Kejadian alam asas pemantapan iman
Oleh Mohd. Farid Md. Alias
Bencana alam yang melanda Jepun baru-baru ini menyemai titik keinsafan bahawa apabila Allah telah menetapkan sesuatu kejadian alam berlaku, maka tiada siapa pun yang dapat mengekangnya.
Bandar yang dibina bertahun-tahun selepas Perang Dunia Kedua hampir menjadi 'padang jarak padang tekukur' apabila dilanda gempa bumi dan gelombang tsunami yang kuat.
Pun begitu, dalam keadaan ramai rakyat Jepun yang masih trauma dengan kejadian itu, semangat meneruskan kehidupan seperti biasa dan bangkit daripada musibah ini adalah luar biasa.
Mereka tidak terus menerus bersedih atas kejadian itu, bahkan saintis jepun mengambil langkah segera mengkaji kejadian tersebut agar pencegahan awal atau sistem amaran awal dapat dilaksanakan dengan lebih baik.
Sikap ini memberi makna bahawa mereka sangat memandang tinggi keperluan mengkaji hubungan alam dengan manusia. Menginsafi sikap mereka, orang Islam seharusnya insaf bahawa ilmu kejadian alam sebenarnya adalah ilmu daripada Allah yang terkandung hikmah.
Penerokaan ilmu yang tidak terbatas melalui akal yang terbatas menuntut keyakinan besar kepada kebesaran Allah.
Sesuatu yang tidak diketahui oleh akal tidak bermakna ia tidak ada. Keyakinan manusia bahawa Allah itu Maha Perkasa memberikan asas iman dalam diri manusia.
Memahami keterbatasan manusia
Segala usaha manusia untuk mengetahui kebesaran Allah melalui alat tidaklah salah kerana al-Quran memberikan asas bahawa penerokaan langit dan bumi hanya boleh berlaku dengan alat, kemudahan atau teknologi.
Surah Al-'Alaq memberikan asas ilmu, sains dan teknologi yang amat nyata kepada orang-orang Islam. Ayat ke 3-5 memberikan pedoman mengenai pentingnya qalam iaitu alat atau teknologi yang merintis penerokaan ilmu.
Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah, Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan, Ia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya. (Al-'Alaq [96] : 3 -5)
Ia merupakan alat dan teknologi bagi mengetahui sedikit mengenai rahsia kebesaran Allah. Kebesaran Allah terlihat pada daya cipta-Nya terhadap alam ini.
Al-Quran telah menjelaskan bahawa alam ini telah ditundukkan Allah untuk keperluan manusia, agar manusia beribadat kepada Allah secara lebih sempurna (Ibrahim: 32)
Allah jualah yang menciptakan langit dan bumi, dan menurunkan hujan dari langit lalu mengeluarkan dengan air hujan itu buah-buahan untuk menjadi makanan bagi kamu; dan Ia yang memberi kemudahan kepada kamu menggunakan kapal-kapal untuk belayar di laut dengan perintahNya, juga yang memudahkan sungai-sungai untuk kamu (mengambil manfaat darinya). (Ibrahim 14:32)
Penerokaan terhadap alam bumi dan alam angkasa lepas memberikan manusia ilmu dan maklumat. Daripada ilmu dan maklumat menjadikan manusia lebih rasional memahami makna alam dan kejadian.
Inilah asas ulul-albab yang terdapat di dalam Al Quran dan pendekatan tadabbur yang mendorong manusia mengkaji, berfikir, menyelidik dan akhirnya mendidik mereka menjadi orang-orang yang bertakwa.
Surah ali-'Imran ayat 190 misalnya menyebutkan bahawa hikmah kejadian penciptaan langit dan bumi serta putaran siang dan malam terhadap orang-orang yang berakal dan berfikir.
Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal; (A-li'Imraan 3:190)
Allah juga memberi asas pedoman kepada manusia supaya sentiasa mengkaji dan berfikir tentang kejadian alam. Namun begitu, sering al-Quran mengingatkan manusia bahawa manusia adalah bahagian kecil dari alam yang sangat luas ini supaya manusia selalu melihat dan mengamati alam tersebut untuk mengetahui rahsia-rahsia yang tersimpan di dalamnya (al-Mukmin/Ghaafir: 57) .
Demi sesungguhnya, menciptakan langit dan bumi (dari tiada kepada ada) lebih besar (dan lebih menakjubkan) daripada menciptakan manusia dan menghidupkannya semula (sesudah matinya); akan tetapi kebanyakan manusia (yang mengingkari hari kiamat) tidak mengetahui. (Ghaafir 40:57)
Islam menjadi lebih menarik di Barat kerana ia didekati secara ilmu dan saintifik dan ia memberi tanda untuk suatu kebangkitan.
Maurice Bucaille, dalam bukunya bertajuk Al-Quran dan Sains Moden menceritakan dengan banyak tentang keakraban kitab al-Quran dalam dunia sains moden.
