasa dalam perjalanannya, maka ia diwajibkan ganti semula puasanya selepas bulan Ramadhan.

Tahun pertama orang yang meninggalkan puasanya atau berbuka puasanya, maka ia diwajibkan ganti semula kesemua puasa yang ditinggalkannya. Tetapi bagi orang yang memang tidak mampu untuk berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa, jika ia puasa akan mendatangkan kemudharatan kepadanya. Maka ia tidak diwajibkan menggantikan puasanya dan ia diwajibkan Fidyah kepada orang miskin.

Cara Mengeluarkan Fidyah

Maksud Fidyah ialah satu cupak makanan asasi tempatan yang disedekahkan kepada fakir miskin mewakilli satu hari yang tertinggal puasa Ramadhan padanya. Makanan asasi masyarakat Malaysia adalah beras, maka wajib menyedekahkan secupak beras kepada fakir miskin bagi mewakili sehari puasa. Ukuran secupak beras secara lebih kurang sebanyak 670gram. Contohnya sipulan telah meninggalkan puasanya sebanyak 5 hari, maka dia wajib membayar Fidyahnya sebanyak 5 cupak beras kepada fakir miskin. Firman Allah yang bermaksud :

“(Puasa Yang Diwajibkan itu ialah beberapa hari Yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu Yang sakit, atau Dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari Yang dibuka) itu pada hari-hari Yang lain; dan wajib atas orang-orang Yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar Fidyah Iaitu memberi makan orang miskin. maka sesiapa Yang Dengan sukarela memberikan (bayaran Fidyah) lebih dari Yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (Walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi Fidyah), kalau kamu mengetahui.” (Al-Baqarah : 184)

Fidyah dikenakan kepada orang yang tidak mampu berpuasa dan memang tidak boleh berpuasa lagi. Maka dengan itu Islam telah memberikan keringanan (rukshoh) kepada mereka yang tidak boleh berpuasa dengan cara membayar Fidyah iaitu memberikan secupak beras kepada orang fakir miskin. Begitu juga kepada orang yang meninggalkan puasa dan tidak menggantikan puasanya sehingga menjelang puasa Ramadhan kembali (setahun), maka dengan itu mereka dikehendaki berpuasa dan juga wajib memberikan secupak beras kepada fakir miskin. Begitu juga pada tahun seterusnya. Fidyah akan naik setiap tahun selagi mana orang tersebut tidak menggantikan puasanya. Untuk semakkan atau perkiraan boleh klik di sini.

Fidyah tidak boleh digantikan dengan zakat, kerana zakat dan Fidyah adalah dua perkara yang berbeza. Zakat fitrah lain dan Fidyah juga lain. Jika anda terlalu sibuk dan tidak ada masa untuk membayar Fidyah, maka anda boleh wakilkan kepada orang yang dipercayai untuk membayar fidyah anda kepada fakir miskin.




Sumber: ustaznoramin

Wednesday, July 18, 2012

Padamkan Virus Mazmumah Dalam Diri



Bismillahirrahmanirrahim.

Allah berfirman:


A185

(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa di antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadhan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadhan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. (Al-Baqarah 2:185) 


Beberapa hari lagi Ramadhan penuh berkat dan ganjaran pahala bakal tiba. Seperti biasa setiap kali menjelang bulan mulia ini, suri rumah paling sibuk bersiap dengan pelbagai menu yang sesuai dan menyelerakan bagi tujuan berbuka dan bersahur. Itu seakan-akan menjadi satu kelaziman. Apa kata kali ini kita sediakan ‘senarai semak’ tentang kelemahan kita  sepanjang Ramadhan tahun-tahun sebelum ini. Senarai semak ini bertujuan agar segala kecacatan amalan kita pada Ramadhan yang lalu dapat diperbaiki pada tahun ini. 

Selanjutnya mari kita bermuhasabah diri.


Apakah kita hanya berpuasa zahir semata-mata dengan meninggalkan soal makan minum sedangkan perangai lama seperti mengumpat, berhasad dengki dan sebagainya masih terlekat di hati.  Jika demikian, maka kita perlu imbas semula hati pada Ramadan tahun ini supaya virus mazmumah dapat dinyahkan dari dalam diri. Tidak guna berpuasa hanya dengan menahan lapar dan dahaga, tetapi tidak mampu menahan lidah daripada berkata yang keji, hati penuh berkarat kerana iri hati kepada insan lain dan tabiat menabur fitnah masih menebal. 



