Allah adalah zat yang maha sempurna, baik daripada segi Nama, Sifat mahupun perbuatanNya. Tidak ada satupun aib atau cela yang terdapat pada Allah.
Allah telah menciptakan langit dan bumi serta isinya, semuanya mempunyai hikmah dan Allah tidak pernah mencipta sesuatu dengan sia-sia.
Allah swt berfirman:
“Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab Neraka. (Sad [38] : 27)
"Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (daripada tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Al-Mu'minun [23]: Ayat 115-116)
Kita hendaklah selalu berbaik sangka terhadap segala sesuatu yang telah Allah swt tetapkan agar kita termasuk orang-orang yang beruntung.
Ketika seseorang mendapat kebaikan ataupun musibah tentu mempunyai hikmah bersamanya. Tidakkah kita belajar daripada Hikmah di Sebalik Musibah yakni daripada kisah Nabi Musa as berguru dengan Nabi Khidir as.
Apakah maksud berbaik sangka dengan Allah?
Maksudnya ialah rasa takut dan harap kepada Allah saling berganding ATAUPUN rasa takut mengatasi rasa harap.
Allah tidak akan menimpakan suatu musibah kepada para hambaNya yang mukmin kecuali dengan tujuan:
- Mengangkat darjat orang yang tertimpa musibah, kerena sabar menghadapi musibah yang telah Allah tetapkan.
- Menguji dirinya, seumpama emas diuji ketulinannya.
- Sebagai penghapus dosa.
Imam Muslim meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda maksudnya; "Janganlah kamu mati MELAINKAN dalam keadaan kamu berbaik sangka dengan Allah".
Seorang hamba yang berbaik sangka dengan Allah:
- Apabila melakukan sebarang ibadah, dia bersangka baik bahawa Allah akan menerima ibadahnya dan membalas dengan sebaik-baik ganjaran.
- Apabila dia berdoa dia tahu bahawa Allah akan memakbulkan doanya.
- Apabila dia berdosa, dia segera memohon ampun dan bertaubat dan dia yakin bahawa Allah akan mengampuninya dan menerima taubatnya.
- Apablia dia ditimpa musibah, dia yakin bahawa di sebalik musibah itu ada hikmahnya.
- Dia memandang daripada sudut positif dan mengabaikan sudut negatif.
- Tidak menyebarkan keburukan atau aib saudara muslim yang lain.
- Saling menasihati jika ada keburukan yang terserlah pada sahabatnya sesama muslim.
- Saling mendoakan kesejahteraan.
- Mudah memaafkan kesalahan orang.
No comments:
Post a Comment