Pernah berlaku pada zaman Rasulullah SAW, seorang pemuda bernama Alqamah tidak dapat mengucap dua kalimah syahadah kerana ibunya, perlu menjadi bahan renungan kepada kita.
Alqamah adalah seorang pemuda yang baik dan taat, rajin mendirikan solat, banyak berpuasa dan bersedekah. Tetapi, Alqamah dikatakan lebih mengutamakan isterinya berbanding ibunya lalu ibunya makan hati berulam jantung dan tersinggung dengan perbuatan anaknya. Akibatnya, Alqamah tidak mampu mengucapkan dua kalimah syahadah pada penghujung hayatnya.
Akhirnya Rasulullah SAW bertindak untuk membakar Alqamah hidup-hidup di hadapan ibunya jika ibunya tidak memaafkannya. Akhirnya tindakan Rasulullah SAW itu menyebabkan ibunya segera memaafkannya dan Alqamah dengan mudah mengucapkan dua kalimah syahadah.
Selepas dimandi, dikafan, disolat dan dikebumikan, Rasulullah SAW berdiri di tepi kuburnya lalu bersabda bermaksud: “Wahai kaum Muhajirin dan Ansar! Sesiapa yang lebih mengutamakan isterinya daripada ibunya, nescaya akan ditimpa kepadanya laknat Allah dan juga tidak akan diterima daripadanya taubat dan tebusannya.” (Hadis riwayat Abu al-Laith)
Kisah Alqamah dengan ibunya mengajar kita betapa seorang ibu sanggup berkorban apa saja dalam dunia demi keselamatan dan kesejahteraan anaknya. Oleh sebab itulah, Islam mewajibkan anak menunaikan segala hak ibu dan melayani ibunya dengan sebaik mungkin.
Dalam pada itu, Islam mengharamkan anak daripada melakukan sesuatu yang boleh menyakiti dan menyinggung perasaan ibu. Pendek kata, ibulah insan paling berhak mendapat layanan terbaik daripada anak selaras pengorbanan yang telah dilakukannya.
Bukankah Rasulullah SAW pernah ditanya seorang lelaki seperti hadis bermaksud: “Ya Rasulullah! Siapakah yang lebih berhak saya berbuat baik? Jawab Rasulullah SAW: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Kemudian siapa lagi? Ujar Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya sekali lagi: Kemudian siapa lagi? Jawab Baginda: Ibumu. Lelaki itu bertanya lagi: Siapa lagi? Baginda menjawab: Bapamu.”
Hadis Rasulullah SAW ini mengangkat kedudukan istimewa ibu sehingga berbakti kepada ibu mengatasi berbakti kepada orang lain, walau kepada bapa sekalipun. Malah, Rasulullah SAW menyebut berbakti kepada ibu sebanyak tiga kali berturut-turut dalam hadis itu, barulah Baginda menyebut berbakti kepada bapa, sekali gus menunjukkan betapa besarnya jasa dan pengorbanan ibu terhadap anak.
Walau bagaimanapun, kita tidak seharusnya melupakan peranan bapa bagi menjamin keselesaan dan kebahagiaan hidup sesebuah keluarga. Justeru, kita seharusnya menghormati dan menyayangi ibu kita tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap bapa.
Begitu juga sebaliknya, kita memberikan penghormatan dan kasih sayang kepada bapa tanpa mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap ibu. Ibu bapa berperanan besar dalam membentuk kehidupan, kelangsungan dan kebahagiaan anak mereka.
3 comments:
Teruskan usaha anda...
Salam Mohd Razzid
terima kasih
kisah teladan yang terbaik utk anak- anak semua...:D
Post a Comment