Daripada Aisyah rha katanya, Rasulullah SAW bersabda: “Siapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan tersiksa” Aisyah
bertanya: “Bukankah Allah 'Azza Wajalla telah berfirman , “Maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah
dan ringan, (Al-Insyiqaaq
84:8)” Jawab baginda: “Itu belum
pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.Orang yang
diperiksa dengan teliti nescaya tersiksa.” (Riwayat Muslim)
Huraian
Seperti yang dapat dilihat, peristiwa-peristiwa yang akan berlaku selepas
kematian telah dijelaskan di dalam al-Quran seolah-olah ia telah pun berlaku dan telah berlalu .
Contohnya berkumpulnya umat Islam daripada pelbagai bangsa dan bahasa, yang
berlainan rupa dan kulit di suatu tempat (Makkah) adalah menjadi gambaran
berkumpulnya manusia di Padang Mahsyar di akhirat kelak untuk menerima hisab
bagi setiap amalan yang dilakukan di dunia.
Hisab di akhirat adalah mudah dan
ringan sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan beriman dan bertaqwa kepada
Allah dan akan menjadi sukar dan payah bagi orang-orang yang banyak melakukan
dosa dan kemungkaran apatah lagi jika mereka yang mati dalam keadaan kufur
kepada Allah SWT.
Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan
hari menemui Allah untuk menerima balasan selepas dihisab. Oleh yang demikian,
sebelum kita dihisab di akhirat kelak hisabkanlah diri kita terlebih dahulu dan
mohonlah keampunan daripada Allah SWT.
“Dan tidaklah engkau (wahai Muhammad) dalam
menjalankan sesuatu urusan, dan tidaklah engkau dalam membaca sesuatu surah
atau sesuatu ayat daripada Al-Quran dan tidaklah kamu (wahai umat manusia) dalam mengerjakan
sesuatu amal usaha, melainkan adalah Kami menjadi saksi terhadap kamu, ketika
kamu mengerjakannya. Dan tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu
sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di
langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar,
melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.” (Yunus
10:61)
Justeru Umat Islam diseru supaya tidak memandang ringan akan dosa-dosa kecil dan seboleh-bolehnya elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang dianggap ringan tetapi memberi kesan yang amat besar pada hari kiamat kelak.
Daripada Anas ra; katanya : “Sesungguhnya kamu mengerjakan sesuatu yang pada pandangan kamu bahawa perbuatan itu lebih halus daripada rambut, pada hal kami pada zaman Rasulullah SAW mengira bahawa perbuatan itu adalah antara perkara yang boleh mencelakakan (dosa besar).” (Riwayat Bukhari).
Memandang ringan terhadap dosa kecil menunjukkan orang itu tidak ada rasa takut kepada Allah SWT, lebih-lebih lagi melakukan dosa-dosa besar.
Orang yang paling mengenal Allah SWT selepas para rasul dan para nabi ialah para sahabat Rasulullah SAW kerana luas pengetahuan mereka dan tidak pernah menganggap remeh sesuatu perkara.
Mudah-mudahan kita termasuk golongan yang tidak menganggap remeh terhadap sesuatu perkara.
No comments:
Post a Comment