Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu'alaikum.
Marilah kita sama2 memuji dan memuja Allah SWT yang mencurahkan limpah kurniaNya yang begitu banyak, memberikan kenikmatan yang begitu banyak sehingga kita tak mampu menghitungnya.
Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad saw serta keluarga dan para sahabat yang mulia dan orang2 yang istiqamah mengikuti Baginda.
Manusia merupakan sekepal tanah di bumi. Daripada bumi asal kejadiannya, di atas bumi dia berjalan, daripada bumi dia makan dan ke dalam bumi dia kembali. Ini adalah pendapat kaum materialis. Pada pandangan mereka manusia ini tidak lebih daripada kumpulan daging, darah, urat, tulang, urat-urat darah dan alat pencernaan. Mereka menganggap akal dan fikiran hanyalah benda yang dihasilkan oleh otak.
Jadi mereka menganggap tidak ada bezanya dan tidak ada keistimewaan antara manusia dengan benda2 atau makhluk lain, sehinggakan ada yang menganggap bahawa manusia berasal daripada kera, mengalami tempoh yang lama berubah jadi manusia. Pendapat ini seolah2 manusia adalah makhluk yang rendah, hina sama seperti haiwan yang hidupnya hanyalah memenuhi keperluan dan kepuasan kebendaan semata-mata.
Dan mereka berkata: Tiadalah hidup yang lain selain daripada hidup kita di dunia ini. Kita mati dan kita hidup (silih berganti) dan tiadalah yang membinasakan kita melainkan edaran zaman. Pada hal mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang hal itu; mereka hanyalah menurut sangkaan semata-mata. (Al-Jathiyah [24] : 24)
Namun bagi orang2 beriman; manusia adalah makhluk yang mulia, terhormat di sisi Allah, diciptakan dengan bentuk yang amat baik dan sesudah ditiupkan roh ke dalam tubuhnya, para malaikat disuruh memberi hormat kepadanya, diberikan ilmu pengetahuan, kemahuan dan dijadikan khalifah (penguasa) di bumi. Segala apa yang ada di bumi dan langit dan antara keduanya bekerja untuk kepentingan manusia. Kepada manusia juga diberikan hikmah. Alam ini untuk manusia dan manusia dicipta untuk berkhidmat kepada Allah.
Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi, kemudian Dia menuju dengan kehendakNya ke arah (bahan-bahan) langit, lalu dijadikannya tujuh langit dengan sempurna dan Dia Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. (Al-Baqarah [2] : 29)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (az-Zariyat [51] : 56)
Walaupun manusia ini bentuknya kecil dan bersifat lemah namun mempunyai kekuatan jiwa, daripada segi umur pula seolah2 satu perjalanan yang panjang tetapi kematian bukanlah merupakan titik akhir perjalanan hidup manusia. Mati hanyalah titik perhentian untuk perpindahan daripada perjalanan yg sangat jauh menuju satu tempat yang kekal abadi.
"...Salam sejahtera kepada kamu, berbahagialah kamu, maka silalah masuk ke dalam Syurga ini dengan keadaan tinggal kekal di dalamnya (mereka pun masuk). (73)
Kemuliaan manusia disebut di dalam al-Quran dalam beratus-ratus ayat bahkan dalam 5 ayat pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad saw ada menyebut tentang kejadian manusia dan hubungannya dengan Pencipta.
Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk), (1) Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku; (2) Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah; (3) Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan; (4) Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (5) (al-'Alaq [96] : 1 -5 )
Manusia itu dekat dengan Allah dan Allah juga dekat dengan manusia. Tidak ada batas dan tidak ada pengantara yang menghalangi hubungan antara manusia dengan Pencipta. Demikianlah darjat manusia di sisi Tuhannya.
Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu (dengan mematuhi perintahKu) dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul. (Al-Baqarah [2] : 186)
Dan demi sesungguhnya, Kami telah mencipta manusia dan Kami sedia mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, sedang (pengetahuan) Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya, (Qaf [50] : 16)
Pintu rahmat sentiasa terbuka luas kepada manusia. Manusia dapat meminta dan menerima kurnia Allah setiap waktu tidak terbatas. Hadis Qudsi ada menyebut:
Aku (Allah) menurut anggapan hambaKu terhadap Aku. Dan Aku bersama dengan dia, apabila dia menyebut (mengingati) Aku. apabila dia menyebut Aku sendirian, nescaya aku menyebutnya sendiri sahaja. Dan kalau dia menyebutku di hadapan orang ramai, nescaya Aku menyebutnya pula di hadapan orang ramai yang lebih baik. Kalau dia mendekatiKu sejengkal, nescaya Aku mendekatinya sehasta. Kalau dia dekat kepadaKu sehasta, nescaya Aku dekat kepadanya sedepa. Dan kalau dia berjalan kepadaKu dengan berjalan kaki (perjalanan biasa) nescaya Aku datang kepadanya dengan berlari (lebih cepat).
