Individu yang mempunyai tompok hitam ini
secara luar biasa boleh mengaku melakukan perbuatan jenayah tanpa rasa
bersalah. Foto: MailOnline
|
17 Februari 2013
BERLIN - Hasil kajian ahli neurologi Jerman
berjaya menemui bahagian otak yang membuat manusia menjadi jahat.
Dr Gerhard Roth berkata, bahagian itu terletak di depan bawah otak manusia yang
kelihatan seperti tompok hitam melalui pemeriksaan X-ray.
“Tompok hitam itu ditemui pada hampir setiap pelaku jenayah,” katanya.
Beliau menemuinya ketika membuat kajian tentang pelaku jenayah di Jerman yang
dipenjarakan untuk tempoh lama.
Penyelidikan tersebut menunjukkan perilaku jahat juga boleh diwarisi daripada
genetik.
"Jika terdapat ahli keluarga mempunyai penyakit di bahagian hadapan
otaknya, sebanyak 66 peratus generasi berikutnya berpotensi mengalami simptom
sama," jelasnya
#SUMBER : BAHAGIAN JAHAT DALAM OTAK MANUSIA
Ubun-ubun lembik, UBUN-UBUN MENIPU
Oleh:Norimanah Seman
“Jangan sekali-kali berlaku derhaka,
Demi sesungguhnya jika ia tidak berhenti daripada perbuatannya
yang buruk itu, nescaya kami akan menyentap ubun-ubunnya dan menyeretnya ke
dalam neraka. Ubun-ubun orang yang berdusta, yang bersalah,"
(surahAl-Alaq:15-16).
Mulanya ayat al-Quran itu dibaca dan dengan
jelas disebut ubun-ubun dusta yang derhaka. Kenapa ubun-ubun yang dusta dan
derhaka, sedangkan ia tidak mampu berbicara. Kalau mulut yang dikatakan dusta
ada logiknya.
Kemudian terlintas pula di fikiran setiap
sesuatu yang Allah nyatakan di dalam al-Quran mesti ada maksud di sebaliknya.
Hati semakin meronta-ronta hendak tahu kenapa ubun-ubun yang dikatakan dusta.
Bagaimana pula dengan kajian sains moden, mampukah membuktikan ubun-ubun
berdusta?
Kemudian ingatan membawa pada petua yang
diamalkan oleh orang Melayu tentang ubun-ubun. Setiap kali bayi yang baru lahir
akan dihembus ubun-ubunnya sambil berdoa yang baik-baik. Ubun-ubun yang masih
lembik itu akan berdenyut seperti jantung. Kemudian kita juga diajarkan, semasa
anak-anak tidur tiup ubun-ubunnya berserta doa dan selawat. Apa saja yang
berkaitan dengan anak, nakal, tidak mahu belajar, tidak mendengar kata atau
apa saja hanya disuruh hembus ubun-ubunnya dengan bacaan tertentu.
APA RAHSIA UBUN-UBUN SEBENARNYA?
Menurut Dekan Fakulti Pengajian al-Quran
dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Adnan Mohamed Yusoff, di dalam
al-Quran ubun-ubun disebut nashiyah. Para ulama dahulu mentafsirkan ayat di
atas iaitu ubun -ubun yang berdusta adalah orang yang menipu.
Katanya ayat itu ditafsirkan secara
perbandingan. Dalam budaya dan penggunaan bahasa Arab, merujuk kepada anggota
badan untuk dikiaskan dengan sifat seseorang adalah sesuatu yang lumrah. Contohnya,
apabila hendak mengatakan seorang itu penipu dan pendusta mereka sifatkan
pada anggota badan. Sama seperti di dalam bahasa Melayu yang disebut kiasan
iaitu kaki bangku, panjang tangan dan telinga nipis.
"Dengan perkembangan sains yang
semakin pantas, ulama mula mengkaji maksud ubun-ubun dengan lebih terperinci. Kajian
yang dilakukan oleh Sheikh Zahlun Najar dan Abdul Majeed Alzendanee, menemukan
fakta tentang ubun-ubun yang boleh dikaitkan dengan al-Quran. Asalnya kajian
itu dilakukan oleh sarjana barat.
"Di dalam otak kita ada satu bahagian
yang berfungsi untuk mengawal diri, membentuk tingkah laku dan peribadi
seseorang. Pusat kawalan itu adalah ubun-ubun yang letaknya di belakang dahi
atau dipanggil frontal lobe.
"Di bahagian itulah pusat kawalan
segala arahan dikeluarkan, mengawal tingkah laku, berbohong, berbuat salah,
kejujuran dan membuat keputusan. Anggota badan hanya menjadi tentera yang
menjalankan arahan saja," jelasnya.
Dr. Adnan menambah lagi, hasil kajian yang
menggunakan teknologi canggih telah berjaya mengesan unsur pembohongan. Daripada imbasan yang dilakukan, bahagian ubun-ubun menghasilkan tenaga yang banyak.
Di katakan semasa berbohong, imbasan
menunjukkan 14 kawasan otak akan menjadi aktif berbanding hanya tujuh kawasan
saja jika bercakap benar. Menurut Daniel Langleben, seorang ahli psikiatri dan
pakar saintis neuro dari Universiti Pennsylvania, ada tiga bahagian otak yang
bergerak lebih aktif semasa berbohong iaitu anterior cingulate cortex,
dorsal lateral prefrontal cortex dan parietal cortex. Dari pada pemerhatiannya, semasa menipu, aliran darah ke bahagian itu bertambah. Ini
bermakna otak sedang bekerja kuat untuk berdusta.
