Bismillahirrahmanirrahim.
Artikel ini diedit daripada utusan; bagaimana mengatasi masalah suami yang panas baran.Jawapan:
Pasti setiap insan yang dilahirkan di bumi ini ada suratan ujian masing-masing yang tidak dapat dielakkan seperti firman Allah dalam surah al-Mulk, ayat 2:
Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup - untuk menguji dan menzahirkan siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya; dan Dia Maha Berkuasa, lagi Maha Pengampun. (al-Mulk [67] :02)
Walau bagaimanapun, Allah SWT telah memaklumkan kepada kita mengenai hal ini seperti firman-Nya dalam surah al-Baqarah, ayat 155:
Bahawasanya, Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut serta kelaparan, dan menghadapi masalah kekurangan harta benda, kehilangan jiwa dan berkurangannya hasil tanaman serta buah-buahan. Maka berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar. (al-Baqarah [2] : 155)
Allah SWT kemudiannya 'mendidik' kita tentang apa yang perlu dilakukan apabila ujian kehidupan mengundang dalam ayat seterusnya (al-Baqarah [ 2 ] :156):
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa sesuatu kesusahan (musibah), mereka lantas berkata: "Sesungguhnya kami ini adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami akan kembali.
Jadi, perbanyakkanlah sabar sambil berzikir ayat ini: "Inna lillahi wa inna ilayhi raaji'un". Allah SWT telah menjanjikan orang-orang yang membuat amalan ini dengan tiga perkara: 1. Doa (kurniaan), 2. Rahmat dan 3. Hidayah daripada-Nya di dalam ayat seterusnya (2:157):
Mereka itulah orang-orang yang akan dilimpahi dengan berbagai-bagai kurniaan dari Tuhan mereka serta rahmat-Nya; dan mereka itulah orang-orang yang sentiasa mendapat petunjuk hidayah-Nya.
Bagi mengatasi masalah baran, cubalah membaca ruqyah (sejenis doa atau 'jampi' syar'ie) dengan ayat 69 dalam Surah al-Anbiyaa' ini semasa barannya muncul:
Wahai api, jadilah engkau sejuk kepada Ibrahim dan peliharalah kesejahteraannya! (21:69).
Apabila berhadapan dengan sikap keras hati , bolehlah mencuba bacaan ruqyah daripada Surah al-Naml, ayat 30:
Sesungguhnya (perutusan itu) dari Nabi Sulaiman, dan kandungannya (seperti berikut): Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani. (27:30).
Ia bersempena kisah Nabi Sulaiman yang mengajak Ratu Saba' yang bernama Balqis agar memeluk Islam. Akhirnya, hati baginda menjadi lembut untuk memeluk Islam setelah membaca kepala surat perutusan daripada Nabi Sulaiman di atas. Mudah-mudahan bacaan ruqyah puan walaupun dalam diam akan melembutkan hati suami untuk kembali bertanggungjawab kepada keluarga dan bersedia untuk berbincang elok-elok dengan pasangannya dengan izin Allah. Amin.
Bagi pihak isteri pula, perlulah melakukan muhasabah diri. Contohnya mengkaji sama ada waktu mengajukan cadangan untuk berbincang itu sesuai atau tidak. Orang lelaki biasanya ada anginnya yang tersendiri terutamanya tidak mahu diganggu ketika sedang sibuk dengan sesuatu, dan biasanya apabila isteri bertanyakan sesuatu ketika dia lapar, mengantuk, bersedih, penat atau tertekan akan membangkitkan kemarahannya.
Isteri juga digalakkan memperbanyakkan istighfar kerana dalam Surah Hud, ayat 3 Allah menjanjikan kebahagiaan dan kesenangan bagi orang-orang yang memohon keampunan dari-Nya dan bertaubat (pulang menyerah diri untuk taat kepada-Nya)
Berdoa adalah sinonim dengan kehidupan seseorang Muslim, hatta solat itu pun maksud asalnya doa. Amalan berdoa menjadi simbol penyerahan diri kita kepada Allah dan betapa kita sentiasa memerlukan Allah al-Samad - tempat bergantung. Isteri boleh bermunajat kepada-Nya, pohonlah apa jua permintaan dalam bahasa Melayu sekalipun di mana-mana dan bila-bila masa sahaja. Allah kan Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Serulah dari 99 Nama-nama-Nya yang Indah (Asma' Allah al-Husna) dalam doa, seperti Ya Razzaq Ya Fattah agar Allah melimpahkan rezeki keluarga dan seumpamanya, semoga ia segera dimakbulkan.
Isteri juga boleh mencuba bacaan ruqyah daripada ayat 200, Surah Ali Imraan yang bermaksud:
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (dalam menghadapi segala kesukaran), kentalkanlah daya kesabaranmu, sabarkanlah di antara kamu, perkukuhkanlah ikatan sesama kamu dan bertakwalah kepada Allah. Semoga Allah Menentukan kamu akan Berjaya (akhirnya). (Ali Imran [ 3 ] :200).
Satu lagi amalan baik untuk perlindungan keluarga, bacalah Bismillahillazi la yadhurru ma'asmihi shay'un fil ardhi wa la fissama' wa huwassami'ul alim. (Maksudnya: Dengan nama Allah yang terpelihara segala sesuatu dengan nama-Nya daripada apa-apa yang memudaratkan sama ada di bumi atau di langit, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.) Menurut baginda, sesiapa yang membacanya tiga kali pada waktu pagi maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu petang; begitu jugalah apabila ia dibaca tiga kali pada waktu petang, maka tiada apa yang boleh memudaratkannya sehingga waktu pagi. [Sumber: Sunan Abu Daud, juzu' 3, hal. 132, bil. 5088].
Semoga keluarga yang mempunyai suami yang panas baran terpelihara di dalam perlindungan Allah terutamanya anak-anak dan juga dapat mengelakkan perceraian. Amin
Sumber : Utusan
1 comment:
Alhamdulillah...surah amalan bersama pelajar tiap2 hari disekolah.
satu lg kami amalkan, zikir Ya Latiff. Rasa mudah tackle pelajar kalau bacakan zikir ni kat pelajar...InshaAllah..
Post a Comment