Kehadiran Ramadhan seolah-olah menjadi satu magnet yang menarik kita untuk turut serta menggiatkan aktiviti membaca al-Quran.  Apakah kita akan mengisi Ramadan dengan amalan bertadarus al-Quran. Jika ya, janganlah  amalan itu terhenti sebaik sahaja Ramadan berakhir. Usah hilang  semangat untuk memegang kitab al-Quran selepas berlalunya Ramadhan..



Apakah kita akan ubah tabiat malas untuk qiamullail. Jika sebelum ini kita tidak pernah atau hanya sesekali saja, maka tahun ini sewajarnya kita berazam mengubah tabiat malas bersolat malam dengan melakukan perubahan hati supaya rajin dan bersemangat menunaikannya. 

Mualla bin Fadhil ada memberitahu, orang soleh terdahulu membahagikan 12 bulan kepada dua bahagian. Enam bulan pertama mereka memohon kepada Allah supaya dapat bertemu Ramadhan dan melaksanakan ibadat dalam bulan demikian dengan aktif.

Pada enam bulan kedua, mereka memohon kepada Allah supaya puasa dan semua ibadat dilakukan sepanjang Ramadhan diterima Allah. 

Demikianlah kasih dan cinta orang soleh pada zaman dulu. Jadi, berusahalah menjinakkan hati kita, anak isteri supaya membiasakan amalan mendirikan solat malam sebagai menyahut seruan Allah yang menjanjikan pulangan pahala besar.

Seharusnya puasa pada bulan Ramadhan menjadikan kita seorang insan yang tidak bakhil sebaliknya sentiasa teruja untuk menghulurkan sedekah dan bantuan kepada orang lain.

Jadikanlah Ramadhan ini akademi yang mengasuh dan mendidik hati dengan sifat mahmudah serta amalan soleh sekali gus memadamkan virus mazmumah yang sentiasa bersarang dalam jiwa selama ini.

Selamat Menyambut Ramadhan al-Mubarak

Rujukan :