Di sini dapat dilihat seolah-olah ada satu
pusat komputer yang duduk di ubun-ubun yang telah disetkan dalam mode sentiasa
berada pada kedudukan benar sepanjang masa. Bila kita bercakap benar, tidak
ada sebarang perubahan tenaga yang dapat dikesan pada ubun-ubun. Sebaliknya
bila bercakap bohong ada tenaga yang dikeluarkan dan ia boleh dikesan.
Penerangan yang boleh dibuat dari perubahan
tenaga itu ialah begini, semasa menipu aliran darah akan bertambah di bahagian
ubun-ubun dan banyak tenaga yang digunakan untuk mencari alasan apa hendak
diberikan. Atas alasan itu mereka memutuskan, menipu bukanlah satu perkara yang
datang tiba-tiba. Otak harus berfikir benar atau tidak kemudian barulah
keputusan dibuat untuk menipu.
Misalnya apabila kita hendak menipu
katakanlah, "langit itu hijau". Otak kita akan berfikir dahulu bahawa
warna langit adalah biru tetapi kita hendak menafikannya. Otak akan bekerja
keras untuk menafikannya sebelum mengeluarkan kata-kata bahawa langit adalah
hijau.
Bagi Dr. Adnan, apa yang dinyatakan di
dalam al-Quran memang ada hubungannya dengan penemuan saintifik. Sebagaimana
yang Allah sebut ubun-ubun yang berdusta. Hasil penemuan mendapati, bahagian
frontal lobe itulah yang paling banyak mengeluarkan tenaga apabila keputusan
untuk menipu dibuat.
"Jika sebelum ini ulama mentafsirkan
ayat itu secara perbandingan. Secara hakikinya dari sudut saintifik, ayat itu
boleh didalami lagi maksudnya. Ubun ubun itulah yang berdusta, berbohong,
tidak patuh, tidak taat pada perintah Allah kerana ia membuat keputusan,"
katanya.
AMALAN RASULULLAH SAW
Tambah Dr. Adnan, yang menarik
tentang nashiyah banyak disebut di dalam hadis. Malah Nabi amat mengambil
berat tentangnya. Contohnya di dalam soal wuduk, Rasulullah menyapu kepala.
Ada riwayat yang mengatakan maksud, menyapu kepala itu adalah sebahagian
kepala dan ada juga yang kata keseluruhannya.
"Dan tafsiran tentang bahagian kepala
yang mana, para fuqaha mengatakan ia melibatkan sebahagian dari pada kepala tetapi
tidak kira di mana-mana. Namun apabila kita teliti, balik hadis yang
mengatakan sebahagian adalah di bahagian hadapan saja iaitu di ubun-ubun.
Pendapat itu dikeluarkan berdasarkan beberapa riwayat yang mengatakan,
Rasulullah SAW apabila menyapu kepalanya, dari ubun-ubun bawa ke belakang dan dari
belakang membawa ke ubun-ubun.
Sambungnya lagi, ada juga amalan yang
diajar oleh Rasulullah SAW ketika berdoa setiap kali hendak tidur yang bermaksud “Aku
memohon perlindungan Allah daripada kejahatan semua makhluk yang Engkau pegang
ubun-ubunnya."
Sebuah lagi hadis meriwayatkan tentang
amalan yang Rasulullah lakukan ketika mendoakan orang lain mahupun untuk
merawat. Seorang sahabat yang miskin datang mengadu dan minta Rasulullah berdoa
untuknya supaya dia disenangi oleh orang lain dan dilayan dengan baik serta
mendapat kelapangan. Lelaki itu menceritakan balik, lalu Rasulullah SAW sapu ubun-ubun
saya dan berdoa kepada saya tiga kali.
Dalam satu peristiwa lain ketika Sa'ad bin
Abi Waqas sakit, Rasulullah datang melawatnya. Kemudian meletakkan tangannya
di atas dahi (nashiyah) lalu disapu ke muka, dada dan perut Saad. Rasulullah SAW berdoa kepada Allah, "wahai Allah, sembuhkanlah Saad dan sempurnakan amalan
kebajikan yang dilakukan.
"Daripada hadis-hadis yang diriwayatkan,
boleh dirumuskan bahawa ketika berdoa Rasulullah akan memegang ubun-ubun orang
yang didoakan. Apabila hendak merawat orang sakit, tangannya, akan diletakan di
dahi atau nashiyah juga.
"Itulah tandanya Rasulullah amat
mengambil berat dan memberikan penjagaan yang baik dari segi fizikal serta
rohani kepada nashiyah. Teknik yang diamalkan Rasulullah iaitu membelai rambut
dan kepala, perlu dipraktikkan di dalam pendidikan secara sistematik. Di situ
adalah pusat yang merangsang iman dan pemikiran anak-anak, sepatutnya kaedah
itu digunakan secara tersusun dan serius.
"Bila bersama-sama anak-anak kita usap
kepalanya dan berdoa sebagaimana yang Rasulullah amalkan. Ambil masa sedikit
sebelum tidur atau semasa tidur jadikan amalan yang teratur. Amalan itu perlu
diperluaskan di dalam masyarakat kita kerana ia ada kesan daripada segi rohani dan
spiritual. Di bahagian itu adalah pusat yang harus diberi perhatian dan tumpuan
khusus oleh ibu bapa, guru, pendidik, pendakwah untuk mentarbiahkan
pelajar," ulasnya.
Al Islam Mac 2010 (m/s 56-57)
#SUMBER : UBUN UBUN MENIPU
No comments:
Post a Comment