Salam kepada insan yang meletakkan cintanya hanya kepada pemilik cinta tersebut. Yang meletakkan cintanya pada yang paling hak untuk dicintai.
Ahh. Cinta. Cinta dan Cinta. Takkan pernah putus. Terutama daripada bualan sang teruna dan si dara. Takkan lepas daripada kalimat yang terbalut kemas dihadiahkan oleh seorang pencinta. Terbukti dengan perlakuan sang pencinta itu sendiri.
Ahh. Cinta. Cinta. Cinta. Maka kenapa kita perbahaskan tentang cinta. Makna yang tersangkut sangat dalam. Dengan cinta, cuka boleh menjadi madu yang manis. Dengan cinta langit menjadi laut dan busut menjadi gunung. Dengan cinta, kejelikan dan keburukan menjadi menawan. Dengan cinta segalanya indah. Segalanya mudah. Segalanya mampu. Segalanya pada setiap yang segala.
Maka kita membicarakan tentang cinta. Maka apakah cinta itu? Apa erti nya cinta itu. Seorang pernah berkata padaku, kalau ingin diberi makna maka setiap inci kamus kau akan jumpa maknanya. Setiap jarak pada jasadmu kau akan jumpa pengertiannya. Kita bicara tentang cinta. Seakan kitalah yang paling arif bagai kitalah yang menciptakan cinta itu.
Ahh. Apakah cinta yang menyesakkan nafas ini? Seorang sahabat ku melihat sekeping gambar yang ku cetak, petanda kepada tajuk diskusi hangat malam jumaat. Dan dikeluarkan kata kepadanya bahawa dia menjangka ku menulis pada kepingan itu madah cinta manusiawi yang pernah diungkap oleh seorang ulama hebat!!
Apakah cinta itu pada hubungan sang teruna dan dara. Lemas dalam dakapan dan ciuman serta kata mesra. Apakah cinta itu hanya pada manusiawi, kisah hangat dibicara dengan penuh kasih, indahnya konon disaluti bunyi-bunyi agama?
Kenapa jika kita terlihat kalimat cinta yang pertama pada fikir dan tersentuh pada akal adalah hubungan antara seorang lelaki dan seorang wanita. Baik pada pandangan kita ianya adalah hubungan terlarang penuh maksiat zahir dan batin.
Kalau mungkin lebih hebat lagi, cinta itu disalurkan pada hubungan yang kononnya Islami. Kononnya terjaga dari sebarang zina mahupun zina hati.
Maka apa itu cinta. Kerna ku tidak tahu maknanya.
Aku tidak mampu menjelaskan apa itu cinta tetapi akan ku jelaskan sifatnya. Kerna cinta itu sebagaimana iman. Tersembunyi dalam hati tetapi buktinya pada setiap gerak laku dan kata.Pada setiap langkah yang ditapak dan nafas yang dihembus.
Maka pada sifatnya cinta itu akan wujudnya pengorbanan. Pengorbanan yang tiada tara. Pengorbanan yang sanggup menghadiahkan nyawa dan segalanya yang tersedia. Semata-mata untuk siapa dan apa yang dicinta. Kerna cinta itu sifatnya pengorbanan, maka Juliet dan Romeo terkorban, Majnun mejadi gila kerana Laila. Dan kerana cinta seorang ibu bekerja tanpa henti untuk membesarkan anaknya. Seorang ayah sanggup bertungkus lemus memberi kehidupan selesa pada keluarganya..
Dan kerana cinta, Hassan Al Banna terkorban kerana ditembak. Mustafa Masyhur dipenjara. Syed Qutb syahid di tiang gantung.
Dan kerana cinta Rasul diutuskan dan diwahyukan serta diwafatkan.
Ada beza cinta Majnun dan Laila serta cinta Hassan Al Banna..
Pada cinta itu juga wujudnya nikmat. Kenikmatan yang agung.
Pada cinta itu seorang gadis menyerahkan segalanya. Seorang teruna mampu meredah segala halangan dan rintangan hanya untuk si gadis. Kerana nikmat, segalanya sanggup disedia. Kerana cinta itu nikmat sifatnya.