Anda Juga Mungkin Meminati

Related Posts with Thumbnails

Labels

'ittiba' Rasul (1) 75% Rawatan adalah daripada Al-Quran Al-Karim (1) abu zar (1) Adakah Suami Menanggung Dosa Isteri (1) Ajarkan Aku Ya Allah (1) akhir zaman (1) Al-A'la (1) Al-Hambra (1) Al-Haqqah (1) Al-Quran (13) Alam Akhirat (2) alam barzakh (3) alam ruh (1) Amanah (1) Anak Soleh (1) Anjing dan himar (1) arak (1) Asmaul husna (2) award (3) Ayat 'Izzi (1) Ayat Kursi (1) Baca dengan nama Tuhanmu (2) Bahaya Syirik (1) Barakah (1) Bencana (1) berhadapan dengan Firaun (1) Berita Luar Negara (1) Bersederhana dalam membenci (1) bersin (1) Beza Yahudi Israel n Zionis (1) Biawak Beriman (1) Bicara Agama (3) Buat amalan baik (1) Bukti Kekuasaan Allah (1) Buku (1) Bulan Terbelah Dua (1) Buta di akhirat (1) Cara Lupus Ayat-ayat al-Quran (2) ceramah (1) Cinta Rasul (1) Cukai Sendi (1) doa (7) Doa Nabi Yunus (1) Doa Rasulullah SAW (1) Dosa (1) Dunia (1) Empat Perkara (1) Empat Waktu Dalam Hidup (1) Fenomena 30 Minit Ustaz Don (11) Fenomena Law Kana Bainana (1) Fiqh keutamaan (1) Fudhail bin Iyyad (1) Gempa Bumi (1) Hadis (8) Haji (3) halaqah (2) Hanzalah Abu Amir (1) harun yahya (2) hasad dengki (1) Hati (13) Hauqalah (1) Hidayah (2) Hijrah (2) Hikam 2 (1) Hisab (1) Hormon (1) Hukum Meletakkan Gambar Bernyawa Di Rumah (1) hukum wanita haidh ziarah kubur (1) Husnul Khatimah (2) Ibnu Ummi Maktum (1) Ibrahim bin Adham (1) Iktikaf (1) iluvislam (2) Imam Mahadi (1) Imam Muda (1) Iman Asas Puasa (1) Info (6) Islam tetap bersinar (2) israk mikraj (2) istidraj (1) Istighfar (1) Jadilah Pembantu Allah (1) jadual harian (1) Jaga Aqidah (1) Jin (1) Kaedah Memilih Sahabat (1) Kalimah tauhid (1) Kanan VS KIri (1) Kata-kata Hikmah (1) Ke mana nak pergi? (1) Kebesaran Ilahi (3) Kecerdasan rohani (1) keistimewaan Jumaat (1) Kejadian Manusia (1) Kelebihan 10 Zulhijjah (1) Kerajaan Semut (1) kesihatan (1) Khazanah Nabi (1) Khusyuk Solat (2) Khutbah (3) Kisah 3 pemuda dalam gua (1) Kisah Amirul Mukminin dan Gabenor (1) Kisah dan Pengajaran (24) kisah keluarga Imran (1) Kisah Maryam as (1) kisah nabi (10) Kisah Nabi Musa as (2) kisah para sahabat Nabi (7) Kiyai Haji Ahmad Dahlan (1) lailatul Qadar (3) Laman Tarbawi (1) Lazat iman (1) Lebah dan lalat (1) Lelaki dan Wanita Ahli Neraka (1) luar negara (1) Maal Hijrah (1) malaikat (1) Malam Nisfu Sya'ban (1) Marah (2) Masjid Nabi (1) mati (3) Maulid Nabi (9) Membaca (1) Meninggalkan Solat (1) Muhasabah Diri (1) Muraqabah (1) Musibah Banjir (1) Muslim yang baik. akhlak (1) Nabi Ibrahim (1) Nabi Isa (1) Nabi Musa belah Laut Merah (1) Nabi Musa dengan Iblis (1) Nama (1) Nasihat Imam Syafi'ie (1) Nikmat Sihat dan Waktu Lapang (1) Nota Untuk Diri (1) Orang-Orang Yang Berilmu (1) Padang Mahsyar (1) Panduan (19) Perang Badar (1) Perayaan Deevapali (1) Perbezaan iblis jin dan syaitan (1) perhiasan (1) peringatan (3) Pertunangan (1) Qadar dan Qadha (1) qalbun salim (29) Qasar n jamak (1) Rahsia Solat (6) Ramadhan (13) Redha (1) Reflections di TV AlHijrah (1) renungan (52) Sabar (5) Sakinah (1) Saksi (1) Sejarah (1) sifat bakhil dan kikir (3) Sillaturrahim (1) Sillaturrahim. Akhlak bertandang dan bertamu (2) Solat Awal Waktu (1) sombong (2) Surah an-Nasr (1) Surah An-Nisaa' (1) Surah Ar-Rahman (1) Surah Hud (1) syaitan (2) syukur (1) Syukurlah kerana manusia dimuliakan (1) tadabbur (2) Tadayyun (1) Tafsir Al-'Alaq 96:1 (1) Tafsir Faatir 35:10 (1) Tafsir Surah as-Saff (1) Takut (1) Tanda Kiamat (1) Tanyalah Ustaz (2) tawakkal (2) tayammum (1) tazkirah (9) teknologi alam (1) telur jadi ayam (1) Tha'labah (1) Thabat (1) Tidur Qailulah (1) Tsumamah (1) Tsunami Jepun (1) tujuan beribadah (1) Ubun-ubun orang yang berdusta (1) Ulul albab (2) Umar Abdul Aziz (1) Umar Ibnul Khattab (1) Umur dan Harta (1) Us (1) usrah U-jem (2) Ustaz Azhar Idrus (1) Ustaz Sayang Anda (1) Wajah Dunia (1) Wali-wali Allah (1) wanita (1) Wanita penggoda (1) wasitoh (1) William Suhaib Webb (1) Ya'juj dan Ma'juj (1) Yang tidak layak jadi pemimpin (1) YouTube (32) zikir (6)