Betapa mulianya kita bila membaca perenggan2 di atas, namun adakah kita meletakkan diri kita di tempat selayaknya?.. tepuk dada tanyalah iman kita...
Mari kita lanjutkan lagi; apa pandangan malaikat terhadap manusia;
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?. Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya. (al-Baqarah [2] : 30)
Kedudukan yang tinggi ini diharapkan dapat dipikul oleh para malaikat, kerana mereka sentiasa taat dan bertsabih kepada Allah sedangkan manusia berbuat kerosakan; namun apabila tugas berat ini diberikan kepada manusia dan malaikat diminta memberi hormat dan memberikan segala bantuan, mereka patuh.
Ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia, Adam dari tanah; (71)Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaanKu) maka hendaklah kamu sujud kepadanya. (72) (Setelah selesai kejadian Adam) maka sujudlah sekalian malaikat, semuanya sekali. (73) Melainkan Iblis; dia berlaku sombong takbur (mengingkarinya) serta menjadilah dia dari golongan yang kafir. (74)(Sad [38] : 71 - 74 )
Betapa mulianya manusia. Iblis yang menderhaka kerana sombong dan dengki kepada manusia dihukum oleh Allah. Diusirnya daripada taman syurga. Begitulah hukumannya kerana tidak mahu mengaku kemuliaan manusia.
Allah berfirman: Kalau demikian, keluarlah engkau daripadanya, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang diusir. (77) Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknatku terus menerus hingga ke hari kiamat! (78)(Sad [38] : 77 - 78 )
Bukan itu sahaja; Allah berikan kepada manusia, kekuatan, kekuasaan dan kemampuan untuk memanfaatkan seluruh alam yang diatur dan disusun oleh Allah sebanyak mungkin. Kemajuan teknologi benar2 membuktikannya.
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu dan Dia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). (32) Dan Dia juga yang menjadikan matahari dan bulan sentiasa beredar, untuk kepentingan kemudahan kamu dan yang menjadikan malam dan siang bagi faedah hidup kamu. (33)Dan Dia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (34) (Ibrahim [14] : 32 - 34 )
Allah menganugerahkan kemuliaan dan darjat yang tinggi kepada manusia, memberikan keupayaan membina alatan pengangkutan di darat, laut dan udara untuk memindahkan orang dan barang dari satu tempat ke satu tempat. Allah juga memberikan keupayaan kepada manusia untuk memindahkan ilmu dan budaya.
Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-anak Adam dan Kami telah beri mereka menggunakan berbagai-bagai kenderaan di darat dan di laut dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka dari benda-benda yang baik-baik serta Kami telah lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk-makhluk yang telah Kami ciptakan. (al-Isra' [17] :70)
Mulianya manusia adalah dengan IMAN, bertambah kemuliaan bila bertambah keimanan, kerana orang yang termasuk ke dalam golongan orang2 beriman disebut sebagai umat yang terpilih dan dilahirkan untuk kebaikan manusia lainnya, berkat keimanannya juga dia mendapat tambahan kemuliaan;
Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada segala perkara yang salah (buruk dan keji) serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman) dan kalaulah Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka orang-orang yang fasik. (Ali-Imran [3] : 110)
Berbanggalah jadi manusia, jadilah manusia yang beriman, yang mempunyai harga diri, menjadi tuan dalam alam ini dan hanya menjadi hamba Allah. Jadilah seperti Bilal bin Rabah, jadilah seperti Rubi' bin Amir setelah iman meresap ke dalam jiwa mereka tiada gentar lagi. Sedarlah diri, janganlah masih teraba-raba dalam kegelapan.
Dan adakah orang yang mati (hatinya dengan kufur), kemudian Kami hidupkan dia semula (dengan hidayat petunjuk) dan Kami jadikan baginya cahaya (iman) yang menerangi (sehingga dapatlah dia membezakan antara yang benar dengan yang salah, dan dapatlah) dia berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, (adakah orang yang demikian keadaannya) sama seperti yang tinggal tetap di dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah (sebagaimana iman itu diperlihatkan keelokannya kepada orang-orang yang beriman), diperlihatkan pula pada pandangan orang-orang yang kafir itu akan keelokan apa yang mereka telah lakukan (dari perbuatan kufur dan segala jenis maksiat). (al-An'am [ 6 ] : 122)
Janganlah biarkan hidup kosong kerana orang2 beriman tidak akan membiarkan hatinya kosong. Jangan biarkan diri menjadi seperti haiwan. Sedarlah bahawa seluruh alam ini berkhidmat kepada kita dan para malaikat sentiasa mengawasi serta ALLAH selalu bersama kita.
Sumber : Syukurlah kerana dimuilakan
No comments:
Post a Comment