Dan kerana nikmat juga Yusuf A.S memilih kehidupan penjara kerana dilihatnya nikmat sebenar. Kerana nikmat juga Syed Qutb dan umurnya adalah penjara. Kerana nikmat jugalah Muhammad S.A.W tak pernah berhenti berjuang,
Maka ada beza cinta sang jejaka dan Syed Qutb.
Aku jujurnya ingin menulis lebih lagi, tetapi sifat cinta bagai namanya sendiri. Satu kata yang mampu memberi sejuta makna dan sejuta sifat.
Maka akan kujelaskan bezanya cinta yang kau pegang dan cinta yang ku pegang. Kerna ku bingung, bagaimana terpandang sahaja kalimat cinta maka kau membayangkan manusia?
Pada cinta Majnun dan Laila. Cinta Romeo dan Juliet, cinta teruna dan dara wujudnya sebuah kasih. Tetapi pada dasar apa kononnya cinta yang dikatakan agung itu? Aku juga pelik saudara seperjuangan ku sendiri, berbincang dan menulis hangat tentang cinta manusiawi. Mungkin lebih kepada yang sah dalam mimpi membina sebuah peradaban keluarga. Atau mungkin cuma kepada cinta manusiawi biasa yang masih terbatas. Cuma pada lintasan hati.
Dan aku tidak pernah terdengar dikatakan tentang cinta teragung yang pernah dunia dan isinya menyaksikan. Cinta yang dahsyat dipamerkan sebagai bukit kecintaan hakiki.
Apa beza cinta itu?
Maka bagiku cinta itu bezanya adalah pada dasarnya. Pada apa yang kita pegangi. Cinta Romeo dan Juliet dipegang pada dasar manusiawi. Maka matinya Romeo, matilah Juliet. Cinta Majnun dan Laila diletakkan pada dasarnya manusiawi. Ditolaknya Laila cinta si Majnun, gilalah Majnun.
Dan mari lihat pula pada beza yang lain. Kerna dasarnya adalah Tuhan.P ada Dia pemilik dan pencipta Cinta. Pada Dia yang menganugerahkan setiap rasa dan nafsu pada tubuh. Maka Hassan Al Banna bersedia menerima segala cabaran. Maka Syed Qutb berdiri berani di depan tali gantung sebagai realisasi cintanya.
Dan teragung adalah cintanya Muhammad kepada Tuhannya.
Pada dasar cinta itu sendiri yang menghasilkan sifat dan tindakan cinta. Pada dasar cinta manusiawi yang diisi penuh dengan nafsu terhasilnya maksiat dan dosa yang terlekat terus pada hati.
Dan kerna cinta itu pada dasarnya adalah Allah, tindakannya dan sifat cinta itu sifat yang agung. Yang hebat tak terjangkau oleh zaman. Segalanya megah dan tinggi walaupun susah dan payah mengharung jalan justru kerna dia tahu Pemilik yang dicinta nya ada menanti nya. Dia ingin mempersembahkan hadiah yang terbaik kepada Kekasihnya. Bahkan nyawa, jasad, hartanya, kekuatannya dan segala apa pada dirinya dia ingin memberikan pada Kekasihnya. Kekasihnya yang hakiki. Kekasihnya yang abadi. Pada hari yang pasti.
P/s: Wahai Tuhan pemilik hati ini. Wahai Kekasih yang kucintai. Luhur dan bersihkan hati ini untuk mencinta Mu semata-mata.
P/s/s : Ketika kecil ibuku bertanya cinta pertama sekali untuk siapa ? maka ku jawab “Untuk Allah dan Nabi”. Lalu ditanya “yang kedua?” dan lantas ku jawab untuk mama dan abah.
Ahh. Aku yang kecil. Dan kembali ku nilai kehidupan yang ku jalani, adakah semuanya ku lakukan bagai apa ku katakan? Adakah selama ini benar ku letakkan cinta yang agung pada Tuhan ku dan Nabi ku?
Aku tidak menentang kecintaan mu pada manusia kerna aku juga ada cinta itu pada hati ku.Tetapi aku mahu kamu meletakkan cinta mu pada tempat yang benar dan hak. Aku ada dasar cintaku. Kamu??
No comments:
Post a Comment