Beliau menyebut tentang sebuah kitab yang mampu menceritakan kejadian-kejadian sains yang hanya diteroka pada zaman moden. Walaupun al-Quran bukan kitab saintifik, tetapi pedoman-pedoman saintifik di dalamnya memandu tradisi keilmuan berkembang dengan mengambil kira faktor keinsanan, sains dan teknologi supaya manusia menjadi lebih manusiawi.
Keserakahan
Alam ini terlalu luas untuk dikaji dan keupayaan manusia mengkaji alam amat terbatas. Keterbatasan itu memadai untuk manusia memahami makna hidup dan kehidupan. Kehidupan akan lebih bermakna sekiranya pedoman agama dijadikan landasan.
Sekiranya manusia memberi fokus kepada aspek fizik semata-mata maka manusia akan hanya terdorong untuk mengkaji fenomena dan bukan hikmah fenomena tersebut.
Justeru penerokaan sains dan penghasilan teknologi tidak saja memberi manfaat tetapi melahirkan kebimbangan terhadap nasib manusia.
Hubungan antara manusia dengan alam sentiasa berubah, seiring perkembangan teknologi, informasi dan industrialisasi.
Perang Dunia Pertama dan Kedua memperlihatkan bagaimana bumi dan manusia dirosakkan oleh keserakahan kuasa-kuasa yang menguasai teknologi terhadap kuasa yang belum menguasai teknologi.
Perubahan dan evolusi dalam bidang sains dan teknologi memberi impak yang mendalam dalam perlumbaan menjadi yang terhebat.
Perubahan dalam tradisi Islam sebaliknya berlaku dalam dua cara.
Pertama yang bersifat bentuk atau zahiriah, ia seperti teknologi yang fungsinya adalah mekanistik, manakala yang satu lagi adalah isi (substance) yang menggambarkan perubahan dalaman dan berada dalam keadaan fitrah.
Yang fitrah adalah sesuatu yang serasi dalam kehidupan, berbuat baik umpamanya adalah sesuatu yang fitrah, memberi manfaat, berlaku adil dan amanah juga adalah sesuatu yang fitrah.
Justeru, yang fitrah itu adalah inti sebenar dalam kehidupan, tidak kira walau apa jua anutan seseorang.
Sebagai contoh, perubahan mengambil kira bagaimana teknologi dilihat sebagai alat dan bukan matlamat.
Perubahan yang berlaku ialah bagaimana teknologi dan alat diberikan asas dan nilai agama supaya nilai-nilai yang fitrah menjadi manfaat kepada manusia.
Komputer misalnya, bersifat mekanistik, lalu perisian dan programnya memberi makna sama ada mampu meningkat akal budi ataupun sebaliknya.
Manusia kadangkala kehilangan kearifan pada alam dan lingkungannya. Dengan makin berkembangnya ilmu pengetahuan dan teknologi, perlu kita akui secara jujur bahawa atas nama 'penalaran dan logik', secara sedar atau tidak kita telah mengikis budaya warisan luhur dalam memahami alam dan lingkungannya.
Teknologi digunakan untuk menakluk dan merosakkan alam. Manusia tidak lagi bergantung pada alam tetapi menguasai alam dengan dilandasi keserakahan.
Sekarang ini kuasa besar menggunakan justifikasi yang menolak peradaban manusia lalu menggunakan teknologi persenjataan canggih bagi meranapkan sesebuah negara atau sekelompok manusia yang dibenci supaya melutut kepadanya. Keadaan ini membuktikan bagaimana nilai-nilai kemanusiaan dan etika sudah tidak lagi jadi pertimbangan.
Amat penting bagi seorang remaja memahami bahawa tugas manusia sebagai khalifah di muka bumi ini mempunyai had dan batasnya tersendiri.
Kejadian alam yang sempurna yang telah diciptakan untuk manusia dan isinya ini adalah untuk dinikmati secara adil dan saksama agar manusia sentiasa menjadi orang-orang yang bersyukur.
Di dalam surah Ibrahim ayat 34, Allah menjelaskan tentang golongan yang diberi nikmat dan kemudiannya tidak bersyukur atas pemberian Tuhan: Dia telah memberikan kepadamu (keperluanmu) dan segala apa yang kamu mohonkan kepadanya. dan jika kamu menghitung nikmat Allah, tidaklah dapat kamu menghinggakannya. Sesungguhnya manusia itu, sangat zalim dan sangat mengingkari (nikmat Allah).
Dan Ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua yang kamu hajati. Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. Sesungguhnya manusia (yang ingkar) sangat suka menempatkan sesuatu pada bukan tempatnya lagi sangat tidak menghargai nikmat Tuhannya. (Ibrahim 14:34)
Justeru, kita seharusnya berusaha meningkatkan ilmu dan membangunkan potensi diri seiring dengan syariat Islam.
Nota:
Oleh kerana Allah menguasai segala-galanya, maka) wahai umat manusia, kamulah yang sentiasa berhajat kepada Allah (dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. Jika Ia mahu, nescaya Ia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yang baharu. Dan (perlaksanaan) yang demikian itu tidaklah sukar bagi Allah. (Faatir [35] : 15 - 17)
No comments:
Post a Comment