Surah Luqman yakni surah ke 31 dalam al-Quranul Karim memaparkan satu kisah tentang Luqman yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan rahsia mengenal Allah SWT, mencegah syirik, serta mendorong supaya manusia berakhlak mulia.
"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Luqman [31] : 12)
Dalam surah ini ada beberapa ayat berturut-turut secara khusus memperkatakan kisah Luqman, yang merupakan isi pengajaran Luqman kepada anaknya. Daripada ayat-ayat tersebut dapat dikelaskan kepada tiga asas utama iaitu Asas Aqidah, Asas Ibadah dan Asas Akhlak.
PERTAMA: Asas Aqidah:
Persoalan aqidah merupakan isu terpenting dalam kehidupan Muslim . Ini disebabkan aqidah menurut Islam adalah asas bagi binaan Islam pada keseluruhannya. Daripada aspek yang lain ia juga dapat disifatkan sebagai benteng yang paling teguh bagi menjaga dan mengawasi segala bentuk penyelewengan.
Penyelewengan berlaku sama ada daripada segi pemikiran, percakapan lebih-lebih lagi tingkah laku yang semuanya berpunca daripada tidak memahami asas aqidah Islam secara mendalam, sedangkan kefahaman tentang aqidah itu merupakan satu tuntutan untuk melahirkan keyakinan dan penghayatan Islam secara menyeluruh.
Asas aqidah yang ditekankan di sini adalah PERTAMA ialah mentauhidkan Allah SWT:
Firman Allah yang bermaksud : "Wahai anak kesayanganku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah (dengan satu yang lain), sesungguhnya perbuatan syirik itu adalah satu kezaliman yang besar." ( ayat 13)
Ayat ini jelas menunjukkan bahawa Luqman mulakan dengan memberi nasihat kepada anaknya tidak menyekutukan Allah atau syirik. Antara punca kerosakan aqidah adalah syirik. Ini harus dipelihara supaya aqidah sentiasa berada dalam keadaan tetap dan tidak goyah. Syirik adalah dosa yang paling besar terhadap Allah SWT. Luqman juga memulakan nasihanya dengan menggunakan perkataan yang lemah lembut yakni "wahai anak kesayanganku!"
KEDUA: Asas Ibadah:
Konsep ibadah dalam Islam bukan hanya terbatas kepada soal-soal melakukan ibadah solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya. Ibadah mempunyai erti yang sangat luas dan mendalam. Ibdah merupakan pengabdian sepenuhnya dan berfungsi menjalinkan hubungan yang berterusan antara hamba dengan Allah. Ibadah juga berterusan sepanjang masa yakni selama 24 jam masa yang Allah berikan digunakan sebagai beribadah.
Solat merupakan wasilah hubungan manusia dengan Allah SWT. Manusia berhubung dengan Allah tanpa perantaraan, manusia berinteraksi secara langsung dengan Allah. Solat merupakan tiang agama yang menghidupkan dan menyuburkan iman, kerana dengan bersolat seorang akan mengingati Allah melalui segala bacaan yang dibaca sepanjang solat.
Allah berfirman yang maksudnya: " ...sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan. (Al-'Ankabut ayat 45)
KETIGA: Asas Akhlak:
Makna Islam ialah sejahtera, aman, damai, tenang yakni sentiasa dalam keadaan sentosa kerana Islam mementingkan ihsan atau akhlak. Akhlak bermaksud berbudi pekerti mulia, berbuat sesuatu seolah-olah Allah melihatnya dalam setiap amal ibadahnya baik daripada segi meningkatkan taraf hidup di dunia mahupun mencari ridha Allah.
Perkara-perakara ditekankan oleh Allah dalam surah Luqman ini ialah:
Berbakti kepada kedua ibu bapa:
"Dan Kami wajibkan berbuat kebaikan kepada kedua ibu bapanya, ibunya mengandung dengan menanggung kelemahan demi kelemahan dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun, bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu, (ingatlah) kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan) "( ayat 14)
Sabar:
"Dan bersabarlah atas segala bala bencana yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah perkara-perkara yang sangat-sangat di ambil berat untuk melakukannya." (ayat 17)
Tidak takbur dan sombong:
"Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri. (ayat 18)
Takbur dan sombong ini bermaksud merasakan dirinya lebih baik, lebih mulia dan lebih berkemampuan daripada orang lain sebagiamana Iblis merasakan dirinya lebih mulia daripada Nabi Adam as kerana dia dicipta daripada api manakala Nabi adam as dicipta daripada tanah, namun Allah menyangkalnya. Oleh sebab kesombongan Iblis ini, dia dikeluarkan daripada syurga dan dilaknat oleh Allah SWT.
Bersederhana:
PERTAMA : Sederhana sewaktu berjalan. Allah berfirman yang bermaksud : "Dan sederhanakanlah langkahmu sewaktu berjalan." ( ayat 19).
KEDUA : Sederhana waktu bercakap. Allah berfirman yang bermaksud : "Lunakkanlah suaramu, sesungguhnya seburuk-buruk suara itu suara keldai." ( ayat 19).
(Maksud) Ayat-ayat yang dinukilkan di atas sewajarnya dijadikan rujukan bagi semua ummat Islam dalam mendidik anak-anaknya.
Pendidikan anak-anak melalui surah Luqman boleh juga dibaca di sini
No comments:
Post a Comment